Saturday, 18 May 2013

Babak Terakhir Bab 1&2


Bab 1

"Apa?Minggu depan?" mata Fea dibulatkan malah terus sahaja dia bangun mendadak dari sofa empuk yang terletak di ruang tamu rumah teres dua tingkat itu.Telinganya segera ditenyeh-tenyeh bagaikan penuh semangkuk tahi telinga di situ lalu matanya diarahkan pula kepada Lia Sari.

Wanita yang berusia 46 tahun itu sedang enak duduk di sofa bertentangan sambil minum teh dengan wajah yang sebegitu tenang sekali.Penuh nikmat sambil sesekali matanya dipejam-pejamkan seketika,mungkin saja menikmati aroma teh dari cawannya.Lia Sari angguk dan tersenyum kecil sebelum menyambung minum teh.

"Alah,malaslah mak! Mak pergilah sendiri. Fea tak ada mood!" selamba jawapan yang diberikan kepada Lia Sari.Gadis yang berseluar track hitam dan bertocang satu itu tegas dengan keputusannya apabila nama Arfa disebut.Lia Sari baru saja menyampaikan tentang berita kepulangan Arfa dan keluarganya dari England yang akan sampai di Malaysia pada minggu hadapan dan wanita itu mahu mengadakan majlis menyambut kepulangan mereka.Tok Saif iaitu bapa saudara kepada wanita itu juga yang memberikan idea untuk majlis tersebut sejurus selepas berita kepulangan keluarga Arfa diberitahu kepadanya semalam melalui telefon.

Lia Sari berdecit halus apabila melihatkan reaksi Fea itu.Dahinya pula usah dikata,berkerut bagaikan warga emas berusia 80 tahun.Kemudian cawan teh yang elok berada di tangannya segera diletakkan di atas meja kopi di hadapannya lalu menarik satu nafas panjang.

"Isyh budak ni! Mana boleh tak pergi.Nanti apa pula kata Tok Saif.Lagipun Tok Saif yang suruh mak buat persiapan untuk majlis tu nanti.Ni hah,Tok Saif kau baru saja telefon mak beritahu suruh datang rumah dia malam esok nak bincangkan pasal majlis tu."

Fea menggumam.Penumbuknya pula sudah dikepal-kepal secara sembunyi-sembunyi menahan rasa geramnya.Mahunya dia tak geram.Baru saja dia bercadang hendak pergi bercuti dengan teman-temannya minggu depan,tak pasal-pasal kena cancel pula gara-gara majlis untuk menyambut Arfa sepupu emaknya yang sudah lama tidak pulang ke Malaysia.Spoil!!

"Mak,dah tak ada orang lain lagi yang Tok Saif tu nak minta tolong? Balik-balik kita aje.Apa guna kalau ada orang gaji berlambak-lambak kat rumah tapi tak pakai khidmat diorang tu.Membazir saja,buang duit tau!" bangkang Fea lagi merengus sedikit.Dia menyilangkan tangannya sambil memusingkan badan membelakangi Lia Sari.Lia Sari pula sudah hampir tergelak melihat gelagat anak perempuannya yang umpama budak-budak itu.Nampak tidak matang langsung!!

Dia menghirup sedikit air teh lalu cawan teh di tangannya di letakkan semula ke atas piring di hadapan.Lia Sari menarik nafas perlahan sebelum menyambung bicara.
" Fea,kau fikir Tok Saif tu boleh minta tolong pada siapa selain daripada kita? Nak harap Pak Ngah kau tu?Huh...asyik outstation saja kerjanya.Nak diharapkan bini dia pula sampai kucing bertanduk pun belum tentu nak nampak batang hidung!Sudah , kau jangan nak mengada-ngada ya.Mak tahu kau mesti dah rancang nak pergi mana-mana.” Jari telunjuknya sudah diangkat tinggi. Manakala kedua keningnya pula sudah lama bertaut.

