Monday, 23 December 2019

AURORA Bab 15


Tamat saja perbincangan di perpustakaan pada petang itu, Aurora segera menuju ke tapak parkir. Di tangannya penuh dengan buku teks, kertas-kertas soalan semester lepas serta beberapa keping nota tutorial. Lenguh tangannya sudah tidak dapat ditahan lagi, begitu juga dengan matanya yang sejak tadi lagi sudah memberat. Dia mahu segera sampai ke apartmen dan berehat kerana sejak malam tadi lagi dia tidak cukup rehat kerana mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan tugasan kuliah yang bertimbun-timbun.

Beberapa meter sebelum tiba ke keretanya, Aurora terpegun di pertengahan jalan. Habis berterabur segala barang yang berada di tangan sebelum menonong ke keretanya dengan muka menayang terkejut.

“Ya Allah!” hanya nama tuhan saja yang mampu disebutnya tatkala melihat keadaan kereta kesayangannya.

Beberapa kali dia berpusing mengelilingi Myvi birunya itu lantas menyentuh badan kereta itu dengan hujung jari telunjuk. Kesan-kesan calar seperti telah ditoreh dengan benda tajam menyebabkan kemarahan Aurora mula membuak-buak.

Apatah lagi setelah melihat keempat-empat tayar keretanya turut dipancitkan dengan sengaja. Cis! Tak guna! Siapa punya kerja ni?

Aurora menghentakkan kaki melepas bengang. Hampir gugur air matanya apabila melihat keadaan keretanya seperti itu. Sambil menelefon seseorang, sambil itu dia meliarkan mata ke sekitar kawasan berdekatan mencari-cari jika ada kamera litar tertutup.

Berang setelah panggilannya tidak dijawab, Aurora menendang salah satu tayar melepas geram. Lancar bibir mengomel tidak puas hati. Penat mengomel, Aurora akhirnya duduk mencangkung berdekatan dengan kereta sambil mengesat air mata yang tiba-tiba saja luruh ke pipi.

Sebak dadanya melihat Myvi kesayangannya itu telah dicalar-calarkan dan dirosak-rosakkan seperti itu. Cat kereta yang turut tertanggal di beberapa bahagian pada kereta itu menyebabkan Aurora hampir meraung. Kalaulah dia tahu siapa punya kerja, dia akan pastikan orang itu menerima padah!

Bukannya baru sehari dua dia menggunakan kereta itu. Sudah lebih setahun Myvi itu berjasa kepadanya. Disebabkan itulah dia terlalu bengang dan marah setelah melihat keadaan keretanya itu.

“Aurora.” Tiba-tiba terdengar satu suara menegurnya.
Lekas-lekas Aurora mengesat air matanya.

“Kau buat apa dekat situ?” Zafrin yang baru muncul di depan muka memandang Aurora dengan pelik. Hairan melihat gadis itu sedap saja mencangkung di sisi keretanya di tengah panas begini.

Dia ternampak kelibat Aurora berada di situ sejak dari pintu utama perpustakaan lagi. Niat untuk ke fakulti segera dimatikan setelah mendapati seperti ada sesuatu yang baru menimpa gadis itu.

“Tak ada apa-apalah,” dalih Aurora sambil mengesat-ngesat hingus yang turut meleleh. Sengaja tidak mahu mengkhabarkan apa-apa pun kepada Zafrin kerana tidak bersedia membiarkan lelaki itu melihat dia dalam keadaan sedih begini.

“Kenapa kau nangis?”

“Mana ada aku menangis,” dalih Aurora lagi masih terus menyapu-nyapu wajah sendiri.

Tidak percaya dengan kata-kata Aurora, Zafrin memandang badan Myvi milik Aurora.

“Apa yang dah jadi ni? Kenapa dengan kereta kau ni? Siapa yang buat macam ni?” bertalu-talu soalan yang Zafrin hulur. Sambil itu, dia bangun memeriksa keadaan Myvi yang dah tak serupa kereta.

Mendengar soalan Zafrin, air mata Aurora kembali gugur. Betapa hatinya begitu sakit mengenangkannya.

“Boleh tak jangan nangis? Sekarang ni, kau beritahu siapa yang buat macam ni dekat kau?” tak semena-mena saja Zafrin tunduk dan mencangkung di hadapan Aurora. Sempat lagi tangannya naik ke pipi Aurora untuk mengesat sisa air mata gadis itu tetapi Aurora cepat-cepat menepis lantas bangkit.

“Manalah aku tahu siapa yang buat. Kalau tidak, aku tak duduk dekat sini…” ujar Aurora dalam nada tersekat-sekat.

“Kau ada syak sesiapa tak?”

Lama Aurora terdiam, cuba mencari gali siapa gerangan manusia yang biadap itu. Sanggup orang itu buat seperti ini? Kesalahan apa yang Aurora dah buat padanya sehingga tergamak memperlakukan harta kesayangannya seperti ini?

Adakah Burn? Melati? Atau Intan?

Ah! Aurora tidak mampu meneka. Tetapi, dia tahu. Dalam kolej ini, hanya manusia bertiga itu saja yang suka menimbulkan masalah di dalam hidupnya.

Namun, fikirannya ligat memikirkan apa yang terjadi di kafeteria pada tengah hari semalam.

“Aku rasa ini semua kerja Burn.”

“Kau pasti ke ni?”

Aurora mengangguk penuh kepastian. Dia yakin ini semua kerja Burn. Burn pasti melakukan semua ini semata-mata hendak membalas dendam. Dia masih ingat apa yang terjadi di antara dirinya dan Burn semalam. Ketika dia dan Mya sedang melepak di kafeteria, Burn tiba-tiba datang kepadanya untuk mencari pasal.

Disebabkan geram punya pasal, terus saja Aurora menyimbah wajah lelaki itu dengan air sekaligus memalukan lelaki itu di hadapan kawan-kawannya serta pelajar-pelajar yang turut berada di kafeteria. Jadi, disebabkan itulah Aurora merasakan ini semua ada kaitan dengan Burn.

“Aku pasti semua ni kerja Burn.”
“Macam mana kau tahu? Kau ada bukti ke?”
“Memang aku tak ada bukti tapi aku yakin semua ni kerja dia.”
“Tapi untuk apa dia buat semua ni?”
“Sebab nak balas dendam.”
Ternaik kedua kening Zafrin mendengar penjelasan Aurora.

