Sunday, 20 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 6

Elena mengukir senyuman kepuasan saat melihat dua puluh biji American Cheesecake, lima belas biji Victoria Sandwich Cake serta sepuluh biji Opera Cake yang sudah pun disiapkan. Lega bila tempahan pelanggan telah berjaya disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan. 

Kemudian, dia mencapai beberapa peralatan menghias kek untuk membuat sentuhan terakhir ke atas kek dua tingkat yang akan diambil pelanggan sedikit waktu lagi sempena majlis pertunangan.

“Bos!”

Tak semena-mena saja laungan Lola iaitu salah seorang krew Elena Cake Studio dari pintu dapur membuatkan gerak tangan Elena tersasar di atas kek. Sambil mengurut dada, dia menjeling halus kepada Lola.

“Ada apa?”

“Ada orang nak jumpa,” ujar Lola.

“Siapa? Customer yang order kek pertunangan ni ke?”

“Bukan…bukan…” Lola menggeleng.

“Habis tu?”

Berkerut-kerut dahi Elena menantikan jawapan Lola. Aduhai, tolonglah jangan sebut nama Tuah, Lola oi!

“Zira.”

“Zira?” mata Elena membulat manakala bibirnya pula sudah mengherot. Oh, Zira ya? Rupanya masih ingat jalan nak ke sini. Siap dia kejap lagi!

“Suruh dia duduk dulu. Saya nak siapkan kek ni sikit lagi.”

“Beres, bos!”

Elena menanggalkan apron dan meluru ke arah Zira sesudah keluar dari dapur.

“Hah, wujud lagi rupanya! Ingatkan dah pindah ke planet lain dah!” Sergah Elena. 
Zira mengangkat mukanya perlahan-lahan memandang Elena yang sedang bercekak pinggang di hadapannya sebelum menunduk semula. Wajahnya nampak sugul manakala tangannya pula sudah naik mengesat pelupuk mata.

“Kenapa dengan kau ni?” teragak-agak Elena bertanya. Hairan bin ajaib. Takkanlah baru saja kena sergah… si Zira terus menangis macam ni? Tak cool langsung la minah sorang ni!

“El…” suara Zira kedengaran sangat perlahan sebelum tangisannya pecah. Tanpa bertangguh, dia menghumbankan tubuhnya ke dalam dakapan Elena dan menangis sepuas hatinya di bahu gadis itu.

“Weh… ada apa ni? Apa pasal kau nangis-nangis ni. Chill la! Takkan aku sergah sikit kau dah nak sentap sampai macam ni?”

Zira terus menangis. Malah pelukannya makin dieratkan sehingga Elena hampir saja lagi sesak nafas.

“Zira…” pujuk Elena lalu menepuk-nepuk belakang tubuh Zira. Dia biarkan saja Zira melepaskan tangisannya. Elena menolak tubuh Zira kembali ke kerusi setelah tangisan gadis itu agak reda.

“Zira… kenapa ni? Aku tahulah kau dah tak jumpa aku lebih daripada seminggu… tapi takkanlah kau nak ajak aku buat sesi jejak kasih kat sini? Geli kut! Orang tengok!” bahu Zira ditolak-tolaknya. Rasa nak tergelak pun ada bila Zira sibuk menyedut hingusnya yang meleleh-leleh tadi. Tetapi Zira pula terus meraung bagai anak kecil gagal mendapat gula-gula sehingga menyembamkan wajahnya ke meja. Tidak cukup dengan itu,tangannya menumbuk-numbuk dan mengetuk-ngetuk meja melepas seluruh rasa.

“Wei, hantu setan mana yang dah rasuk kau ni?”

Elena mula meliarkan mata ke sekeliling. Malu bila perasan ada beberapa pasang mata yang sudah memandang-mandang mereka berdua.

“Zira… berhenti menangis boleh tak? Orang tengok weh. Malulah!”

