Awal
pagi lagi Aurora sudah bersiap hendak ke kelas. Sekejap lagi dia ada kelas jam
8 pagi. Tak mahu terlewat tiba ke kelas kerana hari ini merupakan hari Isnin di
mana mood Monday Blues akan
bermaharajalela dalam hati.
Terkocoh-kocoh
dia masuk ke perut lif. Aurora menunduk, mengikat tali kasutnya yang tidak
sempat diikat rapi. Elok saja berdiri, jantungnya terasa seperti mahu tercabut.
Tiba-tiba saja lelaki yang berjiran dengannya berdiri terpacak di hadapan pintu
lif yang masih belum tertutup.
Fuh
semangat!
Lekas-lekas
dia bergerak menjauhi pintu dan merapatkan diri dengan dinding. Butang G
ditekan berulang kali. Aurora diam memandang pintu lif yang bertutup rapat. Mendengar
dengusan kasar di sebelahnya, diam-diam Aurora mengerling si lelaki di sebelah.
Mengintai apa yang sedang dilakukannya. Si lelaki sibuk menatap telefon pintar.
Menaip sesuatu dalam ruangan WhatsApp sambil menayang kerutan di muka.
Sesekali,
mata Aurora merayap ke rambut si dia. Kemudian, turun ke bahagian kemeja, slack
sehinggalah kasutnya. Kemas. Itu saja yang terlintas di fikiran. Wangian
maskulin yang dipakai juga turut menerpa rongga hidung Aurora yang membuatkan
lelaki itu kelihatan sangat sempurna dari segi penampilan.
Tapi,
melihat muka masam mencuka bercampur kelat itu membuatkan Aurora julingkan mata
ke atas. Ditambah pula dengan peristiwa semalam yang masih segar diingatan, Aurora
mula mengutuk di dalam hati.
Perangai tak setanding dengan
pakaian. Huh!
Ting!
Pintu
lif terbuka. Mahu keluar, terasa bahunya berlaga dengan si dia. Aurora
berhenti. Memandang si dia. Tanpa berpaling atau menghiraukan Aurora, dia
tergesa-gesa keluar dan menghilang begitu saja tanpa meminta maaf.
“Dasar
tak ada adab,” Aurora mencebik. Meluatnya dia tengok perangai mamat ni!
***
Tamat
kelas Cik Deeja pagi itu, Aurora melangkah ke kafeteria untuk bersarapan.
Sebelum ke kelas tadi, dia hanya sempat makan biskut dua keping. Sekarang sudah
tiga jam berlalu, sah-sah perutnya mula lapar.
Dia
memilih sebuah meja yang berada di sudut paling hujung kafeteria untuk
menikmati sarapannya. Nasi goreng. Tak adalah sedap mana pun tapi cukuplah
untuk dia memastikan yang perutnya terisi dan kenyang sehingga petang nanti.
Jus
oren disedut. Belum sempat menelannya, jus oren tersembur keluar setelah
disergah dari belakang. Tergesa-gesa Aurora mengesat bibirnya yang melekit
dibasahi jus oren. Jelingan nipis dihantar kepada si empunya diri yang baru
melabuhkan punggung di hadapannya.
Tanpa
dipelawa, gelas jus milik Aurora dicapainya lantas menyedut baki jus tersebut.
Mukanya nampak kelat dan keruh, tanda yang dia sedang menahan bengang. Sesekali
tangan naik membetulkan snow cap di
kepala.
Perlahan-lahan
wajah Aurora ditenungnya seolah-olah hendak menelan gadis itu lalu mengunyah-ngunyahnya
sepuas hati seperti haiwan karnivor mengunyah mangsanya.
Tanpa
menghiraukan si pemangsa di depan mata, Aurora meneruskan suapannya.
Menghabiskan baki nasi goreng.
“Kau
pergi mana?” akhirnya terlantun sebaris pertanyaan dari celah bibir si
karnivor.
“Going nowhere. Buta ke apa?” balas
Aurora seperti tidak berperasaan. Tudung di kepala dibetul-betulkan. Mujur saja
jus oren tadi tidak terkena kain tudungnya. Jika tidak, mahu dia ketuk kepala
mamat ini!
Mendengar
itu, Zafrin ketawa kecil sebelum menayang wajah yang serius.
“Kenapa
tak jawab panggilan aku? Mesej pun tak berbalas. Kau ada tengok telefon kau tak?”
Aurora
berhenti mengunyah. Sibuk betul la mamat ni! Sikit-sikit nak cakap pasal
telefon. Macam dah tak ada kerja lain yang nak dibuatnya. Sikit-sikit nak
telefon. Sikit-sikit nak mesej.
Padan
dengan muka Zafrin kerana tiada satu pun panggilan telefon lelaki itu
dijawabnya. Dia berasa terganggu dengan lelaki itu yang selalu berlagak seperti
pengawal peribadinya. Dasar penyibuk!
“Hei,
kau dengar tak aku tanya ni?” tidak berpuas hati dengan sikap bolayan Aurora, Zafrin memetik-metik
jarinya di depan muka gadis itu.
