Monday, 7 March 2016

Tolong Bagi Hati Awak 2



“Pak cik Meon,tolonglah jangan buat kami macam ni.Bagilah kami sikit masa untuk kami cari tempat baru,”mohon Tsania bersungguh-sungguh ketika lelaki tua yang sudah berusia lingkungan umur lima puluhan itu mula mengangkat barang-barang di dalam rumah itu lalu diletakkan di luar.Pak Cik Meon menggeleng kepala keras menentang permintaan Tsania.

“Pak Cik Meon,kami janji yang kami akan bayar sewa rumah ni bila kami dah dapat gaji.Saya janji yang saya akan selesaikan semuanya sekali tapi tolong bagi masa sikit aje lagi.Tolonglah…”kali ini Imanina pula yang membuat rayuan dengan menayang wajah penuh mengharap.

Bimbang juga melihat wajah orang tua itu.Masam mencuka.Masuk bulan ini dah genap tiga bulan mereka gagal melangsaikan sewa tertunggak kepada Pak Cik Meon,pemilik rumah yang mereka diami sekarang.Sebelum ini pun ada juga sekali dua mereka terlewat bayar tapi tak adalah orang tua ini buat perangai macam ni.Entah apa kenanya angin Pak Cik Meon,tahu-tahu saja rempuh masuk ke dalam rumah sesuka hati seakan mahu mengamuk.

“Aku dah beri peluang banyak kali pada kau orang...dah banyak beri muka pada kau orang tapi apa yang kau orang dah buat?Ambil kesempatan ke atas aku.Masuk bulan ni dah tiga bulan kau orang tak bayar sewa rumah pada aku tahu tak?Dah,aku tak kira!Sekarang….aku mahu kau semua keluar dari rumah aku ni!”keras suara Pak Cik Meon.Anak matanya menikam tepat ke mata Tsania dan Imanina.Kemudian,kedua-dua gadis itu saling berpandangan sesama sendiri bagaikan mencari akal bagaimana mahu memujuk Pak Cik Meon.

“Tolonglah Pak Cik jangan buat kami macam ni.Saya rayu sangat-sangat…kalau kami keluar,ke mana kami nak tuju?Kami tak ada tempat untuk menumpang lagipun kami memang tak ada duit sekarang.Bagi masa sikit pada kami untuk selesaikan duit sewa rumah,” rayu Tsania lagi mencuba nasib.Manalah tahu kalau-kalau orang tua ini mahu bertimbang rasa.

“Itu bukan masalah aku.Sekarang ni aku mahu kau semua keluar dan bawa barang-barang ni sekali.Aku dah tak boleh tengok muka kau semua dalam rumah aku ni.Kau fikir rumah aku ni tempat kebajikan ke apa?Nak duduk free aje…kalau tak mampu nak bayar jangan disewa rumah ni…dah…dah…kau berambus aje dari rumah ni sebab petang nanti ada penyewa baru nak masuk ke sini!”tegas Pak Cik Meon lagi.

Muka masing-masing dah cemas.Panik mendengar ketegasan kata-kata Pak Cik Meon.Namun mereka semakin panik melihat kemaraan Pak Cik Meon menuju masuk ke dalam bilik mereka sebelum keluar dari situ dengan membawa beberapa buah beg dan selonggok pakaian.Beg-beg dan longgokan pakaian dicampak keluar dengan rasa bengang.

“Ini caranya nak mengajar orang macam kau semua!”tengking Pak Cik Meon dengan muka bengis.

“Pak Cik Meon,apa yang pak cik buat ni?”jerit Tsania geram sambil mara ke arah lelaki tua itu.Sifat sabarnya sudah semakin menipis bila melihat lelaki itu mahu masuk ke dalam bilik mereka lagi.

“Kau jangan banyak bunyi.Sekarang ni kau angkat semua barang-barang kau keluar dari rumah aku kalau kau tak nak aku campak keluar!”

“Tolonglah faham,pak cik.Saya dah cakap tadi yang saya akan selesaikan semuanya lepas saya dapat gaji.Janganlah kejam sangat!”Imanina melepas geram setelah Tsania diherdik tadi.

Namun tanpa disangka-sangka,lengannya ditarik kasar ke arah pintu lalu tubuhnya ditolak keluar.Sikit saja lagi Imanina hampir tersungkur ke lantai,mujurlah dia sempat mengimbangi badannya dan berpaut pada pintu pagar besi.

Selang beberapa minit,tubuh Tsania pula yang ditolak keluar dengan kasar sehingga merempuh tubuh Imanina.Seketika,kedua-duanya tergolek ke atas lantai koridor.Beberapa barang turut dicampak ke arah mereka oleh Pak Cik Meon tanpa perasaan belas.

“Sampai hati pak cik buat kami macam ni.Mana belas ihsan pak cik sebagai seorang manusia?”teriak Tsania sambil merembeskan air mata.Sedih bila orang tua itu memperlakukan mereka macam manusia tak ada hati dan perasaan.

“Dengan kau orang,aku punya belas ihsan dah habis!”mata Pak Cik Meon membulat.

“Aku bagi amaran pada kamu berdua.Jangan memandai-mandai masuk balik ke dalam rumah ni.”jeda.

“Mana kunci rumah?Bagi pada aku sekarang!”teriaknya mula nak menggila.Tangan dihulur ke arah Tsania dan Imanina tapi kedua-duanya kaku sendiri.

“Dah pekak ke?Mana kunci rumah?Bagi pada aku!”
Terketar-ketar Imanina mengeluarkan kunci dari dalam poket seluarnya setelah dia bangkit tapi belum sempat nak menghulurkan gugusan kunci pada Pak Cik Meon,teguran satu suara mematikan tindakannya.