“Lupakan,batalkan saja program kau.Kau tu yang asyik sibuk membazir duit sana sini.Suruh kerja tak nak kerja,pemalas! Alasan tinggi kalah Gunung Ledang! Sultan Melaka pun tak nak masuk meminang nanti tau. Alih-alih kau sibuk menghabiskan duit mak saja.Tu hah,beras dalam tong kat dapur tu siapa nak tolong belikan? Mak jugalah kan?!"

Laju saja mulut berapi Lia Sari membebel pada Fea.Geramnya semakin memuncak apabila ada saja alasan anak gadisnya itu.Sudahlah pemalas,banyak songeh pula tu.Kuat menjawab! Dia yakin anaknya itu pasti sudah ada agenda terancang bersama teman-temannya.Bukannya dia tidak tahu anaknya itu memang kuat merayap.Ada saja aktiviti yang disusun setiap hari.Kadang-kadang bila dilihat gaya Fea sudah kalah menteri saja walhal anak gadisnya itu sedang menyandang gelaran seorang penganggur yang hebat!!

"Mak,dengan anak sendiri pun mak nak berkira ke?Alah,esok-esok bila Fea dah kerja bukan kata setakat satu tong beras Fea belikan,nak bagi mak beras satu kilang pun Fea tak kisah!" dia berseloroh pula sambil ketawa lepas.Suka sangat mengejek kata-kata emaknya.Pantang betul kalau kena sembur mesti dia akan cari alasan.Tak pun buat lawak bodoh dia yang dah basi tu.

Lia Sari mendengus.Hisy,apa malang sangat nasib aku dapat anak macam ni.Belajar tinggi-tinggi,masuk universiti pegang diploma pegang ijazah tapi pemalas dan loyar buruk!

"Berlagak! Itulah kau,asyik itu saja modal yang kau ada.Berangan tak habis-habis.Nak belikan aku beras satu kilang konon!!Duit pun minta pada mak,ada hati nak beli beras satu kilang…berangan tak sudah-sudahlah budak ni.Hei,masalahnya bila kau nak kerja,Fea? Pergi cari kerja pun belum ada hati nak pergi kerja.Kalau perangai kau yang tak senonoh macam ni tak ada siapa pun yang sanggup nak ambil kerja.Jaga kandang lembu pun tak layak agaknya!" Fea menghempas punggungnya ke sofa semula.Hei,emaknya yang seorang ni mulalah tu nak membebel.Bingit telinganya.Hari-hari cerita benda yang sama saja,naik bosan telinga ni nak dengar.

"Mak jangan pandang rendah pada Fea.Tengoklah nanti bila Fea dah kerja,jawat jawatan Manager ke,CEO ke,atau paling tidak pun Eksekutif, Fea nak pindah kat rumah banglo lima tingkat.Mak duduklah sorang-sorang kat rumah ni!" Fea bernada bongkak diselang-selikan dengan angan-angan mat jeninnya.

"Kutip mutip.Banyaklah kau nak jawat jawatan besar-besar tu.Ada ke orang yang simpati dengan kau ni yang nak bagi kau pegang jawatan tinggi-tinggi tu?Silap-silap company orang tu bankrap sebab ada Manager macam kau ni.Manager pemalas! "
Lia Sari sengaja mengejek Fea.Dia tahu anaknya itu tetap buat bodoh kalau bercakap soal cari kerja.Angan-angan saja yang lebih.Kalah orang nak jadi jutawan.Entah apa nak jadi dengan dia ni.Dah lah siap nak ugut-ugut pula suruh aku duduk rumah ni sorang-sorang.Amboi-amboi,dia ingat aku ni tunggul ke apa.Aku ni mak dia! Mana boleh kalau dia seorang nak pindah rumah banglo lima tingkat tu.Aku pun nak ikut!

"Amboi mak,laser nampak? Mulut tak cover insuranslah tu! “ sembur Fea tidak bertapis.Dia dengan emaknya memang begitu.Ada saja peluang pasti bertikam lidah mahu tengok siapa punya mulut lebih berapi.Kalau tak berapi,bukan Sofea dan Lia Sari namanya.

