Wednesday, 17 April 2019

Dear Lila 2


Muzik rancak kedengaran di segenap arah. Lila tiba di Vila Seroja, sebuah vila yang telah disewa oleh Amri khas untuk dijadikan tempat parti anjurannya berlangsung. Bersama-sama teman-teman rapatnya, Lila melangkah masuk bersama gaya dan pesonanya sehingga membuatkan segenap lapisan manusia yang berada di situ menoleh memandangnya. Di kalangan mereka berempat, Lila yang paling menonjol. Dengan kecantikan semula jadi yang dimilikinya membuatkan dia paling menjadi perhatian.

Dress ketat berwarna keemasan yang menonjolkan sebahagian paha putih gebunya menjadi pilihan. Rambut yang panjang didandan rapi. Solekan yang dikenakan di wajah juga sedikit tebal. Sedikit hiasan di leher serta di tangannya sangat menyerlahkan kecantikannya pada malam itu. Apatah lagi dilengkapi dengan kasut tumit tinggi berjenama mewah Cristian Louboutin yang tersarung di kakinya menyebabkan gaya Lila benar-benar mencuri tumpuan.

Lila menuju ke ruang di bahagian tengah vila setelah melewati kawasan kolam renang. Disambut dengan beberapa orang anak muda yang sedang terkinja-kinja di lantai tari, Lila merasa malam ini bakal menjadi miliknya!

Beberapa gelas Coke dihulur kepada Lila bersama sedikit makanan ringan. Sambil menikmati alunan muzik yang dimainkan oleh DJ yang bertugas, Lila berseronok dengan teman-temannya diikuti perbualan dan gosip terkini.

“Hai, Lila.” Terdengar sapaan Amri yang muncul secara tiba-tiba di hadapannya. Gelas Coke yang berada di tangan pantas diletakkan ke atas meja. Senyuman mesra dihulurkan kepada lelaki itu.

“Hai, Am.”

“Ingatkan you tak jadi datang,” balas Amri sambil merenung wajah Lila dengan senyuman sengetnya.

“Mana boleh tak datang. Anyway, thanks for inviting me.” Lila tersengih bersahaja. Gila tak datang? Parti kut! Daripada dia duduk di rumah tak buat apa-apa, lebih baik dia ke sini dan menikmati sepuas-puasnya keseronokan yang dihidangkan.

Thank you for coming, darling!” Amri mengeyitkan mata. Hampir saja lagi dia mencuit hujung dagu Lila, lekas-lekas gadis itu menepis lembut sebelum mencapai semula gelas di atas meja.

Amri tergelak. Tubuh Lila diratah dengan mata semahu-mahunya dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Sempat juga dia melagakan matanya dengan mata Elisa yang berada bersebelahan Lila. Tersungging satu senyuman kecil buat gadis itu lalu dibalas oleh Elisa.

Please enjoy the party, girls!” Amri bersorak lalu melagakan gelas yang dibawanya dengan gelas milik Lila, Elisa, Bella dan juga Jess.

You look gorgeous, darling.” Amri merapatkan tubuhnya dengan Lila lalu mendekatkan bibirnya ke telinga gadis itu. Berbunyi dalam suara Amri ketika mengucapkannya seolah-olah cuba menggoda Lila.

Yeah, I know. As always!” Lila tergelak. Amri tidak beritahunya pun dia sudah sedia maklum.

Amri tersenyum lagi. Yeah, as always… balasnya di dalam hati. Setelah muzik semakin rancak berkumandang ke segenap arah, keadaan di ruang vila tersebut menjadi semakin gamat. Suasana bertukar gelap dan cerah bersilih ganti. Lampu-lampu disko yang dipasang menyebabkan keadaan di situ saling tidak tumpah seperti berada di sebuah kelab malam. Bingit. Dan. Bising.

Sebaik saja lagu Taki Taki mengambil alih ruang pendengaran, Lila pantas diajak ke tengah ruang yang luas itu oleh Bella untuk berdansa diekori oleh Jess. Suara DJ dan hos parti sesekali mencuri ruang di gegendang telinga Lila. Sejurus saja melihat Lila sedang leka di lantai tari, Elisa segera menyelinap di antara celahan tetamu lantas masuk ke sebuah bilik. Di situ, Amri sudah bersiap sedia menantinya.

“Mana benda tu?” aju Elisa dengan nada yang sedikit cemas.

“Relaks. Ada dengan I. Kenapa muka you pucat semacam aje ni?” Amri menghampiri Elisa dan menyentuh wajah gebu gadis itu.

“Urff, Am! You dah tahu jawapannya, kan? Buat apa tanya I lagi?” Elisa menolak tangan Amri dari meraba wajahnya. Suaranya kedengaran bergetar-getar. Perasaan cuak mula menyelinap masuk ke hati kecilnya.

Amri pula ketawa-ketawa kerana berasa sedikit terhibur melihat gelagat Elisa.
“Elisa… Elisa. Chill, sayang.” Semakin Elisa mempamerkan wajah cuak semakin kuat Amri ketawa.

Perlahan-lahan Amri mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya lalu meletakkannya ke atas telapak tangan Elisa.

“Pastikan dia minum, El.”
Elisa membelek peket plastik berisi beberapa biji pil berwarna putih yang merupakan sejenis dadah.

“You nak I masukkan semua ni dalam minuman dia?”
Amri menyerlahkan senyuman sengetnya sambil menjongketkan kening tanda yang dia mahu Elisa melakukan seperti apa yang disuruhnya.

“You tak rasa banyak sangat ke? I bukan apa. I takut kalau-kalau dia overdose. Kalau jadi apa-apa kat dia, macam mana?”

Oh, come on El! Ini baru sikit aje. You cuma masukkan ke dalam minuman dia dan buat dia tertidur sampai pagi esok. That’s all!” Amri menolak tangan Elisa mendekat dengan dada gadis itu dan meminta agar Elisa melakukan seperti apa yang telah dirancangkan.
Harapannya sangat besar dan menggunung tinggi. Dia sudah dapat membayangkan bagaimana keadaannya nanti apabila hasratnya menjadi kenyataan!

Okay, you can count on me!” Elisa tersenyum setelah merasa yakin dengan kata-kata Amri.