“Apa hal ni?”spontan kesemua mereka yang berada di luar rumah memalingkan kepala ke arah Merah yang sudah tercegat beberapa meter dari situ.
Merah pandang wajah Imanina dan Tsania serta Pak Cik Meon silih berganti.Mata sempat menjeling ke arah barang-barang yang dah berselerak di luar rumah.Muka bengis Pak Cik Meon dia tekur cermat.

“Apsal ni Pak Cik Meon?Ada apa?”soalnya mula mendekati.Hati mula berdebar-debar semacam.Riak wajah tuan rumahnya nampak tegang.Tak mesra alam langsung.

 “Berani kau tanya ada apa?Hah,duit sewa rumah bila nak bayar?Dah tiga bulan tertangguh…kau ingat aku ni pusat kebajikan ke apa sampai nak kena tampung hidup kau orang semua?Kau orang ni memang tak sedar dek untunglah.Dah bersusah payah aku bagi rumah untuk dijadikan tempat berteduh,kau semua pijak kepala aku.Sudah,sekarang ni kau semua berambus dari rumah ni!Aku tak nak tengok lagi muka kau semua di sini.Faham?”ulang Pak Cik Meon seperti tadi.Tangan diletakkan di sisi pinggang dan menayang muka menggerunkan tetapi sedikit pun Merah tak rasa takut.

‘Ewah-ewah orang tua ni…cakap ikut sedap mulut aje!Tak pakai insurans ke apa?’Merah rasa nak kasi makian percuma saja pada Pak Cik Meon.Tak apa...tak apa...semua masalah pasti ada jalan penyelesaian.Masalah dengan Pak Cik Meon ni,pasti akan selesai kalau kena cara berunding.

“Nanti dulu Pak Cik Meon.Hal ni kita boleh bawa berbincang.”

“Nak berbincang apa lagi?Nak tambah hutang pada aku?Eh,tak payah.Semak aku tengok muka kau orang sekor-sekor kat sini.Aku kasi kau orang sewa rumah aku ni sebab nak duit,nak senangkan hidup dan tanggung anak bini aku.Tapi kerana kau orang bertiga,tak pasal-pasal aku kena bela biawak hidup!”sinis Pak Cik Meon.

“Pak cik…rendahkan sikit suara tu.Malu jiran-jiran tengok,”tegur Merah.

“Oh,malu dengan jiran-jiran?Habis yang kau tak bayar sewa tiga bulan tu tak ada pula rasa malu?Kau fikir aku ni suka buat amal jariah dengan bagi kau orang duduk percuma ke?Kau orang tu sepatutnya sedar diri.Masa kau orang kat rumah anak-anak yatim dulu,cikgu kau orang tak ajar ke supaya jangan menyusahkan orang?Memang dasar anak tak ada mak bapak!”

Gedebuk!

Tubuh Pak Cik Meon semerta terlayang ke belakang sebelum mencecah lantai rumah.Segigih mungkin dia cuba buka mata dan bangkit namun kepalanya terasa berat seperti ada bintang-bintang yang sedang berpusing dan menari riang di atas kepalanya.

Belum pun apa-apa,dia sempat menangkap susuk tubuh Merah yang semakin mara ke arahnya sehingga mukanya terasa pedih.Jeritan nyaring terlepas keluar dari mulut sambil menekup kepala semata-mata untuk mengelak diserang oleh Merah yang jelas-jelas sedang meletakkan buku limanya ke tubuh dan mukanya.

Perasaan Merah kacau bilau.Seperti dia sedang kerasukan setelah mendengar sebaris ayat Pak Cik Meon tadi.Angin betul!

“Kak Merah,sudah!”jeritan dan amaran Tsania dan Imanina yang berjaya menghalang Merah daripada meneruskan acara ‘mengajar’ Pak Cik Meon membuatkan Merah tersentak.Mungkin baru tersedar dari kerasukan.Tubuh kecilnya diheret menjauh.

“Ya Allah,Kak Merah.Sabarlah,kak!”pujuk Tsania.

“Nak sabar macam mana?Orang tua ni kurang ajar.Kau tak dengar apa yang dia cakap tadi pasal kita?Biar aku kasi flying kick pula ke kepala dia.Mulut macam longkang!”tengking Merah membara.Berombak-ombak dadanya menahan amarah.

“Jangan buat hal dengan Pak Cik Meon,kak.”bisik Tsania masih cuba menenangkan Merah.

“Ah,dia yang buat hal.Dia fikir kita ni apa?Anak ayam yang boleh dihalau sesuka hati?”Merah sudah menyinsing lengan baju kurungnya sehingga ke siku.Nafasnya menderu laju,dadanya nampak berombak-ombak sedang menahan gelora rasa yang membukit di hati.Memang tak puas hati dengan Pak Cik Meon.Nama saja orang tua tetapi mulut macam longkang!

“Agaknya,tak ada sesiapa yang ajar dia sebelum ni.Sebab tu mulut busuk mengalahkan bangkai!”ingin saja dia mara ke arah Pak Cik Meon yang sedang terkial-kial bangun tapi tubuhnya ditarik lagi oleh Tsania.

“Kak Merah,sudah!Memang salah kita pun sebab tak bayar sewa rumah.”

“Ah,peduli apa aku!Kalau kita tak bayar sewa sekali pun,dia tak ada hak buat kita macam ni.Dia fikir dia mulia sangat ke sampai nak halau kita macam pengemis?Dah tu selamba aje menghina kita macam kita tak ada harga diri pula.Eh,aku tak hairanlah orang macam ni!”maki Merah lagi melepas rasa.Geram sungguh dia.Melihat wajah Pak Cik Meon,terasa ingin saja dia lumat-lumatkan wajah tua itu.Tak padan dengan umur!
Sakit hati Merah makin bertambah-tambah bila tragedi di luar tadi berulang seperti pita perakam di fikirannya.Ah,kenapa semua lelaki yang ada di muka bumi ni memang berperangai macam hantu?Tak ada ke yang baik dan berhati mulia?