Lia Sari mencebik.Faham benar dengan sikap anaknya.Kalau orang luar tengok dan dengar,sudah pasti Fea akan dicop anak kurang ajar.Tapi dia sendiri tidak kisah kerana Fea sedari kecil dididik dengan cara sebegitu.Mulutnya pula memang sudah berapi,mahunya anak sendiri tidak ikut jejak.

“Tak kisahlah ada insurans ke tak ada.Daripada kau asyik melangut tak buat apa-apa lebih baik kau tolong mak pergi jual jamu,lagi bagus.Hujung bulan mak kasi komisen.” Pujuk Lia Sari. Fea memuncungkan mulutnya apabila soal jamu dibangkitkan.
“Tak naklah mak.Buat apa jual jamu,bukan boleh kaya macam Tok Saif pun!” balas Fea lantang.

‘Isyh,ada ke patut mak suruh aku pergi jual jamu?Eeee,tak kuasa aku.’ fikirnya sendiri.
“Eh,budak ni.Siapa kata jual jamu tak boleh kaya?Kau dah lupa ke dengan duit jamu tu lah mak bagi kau sekolah tahu?Ada saja kata mak ni yang kau nak bangkang, Fea.” Marah Lia Sari.Geram pula dia dengan Fea.

“Mak, Fea nak tanya ni.Apa mimpi Auntie Arfa cousin kesayangan mak tu nak balik Malaysia? Balik sekejap atau balik terus ni?" Fea mengesot sedikit membetulkan duduknya yang sedari tadi ala-ala ayam nak tercirit.Sengaja dia mengubah topik perbualan takut kalau-kalau Lia Sari membebel lagi.

"Dengar kata nak menetap terus kat sini.Agaknya dah bosan duduk tempat orang lama-lama.Maklumlah,dah dekat 15 tahun duduk sana.Kalau mak pun dah tentu mak bosan.Bukannya ada family kat sana pun.Hah,kau tu jangan lupa.Esok mak tak kira macam mana sekali pun,kau ikut mak pergi rumah Tok Saif." ucap Lia Sari tegas memandang wajah Fea yang sengaja buat-buat blur.Dia tahu Fea pasti akan memberi alasan lagi.

"Alah mak ni,tak sporting betullah! Baru fikir nak keluar pergi dating esok.Balik-balik nak pergi rumah Tok Saif tu.Tahulah rumah dia tu berkali-kali ganda besar dari rumah kita ni,ada swimming pool,studio,taman,kolam ikan,tennis court,errr apa lagi eh?Hah…stok orang gaji berduyun-duyun disertakan dengan pemandu peribadi dan pengawal keselamatan bagai tapi mak janganlah asyik nak tunjuk muka kat sana 24 jam.Tok Saif mesti bosan." selamba dia menjawab.

"Hisyh budak ni! Mulut mak yang tak ada insurans ke mulut kau? Cakap main ikut sedap mulut je.Sudah Fea,kau jangan nak bagi seribu satu alasan.Dating konon.Dating apa kalau hari-hari kau pergi melepak dengan si Era?Macam mak tak tahu!”
“Alah mak,dengan Era pun dikira dating jugalah!”

“Macam-macam kau ni Fea.Kalau ajak pergi rumah Tok Saif,ada saja alasan kau.” Marah Lia Sari dengan sikap Fea.Gadis itu sebenarnya bukanlah tidak suka kalau ke sana tetapi sesekali dia berasa rimas apabila setiap kali ke sana dia akan disindir oleh orang tua itu kerana masih belum bekerja selepas tamat belajar.Kadang-kadang sampai terbawa-bawa dalam tidur sehingga mengganggu emosinya.