“Hei, El!” Sebelum Elisa bergerak keluar dari bilik tersebut, lengannya ditarik oleh Amri sehingga dia terdorong ke dalam dakapan lelaki itu. Mereka sempat melagakan bibir selama beberapa saat sebelum Amri menghadiahkan satu kenyitan mata kepada Elisa.

“Pastikan semua yang dirancang berjalan dengan lancar, El.” Amri berpesan lagi.
Satu demi satu lagu bertukar. Lila masih kekal berada di lantai tari terliuk lentok menghayati muzik. Entah kenapa tenaganya menjadi luar biasa malam ini. Sesekali dia menggoyangkan kepala, sekejap-sekejap dia melenggok-lenggokkan pinggulnya mengikut rentak. Begitu juga dengan Jess dan Bella yang hanyut dalam keseronokan duniawi yang dicipta.

“Babe, jom ke sana. Kita minum dulu!” Tidak semena-mena saja tangan Lila ditarik oleh Bella menuju ke sebuah meja bulat yang diletakkan di pinggir kawasan lantai tari. Nafas masing-masing kedengaran sedikit mencungap.

Elisa pula sudah bersiap sedia menanti mereka di situ. Beberapa gelas berisi Coke segera dihulurkan kepada Jess dan Bella. Manakala satu lagi gelas Coke yang telah dicampur dengan pil pemberian Amri tadi disua kepada Lila. Tanpa curiga, pantas saja gadis itu meneguk minumannya sehingga licin. Dengan tidak membuang masa, Lila kembali ke lantai tari bersama Jess lantas terus mencipta keseronokan.

Bella dan Elisa yang kekal di situ hanya saling berbalas pandangan. Ada senyuman yang sedang memekar di bibir masing-masing.

Lima minit berselang, kepala Lila mula terasa berdenyut. Dunianya mula kelihatan berpusing-pusing. Lantai tari yang dipijaknya terasa bergegar dan bergoyang-goyang seperti sedang dilanda gempa bumi. Muzik yang mencuri masuk ke gegendang telinganya pula semakin lama terasa semakin perlahan. Pandangannya juga mulai kelam.
Lila pantas menyentuh kepala. Hampir saja lagi dia menarik Jess yang sedang tergedik-gedik menari tidak jauh daripadanya, terlebih dahulu Elisa mendapatkannya lantas memeluk batang tubuh Lila. Lila semakin terhuyung-hayang. Bella pula bertindak dengan menjauhkan Jess daripada Lila lalu mengalihkan perhatiannya sementara Lila dibawa keluar dari kawasan lantai tari.

Lila, are you okay?” Sengaja Elisa bertanya setelah melihat keadaan Lila yang sudah terhuyung-hayang.

I don’t think so. Tak tahulah kenapa tiba-tiba saja I rasa pening,” jawab Lila dengan suara yang sedikit bergetar.

Elisa mengulum senyuman. Nampak gayanya, pil yang telah dimasukkan ke dalam minuman Lila sudah mula bertindak balas. Pantas dipapahnya tubuh Lila menuju ke satu lorong yang sedikit lengang.

Lila pula semakin berasa pening. Dia tidak mampu memikirkan apa-apa pun kerana kepalanya terasa seperti dicucuk-cucuk dengan sesuatu. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku kepada dirinya.

Berselang dua minit kemudian, Lila terus terkulai di pangkuan Elisa dan tidak sedarkan diri. Ketika itu juga Amri datang menghampiri mereka lalu membawa Lila naik ke sebuah bilik yang terletak di tingkat dua vila berkenaan. Dikuncinya pintu bilik sejurus saja masuk ke sana. Tubuh Lila lantas dicempung dan diletakkan ke atas katil dengan perlahan-lahan.

Dari bawah sehingga ke atas tubuh Lila dijilat oleh mata nakal Amri. Nafasnya mula tidak teratur apabila melihat sekujur tubuh yang menggiurkan sedang berada di hadapan matanya. Lila kelihatan seperti sedang tidur dengan tenang walau hakikatnya gadis itu sudah tidak sedarkan diri kerana telah didadahkan. Bunyi nafas Lila sangat perlahan, meyakinkan Amri bahawa gadis itu benar-benar sudah tidak sedarkan diri. Malahan, paha putih gebu milik Lila yang sedang terdedah di hadapan matanya benar-benar membuatkan dirinya hampir dihambat kegilaan yang maha dahsyat!

Sudah lama sebenarnya dia mengidamkan saat ini. Saat di mana Lila tunduk dan menyerah kepadanya. Sudah sekian lama dia menginginkan Lila. Tetapi, kemahuannya sentiasa ditepis dengan sikap jual mahal Lila.

Baginya, Lila itu umpama jinak-jinak burung merpati. Nampak saja seperti mesra dan mudah didekati tetapi apabila dia cuba menghampiri, laju saja Lila menjauhi. Lila benar-benar telah mencabar keegoan dan kesabarannya!

Disebabkan rasa terbakar dengan sikap Lila, dia mencari jalan agar dia benar-benar dapat memiliki gadis itu dan menjadikan Lila sebagai hak mutlaknya. Akhirnya, penantiannya selama ini tertunai juga malam ini atas bantuan Elisa. Malah, dia yakin yang Lila takkan mampu melarikan diri daripadanya lagi sebaliknya Lila akan terus tunduk, berlutut dan merayu-rayu kepadanya. Ya, itu yang dia mahukan! Dia mahu Lila tunduk dan menyerah kepadanya!

Amri melonggarkan ikatan tali pinggang di seluarnya. Pakaian yang melekat di tubuh segera ditanggalkan lalu melemparkannya ke atas lantai. Tajam matanya memerhati ke segenap tubuh Lila yang berada di atas katil. Kasut tumit tinggi milik Lila ditanggalkan. Sesekali tangan nakalnya naik meraba paha gebu milik Lila sebelum memanjat katil.