“Jangan tuduh melulu, Aurora. Aku tahu Burn tu suka cari pasal dan buat hal dengan ramai orang. Tapi… aku rasa tak baik kau menuduh dia tanpa bukti. Silap tuduh, boleh jatuh fitnah.” Zafrin seolah-olah tidak boleh menerima kata-kata Aurora itu. Dia sedar selama ini Burn memang suka menimbulkan masalah kepada ramai pelajar tetapi dia tak rasa yang Aurora patut tuduh melulu. Kut ya pun, kenalah ada bukti.

“Eh, kau tak payah nak membebel boleh tak? Aku cakap aku pasti tu maknanya aku pastilah. Tak ada orang lain lagi yang akan buat macam ni.”

Tak ayal, Aurora mengaturkan langkah menuju ke kafeteria utama tanpa menghiraukan Zafrin. Ada perhitungan yang perlu dibuat. Dia tahu, waktu petang begini sudah tentu Burn sedang melepak di sana untuk meneruskan agenda hariannya dengan mengganggu pelajar lain. Dia mahu bersemuka dengan Burn dan meminta ganti rugi atas kerosakan yang telah dilakukannya.

“Aurora, nanti dulu!” lengan Aurora terus saja dilelar oleh Zafrin setelah lelaki itu berjaya menyaingi langkahnya. Berlaku sedikit pergelutan di antara mereka berdua sebelum Aurora memutuskan untuk membatalkan niatnya ke sana.

“Aku hantar kau balik. Pasal kereta kau tu, sekejap lagi aku telefon kawan aku minta tolong uruskan.”

“Tak payah.”

“Jangan tunjuk degil boleh tak? Aku cakap aku hantar kau balik. Biarlah kawan aku uruskan kereta kau tu…”

“Aku boleh balik sendiri!” terjegil-jegil mata Aurora dibuatnya kerana menahan bengang kepada Zafrin. Sudahlah tidak dapat melunaskan kemarahannya kepada Burn, sekarang ni Zafrin pula asyik memaksanya agar mengikut lelaki itu pulang.

“Aku tak nak balik. Selagi aku tak bersemuka dengan Burn, aku tak boleh duduk diam. Kau… kau jangan halang aku boleh tak?” terketap-ketap bibir Aurora akibat menahan sedih yang mula menghurung hatinya semula. Entah kenapa, melihat keadaan kereta kesayangannya… terus hati berdetik dengan rasa yang pelbagai.

“Aurora, relaks boleh tak?”

“Macam mana aku nak relaks, Zafrin? Kereta aku teruk dijahanamkan sampai macam tu. Kau tak nampak ke?” Aurora mengerling Myvi miliknya. Ah! Sakit sungguh hatinya.

“Benda kecil aje, kan? Kereta tu boleh dibaiki. Badan kereta tu boleh dicat baru. Tayar pun boleh ditukar ganti.”

“Senang saja kau kau cakap, kan?”

Melihat air muka Aurora membuatkan Zafrin mula berasa serba salah. Aduhai! Dia tersalah cakap ke?

“Aurora, boleh tak jangan sedih sampai macam ni? Berhenti menangis. Aku tak suka tengok kau macam ni. Lagi pun, aku rasa kereta tu masalah kecil aje. Kalau tak boleh dibaiki, kau minta Daddy Carl belikan kereta baru.” Lancar mulut menyusun ayat dengan sengaja membuat lawak tetapi jelingan Aurora pula yang diterimanya.

“Masalah kecil? Kau buta ke? Tak nampak macam mana keadaan kereta aku tu? Sakit hati aku ni tahu tak?” Aurora menuding keretanya. Dari bahagian hadapan sehingga ke bahagian belakang, habis penuh dengan kesan seperti ditoreh. Manalah dia tidak sakit hati?

“Kereta cabuk pun nak kecoh…” gumam Zafrin sambil merengus.

“Kereta cabuk bagi kau tapi pada aku, ini nyawa aku. Kereta ni aku beli dengan hasil titik peluh aku sendiri. Kau memang takkan faham sebab kau beli kereta canggih kau tu guna duit mak bapak kau!” tempelak Aurora melepas bengang setelah terdengar apa yang Zafrin omelkan tadi.

“Okey… okey… aku minta maaf sebab cakap macam tu. Sekarang ni, bagi aku hantar kau balik. Hal kereta kau, nanti kita sama-sama fikir nak buat apa. Aku janji dengan kau… aku akan tolong kau selesaikan hal ni. Kalau betul Burn punya kerja, aku sendiri takkan lepaskan dia. Aku janji!” Zafrin bersungguh-sungguh mengangkat tangan membuat ikrar di hadapan Aurora.

Melihat itu, entah kenapa hati Aurora yang tengah panas mendidih seperti air yang sedang dimasak di atas dapur terus saja menyejuk.

Kata-kata Zafrin berjaya membuatkan perasaannya yang bergolak mula tenteram. Malah, pandangan redup Zafrin itu turut melenyapkan rasa marahnya terhadap Burn dengan sekelip mata.

“Jom, kita balik.”

Ajakan Zafrin itu benar-benar telah membuatkan Aurora bagaikan disihir. Tanpa tolakan, laju saja kaki mengekori Zafrin ke arah Ferrari.

***

            Urusan kereta telah selesai tetapi Aurora kecewa sikit sebab Myvi kesayangannya itu terpaksa masuk ke bengkel selama beberapa hari kerana perlu dibaiki dan dicat baru. Pergi dan balik dari kolej setiap hari, semuanya dengan Zafrin. Pulang ke rumah keluarganya hujung minggu itu pun, Zafrin yang hantarkan. Tidak sampai beberapa jam dia pulang ke sana, lelaki itu kembali memunculkan diri di hadapan pintu utama.

            Aurora yang sedang bersiap-siap hendak keluar ke bandar tidak menjangka kehadiran Zafrin itu semata-mata untuk menemaninya dan menggembirakannya. Disebabkan untuk membalas kebaikan yang Zafrin dah hulur kepadanya selama beberapa hari ni, dia reda sajalah apabila Zafrin hendak menemaninya keluar. Lagipun mommy yang minta Zafrin temankannya kerana risau membiarkan dia keluar seorang diri.