“Kau dah lupa agaknya,Tok Saif tu bukan ada sesiapa lagi saudara yang tinggal berdekatan dengan dia.Takkan kita nak abaikan dia? Kalau bukan disebabkan jasa dia dulu,tak mungkin kau dapat masuk universiti.Shahrul kat kolej tu belum tentu dapat sambung belajar tau! Kau kena ingat sikit,apa-apa pun Tok Saif tu saudara kita.Ayah saudara mak,tok saudara kau dengan Shahrul.Jadi,apa-apa pun yang terjadi kita tak boleh abaikan Tok Saif tu.Lagipun kesian kat dia.Dia dah tak ada sesiapa lagi melainkan kita." Lia Sari sedikit serius.Keralitan Fea mendengar celoteh emaknya sedikit sebanyak mengusik hati kecilnya.

"Kesian pula dengar kisah Tok Saif tu.Hai lah badan,harta dah banyak,hidup kaya raya tapi tak ada anak bini pulak,tapi yang nak perlukan duit ni tak kaya-kaya sampai sekarang!" ucap Fea seolah-olah menuju kepada dirinya sendiri.Dia tahu kalau bukan hasil bantuan ehsan dari Tok Saif merangkap tok saudaranya itu,tak mungkin dia dapat menyambung pelajarannya ke universiti.

Lelaki itu memang seorang hartawan yang dermawan.Punya segala-galanya yang manusia lain impikan namun hidupnya masih tidak lengkap.Di kala usianya yang menginjak 60-an yang boleh dianggap warga emas itu,dia tidak punya keluarga sendiri.Isterinya meninggal lebih 20 tahun lalu akibat kemalangan.Anak pula dia tidak ada.Jadi tinggallah dia sendirian ditemani oleh berduyun orang gajinya yang sentiasa setia menurut arahan.

Lia Sari menggeleng-geleng kepalanya.Matanya dikecilkan sedikit memandang Fea.Hisyh budak ni,tak habis-habis! "Fea sayang oi,memanglah orang yang perlukan duit tu takkan kaya sampai bila-bila kalau asyik sibuk berangan sampai tak reti-reti nak pergi cari kerja." Lia Sari menyindir Fea dengan sengaja.Biar anaknya itu sedar sikit.Asyik berangan pasal duit.Entah bila mahu pergi cari kerja dia sendiri tidak tahu.Dah berbakul-bakul sindiran pun masih buat tak reti.Berbuih mulutnya menyuruh Fea mencari kerja tapi budak degil itu masih pekakkan telinga.Agaknya dia nak tunggu wasiat dari Tok Saif baru nak mula bekerja.

"Mak,agak-agaknya Tok Saif akan wasiatkan harta dia pada kita tak?" Lia Sari yang mahu menyambung minum teh hampir tersedak.Aik budak ni,baru saja terlintas perkara tu di fikiran dia dah suarakan terlebih dulu?

"Hisyh,jangan fikir yang bukan-bukan boleh tak?Mulut tu…cili baru tau!! " marah Lia Sari.Fea pula sudah ketawa kuat-kuat.Lucu sangatlah tu dengan wajah kelat emaknya sebentar tadi.Lia Sari terus tidak membuang masa selepas selesai menghabiskan tehnya.Dia berlalu menuju ke dapur tanpa menghiraukan Fea yang masih sibuk tergelak-gelak sambil berangan tentang wasiat Tok Saif.Jangan kau minta orang tua tu mati cepat sudahlah ya Fea!

Fea ketawa sambil menyanyi kecil sebelum membesarkan volume suaranya.Lagu nyanyian Allahyarham Sudirman terngiang di seluruh ruang tamu.

Jangan ku dipandang hina
Hanya kerna aku penganggur
Jangan pula ku dilupa
Hanya kerna aku penganggur
Aku hanya insan biasa
Ingin juga hidup bahagia
Ohhoooo nasibku
Aku penganggur
Lalalalalala…..



Bab 2


"Alah Fea,kau ni dengan aku pun nak berkira.Bagilah sikit Mochacinno Blended tu.Kering dah tekak aku ni!" muncung mulut Era yang duduk bertentangan dengan Fea di kedai mamak yang sekian lama menjadi pot lepak mereka. Fea buat wajah menyakitkan hati.