“Tak guna punya budak!Kau nak bunuh aku ke?”Pak Cik Meon menyeringai sambil memegang kepala.Tubuhnya terhuyung hayang.Namun dalam masa yang sama dia rasa marah dan bengang kerana maruahnya telah diinjak-injak oleh gadis ini.Tak sangka betul,gadis yang dia anggap sopan dan lemah lembut ini boleh bertindak sejauh ini ke atasnya.Darah yang mengalir di celah bibir membuatkan hatinya berdongkol geram tak sudah.Masaklah dia kalau lepas ni orang bertanya tentang luka di mukanya.Mana dia nak sorok muka?

“Apsal?Nak rasa macam mana aku belasah kau lagi?Kalau berani,cubalah datang dekat!”cabar Merah sambil menayang penumbuknya ke depan Pak Cik Meon.Sikit pun dia tak rasa takut apatah lagi gementar.

“Kurang ajar punya budak!Dulu-dulu tak ada orang ajar kau macam mana nak bercakap dengan orang yang lebih tua ke?Oh,lupa pula.Kau kan tak ada mak bapak.Dasar anak yatim!”maki Pak Cik Meon.

“Oh,kau cakap aku dasar anak yatim ya?Meh sini aku nak tunjuk sikit pada kau macam mana anak yatim macam aku ni ajar orang tua mulut longkang macam kau!”pekikan Merah bergema-gema di sekitar rumah sebelum dia menerpa ke arah Pak Cik Meon.Kali ini Merah sudah tidak peduli.Apa nak jadi pun jadilah.Tubuh kurus lelaki tua itu ditolak sebelum satu tendangan maut dihadiahkan ke perut boroi lelaki itu.Spontan tubuh itu hilang keseimbangan sebelum jatuh menyembah bumi.Pak Cik Meon menjerit kuat mengaduh sakit yang mencucuk-cucuk perutnya.

Sakitlah,bodoh!

Merah mengetap gigi bila terdengar seranah Pak Cik Meon.Dia masih belum puas.Belum sempat sesiapa berkata apa-apa,satu tamparan kuat singgah di kepala Pak Cik Meon yang terkial-kial bangkit dari lantai.Naik pening dibuatnya kepala lelaki itu dek terkena penangan Merah.Nampak saja tubuhnya kecil tetapi penangannya boleh tahan!

“Kau ulang lagi apa yang kau cakap!Aku boleh kasi kau masuk ICU terus!”jerit Merah sehingga menampakkan urat-urat di dahi.Ini kalau tak dihentikan,mahunya masuk kubur terus orang tua ni.

“Kak Merah!”Imanina menjerit,cuba menghalang tindakan Merah.Tubuh Merah ditarik ke belakang dan dipeluk erat-erat oleh gadis itu supaya Merah tidak lagi menyerang Pak Cik Meon seperti tadi manakala Tsania pula cuba membantu lelaki itu bangun.

“Kau tunggu nasib kau!Kau jaga!Aku nak pergi buat laporan polis!”bising Pak Cik Meon ketika dia sudah mula berdiri.Tangannya memegang perut yang senak dengan wajah menyeringai.

“Kau ingat aku takut?!Pergilah buat kalau kau berani!Tak guna punya tuan rumah!Pengecut!Kau tunggulah nasib kau nanti.Allah tu Maha Adil.Kau akan dapat balasan atas kata-kata penghinaan yang kau lempar pada kami.”balas Merah tak mahu mengalah.

Tak guna!”maki Pak Cik Meon ketika melintas di hadapan Merah.Kemudian,dia meludah ke lantai dengan perasaan membara tak sudah.Merah merenung mata Pak Cik Meon tajam.Sedikit pun tak gentar dengan lelaki itu.Dada masih lagi naik turun menahan marah.Penumbuk dikepal kuat tapi tubuhnya dipeluk erat dari sisi oleh Imanina dan mengunci terus pergerakannya.

“Tak guna punya orang tua.Sedap-sedap saja maki hamun orang lain sedangkan perangai dia lagi tak guna.Macam penyangak!Dengan perempuan bolehlah nak tunjuk samseng.Hei,pergi lawan dengan ketua kongsi gelaplah baru tahu langit tu tinggi atau rendah!Pengecut!”teriakan Merah membuatkan Imanina makin mengetatkan pelukannya ke tubuh Merah.Bimbang jika Merah buat tindakan di luar kawalan dan meluru ke arah Pak Cik Meon yang sudah berlalu dan melampiaskan seluruh perasaannya ke atas lelaki tua itu.
Tsania memandang Imanina lama,begitu juga dengan Imanina.Bagaikan keduanya saling bermain bahasa hati sebelum menekur wajah Merah yang masih lagi dalam keadaan marah.

“Kenapa ni…apa dah jadi?” tiba-tiba terdengar suara jiran yang mula menjengah di luar rumah.Tsania memandang Merah dan Imanina berselang seli dengan satu wajah yang tidak pasti.








Friday, 4 March 2016

Tolong Bagi Hati Awak 1

Langkah Merah semakin laju menuju ke sebuah stesen bas tidak jauh di hadapannya.Makin dia mendekat makin dia nak cepat.Mulut comelnya ikut membebel-bebel dan mengomel-ngomel sejak tadi.Habis diselaknya lengan baju kurung yang tersarung di tubuh setelah menghempaskan duduknya di kerusi di stesen bas.