            Di separuh jalan, tiba-tiba saja Aurora meminta Zafrin memberhentikannya di sebuah stesen LRT berdekatan. Tidak pasal-pasal saja Zafrin terpaksa meninggalkan keretanya di bawah stesen dan ikut Aurora menaiki LRT.

            Terkial-kial Zafrin hendak membeli tiket menaiki LRT. Mesin yang berada di hadapannya direnung lama. Dia mula menggelabah kerana tidak tahu bagaimana caranya untuk membeli tiket. Selama ini, dia hanya bergerak ke mana-mana menggunakan kereta. Jarang sekali dia menjejakkan kaki ke dalam pengangkutan awam jadi disebabkan itulah dia lupa caranya untuk mendapatkan tiket dan berurusan dengan mesin.

            “Kau tercegat dekat situ lagi buat apa?” soal Aurora yang baru saja mengeluarkan beberapa keping wang kertas dari dalam dompetnya.

Senyuman mula tersimpul di bibir tatkala menyedari wajah menggelabah yang Zafrin tayangkan.

“Err… err…” Zafrin menggaru-garu belakang tengkuk. Dengan rasa segan, dia tunjukkan ke arah skrin di hadapan matanya. Sumpah dia tak reti nak guna. Nak tekan apa pun dia tak tahu. Risau juga kalau dia tersalah tekan, dia tak boleh naik tren pula.

“Isk, kau ni! Tak reti baca arahan ke? Tekan ajelah skrin tu ikut arahan.”

“Yalah. Masalahnya, kita nak ke mana? Karang aku tekan tempat lain, kau tekan tempat lain… kan dah tak sama?”

Aurora mencebir. Eleh. Selalu suka tunjuk hero. Bila nak naik LRT, terus hilang taring sebagai hero. Kelakarlah dia ni! Aurora ketawa dalam hati.

Tangan terus menekan skrin, membantu mendapatkan tiket untuk Zafrin.

“Nah, tiket kau. Lain kali, tekan saja destinasi jalan menuju kebenaran,” cebir Aurora sebelum ketawa.

“Itulah padahnya. Bila orang lain naik pengangkutan awam, kau sibuk ke hulu ke hilir bawa singa merah kau tu. Lepas tu, nak beli tiket pun tak reti.” Sempat lagi Aurora membebel pada Zafrin seraya masuk ke ruang platform LRT.

Keadaan di situ sangat sesak. Penuh dengan orang ramai yang kebanyakannya mahu menuju ke pusat bandar. Disebabkan sesak dengan pelbagai manusia dan disertai oleh cuaca yang panas, wajah Zafrin mula kemerah-merahan akibat tidak dapat menahan hangat. Begitu juga dengan peluh yang sudah melekat-lekat di pipi dan dahinya. Pakaian yang dipakainya turut lencun. Puas dia mengibas-ngibaskan t-shirt yang tersarung di tubuh, masih tetap dia merasa panas.

“Nah,” tiba-tiba saja Aurora menyuakan sebungkus tisu kepada Zafrin.

Thanks. Macam tahu-tahu aje kan yang aku tengah tahan panas? Aku rasalah, sikit saja lagi kalau tren tak sampai… mahu aku pengsan dekat sini juga. Dah la panas, sesak pula tu. Tempat duduk pun tak ada yang kosong. Dekat sini memang tak disediakan aircond ke? Macam manalah orang lain boleh bertahan naik tren setiap hari kalau macam inilah keadaannya?” kuat Zafrin membebel sambil mata mengitari ke sekitar platform.

Di satu sudut, dia lihat ada wanita yang sedang mendukung anak kecilnya sambil berbual-bual dengan seorang wanita yang lain. Di satu sudut pula, dia tengok ada sekumpulan remaja lelaki sedang bergurau senda dan bertepuk tampar sesama sendiri. Di satu sudut yang lain, ada pula beberapa orang yang sedang membelek telefon tanpa menghiraukan orang sekeliling.

Yang hairannya, masing-masing buat tak tahu saja dengan keadaan yang panas berbahang. Apa… tak ada perasaankah mereka semua? Takkan dia seorang saja yang rasa macam nak pengsan sekarang ni?

“Bisinglah kau ni. Mulut tu tak reti nak diam. Padan muka. Siapa suruh ikut aku?” selamba Aurora memerli Zafrin. Tak ada sesiapa yang memaksa lelaki itu mengekorinya. Lepas itu, ada hati pula nak kompelin macam-macam. Sekarang, rasakanlah!

Aurora memasang senyuman nipis setelah melihat gerabak tren semakin menghampiri platform. Tanpa bertangguh-tangguh, laju kaki melangkah memasuki gerabak tanpa menghiraukan Zafrin. Zafrin yang terpinga-pinga terus mengekori Aurora dan berdiri rapat di belakang gadis itu sebelum pintu tren tertutup dua minit kemudian.

Zafrin mengesat peluh dengan belakang tangan. Lega kerana tubuhnya mula terasa sejuk akibat disimbahi angin daripada pendingin hawa di dalam tren. Lima minit setelah itu, dia menyedari bahawa dirinya seolah-olah seperti dipandang dan diperhatikan.

Dia memandang kiri dan kanannya. Ada beberapa pasang mata yang sedang menjeling-jelingnya. Wajah Aurora ditatap. Niat untuk bertanya terpaksa dimatikan apabila gadis itu seperti tidak mempedulikan apa-apa setelah fon telinga disumbat ke lubang telinga, menghayati muzik seperti selalu.

Tren berhenti di stesen seterusnya. Pintu tren terbuka. Masuk lebih ramai manusia ke gerabak yang dipilih mereka. Kali ini, semakin bertambah manusia yang sedang merenungnya.

Zafrin mendekatkan hidungnya dengan t-shirt sendiri. Takkan sebab bau badan dia? Tak mungkin. Sebelum keluar rumah tadi, puas dia sembur minyak wangi mahalnya ke badan sendiri. Jadi, soal bau badan tidak perlu timbul.

Rambut pula dibetulkan. Seperti minyak wangi, dia turut mengemaskan rambutnya dengan perapi sebelum keluar tadi. Tak mungkin rambutnya yang menyebabkan ramai yang sedang memandangnya seperti alien. Kemudian, jari merayap pula ke matanya. Memeriksa kalau-kalau ada tahi mata yang melekat di situ. Walaupun dia yakin yang wajahnya bersih daripada sebarang benda asing, dia sekadar mahu memastikan.