Tubuh Lila dipanjat. Wajahnya didekatkan dengan wajah gadis itu. Pipi Lila disentuh lembut dan perlahan sebelum jari-jemari kasarnya berhenti di atas bibir Lila. Amri menggigit bibir sendiri menahan geram. Dadanya bagai dipalu hebat ketika ini melihat ‘hidangan’ di depan mata. Lila kelihatan sangat menawan. Umpama seorang puteri yang sedang beradu, dia mahu menjadi putera yang bakal menemani si puteri ke dalam dunia indah ciptaannya.
Hembusan nafas yang lembut mengena kulit muka Lila. Amri senyum. Mudah kerjanya jika beginilah keadaan Lila. Lila yang lemah dan tidak akan melawan! Amri ketawa berdekah-dekah di dalam hati!

Hampir saja lagi pakaian yang melekat di tubuh Lila ditanggalkan, terdengar bunyi kuat dari arah pintu. Amri tercengang-cengang apabila pintu ditendang sehingga terkuak lebar dari arah luar. Muncul tiga orang lelaki asing di muka pintu sebelum salah seorang daripada mereka meluru ke arahnya.

Tidak sempat dia hendak bertindak, dia merasakan yang tubuhnya sudah melayang sebelum terlentang ke atas lantai. Sesaat, wajahnya berasa kebas dan sakit apabila ditumbuk bertubi-tubi oleh lelaki tadi. Manakala dua orang lelaki yang lain pula sibuk memeriksa keadaan di sekitar bilik. Dua kamera tersembunyi yang disorokkan di celah-celah hiasan dinding di bilik itu pantas dicapai lalu dipecahkan di hadapan muka Amri lalu beberapa gambar dirakam menggunakan telefon pintar masing-masing.

Melihatkan Lila yang sedang terdampar lemah di atas katil dalam keadaan yang memalukan, hati lelaki Jaad mula berasa terbakar. Melihat pakaian milik Amri yang berselerakan di atas lantai membuatkan rasa bengangnya terhadap lelaki itu bercambah. Tanpa berfikir panjang, perut Amri ditendangnya dengan sekuat tenaga. Amri yang tidak sempat mengelak terus tersungkur sehingga ke hujung katil. Amri cuba bangun untuk melawan kemaraan Jaad namun Jaad pula lebih tangkas dengan melompat naik ke atas tubuh lelaki itu lalu menghadiahkan beberapa tumbukan percuma ke muka Amri sehingga darah pekat mula membuak-buak keluar dari celah hidung dan bibirnya.

“Jaad, sudah! Jangan sampai kau jadi pembunuh pula!” Tahan Ben, salah seorang lelaki yang muncul bersama Jaad. Ditarik tubuh Jaad agar menjauhi Amri lalu berhenti mencederakan lelaki itu. Bimbang dibuatnya apabila melihat Jaad seolah-olah seperti dirasuk. Risau sekiranya Amri mati dikerjakan oleh Jaad.

“Semua kamera dah jumpa,” tambah CK pula, seorang lagi lelaki.

Amri yang sudah lembik dikerjakan Jaad hanya terlentang di lantai bilik. Nafasnya berbunyi kuat seperti lembu yang baru saja disembelih. Dadanya naik turun dengan laju. Kesakitan mula menjalar ke segenap urat sarafnya sehingga tiada lagi dayanya untuk bangkit apatah lagi mahu melawan Jaad yang jauh lebih kuat dan pantas berbanding dirinya.
Rasa belas Jaad terhadap Amri telah lama hilang ditelan kemarahannya. Entah kenapa apabila melihat wajah Amri, dia menjadi begitu marah sehingga terdetik di hatinya untuk menghapuskan lelaki itu dari muka bumi. Tak guna!

Jaad ditarik menjauhi Amri. Melihatkan kamera yang sudah berderai di atas lantai akibat dikerjakan oleh Ben dan CK, Jaad berasa sedikit lega. Lantas satu isyarat dihantar kepada kedua-dua orang temannya itu sebelum mendekati Lila. Tubuh gadis itu ditarik dan meletaknya ke atas bahu seperti membanting guni padi. Sesampai saja di pintu bilik, terlihat beberapa manusia yang sedang melihat dan merakam drama sebabak yang baru saja berlaku.

Elisa dan Bella yang turut berada di situ hanya terpinga-pinga melihat tiga orang lelaki asing muncul di hadapan mata. Malah, melihatkan Amri yang sudah terlentang dalam keadaan yang sedang berlumuran darah menyebabkan masing-masing dilanda rasa terkejut yang bukan sedikit.

“Elisa. Bella.” Sebut Jaad satu per satu dengan suara yang dalam dan keras. Bunyi suara Jaad seperti sedang memberi amaran dengan cara paling halus. Tajam mata Jaad memerhatikan mereka berdua.

“Ma… macam… mana you tahu nama kitorang? You siapa?” aju Elisa tergagap-gagap. Sungguh dia tidak tahu siapa lelaki yang sedang berdiri di hadapannya ini.

“You nak bawa Lila ke mana?” Bella pula mencelah apabila Jaad utuh memeluk batang tubuh Lila di bahunya.

“Bukan saja nama tapi aku tahu segala-gala yang kau berdua rancang dengan jantan tak guna di dalam tu!” Jaad membalas dalam nada tegas. Walau hakikatnya dia sendiri hanya mereka-reka cerita setelah terdengar Elisa dan Bella bercakap-cakap ketika di bawah tadi. Dia sangat yakin, mereka berdua pasti mempunyai rancangan bersama Amri untuk mengenakan Lila!

“Jauhi Lila. Aku takkan teragak-agak untuk mengheret korang berdua ke balai polis!” Jerkahan Jaad membuatkan Elisa dan Bella sedikit cuak. Bayangan tirai besi sudah mula singgah di kepala masing-masing.

Sebaik saja keluar dari vila petaka itu, Jaad meletakkan tubuh Lila ke kerusi penumpang. Ben dan CK yang mengekori dari belakang hanya memerhatikan Jaad yang sedikit berpeluh-peluh akibat bertumbuk dengan Amri tadi.

“Macam mana sekarang ni?” aju Ben lalu menepuk bahu Jaad. Pintu kereta di sebelah penumpang ditutup dengan kuat. Jaad melepaskan nafas kuatnya sambil mengetuk bumbung keretanya.

“Simpan bukti yang ada. Kalau keadaan mendesak, aku akan bertindak.”

“Habis tu, perempuan ni macam mana?” CK bercekak pinggang apabila memikirkan tentang Lila yang sedang terlentok di dalam kereta Jaad.

