Thursday, 6 October 2016

Calon Pengantin Untuk Dipilih 3



Otot diregang-regang sebelum terjunan ala atlet sukan renang dilakukan.Berkocak air kolam renang itu serta merta sebelum beberapa aksi kuak lentang,kuak kupu-kupu dan gaya bebas dipersembahkan.Nafas dihela agak lelah usai saja rambutnya dilurut ke belakang.Air dari dalam mulut diluah keluar sambil berpaut pada birai kolam renang.

Carl meraup mukanya yang basah dan membiarkan tubuhnya terapung mengena cahaya matahari.Matanya dipejam-pejam sambil menikmati suasana petang.Hilang sedikit rasa lelah yang bersarang dijiwa sejak beberapa hari ini.Hanya dengan menghabiskan masa di kolam renang sebagai aktiviti riadah mampu menenang jiwa dan perasaan.Namun semuanya tercantas bila suara Samiha bergema-gema di telinganya.

“Carl,lama lagi ke?”

Carl alihkan tubuhnya dan kembali mendekat dengan dinding kolam.Dia melangut mencari wajah Samiha,kakak keduanya yang sedang menghampiri kolam renang sambil mendukung anak kecilnya yang baru menginjak usia satu tahun.

“Kenapa?”

“Masuk dalam,minum petang dah siap tu.” memuncung bibir Samiha memberi isyarat agar adik lelakinya itu segera menghabiskan aktivitinya.Naik rimas dia tengok Carl.Bukan apa,sejak adiknya itu melangkah masuk ke dalam rumah keluarga mereka lagi dah berlaku drama swasta.Carl dengan perangainya manakala Sameera pula dengan sikapnya.Dua-dua keras kepala.Sudahnya bila Sameera tak mahu melayan Carl,adiknya itu buat protes dan terjun ke dalam kolam renang dengan baju yang lengkap.

“Kejap lagilah,”alasan diberi.

“Kau ni dah kenapa,Carl?Tunjuk protes?”

“Mana ada protes.”

“Dah tu?Yang kau pergi terjun kolam dengan baju dan seluar segala tu apa hal?Kut ya pun,tak payah nak ekstrem sangat.Kalau rasa nak tunjuk juga protes tu,pergi aje terjun bangunan.Baru puas hati.”selamba Samiha melaser dirinya sehingga dia sendiri tersentak.Bukan main betul mulut kak ngahnya ini.

“Kak ngah nak Carl mati cepat ke?”sudahnya satu soalan diajukan kepada Samiha sehingga wanita itu berdecit halus.

“Susahlah cakap dengan kau ni!”sekilas anak kecil dalam dukungannya dicium.

“Daniel nanti besar jangan ikut perangai Uncle Carl tau.Keras kepala dan keras hati.Mummy tak suka.Ya sayang?”
Carl mencebik.Eleh,kak ngah ni nak sindir-sindir dia pula.

“Dah la,kau buat la apa yang patut dalam kolam tu.Tapi kalau kau rasa nak makan,kau masuk.Tuala ada kak ngah letak atas kerusi tu.Jangan kejap lagi kau buat perangai masuk ke rumah dengan baju basah tu.Tak ada orang gaji nak tolong lapkan lantai tu,” mendadak Samiha berlalu dari situ meninggalkan Carl terkebil-kebil seorang diri di dalam kolam.

“Aku juga yang kena?”

Meja makan dihampiri usai saja dia menukar pakaian.Mujur juga dalam bilik tidurnya di rumah keluarganya ini masih ada saki baki baju yang ditinggalkan.Lepas saja keluar dari kolam tadi,dia terus naik ke bilik dan menukar baju.

Elok nak tarik kerusi,Sameera yang duduk di kepala meja segera bangkit tanpa mahu memandang wajah Carl.

“Mama nak ke mana?”aju Samiha pelik.Tadi bukan main lagi ibunya itu kata nak makan petang dengan anak dan cucu tapi bila Carl datang terus semuanya berkubur macam tu saja.

“Nak ke belakang.”

“Eh,makanlah dulu.”

“Kamu makanlah,Miha.Mama tak ada selera pula.”

“Ma...”suara Samiha mati mendadak bila Sameera terus berlalu tanpa menghiraukan mereka.Carl pandang Samiha,begitu juga sebaliknya.Samiha naikkan kening sebelah sebelum menjegilkan matanya kepada Carl.