Elena garu kepala yang tidak gatal. Tengok Zira terus menangis, dia angkat bendera putih.

“Okey… okey… kau nangis la. Aku tak kesah. Nangislah sepuas hati… tapi jangan sampai banjir bakeri aku ni sudah!” Elena sengaja buat lawak tak bijak.

“Kau duduk sini dulu… tunggu aku. Aku bawakan kau kek favourite kau eh. Aku bawa dengan Caramel Macchiato sekali. Tunggu tau!” menonong Elena bangkit dan menghilang ke belakang. Selang beberapa minit, dia kembali bersama hidangan untuk Zira.

“Nah… untuk kau. Kau makan, tenang-tenangkan diri dulu. Lepas tu kau boleh cerita kat aku apa yang dah terjadi.”

Pujukan Elena itu ternyata sedikit melegakan hati Zira. Dia hanya mengangguk dan menuruti arahan  Elena. Habis saja hidangannya, dia hanya membatu dan mengelamun jauh.

Soooo…” suara Elena meleret, memberi isyarat agar Zira membuka mulut.

Sorry weh. Aku tahu kalau aku nangis memang buruk gila!”

“Tahu tak apa! Kau mana pernah cantik kalau menangis.”

“Isk, El!” Zira mengesat sisa air mata di atas pipinya.

“Azad…” tutur Zira perlahan.

“Kenapa dengan dia?” meluap hati Elena saat Zira menyebut nama lelaki itu.

“Dia…”

“Kenapa?”

 “Dia nak putuskan pertunangan kami,” sambung Zira lagi dengan rasa sebak yang mula bersarang di dada.

Are you sure?

Zira hanya mengangguk lemah.

“Alhamdulillah!” Elena menadah tangan mengucap syukur.

“Elena! Sampai hati kau!”

“Eh, apa pula? Syukurlah akhirnya kau dengan dia putuskan hubungan korang!”

“Belum putus. Cuma dia yang mahu putus!”

“Ya… ya… apa-apa ajelah.”

“El…” Zira buat suara merengek.

“Kau tak rasa sedih ke bila aku cakap pada kau yang Azad minta putus tunang?”dia menyambung. Elena pula menyilangkan tangan ke dada dan duduk bersandar selesa ke kerusinya. Kepala digeleng beberapa kali sambil buat muka tenang.

“Tak. Sikit pun tak malah aku rasa lega sangat-sangat bila dia cakap macam tu.”

“Tak baik tau kau ni. Patutnya, sebagai kawan baik aku… kau doakan benda baik-baik untuk kami berdua. Ini tidak… aku tengok kau macam suka sangat aje hubungan kami berakhir!”

“Sebab aku kawan baik kau la aku lega bila jadi macam ni.”

“El, baik kau doa supaya dia tarik balik kata-kata dia. Kau patutnya berdoa semoga aku dan Azad akan selamat sampai ke jenjang pelamin.”

“Huh, jangan haraplah Zira!” Elena mencebik megah.

Elena tersedar yang Zira sedang merenungnya tak puas hati.

What? Kau fikir aku kejam sangat ke?” jeda.

“Kau tahu tak… aku sayang kau sebab itulah aku lega bila kau dengan dia akan putus. Kau cuba fikir eh… layak ke dia jadi suami kau? Daripada kau kahwin dengan dia lepas tu asyik makan hati berulamkan jantung… huh, kau fikir sendirilah Zira!” tempelak Elena memberi peringatan.

Bagi dirinya, lebih baik Zira dan Azad memutuskan saja tali pertunangan mereka andai kata di antara mereka sudah tiada rasa hormat dan sayang. Kalau dalam hati Azad masih ada rasa hormat dan sayang pada Zira… tak mungkin dia boleh mempunyai hubungan dengan perempuan lain dikala hanya tinggal beberapa bulan saja lagi mereka bakal bersatu sebagai suami isteri. Jika Azad seorang manusia baik dan bertanggungjawab, dia pasti akan menghormati perasaan Zira dan keluarga gadis itu.