"Ewah-ewah.Banyak cantik muka kau! Kalau nak pergi order sendiri." marah Fea apabila Era sudah mahu menarik gelas airnya dari tangannya.Era memang begitu.Sengaja suka bergurau tak tentu pasal.

"Muka aku memang cantik.Buat apa aku nak order yang baru.Kau punya air belum luak mana pun,aku nak rasa sikit pun tak boleh.Kedekut!" Era tarik muka pura-pura merajuk. Fea mendengus.Dia menarik straw dari mulutnya lalu dihulurkan gelas berisi Mochacinno Blended kepada Era.Apalah,pasal Mochacinno Blended pun nak gaduh ke? Buat malu je mamak kedai tu tengok!

"Nahlah! Ambiklah air aku ni.Minum puas-puas sampai kembung perut tu!" Era pantas sengih tayang giginya yang tak berapa rapi itu.Dia minum dengan sedikit rakus umpama orang tidak jumpa air sebulan saja! Fea di hadapannya berwajah jengkel.Huh,memang jengkel dengan perilaku sahabat baiknya yang tak berapa nak ada rasa malu tu.Air dia sendiri belum terusik dah sibuk nak minum air orang,gumam Fea dalam hati.

"Woi,sudahlah tu! Tadi kata nak rasa je.Ini bukan setakat rasa,kau dah bedal air aku sampai nak habis! Apa punya gelojoh lah kau ni Era,bagi balik gelas aku tu!" marah Fea sekadar bergurau cara 'kasar' mereka.Era ketawa,langsung tidak berkecil hati. Era segera menghulurkan kembali gelas Fea yang sudah tinggal suku itu. Fea mencebik dan Era menjelirkan lidah semula.Dah macam budak-budak saja lagak mereka berdua.

Itulah mereka,saja suka buat gimik tambah-tambah kalau lepak di kedai mamak.Mamak kedai tu pun dah malas nak layan kerenah perempuan dua orang ni.Kalau dilayan mungkin ting tong juga kepala mamak tu.

" Fea,malam ni apa cerita?Tempat biasa?" tanya Era setelah kedua-duanya sibuk melayan kesedapan air dari gelas masing-masing.Fea angguk tetapi tidak lama kemudian dia menggeleng laju."Alamak! Malam ni aku tak bolehlah! Aku lupa yang aku kena ikut mak aku pergi rumah Tok Saif!" Fea bersuara kuat sambil tepuk dahi dan Era pula sudah tunjuk muka 'sedih'.

"Ala,tak best lah macam ni! Apsal pulak kau kena ikut mak kau pergi rumah Tok Kaya kau tu?Apsal tak pergi hari lain je?" soal Era bendul."Sengallah kau ni,kalau aku pergi hari lain pun kau mesti bagi dialog yang sama...'Apsal malam ni?Apsal tak pergi hari lain saja?'....Hisyh dia ni!" ejek Fea.Era pula sudah tersengih."Nak buat macam mana,mak aku paksa aku! Ikut hati aku ni memang tak kuasa nak pergi.Bosan!" ucap Fea perlahan sambil menghabiskan airnya.Era ketawa malah semakin lama semakin kuat pula dia ketawa sampai mengetuk-ngetuk meja di hadapannya tanpa menghiraukan orang sekeliling.Naik hairan pula Fea yang sedang menggigit straw.
'Apa hal pula dengan minah sorang ni? Dah sasau ke?'

"Apsal kau gelak?!" tanya Fea dalam nada marah kerana tidak tahu menahu sebab Era ketawa.Era akhirnya berhenti ketawa setelah lihat wajah Fea berubah sedikit tegang.Dahi Fea berkerut-kerut menunggu jawapan darinya."Mahunya aku tak gelak.Dah besar-besar macam ni pun masih kena paksa dengan mak! Aduh,betul-betul anak mak lah kau ni Fea!" geram pula hati Fea apabila Era sengaja mengejeknya dan menggelarnya 'anak emak'.