“Apa?”

“Pergilah pujuk mama.”

“Biarlah.Nanti dah sejuk okey la tu.”

“Hei,payahlah macam ni.Seorang macam itu,seorang macam ini.Kak ngah yang kat tengah ni yang serabut.”bebelan Samiha yang menampar cuping telinga Carl buat dia mencebik.

“Pergilah pujuk mama tu,Carl.Sampai bila nak tengok dia macam tu?Kak ngah ni susah hati tau tak!”

“Kak ngah nak susah hati dah kenapa?Bukannya masalah besar pun.”

“Bukan masalah besar?Hei,kau dah lupa ke apa yang kau dah buat haritu sampai mama tarik muka dengan kau?Dah lupa?Sekarang kak ngah tak kira.Kau bangun dari situ dan pergi pujuk mama.Pergi minta maaf dari mama.Sekarang!”arah Samiha dengan muka menyinga.

Carl tayang muka tak bersalah malah dengan selambanya dia menarik cawan hot chocolatenya lantas meneguk dengan penuh nikmat.

“Carl,dengar tidak apa yang kak ngah cakap ni?”

“Dengar.”jawabnya acuh tak acuh.

“Apa tunggu lagi?”

“Salah Carl la ni?”ajunya pura-pura bodoh.

“Kau dah sakitkan hati mama jadi memang salah kau la.”

“Duhhh...Carl reject perempuan yang entah apa-apa tu pun salah Carl?Habis tu,mama pandai-pandai atur plan nak jodohkan Carl tu apa benda pula?”
Mendengar hujah balas Carl buat Samiha sakit kepala.Diketuk-ketuknya dahinya sambil menggerutu geram.

“Ya Allah,apa nak jadilah dengan orang kat dalam rumah ni?”mata tertala ke wajah Carl yang sedang mengunyah.Kepala dah menggeleng.

“Carl,dengar la sikit cakap kak ngah ni.Tak baik kau buat mama macam tu.Beralah la sikit.Mama tu ibu kita tau.Syurga kita ada di bawah telapak kaki dia.Sikit saja hati dia tergores,neraka tempat kau!”

Dengar Samiha menyebut-nyebut perihal neraka buat dia sedikit kecut perut.

“Cuba rendahkan sikit ego tu.Tak luak mana pun duit kau kalau kau pergi minta maaf daripada mama.”sambung Samiha tidak mahu mengalah.

Carl pandang Samiha.Berkira-kira hendak mengikut cakap kakaknya itu atau tidak.
Fine!Carl pergi minta maaf.Memang Carl bersalah dalam hal ni dan memang Carl yang patut dipersalahkan.Puas hati?!”

Menonong dia bangkit dan menuju ke dapur.Sesampai saja di dapur,dia nampak yang Sameera sedang sibuk mencuci gelas di singki.Dengan selamba saja dia bertenggek di kabinet dekat dengan ibunya itu lantas berpeluk tubuh.Lama dia memerhati gelagat Sameera sebelum akhirnya dia menegur wanita itu.

“Carl tahu mama masih marahkan Carl pasal hari tu.Carl tahu mama juga kecil hati dengan apa yang dah terjadi.”

Sameera menyusun gelas yang siap dicuci ke atas rak dengan kasar.Kemudian,tangan dilap dengan tuala bersih sebelum mendekati peti ais dan mengeluarkan plastik buah-buahan.Memerhati gelagat Sameera,Carl jadi tak senang duduk.

“Biar Carl potongkan buah tu.”pisau di tangan Sameera dicapai dan baru saja dia mahu memotong buah epal,Sameera pula dah berganjak.

“Ma,Carl minta maaf.Carl tahu Carl dah keterlaluan.Carl tahu Carl memang dah melampau tapi Carl buat semua tu ada sebab.”

“Sebab apa?Sebab nak memalukan mama dan ayah,kan?”potong Sameera sekaligus melepaskan sisa kemarahannya.

“Sikit pun Carl tak ada niat nak malukan keluarga Carl terutama mama dan ayah.Carl buat semua ni sebab nak selamatkan keluarga kita.”

Alasan yang diberi oleh Carl kedengaran agak tidak logik pada Sameera sehingga matanya membulat merenung wajah Carl yang masih bereaksi seolah-olah dialah mangsa keadaan.Sebal hatinya melihat tingkah si anak yang sering menayang muka tak bersalah selepas melakukan kesalahan.Entah makanan apa yang dia silap beri pada Carl dulu pun dia tak tahulah!