“Aku akan uruskan dia. Korang berdua balik dulu. Apa-apa nanti aku roger.” Jaad menepuk-nepuk bahu Ben dan CK, dua orang lelaki yang setia berada di sisinya.
Kereta yang dipandu oleh Jaad berhenti di satu perhentian rehat di sebuah lebuh raya. Keretanya sengaja diletakkan sedikit jauh dari kenderaan lain. Jaad melangkah keluar. Perasaan marahnya masih lagi tersisa. Pintu kereta di sebelah penumpang dibukanya. Terlihat Lila masih lagi terlentok dalam posisi yang sama.

Tidak betah melihat keadaan Lila sebegitu, pantas saja dia mencapai sebotol air mineral. Tanpa teragak-agak, air mineral tersebut pantas saja disimbah ke wajah Lila sehingga membasahi sebahagian daripada pakaiannya.

Lila tersentak. Kembali berada di dalam kesedaran, batukan kecil mula kedengaran di telinga Jaad. Terpinga-pinga Lila dibuatnya apabila merasakan wajah dan tubuhnya sudah pun basah. Kepalanya yang tersisa dengan rasa denyut lekas disentuh. Perlahan-lahan rasa sakit itu beransur hilang. Pandangannya yang tadinya kabur mula bertukar jelas.

“Dah sedar?” Suara Jaad yang bernada sinikal menjentik gegendang telinga Lila.
Sebelah tangan lelaki itu diletakkan ke atas bumbung manakala yang sebelah lagi memegang pintu kereta. Wajahnya berada sangat hampir dengan Lila. Tajam matanya merenung ke segenap wajah Lila yang nampak blur dan terpinga-pinga.

Lila mulai kekalutan. Terkejut beruk dibuatnya apabila melihat seorang lelaki asing yang langsung tidak pernah dikenalinya berada di hadapan mata sebaik dia terjaga. Dia meliarkan mata ke sekeliling dengan menahan debaran di dada. Apa yang sudah berlaku kepadanya? Di mana dia berada sekarang ini? Ke mana kawan-kawannya pergi? Dan…

“Kau siapa?” Lila memandang Jaad dengan penuh rasa curiga. Dia benar-benar tidak mengingati apa yang telah terjadi kepadanya. Apabila dia membuka mata saja, wajah Jaad sudah muncul di depan mata. Jangan-jangan dia sudah diculik? Tapi, untuk apa? Wang tebusan? Harta? Atau organ-organ miliknya? Oh, tidak!

“Aku Jaad.” Jaad membalas ringkas.

“Kau… kau nak apa ni? Ap… apa… yang ter… jadi pada aku? Macam mana aku boleh ada kat sini? Kau siapa, hah?!” Dengan rasa berani yang cuma sekelumit, Lila menyoal Jaad bersama air mata yang sudah bertakung di kolam mata.

Takutnya hanya tuhan saja yang tahu. Dia benar-benar tidak tahu apa yang akan berlaku kepada dirinya. Dengan keadaan sekitar yang sunyi dan gelap, apa-apa saja boleh berlaku dan menimpanya. Tambah-tambah apabila lelaki bernama Jaad ini berada di sampingnya. Siapa lelaki ini? Penjenayah? Pembunuh bersiri? Perogol? Ah, Lila tidak dapat memikirkan apa-apa pun.

Lila semakin panik. Dia cuba bergerak keluar dari kereta tetapi tubuhnya ditolak oleh Jaad sedikit kasar sehingga tersandar ke penyandar kerusi. Kemudian, tidak semena-mena saja Jaad mencampakkan satu bungkusan kepada Lila sehingga terkena mukanya.

“Ap… apa ni?” Lila tercengang-cengang sambil cuba menghadam tindak-tanduk Jaad yang kelihatan aneh di matanya.

“Pergi tukar pakaian tak senonoh kau tu!”

“Hah?!”

“Lepas tersedar daripada pengsan, kau dah jadi bengap pula ke? Kau dengar tak apa yang aku kata? Tukar pakaian kau tu! Lepas tu aku hantar kau balik!”

Lila terkebil-kebil di hadapan Jaad. Sungguh otaknya tidak mampu memproses segala apa yang sedang berlaku kepadanya. Bukankah dia sedang berparti? Bagaimana dia boleh berakhir di sebuah tempat asing dengan lelaki yang tidak langsung dikenalinya ini?

“Kau terkebil-kebil apa lagi dekat situ? Tukarlah baju tu! Atau kau lebih suka kalau aku yang tolong tukarkan untuk kau?” Jaad menengking.

Sempat lagi tangannya mengacah hendak menanggalkan pakaian Lila. Sakit hati dibuatnya melihat gadis itu masih lagi terkial-kial. Agaknya, kuat sangat kut dadah yang masuk ke dalam tubuh Lila sehingga menyebabkan kepala otaknya tidak mampu memproses perkara yang mudah sebegini.

Teringat pada apa yang sudah berlaku, rasa marah Jaad kembali mengocak kolam perasaannya. Rahangnya mula naik turun seolah menahan bara yang mencengkam sanubari. Penumbuknya digenggam kuat. Matanya pula kembali memerah.

Bammm!

Pintu kereta dihempas setelah itu. Memberikan peluang kepada Lila untuk menukar pakaian. Lima minit berselang, Jaad masuk ke perut kereta Melihatkan pakaian yang tersarung ditubuh Lila, dia hanya mampu menarik nafas lega. Tiada lagi pakaian seksi lagi menjolok mata yang mampu menggugat iman para lelaki. Yang tinggal di tubuhnya cumalah blaus dan skirt labuh.

Kereta Jaad kembali meluncur di jalanan. Di sepanjang pemanduannya, Jaad hanya menyepi. Sekadar membiarkan bunyi enjin kereta menghiasi halwa telinga. Lila juga begitu. Terus menyepi. Dia masih tidak mampu menghalau rasa risau di hatinya. Kepalanya kembali berdenyut-denyut. Matanya mulai kelam. Dia melentokkan sekejap kepalanya ke penyandar kerusi. Walaupun dirinya masih lagi diselubungi rasa takut dan was-was pada lelaki bernama Jaad, dia berusaha untuk menenteramkan hati sendiri. Sempat dicapainya telefon dari dalam tas tangan. Namun, telefonnya sudah pun kehabisan bateri.