Puas melepas perasaan seorang diri,baru dia tahu berhenti.Penat tiba-tiba bila asyik melepas rasa.Geram!Nasib baik tak ada sesiapa di sini,kalau tidak mesti orang kata dia sewel.

Tudung bawal yang dikenakan di kepala dibetul-betulkan.Wajahnya yang mula rasa membahang dikipas-kipas dengan tangan sebelum melepaskan lelah dan mengah.Mengah kerana dia baru saja selesai membuat acara larian pecut setelah dia keluar dari sebuah syarikat periklanan semata-mata untuk menghadiri temuduga.

“Huh,geram betul aku!Kalau aku jumpa pak cik botak tu kat luar,memang aku starlight kepala dia biar sampai berlubang!”amarah Merah berhamburan entah untuk kali ke berapa.
Mengingati semula tragedi tadi buat hatinya panas membahang.Semuanya bermula sebaik sahaja dia melangkah masuk ke bilik temuduga.

“Merah Binti Abdullah?”soalan si lelaki penemuduga seraya bangkit mendekati Merah yang sudah awal-awal dipersilakan duduk membuatkan Merah mengangguk.Seketika,dia melabuhkan duduknya di atas meja betul-betul di hadapan Merah sambil mencuit hujung tudung Merah.

“Nama awak cantik,muka awak juga cantik.Boleh cari makan kalau jadi model atau pun pelakon tapi sayang,kain atas kepala awak ni dah selindung kecantikan awak,”senyuman senget terukir membuatkan Merah terkedu.

“Saya berminat untuk tawarkan awak satu jawatan istimewa dengan gaji lumayan,”sambungnya lagi.
“Err...tapi encik,saya datang untuk temuduga jawatan Eksekutif Pemasaran.”

“Saya rasa jawatan tu tak sesuai dengan awak.Sebab itu saya nak tawarkan awak jawatan yang lebih tinggi daripada itu.Bukan setakat itu saja tapi saya akan sediakan keperluan dan kemudahan lain termasuklah rumah,kereta,pakej percutian dan sebagainya.Kalau saya minta awak tanggalkan tudung ni boleh?”entah apa yang merasuk Merah,sepantas kilat dia bangkit bila lelaki ini sudah melebih-lebih dengan cuba menyelak tudungnya.Tangan lelaki itu dipulas kuat sambil menjegilkan mata.

“Saya datang sini untuk temuduga jawatan Eksekutif Pemasaran,bukannya nak temuduga jadi pelacur kelas atasan sampai saya kena buang apa yang sepatutnya menjadi penutup aurat saya.”
Terjerit-jerit si lelaki tadi sambil cuba meminta Merah melepaskan tangannya namun semakin kuat dia menjerit semakin kuat Merah memulas tangannya.

“Sakit ke?”soal Merah sinis.

“Sakitlah.Lepaskan tangan aku!”

Merah tarik senyuman mengejek.

“Encik yang budiman,dengar baik-baik apa saya nak cakap ya.Saya lebih rela jadi penganggur terhormat daripada bekerja satu bumbung dengan orang yang hanya tahu nak mengambil kesempatan ke atas perempuan.Sepatutnya,lelaki macam encik ni jadi seorang pelindung kepada wanita dan bukannya jadi perosak kaum hawa,”dalam masa yang sama Merah kilaskan tangan si lelaki ke belakang dengan sekuat hati sebelum menolak tubuhnya sehingga tersembam ke lantai.

“Kurang ajar!”cemuh si lelaki cuba untuk bangun tapi Merah sudah bersedia untuk angkat kaki.Tombol pintu ditarik tapi masih lagi berani berdiri di muka pintu lalu merenung lelaki itu.

“Kau yang kurang ajar!Dasar jantan miang!”sepantas kilat Merah berlari keluar meninggalkan pejabat itu untuk menyelamatkan diri sebelum apa-apa perkara buruk terjadi.

Ya Allah,apa nak jadilah dengan manusia zaman sekarang?Pantang ada peluang,semuanya nak dibuat sesuka hati.Kalaulah ada sepuluh syarikat yang ada penemuduga seperti lelaki tadi,mahunya aku tak kerja sampai ke tua.Asyik nak menggatal saja.Dah macam tak ada benda lain nak dibuat.Rumah kata pergi,kubur kata mari.Tak padan dengan tua,muka berkedut,kepala botak,perut pun buncit.Tak sedar diri betul!Nasib baik aku tak terajang saja perut buncit dia tu biar sampai masuk hospital.Kalau tak masuk hospital,masuk kubur terus!Huh!

Merah tersentak bila terdengar bunyi hon dari sebuah teksi yang baru berhenti betul-betul di hadapannya.Lama dia merenung sebelum tingkap teksi tadi diturunkan.Seorang lelaki separuh umur menjerit-jerit memanggil-manggilnya,siap buat lambaian dan menggamitnya agar Merah menaiki teksinya.Tapi Merah terus gelengkan kepala.Ingatannya pada si penemuduga gatal tadi buat dia rasa cuak.

“Nak ke mana dik?”

“Tak ke mana-mana.”

“Tak nak naik teksi abang ke?Cakap saja nak ke mana,abang boleh hantarkan.”
Merah tayang muka meloya.Abang?Heh,pak cik oi...awak tu dah separuh abad dah.Tak payah nak berabang-abang sangatlah!bebel Merah dalam hati.Makin kerap dia jumpa orang lelaki,makin dia panas hati.Hisyh,apsal entah dalam dunia ni,lelaki kalau pandang perempuan mesti nak menggatal.Dah tak ada lelaki budiman dalam dunia ni ke?Dah pupus agaknya?