“Selamatkan keluarga kita?Carl tahu tak disebabkan kejadian malam tu,Puan Sri telefon mama beritahu anak dia asyik berkurung dalam bilik sampai berhari-hari.Bukan setakat itu saja,Puan Sri menyalahkan mama pula sebab tak pandai nak ajar anak sendiri.”
Carl gelak.Sumpah rasa kelakar pula dengar apa yang baru keluar dari mulut ibunya.Serius Puan Sri Kamalia kata macam tu?

“Carl rasa dia yang tak pandai nak didik anak sendiri.”

“Carl jangan melampau tau!Carl dah malukan mama dan ayah,kemudian senang-senang nak tuduh orang lain pula.”

“Carl tak menuduh tapi Carl cakap berdasarkan pengetahuan Carl.Carl ni bukannya budak-budak yang senang kena tipu.Carl lebih kenal Airis daripada ibu bapa dia kenal dia.Come on la,ma.Takkan kerana perempuan tu,kita anak beranak nak bertegang urat dan bermusuh?”

“Ini bukan soal permusuhan tapi kamu tu yang melampau!”tengking Sameera melepas rasa geramnya yang sudah tak terbendung.

Fine!Suka hati mama la nak cakap apa pun.Kalau mama rasa Carl melampau sebab tolak calon-calon pengantin yang mama cuba kenenkan pada Carl,it’s up to you then.Cuma Carl nak ingatkan mama.Anak lelaki mama ni bukan berumur 17 tahun tau.Carl ada pelajaran,ada kelulusan dan ada kerjaya.Carl dah cukup dewasa untuk aturkan kehidupan Carl sendiri jadi Carl harap mama tak layan Carl macam budak bawah umur.”dia mencantumkan kedua belah tangannya lalu menayangnya di hadapan Sameera dengan segunung harapan.

“Carl minta maaf kalau Carl dah kecilkan hati mama.Carl harap supaya mama memahami apa kehendak Carl.”jeda.

“Carl balik dulu.”tangan Sameera ditarik lantas dikucup.Kemudian,dahi Sameera turut dikucupnya sebelum melangkah keluar namun baru tiba di pintu dapur,namanya diseru sehingga dia terpaksa berhenti.


 “Mama akan maafkan Carl tapi dengan satu syarat.”

Saturday, 1 October 2016

Calon Pengantin Untuk Dipilih 2




Seretan tayar kereta mewahnya bergema-gema.Sejurus saja menarik brek tangan,Carl memegang stereng dengan dada yang berombak-ombak.Pandang keluar,nampak premis bangunan sedang tersergam indah di hadapan mata.Sejenak,hati jadi sejuk tiba-tiba bila ternampak papan tanda di hadapan bertulis THE ZONE.

Umpama magik,hatinya terus tenang bila memandang ke segenap bangunan di hadapan.Segala rasa sakit hatinya semerta hilang bila memorinya seakan mengulang-ulang sejarah lima tahun dulu bagaimana payahnya dia menubuhkan THE ZONE,gimnasium yang sudah gah dan punya nama di kota metropolitan ini.Mengingati bagaimana perniagaannya menuju ke puncak kejayaan dan mendapat sambutan ramai terutamanya dari golongan selebriti dan VVIP,buat dia menarik senyuman.Malah bertambah tersenyum lebar bila memandang ke arah kafe di sebelah yang juga kepunyaannya.

Keluar dari kereta,dia langsung menuju ke dalam gimnasium.Masih ramai klien yang berada di situ melakukan rutin senaman mereka.Bertegur sapa dan berbasa basi dengan beberapa orang yang mengenalinya,dia terus menuju ke bilik persalinan menukar pakaian.Lima minit kemudian,dia bergerak ke arah butterfly chest machine iaitu sejenis mesin senaman yang berfungsi untuk menguatkan otot dada lalu menggunakannya untuk tempoh lima belas minit.

 “What’s up,brother!

Tak semena-mena saja bahunya ditepuk kuat dari belakang.Toleh ke sisi,ternampak kelibat Akalil,lelaki berkepala botak dengan seluar pendek separas lutut serta singlet kelabu yang separa basah sedang menyengih-nyengih padanya.