"Anak emak tak anak emak.Kalau dah kena paksa dengan orang macam mak aku tu,tak boleh ada jawapan TIDAK keluar dari mulut.Tension tau!" Fea meluah perasaan.
"Relakslah Fea,macam tak biasa pula dengan mak kau tu! Apa susah,pergi jelah.Lagipun kau kena paksa pergi rumah Tok Kaya kau tu je,bukannya kena paksa kahwin.Kalau paksa kahwin bolehlah juga kau membantah!" Era menokok lagi sambil terus ketawa dalam kuantiti yang sedikit kecil berbanding tadi.Fea pula sudah menggigit ketulan ais dari gelas air kosong yang turut sama dipesan tadi lalu dibaling serpihannya ke arah Era.Era pula sudah mula melawan toke.

"Gilalah kau ni,mulalah nak melalut tak tentu pasal.Terlajak sampai bab kahwin pulak apa kes?” kali ini mata Fea nampak ada cahaya amarah.Dia mendengus dan merenung ke gelasnya pula.”Hiysh,kalau kena paksa kahwin,aku rasa aku takkan fikir panjang dah.Confirm aku akan lari rumah jawabnya.Tak kuasa aku!" Fea menjeling lalu mencebik.Tidak terfikir bagaimana kalau emaknya itu paksa dia kahwin tambah-tambah dengan lelaki yang dia tak suka atau tak kenal.Uwarghhh,menangis syahdu 44 hari 44 malam nanti!

“Eleh,tak kuasa konon!Cuba bayangkan kalau lelaki tu prince charming…kau nak lari rumah juga ke?“ balas Era tersengih-sengih tetapi Fea pula sudah menongkat dagu sambil mengarahkan matanya ke atas.

"Hoi,Fea! Berangan! Tak habis-habis!" marah Era menepuk meja dengan tangan kanannya apabila melihat Fea sudah mula masuk ke dunia fantasinya.Fea gosok matanya."Mana ada.Memandai je!" Fea berdalih.Era angkat keningnya tanda tak percaya."Eleh,macam aku tak kenal kau! Kalau diam sambil mata terarah pada satu tempat tak lain tak bukan berangan lah tu! Porahh!! Tak payahlah nak menipu aku cik Sofea Annisa Binti Suhaimi oi!" Era mengejek lagi.Dia tahu benar perangai Fea.Adalah tu benda yang difikirkannya sampai tak terjangkau dek akal si Era.

Lama Fea menyepikan diri sebelum bersuara semula."Agak-agak kau mak aku akan paksa aku kahwin tak?" Era hampir tersedak dengar soalan bodoh Fea."Manalah aku tahu,nanti aku telefon mak kau lepas tu aku interview dia dan tanya dia sama ada dia akan paksa kau kahwin ke tidak,okey?" Fea mula geram.Si Era ni,loyar buruklah pula.Hei Fea oi,Era belajar loyar buruk tu pun dari kaulah!

“Era,kau tahu tak kenapa mak aku ajak aku pergi rumah Tok Saif malam ni?” Era pantas mengangkat bahunya.”Manalah aku tahu.Kau tak cerita pun.” Sengih Era bersahaja.

“Kau ingat lagi tak aku pernah cerita pada kau pasal budak tembam yang kaki buli tu?”
“Yang mana?”
“Alah,pembuli durjana yang tembam tulah!” Fea menekankan butir bicaranya.
“Oh,yang selalu buli kau masa kecik-kecik dulu?Kenapa?Dia datang nak masuk meminang kau ke?”
“Isyh,mulut kau ni! “Era ketawa geli hati bila melihatkan wajah Fea berkerut-kerut menahan marah.
“Kenapa dengan dia?”

“Dialah sebab utama aku kena ikut mak aku pergi rumah Tok Saif malam ni.”
“Hah,maksud kau?”
“Kalau kau nak tahu,si pembuli tu dengan keluarga dia nak balik sini minggu depan.Pasal dioranglah mak aku beriya sangat nak buat majlis sambut diorang minggu depan.Sebab tu lah mak aku nak pergi bincang dengan Tok Saif tentang hal ni.”
“Jadi apa masalahnya?”