Tiada apa-apa yang pelik pun!

“Aurora.” Tegurnya akibat tidak tahan lagi berteka teki begini.

“Hmm?” soal Aurora tanpa memandang Zafrin.

“Aku nak tanya sikit…” bisiknya rapat di telinga gadis itu setelah menarik fon telinga kepunyaan Aurora.

“Apa?”

“Kenapa orang duk pandang-pandang aku semacam? Ada apa-apa ke dekat muka aku ni?”

“Entah,” jawab Aurora sepatah sambil menjongket bahu.

“Tengoklah betul-betul. Ada benda yang melekat dekat muka aku ke?”

Aurora memanggung kepala, mencari mata Zafrin. Senyuman yang hampir menguntum segera disorokkan sebelum Zafrin menyedarinya. Sekilas dia memandang sekeliling mereka. Dia tahu memang ramai yang sedang memandang Zafrin. Ada yang menjeling-jeling dan berbisik-bisik sesama sendiri. Ada juga yang mula menayang wajah tidak selesa. Zafrin mungkin tak faham tetapi dia cukup faham kenapa ramai penumpang yang menunjukkan reaksi sebegitu.

Aurora memberi isyarat agar Zafrin tundukkan sedikit wajahnya agar mudah untuk Aurora memberitahu sebab musababnya kepada lelaki itu.

“Diorang semua pandang kau pelik sebab kau tu lelaki.”

“Jadi, apa salahnya kalau aku ni lelaki? Bukannya aku seorang lelaki yang ada kat…” terhenti kata-kata Zafrin setelah memandang sekelilingnya.

Baru kini dia tersedar bahawa hanya dia seorang saja lelaki yang berada di gerabak itu. Meliar-liarkan mata ke sekeliling mencari-cari kelibat penumpang lelaki, mata Zafrin akhirnya berhenti pada satu tanda besar yang melekat di dinding tren yang sedang laju bergerak.

Perkataan Coach For Ladies Only membuatkan air liur yang mahu ditelan menjadi kesat.

***

“Seronok gelakkan aku?” menggerutu geram Zafrin dibuatnya apabila mendengar tawa Aurora yang masih tak surut sejak mereka keluar dari tren.

“Lepas ni, aku tak nak naik tren lagi!” Zafrin memutuskan.

Mengingati semula kejadian memalukan yang berlaku di dalam tren, dia rasa yang dia tak akan jejakkan kaki lagi ke sana. Apabila menyedari hanya dirinya menjadi satu-satunya lelaki yang berada di dalam gerabak khas untuk wanita, kelam kabut dia mengheret Aurora meninggalkan gerabak itu.

Huh! Manalah agaknya dia hendak meletakkan mukanya? Tak pasal-pasal saja wanita-wanita di dalam gerabak itu tadi memikirkan yang bukan-bukan pasal dia. Mereka mungkin fikir dia lelaki gatal atau manusia yang tak faham dengan arahan pada papan tanda sedangkan dia tak tahu menahu langsung yang dia telah tersalah masuk gerabak.

Kenapalah pihak pengurusan tren itu perlu mewujudkan diskriminasi sebegitu? Tak pasal-pasal saja dia yang terpaksa menanggung malu.

“Padan muka kau. Tuhan bayar cash pada kau sebab kompelin macam-macam,” ucap Aurora rendah sambil terus memegang perut kerana tidak tahan melihat air muka Zafrin yang keruh.

Tiba-tiba saja Zafrin tersenyum.

“Kenapa kau senyum pula? Takkan suka kut dapat balasan cash macam tadi?”

“Dah lama aku tak tengok kau ketawa macam ni…” balas Zafrin sambil membulatkan mata.

Aurora terus terdiam. Sungguh dia sendiri pun tak menyedari yang dia asyik ketawa sejak tadi. Jika Zafrin tak tegur, dia rasa yang dia pasti akan terus ketawa. Tapi, memang betullah kata Zafrin. Sudah lama dia tidak ketawa seperti ini. Dah lama dia tak rasa gembira seperti ini. Hanya disebabkan Zafrin ‘dimalukan’ di dalam tren tadi, dia sudah boleh ketawa terbahak-bahak seperti tak ada hari esok.

Berbahang-bahang kulit muka Aurora dibuatnya. Kelam kabut dia mengatur langkah menuju ke sebuah kedai buku. Puas membelek perkakas melukis, dia bergerak pula ke rak yang menempatkan buku-buku motivasi sebelum berhenti di rak yang menempatkan novel berbahasa Melayu dan Inggeris. Sebuah novel dicapai. Membelek depan dan belakang lalu meletakkannya kembali. Perkara itu diulang sehingga novel kelima dicapainya.

“Novel ni terbitan syarikat Mommy Alisa, kan?” aju Zafrin secara tiba-tiba dari tepi.

Aurora mengangguk. Disebabkan novel-novel itu terbitan syarikat mommynya, sengaja dia membelek-beleknya. Ada pelbagai tajuk yang berada di rak itu tetapi satu pun dia tak minat nak baca sebab dia bukanlah suka membaca novel.

“Kau dah baca novel ni?” soal Zafrin sambil mencapai sebuah novel sederhana tebal dari atas rak.

Aurora menggeleng.

“Tak minat. Daripada aku baca novel, lebih baik aku baca komik.”

“Nampaknya gen daddy lebih kuat daripada gen mommy…” bisik Zafrin seperti bercakap seorang diri.

“Lepas ni, kita nak ke mana?” soal Zafrin semula sambil membontoti Aurora keluar dari kedai buku tanpa membeli apa-apa.

“Entah…” kedua bahu diangkat. Jujur dia memang tak tahu hendak ke mana. Senang kata, dia tak ada tujuan. Dia keluar pun sebab nak hilangkan tekanan akibat keretanya terpaksa masuk ke bengkel selama beberapa hari.

Zafrin senyum. Terfikir tentang satu tempat. Kalut kaki melangkah ke sana, mengheret Aurora bersamanya.

Zafrin melabuhkan punggung ke kerusi setelah memasuki sebuah kedai emas. Bulat matanya memandang rak pameran yang mempamerkan pelbagai jenis barang kemas. Daripada rantai, cincin, gelang, anting-anting… semuanya dipandang.