“Kau nak telefon siapa? Polis?” Suara Jaad memecah hening suasana.
Lila terkejut. Pertanyaan Jaad benar-benar membuatkan darahnya berderau. Cis! Macam mana dia boleh nampak?
“Ya, aku nak telefon polis. Kenapa? Ada masalah?”

Jaad hanya tersenyum sinis mendengar jawapan Lila. Boleh tahan juga mulut perempuan ini!

“Silakan kalau kau nak. Aku tak ada hal. Cuma… aku risau kalau-kalau polis tahan kau pula.”

“Kenapa pula?”

“Air kencing kau positif dadah.”

Wh-what?”

Lila terkebil-kebil. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Jaad? Jadi, sebab dadahlah dia tidak sedarkan diri dan tidak ingat apa-apa? Tapi, angkara siapa?

“Aku bukan macam apa yang kau fikirkan. Aku tak ada niat jahat terhadap kau. Sekejap lagi aku hantar kau balik.” Jaad membalas tetapi tiada respon yang diterimanya daripada Lila. Sebaik saja dia menoleh ke arah gadis itu, dia nampak Lila seolah-olah tidak sedarkan diri.

“Hoi, perempuan! Kau dengar atau tidak apa yang aku cakapkan ni?”

“Huh?” Lila membalas sedikit lemah.

Jaad menggeleng. Dia yakin kesan dadah yang telah menyelinap masuk ke segenap tubuh Lila telah menjadikan gadis ini sebegini. Tidak lagi berhasrat untuk terus berbual dengan Lila, Jaad hanya menyepikan diri sehinggalah rumah Puan Dahlia kelihatan di depan mata.
Setelah Lila memasuki perkarangan rumah, kereta Jaad kembali meluncur di jalanan. Lila menyentuh kepalanya. Rasa berdenyut masih lagi tersisa. Dia memandang tubuh sendiri. Pakaian yang tersarung di tubuhnya menyebabkan dia teringatkan sesuatu. Lekas-lekas dia berlari mendekati pagar dan mencari kelibat kereta Jaad yang semakin menjauh.

“Siapa lelaki tu?” Dia menyoal diri sendiri. Dan jawapan di atas persoalannya hanya mampu dijawab oleh cengkerik.






Dear Lila 1



843 k followers. 167 following. 2794 posts.

Gambar terbaru berlatarbelakangkan Dubai Miracle Garden yang baru saja dimuat naik pantas mencanak-canak menerima jumlah like. Dalam seminit, sudah lebih 10 ribu tanda love terhias di pandangan.

_itsdamien Hey, beautiful!
roykhalil You look so pretty, Lila!
sophieamora111 Amazing! Beautiful flowers and the beautiful person!

Lila tersenyum senget membelek skrin telefonnya. Melihat ribuan netizen yang menurunkan komen dan memberikan like pada gambar dirinya yang sedang bercuti di Dubai ketika cuti semester berlangsung sudah jelas-jelas membuatkan hatinya kembang setaman. Seketika, butang live ditekan dan mula berinteraksi dengan para pengikutnya di laman Instagram.

Pujian demi pujian diterima. Bangga apabila menjadi perhatian orang. Terasa dirinya begitu beruntung kerana memiliki kecantikan semulajadi yang mampu membuatkan sesiapa saja tidak lekang memuji. Disebabkan kecantikan inilah, mudah saja dia mencuri tumpuan lensa kamera.  

Walaupun baru setahun  jagung, dia sudah berjaya mencipta rekod sebagai instafamous paling popular pada tahun lepas sehingga berjaya menjana pendapatan lumayan melalui medium itu. Malah, kerjaya sebagai model sambilan juga berjaya membuatkan Lila berada di dalam kelas yang tersendiri.
Lila bahagia! Sekurang-kurangnya, dia dapat mengurangkan rasa kosong yang bermukim di hati.

“Dik, bahagian atas tu senget! Hah, betulkan sikit. Sikit aje!” Suara dari luar Mini Cooper mencuri tumpuan Lila. Pantas ditamatkan sesi live di Instagram dan memboloskan diri dari perut keretanya. Wanita yang sedang berdiri tidak jauh dari sebuah premis kedai didekati. Hairan dibuatnya. Apa yang dilakukannya di premis bersebelahan Lila’s CafĂ©?
“Umi buat apa ni?” Lila menjongketkan keningnya, merenung tampang Puan Dahlia yang kelihatan bersungguh-sungguh. Rasa tertanya-tanya Lila semakin bercambah apabila melihat senyuman yang dilemparkan oleh Puan Dahlia kepadanya. Sesekali matanya dilarikan ke arah dua orang pekerja lelaki yang sedang berpaut pada tangga yang diletakkan di hadapan pintu masuk ke premis tersebut.

“Ni haa… umi tolong budak-budak ni. Umi nampak papan tanda ni senget, jadi umi tolonglah beritahu diorang.” Puan Dahlia membalas.

“Lila dah habis kelas ke?” Wajah Lila dipandang.

Lila hanya tersengih bersahaja kepada Puan Dahlia, ibu saudaranya yang dipanggil umi itu. Ya, memang dia baru saja selesai menghadiri kuliah. Dia sengaja singgah sebentar ke Lila’s CafĂ© milik Puan Dahlia ini untuk membantu wanita itu sementara menanti call time yang telah diberikan oleh Butik Rhia, iaitu butik yang telah menggajikannya untuk menjadi model pakaian mereka.

“Dah umi. Tapi petang nanti Lila ada photoshoot. Lila singgah sekejap aje kat sini.”

“Hah, elok sangatlah tu. Lila masuk ke dalam tolong umi ya?” Puan Dahlia menolak-nolak bahu gadis itu sehingga membuatkan Lila mengerutkan kening.

“Ada apa-apa yang Lila tak tahu ke, umi?” Sempat lagi Lila mengeraskan tubuh di pertengahan kaki lima kedai. Bukannya dia tidak mengenali Puan Dahlia. Ini Lila la! Sekilas ikan di air pun dia sudah tahu yang mana satu jantan dan yang mana satu betina. Inikan pula wanita yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri. Pastilah ada apa-apa ni!