“Tapi aku sayangkan dia, El.”

“Apa guna kau seorang yang sayangkan dia… tapi dia… ada pernah dia fikir pasal perasaan kau? Sibuk usung perempuan sana sini… lelaki itu ke yang kau nak jadikan suami?”

 “Aku dengan dia dah lama, El. Aku tak boleh terima kalau dia pergi dari hidup aku.”
Rahang Elena naik turun menahan rasa bengang yang tiba-tiba bersarang di hatinya. Ah, kenapa Zira harus menjadi hamba pada cinta? Kenapa perlu menjadi seorang yang bodoh dan dungu hanya kerana seorang lelaki? Rasa macam nak sekeh-sekeh saja kepala minah seorang ni. Karang kalau dikata bodoh, marah pula!

Come on, Zira. Wake up la. Ini bukan zaman bercinta tahun 80-an atau 90-an tau. Bukan zaman-zaman filem Sembilu lagi dah. Bersepah lagi lelaki kat luar sana. Dia nak putus tunang, dia punya pasal la. Kau petik aje jari, berduyun yang datang serah diri nak jadi pengganti. Percayalah cakap aku!”

Tiba-tiba Elena terasa diri sendiri macam Doktor Love pula.

“Zira… kau cuba tengok apa yang ada kat dahi aku ni. Walaupun lukanya dah sembuh, parut tu tetap ada. Kau tahukan parut apa yang ada di dahi aku ni? Kau juga tahu siapa yang hadiahkan parut tu pada aku?” Elena menyelak-nyelak anak-anak rambutnya. Mengingati bagaimana dia dipukul sesuka hati oleh Azad tempoh hari buat hatinya semakin panas.

“Tapi… salah kau jugalah. Aku dah cakap jangan pergi masuk campur, tapi kau degil!” bidas Zira tanpa rasa bersalah.

What? Jadi, sekarang ni memang aku la yang bersalah dalam hal ni? Bukan si Azad?”

“Aku tak maksudkan macam itulah.”

“Dasar buta hatilah kau ni Zira!’ Elena terus melenting. Berombak-ombak dadanya ketika itu. Dah macam nak meletup. Isyh, nasib baiklah dia masih sedar yang Zira ni kawannya. Kalau tidak, dia heret Zira dan sumbat dalam ketuhar besar kat belakang sana.

“El…” tangan Elena hampir saja lagi dicapai saat terdengar namanya diseru dari belakang. Zira menoleh, begitu juga dengan Elena.

“Huh, panjang umur!” gumam Elena sambil menjeling halus saat ternampak Azad sedang tercongok di hadapan mereka.

“Kau nak apa datang ke sini? Takkan tak puas pukul aku macam hari tu kut?” sergah Elena. Wajah Azad ditenungnya seperti hendak tembus ke belakang. Dia bangkit dan berdiri betul-betul di hadapan lelaki itu. Langsung tak ada rasa takut memandangkan dia yakin yang Azad takkan berani mengapa-apakannya.

“Kalau kau nak cakap pasal kes hari tu… aku minta maaf. Aku tahu aku silap.”

“Oh, senang macam itu aje kau minta maaf. Pukul aku, then blah. Lepas tu, minta maaf?”

“Aku tak nak gaduh dengan kau la Elena.” suara Azad sedikit meninggi. Mungkin rasa sedikit tercabar dengan kata-kata Elena. Elena pula bercekak pinggang sambil terus merenung tajam muka Azad.

“Habis tu… kau nak apa? Tumbuk aku lagi?”

“Cukup, Elena! Aku tak nak bertekak dengan kau kat sini. Aku datang cara baik. Aku cuma nak bercakap dengan Zira.”