“Eh kau ni takkan tak faham lagi?”
“Yelah,apa masalahnya kalau diorang balik sini pun? Setakat kau ikut mak kau berbincang hal majlis tu,aku rasa tak ada masalah.”kening Era sudah terangkat sebelah.

“Atau pun kau risau kalau si pembuli tu balik sini nanti,dia akan buli kau lagi?” sambung Era lagi.
“Bukan takutlah.Aku cuma tak suka.Aku tak tahu macam mana nak terima diorang balik dalam hidup aku.Dah bertahun-tahun diorang hilang,tiba-tiba saja aku dapat berita yang diorang sekeluarga nak balik ke sini.Nak menetap terus di Malaysia nan tercinta ni.” Era ketawa sejurus Fea berjaya habiskan ayat terakhirnya itu.

“Kau ni Fea,masalah kau ni celah gigi je tahu?Bukannya hari-hari kau kena tengok muka diorang tu.Lagipun,diorang tak duduk satu rumah dengan kau kan,jadi apa yang menjadi masalah pada kau ?Cuba cerita kat aku!”

“Memanglah.Mak aku beritahu diorang tu akan balik ke sini minggu depan.Kau tak ingat ke apa plan kita dengan member-member yang lain?Kan kita nak pergi bercuti ke Pulau Tioman!Dah lupalah tu!”
“Ha’ah…habis tu macam mana?Kau tak jadi ikut lah ye?”Era mula garu kepala yang tidak gatal.

“Nampaknya kenalah batalkan semuanya.”
“Alah,tak boleh ke kau tak pergi sambut diorang balik?Bukan senang tau kita nak dapat hari untuk bercuti beramai-ramai.Minggu depan tu dah kira cantik dah tarikhnya.Member-member kita yang lain bukannya ada cuti hari lain selain dari minggu depan.Tolonglah Fea,jangan batalkan!”

“Isyh,ikut hati aku ni memanglah aku nak ikut pergi bercuti tapi…mak aku tu….hisyh,susahlah nak cakap!”
“Fea,pujuklah mak kau supaya kau dapat ikut serta.Tak bestlah nanti kalau kau tak ada…tak meriah tau!”

Baru saja Fea mahu membuka mulutnya membalas kata-kata Era,telefon bimbitnya yang terselit dalam poket seluar jeansnya berbunyi nyaring.Era memanjangkan lehernya melihat ke arah kocek seluar Fea.Fea cepat-cepat melihat skrin telefonnya.Era angkat kening."Siapa? Mak kau?" Fea angguk."Jawablah!" Fea tidak membuang masa lalu menekan punat berwarna hijau di telefon bimbitnya."Hello...." belum sempat Fea memulakan bicara,kelihatan riak wajahnya sudah berubah.Seolah-olah riak seseorang yang kena leter.Era di depan sudah tersengih-sengih.

Sebaik saja talian dimatikan,Era pantas bertanya.Sibuk nak tahu mengalahkan Mak Cik Dora sebelah rumah Fea saja!
"Alamak,Era.Aku kena balik sekaranglah.Mak aku dah bising tu.Lagipun malam ni kan aku kena pergi rumah Tok Saif dengan dia.Ni hah,dia suruh aku pergi supermarket belikan buah sebagai ole-ole untuk Tok Saif."
"Lah....siap ole-ole bagai."

"Nak buat macam mana,mak aku punya arahan daaa...okeylah,aku chiao dulu.Apa-apa aku calling-calling kau!" ucap Fea kelam kabut bangun dari kerusi."Woi,kau main blah macam tu je?Habis duit air ni siapa nak bayar?!" jerit Era sebaik Fea melangkah keluar dari kedai mamak."Kaulah bayar! Kau yang habiskan air aku tadi,kan?!" balas Fea sambil kenyit mata pada Era.Era mengeluh.Ceh! Dengan kawan sendiri pun nak berkira.