 “Dah dekat dua jam budak lelaki tu duduk dekat dalam kafe. Dia tak nak order apa-apa selagi Lila tak muncul. Lila pergilah layan dia. Ambil order dia. Umi tak sampai hati pula tengok dia tercongok seorang diri macam patung. Pergi… pergi…”

“Dia datang lagi?”

“Iya, pergilah!”

Lila mengetap bibir. Haih, buat hal la dia ni!

Pantas Lila masuk dan menyarungkan apron. Kemudian, disanggul tinggi-tinggi rambut panjang mengurainya sebelum tercegat di meja kaunter sambil memerhatikan meja yang terletak paling hujung, berdekatan dengan cermin kaca yang memisahkan kafe dengan ruang kaki lima yang menjadi tempat lelaki itu menanti dirinya.

Sejak dua bulan yang lalu, di situlah tempat kegemaran lelaki yang sampai ke hari ini Lila tak tahu namanya itu. Berseorangan menatap komputer ribanya, itu perkara yang biasa dilakukan ketika berkunjung ke sini.

Sejujurnya, Lila sendiri tidak mengetahui kenapa dirinya menjadi pilihan lelaki itu untuk melayannya sebagai pelanggan kafe. Sedangkan ada ramai lagi pekerja Puan Dahlia yang boleh mengambil pesanan dan melayannya. Pelik!

“Lila, apa yang dok tercegat lagi dekat situ? Pergilah ambil pesanan mamat tu! Kak Nony dah naik rimas tengok dia dekat situ tau!” Kak Nony salah seorang pembantu yang bekerja di Lila’s CafĂ© tiba-tiba saja menampar bahu Lila.

“Hah, yalah!” Ipad di hadapannya pantas dicapai dan berlalu untuk mengambil pesanan si dia.

Lila berhenti di hadapan meja lelaki itu. Dari atas sehinggalah ke bawah paras lelaki itu dipandang oleh Lila. Orangnya memang kacak! Alis matanya tebal. Hidungnya mancung malah bibirnya yang merah basah itu terletak cantik. Ada sedikit jambang halus yang menghiasi di sekitar rahang dan dagunya. Penampilannya kelihatan kemas walaupun hanya mengenakan jeans dan t-shirt berkolar. Rambutnya malah dirapi dengan gel rambut. Ditambah pula dengan wangian maskulin yang dipakai membuatkan dia kelihatan seperti lelaki urban yang mempunyai pakej lengkap untuk menjadi kegilaan para gadis.

“Hai, boleh I ambil order?” Lila memaniskan muka dan melembutkan suara setelah puas mengintai paras si dia.

Dia mendongak mencari wajah Lila. Mukanya kelihatan tenang-tenang saja apabila melihat Lila muncul di depan mata.

“Lila.” Tuturnya lembut dan perlahan.

Yes, Lila is here! Encik nak minum apa?” Lila sengaja melebarkan senyuman. Sedari awal lagi Lila sudah sedia maklum yang lelaki di hadapannya ini tahu namanya. Maklum sajalah, diakan instafamous. Siapa saja yang tidak mengenali Leyla Darlina?

Cappucino blended, please. And…”

Bread pudding!” Lila lekas-lekas memotong kata-katanya.

Lila menyengih. Sebenarnya, sejak awal lagi dia sudah tahu apa menu yang akan dipesan oleh lelaki ini. Setiap kali dia berkunjung ke sini, itulah menu pilihannya sehingga Lila sudah boleh menghafalnya.

Dia sekadar tersenyum kepada Lila.

“Okey, tunggu sekejap ya encik.” Lila memasukkan pesanan ke dalam senarai pesanan di dalam Ipad.

“Lila, dia cakap apa dengan kau?” Tiba-tiba saja Kak Nony mengepoh sebaik Lila tiba ke meja kaunter.

“Tak ada cakap apa-apa. Nah, Lila dah ambil pesanan dia. Selebihnya, Kak Nony uruskan!” Arahan diberi kepada Kak Nony memandangkan wanita itu kelihatan tidak begitu sibuk. Lagi pun, Lila sungguh-sungguh malas mahu berlama-lama di sini melayan gosip Kak Nony. Nanti melalut jadinya. Tak pasal-pasal nanti bila gajinya dipotong, mulalah dia merungut. Dan Lila la yang akan menjadi orang pertama yang terpaksa mendengar rungutannya itu. Ah, tak kuasa!

“Eh, Lila nak ke mana tu?”

“Belakang. Kenapa?” Sempat dipandangnya tangan Kak Nony yang sedang melingkar di lengannya.

“Jangan lupa hantar pesanan mamat tu!”

Lila menepuk dahi. Aduhai! Dia sungguh-sungguh terlupa. Lelaki itu memang sejenis manusia yang semua benda mahu Lila buat untuknya. Daripada mengambil pesanan, menghantar pesanan sehinggalah menerima bayaran… semuanya Lila yang akan buat.
Jadi, menurut teori Lila… lelaki itu mungkin merupakan salah seorang daripada pengikutnya di laman Instagram yang cuba mencuri tumpuan Lila. Tapi, apa nama akaun Instagram yang digunakan oleh dia ek? Lila mengetuk-ngetuk dagu sendiri, mencari jawapan.

“Lila.” Nama Lila sekali lagi diseru setelah pesanan dihantar ke meja si dia.

“Ya?”

“Terima kasih.”

“Sama-sama kasih.” Lila senyum. Tetapi di hati terpalit dengan rasa kehairanan yang sedikit memuncak. Kerana di setiap kali lelaki ini membuka mulut, nadanya kedengaran semacam saja di gegendang telinga Lila. Selain daripada kesayuan, terselit bunyi seperti marah dan penuh misteri. Entah! Lila tak tahu nak menggambarkan nada suara lelaki ini. Tapi, mengikut apa yang didengarinya… sebegitulah!

Enjoy your dessert.”

Lila menghadiahkan senyuman nipis kepadanya. Dalam diam, Lila masih cuba berteka-teki. Mungkinkah dia ada masalah keluarga? Atau masalah cinta? Ah, apa-apa sajalah Lila!