Aurora juga begitu. Lama dia merenung ke cermin kaca yang berada di hadapannya. Seperti dipukau, laju saja dia meminta pekerja di situ mengeluarkan seutas rantai tangan.

“Kau suka?”

“Tak la suka sangat. Tapi, dah alang-alang kau heret aku masuk ke sini… apa salahnya aku cuba. Kalau aku berkenan, aku nak beli satu. Manalah tahu bila aku memerlukan duit satu hari nanti, senang aku nak gadaikan rantai ni.”

Zafrin ketawa-ketawa mendengar ayat bersahaja Aurora itu. Ke situ pula dia ni!

“Kau nak beli emas ni, kau ada duit ke?”

“Kau ingat aku miskin sangat ke sampai tak mampu nak beli?” Aurora menjeling tajam kepada Zafrin. Kenapa? Nampak sangat yang mukanya macam muka orang tak mampu?

Zafrin tersengih-sengih. Sengaja hendak mengusik Aurora. Dia sendiri tahu yang Aurora lebih daripada mampu. Setiap bulan gadis itu menerima elaun daripada mommy dan daddy. Bukan itu saja, Azreel dan Awatif pun selalu memberikan duit belanja kepada Aurora tetapi dia jarang sekali menggunakannya tanpa tujuan. Dia tahu yang Aurora memang seorang yang pandai berjimat cermat dan hanya menggunakannya jika benar-benar memerlukan.

“Aurora… pinjam jari kau sekejap.” Zafrin meminta Aurora menghulurkan jarinya sesudah sebentuk cincin sudah pun berada di dalam genggamannya. Mendengarkan permintaan luar jangka Zafrin itu, Aurora menayang kerutan seribu di dahinya.

“Nak buat apa?”

“Bagi ajelah. Jangan banyak tanya.”

“Aku cuma nak pastikan sama ada cincin ni muat atau tidak dengan jari kau. Sinilah jari kau tu!” sambung Zafrin setelah menarik lengan Aurora.

“Hmm. Ngam dengan jari kau. Kau rasa, cincin ni cantik tak?” soal Zafrin lagi sambil merenung cincin yang sudah tersarung cantik di jari manis Aurora.

“Bolehlah…” Aurora mencebir. Teruk betul citarasa si Zafrin ni. Cincin yang gayanya seperti mak datin ini dia kata cantik? Silau matanya lagi adalah. Sudahlah besar gedabak. Ini… kalau tersagat dekat hidung, mahu berdarah!

“Maknanya apa? Cantik atau tidak?”

Sekali lagi Aurora mencebir. Kalau ditanya pendapatnya mengenai pilihan cincin yang digemari dan cantik di matanya, sudah tentulah rekaan ringkas dan moden dengan hiasan minima yang akan menjadi pilihannya.

Aurora tiba-tiba terdiam. Beberapa detik berlalu, baru dia berpaling memandang Zafrin. Entah kenapa seperti berlaku sesuatu seketika tadi. Melihat wajah bersahaja Zafrin, cepat-cepat dia buang segala rasa itu.

“Aku rasa yang ini paling cantik. Kau suka?” Zafrin menyarungkan pula sebentuk cincin yang baru dihulur oleh pekerja kedai kepadanya.

“Kau beria-ia pinjam jari aku ni… kau nak belikan cincin ni untuk siapa? Mama Anggerik?”

“Tak.”

“Dah tu?”

“Adalah. Rahsia.” Balas Zafrin sambil memandang cincin yang tersarung di jari Aurora.

“Eh-eh. Dah pinjam jari aku, lepas tu ada hati pula nak berahsia. Nah lah… ambil balik cincin kau ni.” Aurora menjeling lalu mencuba sebentuk cincin yang baru dihulurkan oleh pekerja kedai emas.

 “Cik, saya nak beli yang ini.” Zafrin tunjuk cincin yang baru saja dicuba oleh Aurora.

“Aku harap, bila aku bagi cincin ni dekat orang tu nanti… dia sukalah dengan pemberian aku ni. Tapi, kalau dia tak suka… aku akan salahkan kau sebab kau yang pilih cincin ni!” Zafrin menayang-nayang beg kertas yang mengandungi kotak cincin tadi ke hadapan muka Aurora setelah mereka beredar dari sana.

Aurora memutar-mutarkan bebola mata ke atas. Kesahlah pula dia kalau orang tu tak suka dengan rekaan cincin pilihannya? Tapi… siapa ya perempuan yang bakal menerima hadiah pemberian Zafrin itu? Teka teki itu hanya bersarang di kepala Aurora.

***

“Aurora. Kau pernah datang ke sini tak?” soalan pertama yang Zafrin hulur ketika mereka berdiri di hadapan pintu masuk ke sebuah taman permainan Wonderskate yang terletak dalam pusat membeli belah membuatkan Aurora terdiam.

Lama Aurora merenung ke papan tanda Wonderskate sebelum mengerutkan kening. Perlahan-lahan dia menggeleng. Wajah Zafrin sedikit berubah tetapi lekas-lekas dia memasang senyuman nipis.

“Nak masuk?”

“Sekarang?”

“Habis tu… takkan tahun depan pula? Jomlah!”

“Eh, Zafrin. Nanti dulu!” Aurora sengaja mengeraskan tubuh di pertengahan jalan sehingga Zafrin turut berhenti melangkah. Niat untuk ke dalam terbantut serta merta. Tadi, Zafrin ajak masuk ke kedai emas. Sekarang, ajak dia masuk Wonderskate pula. Dah buang tebiat ke apa mamat ni?

“Kenapa?”

“Kau nak ajak aku main kasut roda?”

“Yalah. Kenapa?”

“Kau tak rasa ke main benda alah ni macam budak-budak?”

Zafrin ketawa-ketawa. Sambil ditunjukkan ke dalam, sambil itu dia memandang Aurora dengan kening yang terjongket.

“Tak ada pun papan tanda yang melarang orang dewasa main kasut roda. Lagi pun, dekat dalam sana ada ramai orang dewasa yang tengah tunjuk skil. Jom, kita masuk!”

Selesai urusan di kaunter dan menyewa kasut roda, mereka bergerak ke kawasan loker untuk menyimpan barang peribadi.