“Oh, lepas kau acah-acah nak putuskan hubungan korang… reti pula kau cari dia sampai ke sini? Kau nak buat apa lagi, Azad? Nak memperbodohkan kawan aku? Kau hadap aku dulu sebelum kau cakap apa-apa dengan dia!”

“Elena!”

What?!” makin kuat suara Azad, makin tinggi suara Elena. Dia peduli apa sekarang ini. Apa yang dia tahu, dia benar-benar tengah marah dan sakit hati bila melihat muka Azad. Rasa macam nak tumbuk mukanya dua tiga kali.

“Kau jangan cari pasal dengan aku, Elena!”

“Kau juga jangan cari pasal dengan aku, Azad. Kau jangan ingat aku akan terus kunci mulut lepas apa yang kau dah buat hari tu. Aku boleh pergi ke balai polis dan buat laporan serta dakwaan ke atas kau!”

Azad terdiam lalu meraup-raup wajahnya. Sedikit tertekan mendengar ugutan Elena terhadapnya.

“Okey… okey… aku minta maaf. Aku tahu semua salah aku. Aku datang sini pun tak nak cari gaduh dengan sesiapa. Aku cuma nak bercakap dengan Zira. Bagi aku peluang bercakap dengan dia sekejap.”

Elena menghadang tubuh Azad yang mahu menghampiri Zira. Namun Zira cepat-cepat menyentuh lengan Elena dan menggeleng.

“Tak apa, El… kau tinggalkan kami berdua sekejap.”
Elena menjeling halus pada Zira. Kalut dia berbisik sesuatu di telinga gadis itu sebelum dia mendekati Azad.

“Kalau kau buat hal kat sini, aku tak akan teragak-agak panggil polis. Ingat tu!” Elena memberi amaran sambil menyucuk bahu Azad dengan hujung jari telunjuknya.

“Bos okey ke?” aju Lola dalam nada berbisik sebaik Elena berdiri di hadapan kaunter pembayaran. Bahu Elena disentuh. Elena pandang Lola dan hanya mengangguk.

“Kenapa tu? Ada apa yang kecoh-kecoh tu?”

“Tak ada apa-apa.”

“Isk, betul ke bos ni? Saya tengok macam ada sesuatu yang tak kena aje.”

“Tak ada apa pun. Awak janganlah risau.”

“Betul ni?”

“Betul la.”

“Lelaki tu ada apa-apakan bos ke?” soal Lola lagi tidak mahu mengalah.

“Tak ada. Awak sambung kerjalah, Lola. Jangan menyibuk hal orang lain.”


“Okey… okey…”


Saturday, 19 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 5

Sudah lebih dari seminggu sejak kejadian itu dan sejak hari itu, Elena langsung tidak bertemu dengan Zira. Mereka hanya bercakap melalui telefon. Kadang-kadang hanya media sosial menjadi medium penghubung mereka. Mengingati semula baris-baris ayat di dalam mesej yang diterimanya daripada Zira petang semalam, hati Elena menggelegak semula. Nasib baiklah si Zira tu tak ada di depan matanya. Kalau tidak, dia sekeh-sekeh saja kepala perempuan itu.

Apalah nasib ada kawan yang buta hati macam Zira tu! Dah puas si Azad tu pukul Elena, Zira masih lagi mahu membela lelaki itu. Buta kayu betul!

“El!”

Tersentak Elena dibuatnya ketika dia sedang melayan perasaan marahnya. Huh, potong betullah!

Elena berkalih memandang pintu biliknya yang digegar dari luar. Suara yang memanggil-manggilnya pun dah boleh buat tahi telinganya mencair. Punyalah kuat!

“Ada apa, abang Ez?” laung Elena semula kepada abangnya Ezra.

“Cepatlah turun! Kata nak tumpang. Kau ingat aku ni driver kau ke, hah? Kalau dah bersiap tu mengalahkan puteri raja! Cepat!” teriak Ezra sambil mengetuk-ngetuk kuat pintu bilik Elena.