Yo,Lil!”tegurnya dengan muka sedikit kelat.

“Mantap dah tu,bro.Dah boleh buat tilam.”gurau Akalil sambil mengesat kepalanya dengan sehelai tuala kecil.Menelek ke tubuh Carl yang sasa dan berotot-otot buat dia jadi kagum.

“Apa hal muka ketat macam tertelan skru karat?”sambung Akalil yang merupakan teman baiknya.

“Dah lama kat sini?”soalan dihulur sekadar mahu mengalih topik.

“Nak gerak balik dah pun.Kau dari mana?”

Carl senyum tawar sambil terus bersenam.

“Apa hal ni weh?Muka macam orang hilang anak.Cer cerita...cer cerita...”gesa Akalil seakan mahu mengorek cerita lalu duduk bersila di hadapan Carl.

“Tak ada apa.Biasalah.Stress kerja.”

“Pelik ni.Cer cerita benda betul.”

“Kau ni kalau satu hari tak jadi busybody tak boleh ke?”tempelak Carl selamba.

 “Mana boleh tak busybody.Kau best friend aku kut!”

Carl mencebik.

“Haih,daripada kau menyibuk kat sini...apa kata kau balik.Emylia duk tunggu kat rumah.Ada baiknya kau busybody dengan bini kau.”

“Wohooo...celupar kan mulut kau ni?”
Carl mencebik.Langsung tak terasa hati bila dikatakan celupar oleh Akalil.Dah hakikat kejadian dia mempunyai mulut celupar.

“Lepak kat kafe,jom!Aku nak dengar apa masalah kau.”paha Carl,Akalil tepuk-tepuk kerana begitu yakin yang Carl punya masalah.

I’m good.Tak ada apa-apa.”

“Dengan aku pun nak sorok?Tak payah la der.Semua dalam poket aku.”bahu Carl pula ditepuk-tepuk.Melihatkan wajah ‘kantoi’ Carl,Akalil terus tergelak-gelak sambil berlalu keluar.

Lima minit selepas Akalil keluar,Carl akhirnya munculkan diri di hadapan lelaki itu.

“Apa hal kau ni,Carl?Muka berserabut.Macam tension aje.Apa kes ni weh?”

“Tak ada apa-apa.Kan aku cakap aku okey.Cuma stress kerja.”

“Orang lain kau memang boleh tipu tapi tolong jangan nak menipu aku yang dah kenal kau dari sekolah tadika ni lagi.”

“Emylia sihat?”
Akalil tergelak-gelak bila Carl bertanya tentang isterinya.

“Aku rasa soalan tu patut ditanya pada kau.Kau ni sihat ke tidak?”

“Kalau aku tak sihat tak adanya aku kat sini.”

“Fizikal kau memang sihat tapi aku tak rasa emosi dan perasaan kau sihat.Apa cer ni,bro?

“Aduhai...payahlah ada kawan yang jadi tukang scan macam kau ni.Fine...fine...fine...memang aku ada masalah.Emosi dan perasaan aku tengah sakit.Puas hati kau?!”

“Aku dah agak.Cer cerita kat aku.Mana tahu aku boleh tolong selesaikan untuk kau.”

“Tak payahlah cuba-cuba jadi macam pakar penyelesai masalah.Masalah kali ni,aku tak rasa ada orang yang boleh selesaikan untuk aku.”

“Kejap...kejap...ni mesti pasal kes calon pengantin,kan?”tekaan Akalil membuatkan Carl mendengus.Haih,betullah agaknya.Akalil ni memang dah macam mesin pengimbas.Tahu saja dia pasal hal ni.
Diam untuk beberapa saat akhirnya Carl terpaksa mengangguk.

“Siapa yang kena reject kali ni?”wajah teruja Akalil ditayang sambil-sambil mendekatkan tubuhnya dengan meja.Terujanya lain macam untuk mengetahui siapakah mangsa yang ditolak mentah-mentah oleh Carl kali ini.

“Ratu kelab malam.”

Wait the minute.Maksud kau...Airis Tan Sri Eusoff?”

Sebut sahaja nama ratu kelab malam,siapa yang tidak kenal?

“Serius perempuan tu calon pengantin kau?”
Carl mengangguk.

Parents kau tak tahu ke dia tu macam mana?”