“Zafrin, kau serius ke ni?” aju Aurora lagi masih tidak berpuas hati.

“Kenapa?”

“Yalah. Kau nak ajak aku main kasut roda?”

“Serius la. Kita dah sewa pun. Nah, pergi pakai cepat. Aku tunggu kau kat depan tu…” kasut roda dihulurkan kepada Aurora sebelum berlalu meninggalkan gadis itu.

Zafrin menanti lama kemunculan Aurora tetapi gadis itu tak juga muncul sehingga dia terpaksa berpatah balik. Sejurus saja kembali, terlihat Aurora sedang berbual-bual dengan seorang lelaki. Terus hatinya menjadi panas menggelegak melihat itu.

“Buat apa dekat sini? Aku tunggu kau dah lama tahu tak?” Zafrin bercekak pinggang, merenung Aurora dan memberi amaran dalam diam tanpa menghiraukan Firdaus. Lelaki itu sedikit terpinga-pinga melihat kehadiran Zafrin.

Sempat dipandang Aurora yang turut terpinga-pinga melihat wajah tegang Zafrin. Ketika dia sedang bertugas di kawasan loker, dia ternampak kelibat Aurora. Sebab itulah dia datang menegur gadis itu sebelum dia menyambung tugasannya sebagai pekerja separuh masa di Wonderskate ini.

“Kau nak main kasut roda ke tak nak?” aju Zafrin lagi dengan suara yang semakin keras.

Berbulu-bulu betul matanya melihat Firdaus berada di sisi Aurora. Ah! Kenapa dia harus berada di mana saja mereka berada?

“Naklah. Kan kita dah sewa kasut roda ni?” balas Aurora kembali, mengajuk percakapan Zafrin.

“Habis tu… buat apa dekat sini lagi?”

“Daus, saya pergi dululah ya. Jumpa lagi.” Sempat Aurora menghadiahkan senyuman kepada Firdaus sebelum bergerak meninggalkan kawasan loker.

Zafrin yang sakit hati melihat Firdaus membalas senyuman Aurora hanya memandang tajam lelaki itu. Firdaus terkulat-kulat. Rasa serba salah dibuatnya melihat pandangan Zafrin itu. Lekas-lekas dia meminta diri dan meneruskan tugasnya yang tergendala sebentar tadi.



Friday, 20 December 2019

AURORA Bab 13 & Bab 14


Bab 13

Aurora mencapai begnya lantas berlalu keluar dari kereta Zafrin sebaik saja Ferrari merah itu masuk ke tapak parkir.

“Aurora!” Zafrin melaung ketika gadis itu hendak menapak ke lif.

“Apa?”

“Nak aku temankan kau sampai ke atas tak?”

“Tak payah.”

“Eh, nanti Daddy Carl tanya…”
Aurora menayang telapak tangan dan membuat muka jelek kepada Zafrin. Lelaki inilah! Sikit-sikit daddy!

“Boleh tak satu hari saja dalam hidup kau, tak sebut pasal daddy?”

Zafrin tergelak. Tahu sangat apa yang Aurora sedang fikirkan.

Mengangkat tangan tanda menyerah, Zafrin berlalu pergi meninggalkan Aurora sendiri. Aurora menghantar kelibat Ferrari merah menderu laju keluar dari kawasan blok apartmennya sebelum menapak ke lif dengan hati yang tersisa rasa amarah.

Sampai di tingkat apartmennya, habis segala bebelan dan omelan dilepaskan. Gagau kunci dari beg pun rasa macam nak pukul orang.

Pap! Buk!

Kelam kabut dia dibuatnya setelah begnya jatuh ke lantai. Habis berterabur barang ke bawah. Geram punya pasal, beg pula yang menjadi mangsa. Cuba mengemas barang yang berselerakan, terdengar pula pintu gril jiran sebelah ditolak.

Aurora panggung kepala. Terlihat si jiran muncul di sebalik pagar. Mata keduanya berlaga. Muka ketat si jiran membuatkan Aurora lekas-lekas mengemas lalu menyumbat barang-barangnya dengan kelam kabut ke dalam beg sebelum tergesa-gesa memboloskan diri ke dalam.

Bam!

Pintu ditutup rapat. Dada dipegang kuat. Tubuh bersandar rapat di belakang pintu sambil menahan debar. Terkejut melihat kemunculan si jiran yang tak diduga.

Raimi yang melihat aksi kelam kabut Aurora tadi hanya mengerut kening. Lama matanya jatuh ke arah pintu apartmen gadis itu.

“Perempuan ni dah kenapa? Macam nampak hantu!” omelnya tidak faham dengan gelagat si gadis.

Baru menutup pintu gril dan hendak menguncinya, matanya terpaku ke lantai. Sebuah buku terdampar di situ. Perlahan-lahan dia bergerak menghampiri pagar apartmen Aurora. Menunduk. Mengutip buku di lantai.

“Apa yang buatkan dia kelam kabut sangat ni? Sampai barang sendiri tercicir pun tak sedar. Menggelabah!”

Buku dipegang. Berkira-kira hendak menekan loceng apartmen Aurora dan memulangkan semula barang kepunyaan si gadis. Namun, niat itu segera terbatal apabila tangannya secara tak sengaja menyelak helaian buku tersebut. Matanya terpaku.

“Lukisan apa ni?”

Sehelai demi sehelai diselaknya. Semakin dia melihat isi di dalam, semakin dia berasa sesuatu. Berkerut-kerut mukanya, cuba menghadam lukisan di dalam buku tersebut. Tanpa membuang masa, dia berpatah balik. Masuk semula ke dalam apartmennya. Dan berkurung sehingga ke petang. Niat untuk keluar membeli barang-barang dapur di pasar raya terdekat terus dimatikan.

“Aurora Ilyssa,” sebut Raimi perlahan setelah melihat nama milik Aurora tertulis di bahagian bawah setiap lukisan. Senyuman nipis terukir. Riak berseri-seri muncul di segenap wajah.

Bersandar senang ke kerusi di hadapan meja kerjanya, Raimi mula merancang sesuatu. Sesuatu yang bakal membuatkan hidupnya berubah!

***

Raimi berjalan keluar dari bilik mesyuarat dengan senyuman lebar. Puas hati bercampur gembira mengulit perasaan. Kembang kempis dadanya apabila mengingati apa yang telah berlaku di dalam bilik mesyuarat tadi.