“Ya… ya… sekejap! Lima minit!”

“Cepat! Kalau tidak, aku tinggal!”
Kelam kabut Elena membetulkan rambutnya yang hanya diikat ekor kuda. Malah sempat lagi dia merenung ke segenap wajahnya yang sudah pun dikenakan solekan nipis di hadapan cermin sebelum terkocoh-kocoh ke bawah.

Geram betullah bila terpaksa bersiap dalam keadaan macam ini. Bagaimanalah dia tidak geram bila salah seorang temannya yang telah meminjam keretanya petang semalam tidak dapat menghantarnya semula pagi ini kerana ada urusan penting yang perlu dilakukan. Mahu tak mahu, dia terpaksalah menebalkan muka dan telinganya meminta tolong daripada Ezra.

“Apa hal lembab sangat kau ni?” Ezra menjeling Elena yang sedang terkial-kial mencari kasut di dalam almari.

“Kejaplah, abang Ez. El tengah cari kasut ni.”

“Cepat sikit boleh tak? Aku dah nak kena gerak dah ni.”

Ezra sudah mula membebel-bebel sambil menghempaskan pintu keretanya usai saja dia masuk ke perut kereta. Elena pula hanya mencebik. Tidak mahu melayan kata-kata Ezra, dia terus mengeluarkan cermin dari celah beg tangannya lantas membelek wajah sendiri sebaik dia duduk di sebelah Ezra.

“Mekap aje kerja kau, kan? Pakai tali pinggang tu boleh tak? Karang kalau kena saman kau bayar eh?”
Elena tergelak-gelak mendengar nasihat tak berbayar abangnya itu.

“Kau gelak apa hal?”

“Abang Ez tu la… macam mak nenek. Pagi-pagi lagi dah membebel.”

“Mak nenek ke… mak datuk ke… aku tak kira. Sebab kau, tak pasal-pasal aku yang kena sekejap lagi.”

“Isk… pagi-pagi macam ni kan elok kalau berdoa yang baik-baik. Kata-kata tu kan satu doa.”
Ezra mendengus. Bukanlah dia suka sangat membebel-bebel pada Elena. Tapi adiknya itulah yang buat dia geram. Manakan tidak, saat-saat akhir sewaktu dia sudah mahu keluar bekerja jugalah baru Elena terhegeh-hegeh memberitahu mahu menumpang. Kalau dia cakap sejak semalam, bolehlah juga dia merancang perjalanan pagi ini. Sudahlah arah jalan mereka berdua tidak sama. Tak pasal-pasal dia lambat masuk kerja!

“Kau tu la… cakap last minute. Apa pasal tak call teksi aje? Paling tidak pun call Uber. Kan senang?”

“Eh, berkiranya dengan adik sendiri!”

 “Bukan nak berkira. Lain kali cakap awal-awal. Ini lagi lima minit aku nak gerak baru kau cakap. Eee… aku pantang betullah orang buat kerja last minute.”

“Kiranya tak ikhlas la ni hantar El pergi bakeri?” aju Elena dengan menaikkan sedikit keningnya sambil memandang Ezra yang sedang memandu di sebelah.
Ezra diam. Malas nak melayan pertanyaan Elena. Elena pula cepat-cepat menanggalkan tali pinggang keledarnya.

“Abang Ez berhenti ajelah kat stesen teksi kat depan tu. Nanti El pergi bakeri naik teksi.”

“Dah nak sentap bagai ni kenapa pula?”

“Yalah… karang abang Ez lambat, El juga yang nak disalahkan. Tak apa… turunkan El kat depan tu. Nanti pandai-pandailah El cari jalan nak pergi bakeri.”

“Betul ni?”

“Betul la.”

“Okey.” dengan selamba saja Ezra menghentikan keretanya di bahu jalan lantas meninggalkan Elena seorang diri.