***

Hey, babe. Jadi ke you pergi parti hujung minggu ni? - Jess

Satu mesej dalam kotak WhatsApp masuk ke peti telefon Lila. Nama Jess naik di skrin telefon. Group WhatsApp The Gorgeous Armies yang tadinya sepi mula berubah rentak.
Parti? – Lila

Oh my goshhh! You jangan main-main, babe! You dah lupa atau buat-buat lupa ni? – Bella

Serius, I lupa. Parti siapa yang kita kena pergi? – Lila

Parti Amri… - Elisa

Oh, gosh! I terlupa. Sorry. – Lila

So? – Jess

What? – Lila

Jadi tak? – Jess

Hey, come on! Ini Lila kut! Mestilah I pergi. Kucing tak akan tolak ikan tau! Tapi, kenapa? Ada apa-apa yang I lupa lagi ke? – Lila

Yes! Tapi… - Jess

Why, babe? Any problem? – Lila

Hey, of course la semua orang ada problem! – Bella

Kita semua tak ada pakaian baru nak ke sana! Oh my god! Macam mana ni, girls? – Jess

Oh my mama! – Bella

Auchhhh! – Elisa

Jom shopping! – Jess, Bella, Elisa

Lila menepuk dahi selepas membaca mesej-mesej teman-temannya. Amboi, bukan main lagi mereka ni! Kalau bab parti, bab shopping, bab lelaki… tak pernahnya lupa! Bila bab pelajaran, semua buat-buat tak ingat! Huh!

Lila mengetuk dahi. Macam mana dia boleh terlupa bab yang satu itu? Mungkin sebab sibuk sangat menguruskan hidup membuatkan dia terlupa pada banyak perkara. Dalam usia yang baru menginjak 19 tahun, dia terpaksa melakukan banyak perkara dalam hidupnya. Manakan mahu menjadi seorang pelajar, selebriti media sosial dan juga membantu Puan Dahlia memasarkan jenama Lila’s CafĂ©.

Sedangkan hakikat yang sebenarnya, Lila tidak perlu melakukan semua itu kerana dia sememangnya dilahirkan di atas dulang emas. Namun, sejak mommynya Datuk Katrina sering ke luar negara atas urusan perniagaan, Lila mengambil keputusan untuk menyibukkan diri dengan pelbagai perkara semata-mata demi melenyapkan segala kekosongan yang ditinggalkan oleh mommynya.

Mujur sajalah ada Puan Dahlia. Selepas wanita itu bersara beberapa tahun lepas, dia membuat keputusan untuk membuka sebuah kafe comel yang diberi nama Lila’s CafĂ© sempena nama Lila untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh arwah suami dan anak lelakinya yang meninggal dunia dalam sebuah kemalangan jalan raya sepuluh tahun lepas.

Sejak kehilangan insan-insan tersayang, kepada Lila dan Datuk Katrinalah dia menumpahkan kasih dan sayangnya. Malah, Lila dianggap seperti anak sendiri. Kasih sayangnya sesekali melebihi kasih yang Datuk Katrina berikan kepada Lila sehingga Lila menganggap Puan Dahlia jauh lebih memahami dan menyayangi dirinya berbanding mommynya sendiri. Tambah-tambah sejak Lila membuat keputusan untuk menjadikan rumah Puan Dahlia sebagai rumah keduanya kerana tidak mahu keseorangan di vila besar milik Datuk Katrina.

Setelah berbual melalui aplikasi WhatsApp dan video call dengan teman-temannya, Lila menutup telefon dan berniat untuk tidur kerana badannya terasa letih setelah seharian ke sana ke mari.

“Lila…” Suara Puan Dahlia kedengaran dari luar pintu bilik ketika Lila sedang menepuk-nepuk bantal empuknya di kepala katil.

“Ya, umi? Masuklah. Pintu tak berkunci.” Dia bangkit dari perbaringan lalu memeluk bantal goleknya.

“Ada apa, umi?” Sempat Lila melirikkan pandangan ke arah jam di dinding bilik tidurnya. Sudah melewati jam dua belas tengah malam. Ada apa Puan Dahlia muncul di depan muka pintu bilik?

“Macam mana siang tadi? Umi tak sempat nak tanya pada Lila sebab umi sibuk sikit dengan jiran baru kafe kita.”

“Umi cakap pasal apa?” Lila menggaru-garu belakang kepala. Tiba-tiba saja otaknya terasa seperti gagal memproses pertanyaan Puan Dahlia.

“Umi cakap pasal lelaki itulah. Lelaki yang selalu minta Lila serve dia setiap kali dia datang ke Lila’s CafĂ©.”

“Oooohhh!” Melopong mulut Lila apabila teringat pada lelaki di Lila’s CafĂ© siang tadi.

“Macam biasalah umi. Itulah, siapa suruh umi sibuk sangat dengan jiran sebelah sampai terlupa pada hal ehwal kafe sendiri?” Sengaja dia mengusik Puan Dahlia.

“Amboi, kemain perli umi ya?” Pantas tangan Puan Dahlia ternaik mencuit pinggang Lila.

“Mana ada perli.”

“Alaaa… umi bukan apa. Umi sekadar nak berbaik-baik dengan jiran-jiran kita. Lagi pun, pemilik premis tu baik orangnya. Berbudi bahasa dan hormatkan orang tua. Tutur katanya pun lembut. Suka umi dengar. Tapi, sayang betul sebab umi tak sempat nak kenalkan dia pada Lila.”

Lila memutar-mutarkan bebola matanya. Berkenalan? Alah, lain kali sajalah! Tak kuasa sungguh dia mahu memikirkan hal yang remeh-temeh begini. Lambat laun pasti dia akan kenal juga siapa pemilik premis berkenaan.

“Erm, tadi mommy Lila ada telefon umi.” Sebaik saja mendengar perihal Datuk Katrina meluncur dari bibir Puan Dahlia, pantas Lila mendengus.

“Mommy call? Dia cakap apa?”

“Mommy Lila tanya umi pasal Lila la.”

“Kenapa dia tak call Lila terus?”

“Agaknya, dia tak mahu mengganggu Lila. Lagi pun, Lila kan asyik sibuk aje.”

“Dia ada cakap bila dia nak balik?”

“Tak ada pula.”