++++++++++++++

Selesai makan malam berlaukkan ayam panggang black pepper,gulai udang galah dan daging masak hitam,Tok Saif segera mengajak Lia Sari dan Fea ke ruang santai berdekatan kolam renang yang terletak di belakang banglo tiga tingkat yang mewah itu.Sesekali mata Fea mengalihkan pada kolam renang yang berkocak sekali sekala apabila ditiup angin.Beranganlah tu! Mesti dia berangan yang dia sedang mandi manda dalam kolam renang tu bersama kekasih hati.

"Fea...kau dengar tak ni?" tanya Tok Saif.Sudah dua tiga kali pertanyaan itu diulang namun Fea masih tidak memberikan respons."Huh,berangan lagilah tu.Kejap ye Pak Lang." ujar Lia Sari kepada Tok Saif.Dia tahu mesti ada sesuatu yang Fea fikirkan."Fea!" jerit Lia Sari betul-betul dekat telinga Fea.Terkejut beruk dibuatnya.Hampir saja tubuhnya mahu tergolek dari kerusi santai.Silap-silap haribulan mahunya dia pergi terjun dalam kolam renang.Fuh semangat!

"Ya Allah,mak ni! Cakaplah pelan-pelan sikit.Ingat Fea pekak ke?" marah Fea sambil menggosok telinganya yang dirasakan kembang kempis akibat jeritan emaknya sebentar tadi.Tok Saif sudah ketawa gelihati.Lelaki itu menggeleng melihat gelagat cucu saudaranya yang macam orang hilang laki."Kalau kau tak pekak,yang dari tadi Tok Saif panggil kenapa tak jawab?"

Fea buat muka bodoh sambil sengih.Dia garu kepalanya lalu menepuk dahi."Lah,yang tadi tu suara Tok Saif ke?Ingatkan suara prince charming mana tadi.Itu yang dok berfantasi di bulan madu sekejap!" Fea ketawa.Tok Saif menggeleng."Hisyh,kau ni Fea! Tak habis-habis merepek saja kerja kau! Tapi betul ke suara Tok Saif macam prince charming?Wah kira bergetah lagilah suara aku ni ye?" Tok Saif ketawa.Begitu juga dengan Fea.

"Huh,yelah tu Pak Lang.Dengarlah cakap Fea ni.Mengarut je.Prince charming lah,putera kataklah.Berangan je kerja dia.Ini tak lain tak bukan mesti berangan nak kahwin dengan anak raja.Mak rasa,bukan anak raja yang kau kahwin nanti tapi Rajakali a/l Maniam." perli Lia Sari.Fea sudah tarik muka.Masam,kelat dah macam kopi basi saja.

"Sudah-sudahlah tu.Tok Saif suruh kau berdua datang ni nak cerita pasal majlis sambut kepulangan Arfa nanti.”ucap Tok Saif sambil membetulkan duduknya di kerusi.
“Hah,macam mana Pak Lang? “Lia Sari yang begitu teruja menyoal.”Pak Lang nak buat majlis yang macam mana?Maksud Sari,majlis yang besar ke,sederhana ke atau kecil-kecilan saja?”

“Arfa sekeluarga dah lama tak balik sini,jadi rasanya lebih elok kalau kita buat majlis besar.Aku fikir nak jemput semua saudara mara kita.Kau tolong buat senarai nama saudara mara kita ya Sari.”

“Hah,ramainya Tok Saif.Takkan nak jemput semua?Dah macam nak buat kenduri kahwin saja.”tutur Fea laju.Lia Sari menjeling pada Fea yang sudah mencelah.”Biarlah.Tok Saif nak jemput semua saudara mara kita.Apa salahnya.Lagipun,mak rasa elok juga tu sebab boleh kita semua berkumpul ramai-ramai.Dah lama tak berjumpa,kan Pak Lang?”
Fea mencebik.Yelah mak.Sukalah tu,kan mak?

Bersambung...



No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...