“Isk, dia blah macam itu aje? Aku main-main aje kut!” teriak Elena melepas sedikit sebal. Aduhai, mulut ni pun satu! Nak acah-acah merajuk konon. Tak pasal-pasal dah kena tinggal kat tepi jalan ni.

Elena menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Memerhati ke jalan raya, dia akhirnya bercadang untuk duduk sebentar di bangku yang disediakan di stesen teksi tersebut. Entah jam berapa agaknya dia akan mendapatkan teksi. Tahu yang waktu-waktu begini memang waktu kritikal untuk mendapatkan mana-mana teksi di kawasan ini. Kira nasiblah kalau ada mana-mana teksi yang melalui jalan ini.

Telefon dikeluarkan. Elena menelefon beberapa nombor teksi yang tercatat di dalam telefonnya sebelum mengeluh kecewa. Ah, semua teksi sudah ditempah. Kemudian, dia mencuba pula untuk menghubungi perkhidmatan Grab Car dan juga Uber. Dua-dua pun sama. Yang ada pun, dalam masa satu jam lagi. Takkanlah dia mahu tercongok di sini selama satu jam?

Pin! Pin!

Elena mengangkat muka sebaik terdengar bunyi hon di hadapannya. Terbeliak terus matanya sebaik menyedari yang Tuah sedang berada di hadapan matanya. Alahai, kenapa dia kena ada kat sini?

“Hai, El!” tegur Tuah sambil melambai-lambai Elena dari dalam kereta. Cermin tingkap keretanya yang separuh terbuka memudahkan Tuah untuk bercakap dengan Elena.

“Awak buat apa kat sini, El?”

“Awak buat apa kat sini, Encik Tuah?” Elena bagai mengajuk percakapan Tuah sambil menelan rasa aneh dalam hatinya akan kehadiran Tuah secara mendadak begini.

“Oh… tak ada buat apa. Saja jalan-jalan. Kebetulan pula boleh terserempak dengan awak.” Tuah melemparkan satu senyuman nipis yang boleh membuatkan hati Elena seperti mahu bergendang kuat.

“Jalan-jalan dalam waktu macam ni?”

Tuah menyengih.

“Awak buat apa sorang-sorang kat sini? Ada tunggu sesiapa ke?”

“Kenapa? Awak nampak saya macam nak buat picnic ke?”

“Manalah saya tahu.”

“Isk, saya tunggu teksilah. Tapi satu teksi pun tak ada yang lalu kat sini.”

“Awak nak ke mana?”

“Pergi kerjalah Encik Tuah oi. Takkan nak pergi berperang pula?”

“Kat mana?

“Eh… sibuk ajelah!”

“Kalau macam itu… apa kata saya tumpangkan awak. Kebetulan saya memang tak ada buat apa-apa lagi ni.” Tuah keluar dan membukakan pintu kereta untuk Elena.

“Awak nak tunggu apa lagi?”

Elena menjelig sebal ketika Tuah sedang mempelawanya. Konon-kononnya berlagak jual mahal sedangkan dalam hati hanya tuhan saja yang tahu macam mana leganya perasaannya sekarang ini apabila ada yang sudi menawarkan pertolongan di saat dia memerlukan.

“Elena.” panggil Tuah lagi.

“Saya tahu awak tak sudi pun nak naik kereta kecik saya ni tapi itu lebih baik daripada awak lambat pergi kerja, kan?”

“Yalah… yalah!” Elena mengangkat bendera putih. Tak beragak betul kalau dia nak buat-buat jual mahal. Karang kalau kena tinggal lagi, dia juga yang nak melalak seorang diri kat sini. Ah, itu cari penyakit namanya!

So, awak kerja apa?” soalan pertama yang terpacul dari bibir Tuah membuatkan Elena berkalih ketika kereta Kancil milik Tuah sedang berada di jalanan.

“Penting ke untuk awak tahu?”