“Tak apalah pak cik,saya tunggu ayah saya.Kejap lagi dia datang,”bohong Merah.Senang cerita.Ini kalau dia jawab betul-betul,mahunya panjang berjela lagi ayat yang keluar dari mulut pemandu teksi ni.

“Eh,tadi cakap tak ke mana-mana?Macam mana pula boleh nak tunggu ayah?Jomlah!Abang janji abang tak caj mahal-mahal.Harga berpatutan!”teriaknya lagi,cuba memancing.

Merah mengecilkan mata.Nak saja dia cabut kasutnya dan baling ke arah pemandu teksi yang tak faham bahasa ini.Dah terdesak sangat ke apa nak orang naik teksi dia?Orang cakap tak nak tu maknanya tak naklah.Nak cakap guna bahasa apa untuk buat dia faham?Bahasa Zimbabwe?Bahasa Eskimo?Atau bahasa tarzan?Jerit bagi satu dunia dengar.

Baru nak bangkit,matanya terpandang ke arah seorang wanita tua yang baru saja tiba ke situ dan semerta atas kepalanya muncul mentol sedang menyala-nyala dengan terangnya.Tanpa fikir panjang,buru-buru dia mendekati wanita tersebut dan memimpinnya ke arah teksi tadi.

“Pak cik,tolong hantarkan mak cik ni ke destinasi.Tak caj mahal-mahal,kan?”Merah menyengih.Pintu teksi dah bertutup rapat selepas saja wanita tadi duduk di kerusi belakang.Merah sempat tersenyum dan buat lambaian ala-ala ratu kebaya kepada lelaki pemandu teksi sebelum mengetuk dua kali bontot teksi sebagai isyarat meminta teksi itu berlalu.

“Manusia...manusia...”Merah gelengkan kepala setelah kelibat teksi menghilang.

“Apa aku nak buat ni?Nak tercongok sampai malam kat sini ke?”wajahnya diraup sekali dua sambil melepas nafas berat.Semerta tekaknya dipegang.

“Hauslah pula,”ujar Merah dan sudahnya dia membuat keputusan untuk membeli air bagi menghilangkan dahaganya.

Elok membeli sebungkus ais kosong,Merah mengatur langkah melewati lorong-lorong kecil di belakang kedai.

Hampir terjerit dibuatnya bila dengan tiba-tiba saja ada seorang lelaki datang ke arahnya dalam keadaan tak terurus dan seperti berkhayal.Orang mabuk mungkin.Buru-buru dia atur langkah keluar dari situ dan mempercepatkan langkahnya.Terbayang-bayang rumahnya yang tidak berapa jauh dari situ.Cadangnya,sesampai saja di rumah dia mahu melepaskan segala lelahnya dengan tidur.Mungkin itu adalah terapi paling baik buat masa ini.Lagi pun,dia tak ada selera untuk menjamah makanan.Seleranya dah mati agaknya bila macam-macam perkara terpaksa dia hadap dalam masa satu hari.

Macam-macam yang terpaksa dia fikirkan.Di mana mahu mencari kerja,macam mana nak teruskan kelangsungan hidup di ibu kota yang kosnya sangat tinggi,bagaimana mahu melangsaikan hutang piutangnya.Kalau fikir,sampai tahun depan agaknya takkan habis.

Flat tempat tinggalnya sudah nampak di depan mata.Sempat lagi dia menegur jiran-jiran yang sedang bersidai di tepi tembok ketika dia memanjat anak-anak tangga sebelum membelok masuk ke koridor menuju ke rumahnya.Ais kosong yang masih bersisa segera dihabiskan sebelum mencampakkannya ke dalam tong sampah berdekatan.

Sesampai saja di tingkat tiga yang menempatkan rumah sewanya,Merah termengah-mengah melepas lelah.


“Ya Allah,akhirnya!”sorak Merah.


Saturday, 7 March 2015

Mr Stalker...Saya Cintakan Awaklah! 25



RANCANGAN televisyen yang tidak begitu menarik perhatiannya membuatkan Nilla berlalu saja ke tingkat atas.Niat nak lepaskan lelah di depan tv tapi satu apa pun tak mampu dia hadam.Teringat lagi pada kejadian siang tadi.Zein Asyraff heret tangannya konon-konon nak pulangkan balik rantai dia yang tercicir masa di butik jika dia ikut lelaki itu ke sebuah restoran.Dalam masa sejam lebih melepak di sana tenung muka selamba Zein Asyraff,lelaki itu hantarnya pulang ke butik tanpa pulangkan rantai.Tak sempat dia nak cakap apa-apa,lelaki itu terus berlalu begitu saja.

Siapa yang tidak angin bila kena tipu hidup-hidup macam tu?

Spontan Nilla humbankan dirinya ke atas katil dan menarik bantal lalu menumbuk-numbuk padu beberapa kali ke situ sambil membayangkan muka Zein Asyraff.Kalaulah benar yang Zein Asyraff sedang berada di depannya,habis mamat tu dia kerjakan.

Dia tak tahulah apa salah yang dia buat pada lelaki itu sampai hari-hari datang kacaunya di butik.Nak buat kerja pun tak senang.Balik-balik tayang muka yang perasan macho tu depan dia.

Nilla melepas lelah yang tiada kesudahan.Penat.Makan malam tadi pun dia tak berapa nak berselera.Tak dapat perutnya nak hadam makanan lepas fikir pasal rantai tangan kesayangannya yang diberi seseorang.Seseorang yang dia rindu dan sayang sangat-sangat!
Setelah penat berfikir akan kesudahan Sinetron antara dirinya dan Zein Asyraff yang masih tak tahu hujung pangkal,Nilla baringkan tubuh ke tilam tapi mata masih terkebil-kebil pandang siling.Lima minit merenung nasib sendiri,telefon bimbitnya yang sedang dicaj berbunyi nyaring.