“Sebab dia orang tak tahu siapa sebenarnya perempuan tu la...dia orang nak padankan aku dengan dia.Tapi...sorry la.Ini Carliff Andre okey.Dalam masa sesaat,aku reject dia mentah-mentah.”

“Wo...wo...wo...anak Tan Sri tu.Anak taikun hotel terkenal,bakal pewaris kekayaan yang entah berapa juta.Gila betul kau reject dia.”

“Aku gila sebab reject dia?Aku rasa aku lebih gila kalau aku terima dia.”

“Rugi kau der.Hot kut perempuan tu!”

Hot?Sorry...not my type.”

Akalil tergelak-gelak melihatkan muka Carl.

“Perghh...not my type konon!Habis tu...type kau yang jenis macam mana?”
Hairan sungguhlah dengan Carl ni.Dalam ramai-ramai perempuan,seorang pun tak berjaya memikat hatinya.Keras macam batu!Kalau dikira jumlah perempuan yang silih berganti dalam hidup Carl,yang pernah mahu dipasangkan dengannya sebagai calon pengantin...rasanya tak ada yang kurang pun.Semuanya terdiri daripada gadis-gadis bijak,berpelajaran dan berpendidikan tinggi.Malah mereka juga berasal daripada keluarga yang baik-baik,terkenal dan berharta.Malah rupa paras mereka pun indah-indah belaka.Mustahil seorang pun tidak berjaya menambat hati Carl melainkan...ops!

“Jangan-jangan type kau ni jenis yang ‘hadek-hadek’ tak?Kau jangan buat hal,Carl.Jangan cakap kat aku yang kau ni sebenarnya bengkang bengkok!”

“Kau nak tahu hal yang sebenar?”aju Carl tiba-tiba.

“Apa dia?”

“Sebenarnya,aku reject semua calon-calon pengantin yang datang ke dalam hidup aku sebelum ni atas satu sebab saja.Aku...”jeda.Carl tenung lama mata Akalil yang teruja menanti bicaranya dihabiskan.

“Aku sebenarnya...dah lama sukakan kau,Lil.Sebab tu aku reject semua calon pengantin!”
Tersedak terus Akalil dibuatnya sebaik Carl menyudahkan ayatnya.Terasa dunia ni mahu terbalik mendengar pengakuan berani mati Carl malah bulu romanya mula meremang sebaik saja Carl mencapai tangannya lalu mengelus-elus lembut.

“Kau jangan buat hal,Carl!”menggelabah dibuatnya melihatkan aksi luar alam Carl itu.
Carl pula sudah berdekah-dekah ketawa melihat kegelabahan Akalil.

“Tahu pun cuak!”

“Nauzubillah.Kau jangan nak jadi macam kaum Nabi Luth pula,Carl.Aku tumbuk muka kau jap lagi!”penumbuknya diangkat dan disua ke depan muka Carl.Geram sungguh bila hal-hal begini Carl buat main.

“Dah kau tuduh aku lelaki bengkang bengkok siapa suruh?”

 “Aku gurau ajelah!”

“Habis tu aku tak reti nak bergurau?”

Akalil diam.Merah mukanya dek kelakuan tak bertamadun Carl tadi.Nasib baik Carl kata dia bergurau,buatnya betul-betul memang dia lari balik rumah sekarang juga.

So,calon pengantin yang ke dua puluh tiga dah kena reject.Apa rancangan kau lepas ni?”Akalil bertanya ketika keadaan kembali tenang.

“Lil,kau tahu tak kat mana nak cari perempuan serba sempurna yang menepati piawaian aku?”

“Kalau aku kata aku tahu...kau nak buat apa?”

“Aku nak masuk meminang.”

“Tahu.”Akalil mengangguk.

 “Kat mana?”terhegeh-hegeh Carl menagih jawapan daripada Akalil.Matanya bercahaya bila mendengar kata-kata Akalil.Kalau benarlah Akalil tahu di mana,dia tak akan teragak-agak untuk susun strategi demi memastikan perempuan tersebut menjadi miliknya.

 “Dekat dalam mimpi!”

Berdekah-dekah Akalil ketawa selepas nampak muka mencuka Carl.

Thursday, 22 September 2016

Calon Pengantin Untuk Dipilih 1




Mata helang kepunyaan Carl terus memanah tepat ke anak mata Airis.Riak wajah Carl cukup jelas.Membuatkan Airis hilang kosa kata.Sejurus kemudian,Airis terdiam untuk jangka masa yang lama.