“Penting la. Saya kena tahu awak kerja apa dan kat mana tempat kerja awak. Kalau tidak, macam mana saya nak hantar awak kalau sejak tadi lagi awak asyik menyepikan diri. Karang saya bawa awak pergi tempat lain, awak marah saya pula.”

Elena mengaru-garu belakang tengkuknya. Isy, banyak cakaplah si Hang Tuah ni. Tapi, ya tak ya juga. Macam mana dia nak tahu aku kerja di mana kalau aku asyik diam macam ni? getus hati Elena mula berasa serba salah.

“Damansara.”

“Damansara kat area mana?”

“Awak google nama Elena Cake Studio. Kat situlah saya kerja.”

“Elena Cake Studio…” ajuk Tuah sambil menekan-nekan skrin telefonnya.

“Okey… dah tahu kat mana. Setengah jam lagi kita sampai.”
Tuah meneruskan pemanduan manakala Elena lebih senang mengira jumlah kereta yang baru saja melintasi kereta mereka. Bosan campur malas nak bercakap dengan Tuah kaedahnya!

“Elena Cake Studio… awak pemilik tempat tu ke?” tak semena-mena saja Tuah bertanya ketika Elena hampir terlelap.

“Hmm.”

“Dah lama ke awak buka bakeri tu?”

“Baru tiga tahun.”

“Oh.”

Tuah diam kemudiannya. Lama. Sehingga Elena sendiri terasa seperti ada yang tidak kena.
Elena menekur wajah Tuah dari sisinya. Fokusnya masih pada pemanduan. Mulalah Elena tertanya-tanya sendiri bagaimana Tuah tiba-tiba saja boleh muncul di stesen teksi tadi. Kebetulan atau memang disengajakan? Entah-entah… Tuah mengekori dirinya tak?
Isk! Elena menepuk-nepuk dahi sendiri sambil menggeleng perlahan. Merepek ajelah!

“Awak dari mana sebenarnya?” akhirnya satu pertanyaan terluncur keluar dari celah bibir Elena di saat suara deejay radio sedang berkumandang memenuhi ruang kereta kancil.

“Bukan dari mana-mana,” jawab Tuah senada seolah tiada perasaan.

“Bukan dari mana-mana? Pelik. Macam mana awak boleh muncul depan saya pagi-pagi macam ni? Awak ni sebenarnya sedang mengekori saya, kan? Baik awak mengaku!” jari telunjuk Elena hampir saja lagi mengena muka Tuah sehingga dia terpaksa berganjak sehingga ke tingkap.

“Kebetulan aje kut? Lagipun, elok juga saya terserempak dengan awak. Sekurang-kurangnya, saya boleh jadi driver awak pagi ni.” Tuah menyengih-nyengih sambil menggaru-garu keningnya.

Curiga dengan tingkah Tuah, laju saja Elena memandang ke bahagian belakang kereta. Manalah tahu kut-kut Tuah ada bawa geng untuk menculiknya. Kalau betul, habislah dia. Tapi bahagian belakang kereta itu kosong. Tak ada apa-apa dan sesiapa pun di situ kecuali… erk? Patung Hello Kitty?

Elena menahan tawa. Perutnya sudah mengeras. Tiba-tiba saja dia terasa mahu ketawa berdekah-dekah. Takkanlah Tuah boleh menyimpan patung tersebut di dalam keretanya sendiri? Gugurrrllll sangat!

“Kenapa awak senyum-senyum tu? Ada apa-apa yang kelakar ke?”

“Tak ada apa-apa.”

Tuah terdiam beberapa detik sebelum tangannya naik membetulkan cermin pandang belakang.

“Kalau awak rasa patung Hello Kitty kat kerusi belakang tu boleh buat awak gelak, silakan. Saya tak kesah.”