“Bagus, Raimi! Inilah apa yang kami mahukan. Idea awak sangat brilliant.” Puji klien setelah dia membentangkan idea kreatif untuk projek yang bakal dijalankan oleh syarikat tempat dia berkhidmat dengan syarikat milik klien tersebut.

Raimi, congratulations! Awak dah buat klien kita setuju untuk memberikan kontrak. Saya nak awak bentangkan idea yang lagi bagus dan lagi gempak selepas ini. Ingat, great idea… maknanya kenaikan pangkat sedang menanti awak!” kata-kata bosnya selepas tamat mesyuarat pembentangan dengan klien menyebabkan Raimi melebarkan senyuman.

Hempas punggung ke kerusinya, Raimi mula berangan. Naik pangkat? Itu tandanya gajinya juga akan naik dan akan memperolehi segala kelebihan dan kesenangan setelah itu. Masalahnya, ada seseorang yang cuba menghalang cita-citanya itu.

Malique. Lelaki itu pun dijanjikan kenaikan pangkat yang sama jika idea yang bakal dibentangkan berjaya membuatkan bos mereka tertarik. Seterusnya, jika klien juga tertarik… itu bermakna Malique yang akan dinaikkan pangkat. Habis tu… apa jadi dengan dia?

Ah! Tak boleh. Dia tak boleh izinkan Malique potong jalannya. Lelaki itu adalah seterunya sejak dia menjejakkan kaki ke syarikat ini. Bukan itu saja. Malique juga merupakan musuh tradisinya sejak mereka sama-sama berada di universiti. Segala apa yang dia buat, pasti Malique akan mendahului. Mereka sama-sama bersaing untuk merebut hati bos. Dan kebanyakan masa, Malique lebih menyerlah di mata bos berbanding dirinya. Tetapi….

Raimi tersenyum senang. Kerana lukisan itulah, dia berjaya meyakinkan bos sekali gus klien besar mereka akan bakat dan potensinya. Kerana lukisan itu juga dia telah berjaya mengenepikan Malique kali ini. Ya, kerana lukisan itu!

Raimi menggagau sesuatu dari dalam laci meja. Buku lukisan yang tidak dipulangkan kepada tuan asalnya dibelek. Senyuman senget terukir. Kalaulah dia boleh terus meyakinkan bos dan klien-klien syarikat yang lain tentang ideanya, sudah pasti hidupnya akan berubah. Malique pula boleh blah!

Persoalannya, patutkah dia terus menggunakan idea-idea daripada buku lukisan Aurora ini? Bagaimana kalau Aurora tahu? Ah! Tiada sesiapa yang akan tahu kalau dia tidak membuka mulut. Raimi tepuk-tepuk buku lukisan Aurora.

“Nasib baik kau tercicirkan buku lukisan kau ni. Kalau tidak, bos dan klien takkan pandang aku pun.” Berbunga-bunga hati Raimi mengenangkan apa yang baru terjadi di dalam bilik mesyuarat tadi.




BAB 14

Tepat-tepat jam 1.30 tengah hari, Zafrin menanti Aurora di sebalik dinding berdekatan kelas gadis itu. Sedap dia bersandar sambil membelek telefon pintar. Sebaik saja pelajar dalam kelas mula keluar, Zafrin segera menyimpan telefon ke poket seluar. Seorang demi seorang pelajar dipandang. Lima minit menanti, tiada kelibat Aurora yang kelihatan.

“Dia tak masuk kelas ke?” berkerut keningnya. Mya yang baru melepasi Zafrin ditahan. Bertanya dengan kalut kepada gadis itu akan keberadaan Aurora.

Sejurus mendapatkan maklumat, Zafrin terus menanti Aurora di situ. Matanya mencerun ke arah Aurora setelah gadis itu keluar dari kelas beriringan dengan seorang pelajar lelaki. Kemesraan yang terpamer membuatkan Zafrin cepat-cepat menyorokkan diri di sebalik dinding dengan perasaan yang tak ketahuan. Nampak saja senyuman nipis milik Aurora, terbakar terus hatinya.

Langkah Aurora dan Firdaus, pelajar sekelas dengan gadis itu diekori sehingga ke kafeteria utama. Lekas-lekas Zafrin menyembunyikan diri di sebalik tiang tidak jauh dari meja yang dipilih oleh Aurora dan Firdaus. Dengan jelas dia melihat Firdaus mengeluarkan satu bekas makanan buat Aurora. Firdaus bangun dan membeli minuman buat gadis itu.

Setengah jam menjadi pengintip tak bergaji, Zafrin mula tidak keruan. Berulang kali jam diteleknya, mengharap agar masa cepat bergerak. Dan berharap agar Firdaus segera beredar dari situ.

Bengang kerana Firdaus masih kekal berada di kerusi, Zafrin bergerak ke meja mereka. Berbulu-bulu matanya melihat Aurora sedang seronok berbual dengn Firdaus. Dia nekad untuk mengganggu perbualan mereka berdua. Jika Aurora hendak berkata apa-apa atau berfikir yang bukan-bukan pun dia sudah tidak peduli. Apa yang penting, dia mesti menghentikan adegan yang dilihatnya tadi.

Tetapi, malang tidak berbau. Belum sempat tiba ke sana, dia dirempuh seseorang. Pada masa yang sama, pakaiannya terasa basah akibat tersimbah air coklat yang dibawa oleh seseorang.

“Ops! Sorry. Sorry sangat, Abang Zaf. Intan tak sengaja.” Kelam kabut Intan mengesat-ngesat pakaian Zafrin yang sudah comot dek terkena air coklatnya.

Satu senyuman tersungging di bibir dalam diam. Sambil mengerling ke meja Aurora, tangan tetap ligat membersihkan pakaian Zafrin yang dicomotkan dengan sengaja. Sejak lima belas minit yang lepas lagi dia sudah nampak Zafrin berdiri di sebalik tiang sambil menghendap-hendap Aurora.

Sakit hati apabila lelaki itu terus memandang gadis yang paling tidak disukainya di dalam kelas itu, dia sengaja bangun dan mengotorkan pakaian Zafrin dengan berpura-pura merempuh lelaki itu.