Terlepas keluhan dari bibir Lila. Sedikit berkecil hati dengan Datuk Katrina yang sering melebihkan perniagaan berbanding anak sendiri. Jadi, tak salahkan kalau Lila mencari bahagia dengan cara tersendiri?

“Umi tak mengantuk lagi ke? Dah lewat malam ni.”

“Belum mengantuk. Lagi pun, umi tengah tunggu kek masak kat dapur tu!” Suara Puan Dahlia kedengaran sangat teruja. Bersinar-sinar terang matanya bila menuturkannya. Lila yang hampir saja lagi terlelap segera mencelikkan mata apabila mendengar nada suara Puan Dahlia.

“Umi buat kek?”

“Iya.”

“Umi… dah lewat malam ni. Bila nak berehat? Esok kan masih ada?”

“Alah, setakat buat kek apalah sangat? Lagi pun umi tak boleh tidur dengan tenang selagi umi tak mencuba resipi baru.”

Pulak dah? Lila menepuk wajah sendiri. Haih, uminya ini memang langsung tak boleh duduk diam. Waktu tidur pun mahu dikorbankan semata-mata kerana hobi dan minatnya.

“Esok Lila sibuk tak?” Puan Dahlia bertanya lagi ketika dia hendak bergerak keluar dari bilik Lila.

“Sibuk macam biasalah, umi. Lepas kelas petang, mungkin Lila boleh singgah sekejap dekat kafe. Kenapa, umi?”

“Umi nak kenalkan Lila dekat jiran baru kita.” Puan Dahlia tergelak-gelak.
Sekali lagi Lila memutarkan bebola matanya. Amboi, umi! Dah berkenan sangat dengan jiran baru tu nampak?

Setelah Puan Dahlia beredar, Lila duduk termenung di atas katil. Wajah Datuk Katrina menari-nari di ruangan mata.

Sampai bila mommy nak tinggalkan Lila? Sampai bila mommy nak dahulukan kerja-kerja mommy berbanding Lila? Sampai bila, mommy? Lila letih. Terlalu letih. Lila takut hati Lila dah tak mampu nak tanggung semua ni. Bila masa itu tiba, Lila harap yang mommy tak akan pernah menyesal dengan pilihan mommy.

Tap! Lampu di tepi katil ditutup. Begitu juga dengan kamus hariannya. Dia akan tutup sekali kerana dia sangat letih. Dia hanya mahu bertemu dengan mimpi dan juga bintang-bintang yang sedang menantinya. Hal ehwal Datuk Katrina diletak ke tepi. Sekejap saja, Lila telah berlayar ke alam mimpi.

Thursday, 4 April 2019

DEAR LILA BLURB




Lila mempunyai segala-galanya. Cantik. Kaya. Popular. Namun, segala yang dimilikinya masih tetap tidak mampu menandingi rasa kosong dan sunyi di hati.

Hidup Lila berubah apabila maruahnya hampir tergadai di tangan Amri pada malam sebuah parti. Tanpa terduga, muncul seorang lelaki asing menjadi hero penyelamatnya. 
Siapa Jaad Hayder yang sebenarnya?

Persoalan itu sering menghantui Lila. Kerana, di setiap musibah yang melanda… lelaki bernama Jaad Hayder itulah orang yang akan muncul menyelamatkan Lila tepat pada waktunya.

Ada sesetengah perkara berlaku di luar logik akal manusia. - JAAD

Misteri seorang Jaad tergantung tanpa jawapan. Muncul pula lelaki bernama Fareeq yang merupakan pelanggan tetap di Lila’s CafĂ© sehingga membuatkan Lila penat berfikir.

Apa kaitan Jaad Hayder dengan Fareeq Daris? - LILA
Di antara mereka, kedua-duanya ada kaitan dengan kau. - FUTURE LILA

Lila buntu. Masa hadapannya yang hidup di tahun 2029 seolah-olah tidak mahu membantu!

Kadang-kala, sebuah kebenaran itu sangat pahit dan sungguh menyakitkan. - FAREEQ

Ada rahsia yang bakal terbongkar dan ada kebenaran yang akan mengubah keseluruhan hidup Lila. Mampukah Lila melihat lalu menerima kebenaran itu?



p.s PRE ORDER dibuka sehingga 22 April 2019... Whatsapp 017-5080311 untuk tempahan. Jualan online sahaja. Tiada di mana-mana kedai buku/pesta buku.


Tuesday, 25 December 2018

Buku Zine BODYGUARD UNTUK CIK CEO

I nak you jadi bodyguard I. Cakap saja berapa yang you nak, I akan bayar.- RANIA
Kata orang, gunung-ganang sanggup ku daki… lautan api sanggup ku renangi. Inikan pula setakat nak menggajikan seorang bodyguard seperti Niel. Apabila kedatangannya ke Kem Kristal disambut dengan senjata… Rania tahu yang dia tidak salah membuat pilihan.

Tawaran yang Rania hulur kepada Niel umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Di antara masa depan Kem Kristal dan keegoannya, salah satu harus dikorbankan. Demi menyelamatkan Kem Kristal, Niel terpaksa menyerahkan lehernya untuk dipenggal.

Ini Niel, bodyguard baru I.- RANIA

Dengan bangga Rania memperkenalkan Niel kepada umum. Namun… semakin lama Niel berada di dalam hidupnya, semakin banyak pula bahaya yang harus ditempuhi.

Nyawanya menjadi sasaran entah sesiapa. Tetapi Niel sentiasa ada untuk terus melindunginya daripada malapetaka dan bahaya.

Siapa yang nak bunuh I? Siapa yang nak musnahkan I? - RANIA

Selagi nyawa masih bersatu dengan jasad, Niel akan terus setia melindungi Rania, Cik CEO yang telah berjaya merobohkan keegoannya. Namun, Niel juga masih setia mempertahankan rahsia besar yang dimilikinya biarpun tembok ego telah lama runtuh.

Apakah rahsia tersebut? Adakah ia akan terus kekal menjadi rahsia sehingga nyawa bercerai dari badan? Dan siapakah orang yang bertanggungjawab untuk memusnahkan Rania?

Terbitan : Disember 2018
Harga : RM20(termasuk pos)
Cara mendapatkannya : Whatsapp 017-5080311


BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...