Dicapai setelah mencabut plug lalu dilekapkan ke telinga malas-malas.Malas nak tengok skrin,dah tahu siapa yang telefon malam-malam macam ni.Tak lain tak bukan majikan kesayangan.Mesti ada apa-apa yang nak dipesannya.

Hello.”

Hai,pretty lady!Belum tidur?”
Nilla bingkas bangkit dari tilam dengan muka tercengang.

Macam mana...”

Surprise!”pertanyaan Nilla yang mahu menyoal bagaimana jejaka di talian boleh mendapatkan nombor telefonnya pantas dipintas sebelum bersorak ceria.

Surprise kepala hotak awak!Dah tak reti tengok jam pukul berapa dah?”tengking Nilla mendadak.Sakit hati tak habis sekarang bersambung dengan sakit telinga dengar suara Zein Asyraff di talian.

Whoaaa...malam-malam pun masih garang ya?”

Suka hatilah.Awak call saya malam-malam ni ada apa?Dah tak boleh tunggu siang?”

Oh,kiranya I boleh call you waktu siang ajelah ya?Anytime?

Hisyh,cakaplah nak apa?Sebelum saya putuskan talian.Atau awak nak saya putuskan kepala awak yang tak betul tu?”
Zein Asyraff ketawa besar.
Nilla raup muka.Berbulu pula telinga dengar mamat ni gelak.

Kalau I cakap I nak you?”
Nilla dah siap telan liur.Muka berubah pucat.Bercakap dengan Zein Asyraff,dia sendiri boleh hilang modal tapi dia tak tahu kenapa setiap kali bertekak dan bertelagah dengan lelaki itu,dia tak boleh berhenti sedangkan dia boleh matikan talian dan buat tak tahu pada lelaki itu.Hati memberontak nak berbalas kata dan bertikam lidah dengan Zein Asyraff hanya kerana dengan cara itu dia rasa puas hati walaupun hatinya selalu saja sakit.

Tak payah nak jadi romeo sangatlah!Straight to the point lah awak nak apa?”suara Nilla bertukar mendatar.Kali ini dia melompat turun dari katil dan duduk bertenggek di tepi tingkap bilik.Langsir nipis warna ungu diselak.Kepala dilangut menatap wajah langit.Ada bulan terang di atas sana.Bercahaya galak seolah-olah sebuah mentol besar yang menyala.

Yang tadi tu,kira straight to the point lah.I cakap I nak you!”

Hee...jangan nak mengadalah!Awak tak payah nak buat lawak basi.Kes siang tadi pun saya tak lupa lagi,awak jangan nak tambah rasa bengang saya kat awak.Baik awak datang butik esok dan pulangkan rantai saya yang awak dah paw.

Kalau I tak nak?”

Awak tahulah nasib awak macam mana nanti!”ugut Nilla lantang.

You tengah buat apa tu?”tiba-tiba saja Zein Asyraff menukar topik.

Tengah bercakap dengan serigala jadian!”

Whoaaa...patutlah!Bulan tengah penuh kat luar tu.”
Nilla menarik telefon dari telinga dan merenung skrin sekejap dengan muka berkerut.

Nilla,are you there?

Ada ni.Hidup lagi.”

Ingatkan dah kena baham dengan serigala jadian.”

Pleaselah,serigala jadian tu dah nak putus leher kena libas dengan saya.”

Ganas eh?”Zein Asyraff ketawa singkat sebelum menyambung bicara.

You tengah buat apa?Tengah renung bulan penuh kat luar sana ke?”
Tebakan Zein Asyraff itu membuatkan Nilla mencebik.Macam tahu-tahu saja dia sedang bertenggek di tepi tingkap sambil pandang bulan kat langit.

Kenapa?Salah?Ada masalah ke?”

You nampak tak?Bulan tu tengah senyum kat you?”

Pffttt...jangan nak merepeklah!”

Tak...cuba you tengok.Cantik,kan?”

Tak pasal-pasal mata Nilla dihala ke luar dan tenung bulan yang jelas bergayut di langit melalui tingkap bilik.Terhanyut sebentar dengan alam ciptaan tuhan.

You nampak tak cahaya yang berkelip-kelip tu?”soal Zein Asyraff lagi.
Hah?”
Tu...yang dekat dengan bulan tu?”
Nilla melingas melihat ke atas.Tapi baru perasan yang dia sebenarnya sedang dipermainkan.

You such a...”

What?You nak cakap I apa?”

Urghh!”Nilla hentak kaki.Tak tahulah apa masalah mamat ni.Asyik nak kenakannya.Tapi dia pula boleh melayan mamat stalker ni malam-malam begini.Macam dah tak ada benda nak buat dah agaknya Nilla oi!

Dahlah,awak pergi tengok bulan tu sorang-sorang.But I'm warning you Mr Stalker Paparazzi!Jangan pandai-pandai nak telefon saya lagi.Awak buat juga,saya mandrem awak melalui bomoh siam.Ingat tu!”

Belum sempat Zein Asyraff balas apa-apa,Nilla dah siap-siap matikan talian.Puas.Semerta tersungging satu senyuman di bibir sebelum kembali melemparkan tubuhnya ke katil.Lega.

Padan muka kau!”cebiknya.Telefon diletak kembali ke atas meja.Selimut dia tarik sampai ke dada.Lampu kecil di tepi katil ditutup membuatkan kawasan biliknya gelap.