It’s okay, Intan. Sikit aje ni,” balas Zafrin sambil cuba menepis tangan Intan yang tak sudah-sudah merayap ke atas pakaiannya. Tisu dari tangan gadis itu segera dicapai dan mengesatnya sendiri tetapi kotoran yang telah terhasil tidak mungkin akan terus hilang begitu saja.

“Eh, mana boleh. Baju Abang Zaf dah kotor sangat ni. Apa kata Intan tolong cucikan?”

“Tak apa. Benda kecil aje.”

“Ini bukan benda kecil. Baju ni mahal. Intan minta maaf sangat-sangat. Sumpah Intan tak sengaja tadi. Macam inilah. Apa kata Intan ganti baju yang baru. Jom Intan bawa Abang Zaf pergi mall dan beli baju yang baru dekat mana-mana butik. Jom!” spontan tangan menarik lengan Zafrin. Mendesak dengan cara halus begitu. Selagi dia tidak membuatkan Zafrin mengekorinya, selagi itu dia tak akan puas hati. Dan selagi dia tidak menjauhkan Zafrin dari kafeteria ini, dia tak boleh duduk diam. Berbulu-bulu matanya apabila melihat Zafrin masih terus melemparkan pandangan ke arah Aurora.

“Abang Zaf, jomlah. Intan janji Intan gantikan semula.”

“Tak apalah, Intan. Bukan salah Intan pun. Saya yang berjalan tak pandang kiri kanan.”

“Janganlah buat macam ni, Abang Zaf. Intan rasa bersalah sangat kalau tak dapat nak gantikan baju untuk Abang Zaf.” Intan buat suara sedih. Tangannya masih terus memegang lengan Zafrin, berniat untuk menarik lelaki itu keluar dari sini tetapi Zafrin pula tetap berkeras dengan menepis tangan Intan.

Intanit’s okay. Hal kecil aje ni. Sekarang ni, saya tengah busy. Ada benda yang saya kena buat. Saya gerak dulu.” Kelam kabut Zafrin meninggalkan Intan ketika nampak Aurora sudah pun bangun dari kerusi dan berjalan menuju ke pintu keluar kafeteria bersama Firdaus.

“Abang Zaf! Abang Zaf!” teriak Intan dengan suara menahan bengang setelah Zafrin berlari keluar.

“Tak guna betul. Apsal dia asyik pandang perempuan pelik tu? Aku yang cantik jelita ni sikit pun dia tak nampak! Urgh!” Intan mengomel tak puas hati kerana Zafrin sedikit pun tidak menoleh. Geramnya kepada Zafrin mula memuncak. Dan lebih teruknya, dia mula meluat dengan Aurora sehingga tahap infiniti!

***

“Aurora!”

Laungan dari arah belakang membuatkan Aurora menghentikan langkah. Sikit saja lagi dia hampir sampai ke keretanya yang terparkir di hadapan bangunan fakulti, Zafrin sudah muncul di depan mata.

Atas bawah tubuh Zafrin dipandangnya. Pelik. Apsal kotor sangat baju lelaki ini? Baru lepas bergusti dengan sesiapa ke? Atau baru saja lepas mengorat awek tapi kena simbah dengan air?

Aurora silang tangan ke dada, menanti Zafrin memulakan bicara.

“Kau nak pergi mana?”

“Balik.”

“Aku nak cakap sikit dengan kau,” balas Zafrin sambil menahan rasa marah yang masih lagi tersisa. Sempat dia memandang sekeliling mencari-cari kelibat Firdaus. Ternyata, pelajar lelaki itu telah menghilang.

“Kau nak cakap pasal apa? Hal kelab?”

Zafrin bergerak mendekati Aurora. Sengaja mendekatkan dirinya dengan gadis itu sehingga jarak mereka cuma tinggal beberapa inci. Zafrin menunduk, merenung pakaian sendiri. Sambil itu tangan cepat saja menarik bajunya ke bawah agar ia menegang dan segera menampakkan kekotoran yang terhasil akibat kemalangan kecilnya dengan Intan tadi. Timbul idea di benaknya.

“Jom ikut aku pergi beli baju baru.”
No, thank you.”
“Temankan aku sekejap. Kau tak kesian ke tengok baju aku kotor macam ni, Aurora?”
“Apsal dengan baju kau?”
“Tersimbah air coklat.”
“Awek mana yang simbah kau?” Aurora mencebik.
“Tak ada sesiapalah. Jomlah.”

“Tak boleh ke kalau kau pergi sendiri? Masalah kau, selesaikanlah sendiri. Jangan libatkan aku.” Aurora juling mata. Bergerak menghampiri keretanya dengan niat untuk segera pulang. Kelas sudah tamat. Tiada apa yang perlu dibuat lagi di kolej. Lagi pun, dia ada hal yang perlu diselesaikan. Ada e-mel penting yang perlu dibalas sekejap lagi.

“Kejamlah kau ni. Aku ajak teman sekejap pun tak boleh!” Zafrin menahan pintu kereta Aurora.

“Kau ajaklah daddy. Pergi mengadu dekat dia. Kau kan anak emas kesayangan daddy?” balas Aurora dengan selamba. Tak kuasa sungguh hendak keluar menemani Zafrin semata-mata hendak membeli pakaian baru. Dah tak ada kerja sangat gamaknya.

Tak ayal, Aurora segera memboloskan diri ke dalam kereta. Tetapi, baru saja enjin dihidupkan… kuat cermin keretanya diketuk-ketuk oleh Zafrin. Mahu tak mahu, terpaksalah diturunkan cermin kereta.

“Kau nak apa lagi?”

“Kau nak balik macam itu aje? Habis, baju aku ni macam mana?”

“Apa kata kau campakkan saja ke dalam longkang?”

Melihat cermin kereta dinaikkan semula, dengan spontan Zafrin menanggalkan bajunya dan mencampakkan ke longkang berhampiran. Aurora yang menggelabah melihat Zafrin tidak berbaju begitu terus saja mengeluarkan kereta dari petak parkir dan tergesa-gesa berlalu pergi. Seram dia! Lebih seram melihat Zafrin dalam keadaan itu berbanding perasaannya ketika melihat makhluk alam lain.

Sempat lagi Aurora mengerling cermin pandang belakang. Dengan jelas dia lihat Zafrin sedang memerhatikan keretanya sambil bercekak pinggang.

“Gila betul mamat ni!” omel Aurora menahan debar di dada.



BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...