Belum sesaat, Elena terus ketawa berdekah-dekah sehingga bergegar bahunya. Pahanya ditepuk-tepuk melepas rasa manakala perutnya turut dipegang. Isi perutnya terasa seperti digeletek teruk. Sungguh-sungguh dia ketawa sehingga mengeluarkan air mata.

“Pertama kali di dalam hidup saya… saya berjumpa dengan seorang lelaki yang menyimpan patung berwarna pink tu di dalam kereta sendiri!” ujar Elena sejurus tawanya reda.
Tuah hanya diam malah tidak bercadang untuk menyampuk atau membalas kata-kata Elena.

“Awak ni memang sejenis hadek-hadek juga eh?” Elena sambung ketawa. Serius kelakar! Rasa macam nak tercabut isi perut bila banyak ketawa.

“Patung tu bukan saya punya tapi… arwah adik saya yang punya.”
Sebaris ayat Tuah mematikan tawa Elena serta merta. Elena rasa serba salah. Dijelingnya patung berwarna pink itu lalu memandang Tuah.

Sorry… saya tak tahu.”

“Tak apa. Bukan salah awak pun.”

Mulut Elena terkunci bila melihat air muka Tuah sedikit berubah. Bibirnya digigit-gigit halus. Aduhai, macam manalah dia boleh ketawakan Tuah sampai macam tu?

Sorry kalau saya bertanya. Adik awak meninggal sebab apa? Sakit?”

Accident.”

Elena terus menyepi. Tidak lagi bercadang mahu bertanya lebih lanjut. Bimbang kiranya kata-katanya nanti bakal membuatkan Tuah bersedih.

“Dulu, dia suka dengan patung tu. Dia minat sangat. Banyak koleksi Hello Kitty yang dikumpul. Suatu hari, dia minta saya belikan satu patung tu untuk dia sempena hari jadi dia yang ke lapan belas tapi…” Tuah hanya tersenyum tawar.

“Saya tak sempat nak bagi pada dia. Dia meninggal pada hari jadi dia sendiri.”

Bibir Elena dirapat-rapatkan. Tiba-tiba saja dia merasakan yang hatinya mula merapuh saat itu juga. Air matanya tumpah tanpa mampu ditahan-tahan. Perlahan-lahan Elena mengalihkan wajahnya ke tingkap. Senyap-senyap dia mengesat air mata yang tak jemu menyapa pipinya.

“Nah, tisu.”

“Huh?” Elena terpinga-pinga melihat tisu yang berada di tangan Tuah.

“Kesat air mata tu.”

Sorry.” Elena menarik tisu dan terus menunduk. Segan nak memandang Tuah. Malu bila Tuah dah nampak air matanya. Orang lain yang kehilangan, dia pula melebih-lebih. Tapi, kisah Tuah tadi benar-benar menyayat hati. Sebab itulah air matanya tak segan silu turun ke pipi.

“Rasanya kita dah sampai.”

Elena kelam kabut memandang ke luar sebaik kereta berhenti. Yalah, memang benar kata Tuah. Mereka memang sudah berada di hadapan premis yang menempatkan Elena Cake Studio, bakeri miliknya yang menjadi tempat dia mencari rezeki dan berkarya.

“Terima kasih, Encik Tuah. Jasa awak dikenang.” Elena cepat-cepat menanggalkan tali pinggang keledar dan keluar dari kereta Tuah.

“El… nanti macam mana awak nak balik ke rumah? Nak saya datang jemput awak ke?”

“Eh, tak payah. Saya boleh balik naik teksi.”

“Betul ni? Tak nak naik kereta kecik saya ni lagi?”
Elena menjeling halus. Tuah ni… boleh bergurau pula!

“Okey… okey… gurau. Saya pergi dulu. Apa-apa pun, selamat bekerja. Jumpa lagi.”
Hilang Tuah dari pandangan, Elena hambur nafas lega namun air matanya bagai tak henti mengalir ke pipi. Ah, kenapa dia merasa sedih sangat ni?


BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...