Tit! Tit! Tit!

Nilla buka mata.Rasa nak buat amukan balik ni.Tadi dah bagi amaran jangan telefon,ini dia main hantar SMS pula dah!

Esok pukul 1 tengah hari I jemput you di butik.Kita lunch sama-sama.You wajib ikut I…itu pun kalau you nakkan rantai tangan you semula.

Mencerlung anak mata Nilla menatap skrin telefonnya.Bibirnya mengetap sekali lagi.Isyh,tak guna! Berani betul mamat stalker ni ugut aku?!

Fine!

Nilla hantar satu SMS semula pada Zein Asyraff seakan cuba mengangkat bendera putih.

Good.See you tomorrow beautiful!Sweet dream.Jangan lupa mimpikan I :)

Balasan SMS Zein Asyraff nyata membuatkan Nilla campak terus telefon bimbitnya ke atas katil sebelum menyembamkan wajah ke bantal dengan perasaan yang berdongkol geram.Dadanya berdetak hebat.Ingatannya mula singgah semula pada kejadian tengah hari tadi.

Arghhh!Stress nya!’pekik Nilla dalam hati sambil mencapai bantal lalu menekup telinganya rapat-rapat.

I'M warning you Mr Stalker Paparazzi!Jangan pandai-pandai nak telefon saya lagi.Awak buat juga,saya mandrem awak melalui bomoh siam.” Ingatan pada amaran yang Nilla berikan padanya sekejap tadi buat dia tersengih-sengih.

Comel dan manis tapi garang dan susah nak dapat!”bisiknya sendiri.
Wajah bulan yang boleh dilihat di luar balkoni biliknya ditinggal sendiri.Bilik dimasuki semula lalu menghempas tubuh ke katil.Siap buat golekan ke kiri kanan dengan bahagia lagi.Suara Nilla tadi masih kuat bergendang ke telinga sampai terasa nak bawa masuk ke alam mimpi.Mata masih terkebil-kebil.Tak boleh nak lelap.Serentak dia capai rantai tangan Nilla yang terselit di dalam laci berdekatan dan tenung sampai puas hati.

Thanks sebab dah jadi penyebab untuk aku lemparkan pancing sekali lagi.”tak pasal-pasal rantai milik Nilla dicium bertalu-talu.

Satu hari nanti you akan makan juga umpan yang I lempar,Nilla.”tekan Zein Asyraff sungguh-sungguh sebelum bangun mendapatkan kameranya.Gambar-gambar Nilla yang masih tersimpan kemas dalam kameranya dibelek satu per satu bagai nak terkeluar biji mata.Tak membuang masa,dia pindahkan saja gambar-gambar Nilla ke dalam laptop dan tenung lagi sehingga tak sedar yang waktu dah terlalu lama berlalu.

Wajah manis itu menghiasi ruang mata,ruang jiwa dan kini dah menyerap masuk ke dalam hatinya.Ah,adakah ini yang dikatakan cinta?Atau perasaan angau?

Zein Asyraff tersenyum sendiri.

Pandang wajah manis Nilla yang berselendang dengan pelbagai fesyen dan corak di dalam gambar,buat dia yakin yang hatinya memang dah cair dan jatuh cinta dengan gadis itu.Baginya,Nilla adalah satu-satunya perempuan yang dah berjaya mengetuk pintu hatinya yang dah lama beku.Berilah berapa banyak model cantik serta selebriti jelita di luar sana,Nilla tetap menjadi pilihan.Nilla tetap yang indah di matanya.Nilla tetap yang paling sempurna di hatinya biarpun gadis itu garang macam singa.

Sikap you yang jual mahal ni yang buat you nampak mahal di mata I,Nilla!”wajah Nilla yang dah jadi wallpaper dalam laptop diusap penuh kasih sayang.Cuba membayangkan yang dia dan Nilla duduk bersanding berdua di singgahsana cinta.Di atas pelamin nan indah dengan memakai pakaian bak putera dan puteri raja.Indahnya dunia!

You tak mandrem I pun tak apa Nilla sebab you dah berjaya buat I 'gila' pada you.Gila sangat-sangat!”bisik Zein Asyraff dengan sepenuh hati dan tangan masih lagi tak lepas usap skrin laptop.


PINTU kaca butik diketuk agak kuat sebelum membuat lambaian dengan wajah ceria macam badut yang selalu buat persembahan di depan kanak-kanak bawah umur.Muka ceria terlebih gula!

Ah,dia datang dah!”Nilla ketap bibir sambil menjeling halus bila wajah ceria Zein Asyraff menerpa ruang mata.Dia yang sedang sibuk membetulkan baju-baju yang bergantungan di bahagian hadapan butik menjeling tajam.

Hai.”

Bosanlah!”balas Nilla lalu berjalan kalut mendekati Taylor Swift dan geng seangkatan dengannya yang dah bertukar baju.

Tangan patung Demi Lovato yang belum dipasang semula selepas tertanggal akibat aksi ganasnya semalam dicapai tanpa menghiraukan kehadiran Zein Asyraff.

Demi...Demi...apsal kau ni degil sangat?Kan dah putus tangan kau!”cebik Nilla memandang wajah Demi Lovato.Kepala patung itu ditepuk perlahan sebelum berusaha memasang tangannya yang agak ketat.Tapi kehadiran Zein Asyraff tanpa suara di sisinya membantutkan segala kerjanya.Terasa terganggu.

Demi,please be nice to me.Aku tak ada mood nak entertain kau ni.Boleh tak bagi kerjasama?”Nilla membebel seorang diri.Menyindir Zein Asyraff dalam diam.