Aurora
buat tidak tahu. Saki baki nasi goreng dalam pinggan dihabiskan. Daripada dia
melayan Zafrin, lebih baik dia mengenyangkan perut sendiri.
Zafrin
pula tidak mengalah. Diketuk-ketuknya meja semata-mata hendak menarik perhatian
Aurora.
“Kau
nak apa?”
“Hah!
Ada pun mulut. Ingatkan dah bisu…”
Aurora
terus menguis-nguis nasi dalam pinggan. Sakit pula matanya melihat wajah
Zafrin. Terus rasa hilang selera dibuatnya. Silap-silap, sampai esok dia akan
terus hilang selera.
“Kau
datang kelas dengan apa?”
“Grab.”
“Berapa
kali aku nak kena pesan? Tunggu sampai aku datang ambil kau. Kenapa naik Grab
juga?”
“Saja,”
jawab Aurora sepatah. Semakin dia nampak muka Zafrin, makin dia rasa meluat.
Memang dasar penyibuk!
“Kau
nak apa datang cari aku sampai ke sini?” Aurora mendengus.
Rimas
betul dia dengan si Zafrin ni. Kalau tak tayang muka di depannya satu hari
memang tak sah agaknya. Seraya itu, Aurora menjeling ke sebuah meja yang
terletak tidak jauh dari mejanya. Wajah Intan, rakan sekelasnya yang sedang
mengintai mereka berdua dipandang.
Aurora
putarkan mata ke atas. Ini tak lain tak bukan pastilah kerja Intan yang
melaporkan berita terkini kepada Zafrin. Kalau tidak, takkan Zafrin boleh
datang mencarinya sehingga ke sini?
“Daddy
Carl baru telefon. Dia beritahu kereta kau dah siap.”
“Jadi?”
“Petang
ni kau dah boleh ambil kereta tu.”
“Dah
tu? Apa kena mengena dengan kau?”
“Kejap
lagi aku hantar kau pergi bengkel untuk ambil kereta. Lepas habis kelas, kau
tunggu aku kat tempat biasa. Jangan lambat pula.” Zafrin bangkit setelah
menyatakan tujuan sebenarnya mencari Aurora.
“Aku
boleh pergi sendirilah.”
Zafrin
yang berniat hendak berlalu terus duduk semula. Mata Aurora ditenungnya. Ini
yang paling dia tak suka ni. Dia tak berkenan sungguh mendengar jawapan Aurora.
Aku
boleh pergi sendirilah.
Aku
boleh buat sendirilah.
Aku
boleh berdikarilah.
Jujur,
dia benar-benar tidak suka! Lagi pun, daddy sendiri sudah mengarahkan agar dia
menemani Aurora dan menjadi pemantau bagi pihaknya di sepanjang Aurora berada
di kolej ini. Dia memang tidak ada masalah dalam hal itu tetapi yang menjadi masalahnya
cuma satu. Iaitu Aurora!
“Daddy Carl yang minta aku hantar kau. Dia tak
benarkan kau pergi sendiri. Kau faham tak?”
“Balik-balik
daddy. Asyik-asyik daddy. Kalau kau tak cakap, daddy takkan tahulah.”
“Kalau
aku tak beritahu pun, Daddy Carl tetap akan tahu. Kau dah lupa kau anak siapa?”
Aurora
mencebik. Meluat mendengar kata-kata Zafrin. Dasar penyibuk! Mentang-mentanglah
dia tu anak emas kesayangan daddy, semua benda nak tunjuk bagus. Urgh! Benci!
“Jadi…”
meleret suara Zafrin, membatalkan terus niat hendak pergi.
“Macam
mana malam pertama dekat rumah baru?”
“Biasa-biasa
aje.”
“Boleh
tidur?”
Aurora
berdecit. Apa punya soalan ni? Mestilah boleh tidur! Walaupun dia minum kopi,
matanya terus layu seawal jam 11 malam. Selesai menyiapkan tugasan kuliah malam
tadi, dia tertidur kat meja belajar sehingga subuh.
“Okey…
okey. Salah soalan.” Zafrin mengangkat tangan seolah-olah baru diacukan senjata
ke depan muka. Senyumannya condong ke kiri. Merasa sedikit kelakar melihat
wajah Aurora.
“Dah
berkenalan dengan jiran-jiran baru?”
Aurora
terdiam. Fikirannya mula melayang teringatkan kejadian di apartmennya. Jiran?
Alahai. Tak kenal pun tak apa kut? Daripada dia sakit kepala melayan perangai
manusia yang pelik-pelik, lebih baik dia melayan lagu-lagu kegemarannya.
Spontan Aurora mengeluarkan telefon pintar dan menjolok fon telinganya ke
lubang telinga.
Lagu
nyanyian Breaking Benjamin bergendang ke seluruh pelosok pendengarannya.
Kemudian, dia bangun tanpa menghiraukan Zafrin dan berlalu tanpa pamitan.
No comments:
Post a Comment