Okey,suka hati kaulah!”bentak Nilla melepaskan tangan Demi Lovato.Semerta bunyi tangan itu bergolek menggamit rasa lucu di hati Zein Asyraff.

Nilla dah siap hentak kaki dan mahu berlalu.

Eh,ada orang hilang tanganlah.Err...ada siapa-siapa kat sini yang hilang tangan tak?I found one!”jerit Zein Asyraff pura-pura meliarkan mata ke sekeliling sambil kutip tangan yang tergolek tadi.Kemudian dia letakkan tangan Demi Lovato ke atas bahu dan berlalu mendekati Nilla yang dah berjaya melarikan diri ke kaunter.

Nilla,ni tangan you ni tertanggal.Tak nak pasang balik ke?Atau nak I bawa balik?”tangan tadi Zein Asyraff letakkan ke hadapan Nilla di atas meja kaunter sambil tersengih-sengih.
Nilla pandang wajah Zein Asyraff macam nak terkam.Tangan Demi Lovato di depan mata dia tarik sebelum menghempas-hempas kasar tanda protes dengan wajah mencuka.

Isyh,masamnya muka!Cuba senyum sikit!”

Nilla jeling tajam.

Okey...okey...I gurau aje.Sorry ya?”

Berapa kali saya nak beritahu awak?Kalau nak gurau pergilah surau!”

Kenapa surau?Masjid tak boleh ke?”pertanyaan ala-ala bodoh selamba yang dituturkan oleh Zein Asyraff memang keterlaluan bagi Nilla.Berdesup dia meninggalkan Zein Asyraff dan kembali mendekati Demi Lovato lalu memasangkan tangan yang tertanggal.Puas bertungkus lumus,akhirnya lengkap juga patung Demi Lovato.

Muka kau ni,aku dah muak tengok Demi!Menyampah!Tapi nak buat macam mana,dah si Lulu suka sangat dengan kau.Aku pasrah ajelah!”kepala Demi Lovato dicuit dua tiga kali.

Kalau ya pun bengang dan marah dengan I,janganlah sampai jadikan patung ni bahan melepaskan perasaan.”celah Zein Asyraff.

Okey,I minta maaf.”akhirnya Zein Asyraff mengalah.Tak sampai hati nak biar perasan Nilla kacau bilau kerana dia.Tak senang hati melihat wajah mencuka gadis kesayangannya itu.

Dah tak ada perkataan lain nak cakap?”sinis Nilla.

I love you,okey tak?”

Ni I love you awak!”penumbuk kanan disua ke depan muka Zein Asyraff.

Okey...okey...I gurau ajelah.Garang sangat ni kenapa?Makan apa?Tebuan?”
Zein Asyraff tergelak.

You belum lupakan janji kita hari ni?Our second date?

Bila masa saya buat janji?Jangan mengarut boleh tak?”

Oh,tak eh?Maksudnya you tak naklah barang you tu?Kiranya I bolehlah simpan sebagai koleksi peribadi.”

Kata-kata Zein Asyraff benar-benar membuatkan Nilla terjerat.Tak boleh nak lari lagi dah.Balik-balik dia juga yang terkena.Muka mula nak merah.Kepala rasa panas.Ikut hati nak saja dia cabut semula tangan Demi Lovato dan baling ke muka Zein Asyraff.Biar puas hati!

Awak ni memang nak mencari nahaslah!Saja nak buat saya marah!Suka sangat tengok saya mengamuk!Awak nak saya pancung kepala awak ke,hah?”teriak Nilla seakan mahu menerkam.

Amboi,dari luar sana lagi dah dengar bising-bising.Ni apa kes?Ribut taufan dah menyerang ke apa?”tiba-tiba Lulu mencelah dari arah pintu hadapan.Di tangannya ada sebungkus plastik berisi kotak nasi dan sebungkus air sirap.Zein Asyraff senyum.Dihulurkan tangan kepada Lulu lalu tangannya bersambut erat dalam genggaman tangan Lulu.

Hai,Lulu.Err...tak ada apa-apa.Hari ni I datang ni nak minta izin dengan penuh hormat pada you nak pinjam Nilla sekejap.Sekejap aje.Tak lama...dalam masa sejam.Boleh?”

Nak ke mana?You jangan nak melencong,Zein!”Lulu dah bagi amaran.Zein Asyraff ditenungnya atas bawah mencari sedikit kepercayaan.

You can trust me.Nanti dah selesai urusan,I hantar Nilla balik ke sini.”

Urff,yelah...yelah...payah kalau dah angau macam ni.”Lulu cebik dan berlalu ke sofa.Bungkusan nasi dibuka sebelum melahap tanpa mempelawa manusia berdua yang sedang merenungnya.

Dahlah Nilla,kau ikut ajelah boyfriend kau ni.Malas aku nak tengok sinetron tengah hari buta ni dalam butik aku yang vogue.Dah pergi...pergi...”

Aku ada banyak kerja.Tu baju kat...”

Dah,bos kau ni baik hati bagi pelepasan awal.Pergi ajelah.Kerja tu nanti aku boleh selesaikan.”

Tapi...”

Aku cakap pergi tu pergi ajelah.Nak aku sumbat mulut kau dengan ayam goreng ni ke?”Lulu angkat paha ayam yang sedang dimakannya.

Okay,fine!

Nilla tiada kudrat mahu membantah.Ditenung muka Lulu tak puas hati.
Boyfriend katanya?Dah hilang akal ke apa si Lulu ni?Sejak bila aku dengan mamat stalker ni isytihar jadi kekasih?

Shall we?”soal Zein Asyraff mengulum senyum.





Cukup sejam saya balik butik!”putus Nilla dan berlalu keluar dari butik setelah mencapai beg tangannya.

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...