“Aku tak nak tengok muka kau sebaik saja kaki aku menjejak masuk ke dalam rumah,”ujar Carl dengan selamba tetapi dalam nada yang tegas.

“Tapi...”

“Aku tak nak dengar apa-apa pun yang keluar dari mulut kau.Kau faham kan apa yang aku cakap?” tangan Carl naik mengisyaratkan agar Airis berhenti bersuara.

 “Carl...”

“Keluar dari rumah ni atau aku akan malukan kau di hadapan keluarga aku dan juga keluarga kau.”sambung Carl sambil menjungkit sebelah keningnya.

Airis terdiam buat beberapa saat.Menekur roman wajah Carl yang nampak tenang buat dia jadi sakit hati.Malah bertambah sakit hati bila nampak lelaki itu melorekkan senyuman senget.

“Awak ugut saya?”

“Tak.Aku bagi pilihan pada kau.Jadi,kau pilihlah.Nak keluar secara rela atau dimalukan.”
Airis benar-benar sakit hati.Rasa terbakar dadanya mendengar kata-kata Carl yang cukup sinis dan tajam.Kalaulah bukan keluarganya ada di dalam sedang makan malam bersama keluarga Carl,dah lama dia bagi penampar ke muka lelaki ini.Tak guna!Cemuh hatinya tak sudah.

“Awak jangan menyesal!”tempelaknya geram.

 “Aku takut kau yang akan menyesal nanti.”

Senyuman sinis Carl membuatkan Airis terpaksa mengangkat bendera putih.Tahu yang dia sedang kalah dengan lelaki ini,dia terpaksa beralah.Kalau dia masih berdegil,dia yakin yang Carl pasti akan kotakan apa yang telah dikatakan.Tak mahu meletakkan hidupnya dalam sebuah risiko,Airis bergerak mendekati Carl.Wajah Carl ditenungnya sepuas hati.

“Okey,saya akan pergi.Puas hati?”

Usai saja Airis meninggalkan rumah bersama keluarganya,Carl hanya duduk dengan tenang di hadapan meja makan sambil menyumbatkan mulutnya dengan makanan.Tanpa menghiraukan pandangan ibu bapanya yang seakan tidak puas hati dengan apa yang telah terjadi,dia meneruskan suapan ke mulut.

“Carliff Andre!”pekik Sameera tiba-tiba.

Carl angkat muka memandang ibunya dengan muka bersahaja.Mulutnya dikesat dengan tisu lantas bangkit.

“Tolong jelaskan apa yang sedang berlaku!”suara halilintar Sameera membuatkan Carl menarik senyuman nipis.

Carl,answer me!”pekik Sameera bila Carl hanya mendiamkan diri.

 “Carl,beritahu kami apa sebenarnya yang sedang berlaku?Kenapa Airis balik macam tu aje?”aju Lukman pula dengan nada tenang.

“Mama dengan ayah dah dengar kan tadi apa jawapan dia?”poket seluar diseluk.Mata dihala ke hadapan tanpa memandang kedua ibu bapanya cuba-cuba mengingatkan semula apa alasan Airis ketika dia meminta diri untuk pulang tadi.

“Mama tak percaya Airis tiba-tiba saja nak balik sebab tak sihat.Ini mesti Carl dah cakap apa-apa kat dia masa kat luar tadi,kan?”tuduh Sameera lantang.

Carl mencebir dan mengangkat bahu.Malas mahu bertekak dengan ibu bapanya kerana Airis,langsung dia atur langkah dengan berniat mahu naik ke biliknya di tingkat atas banglo itu namun langkahnya terhenti sebaik saja namanya dilaung.

Okay,fine!Memang Carl yang suruh dia tinggalkan rumah ni.”

“Mama tak percaya itu saja yang Carl cakap pada dia.Mesti ada perkara lain yang Carl beritahu dia tadi.Betul tak?”dada Sameera dah mula naik turun menahan amarah yang sedang mengasak dada manakala Lukman pula cuba-cuba untuk menenangkan isterinya yang sudah habis sabar.

 “Ya,memang Carl minta dia tinggalkan rumah ni serta tinggalkan keluarga kita.Carl beritahu dia yang Carl tak nak ada apa-apa hubungan dengan dia.”

“Maknanya Carl beritahu dia yang Carl tak nak dia jadi calon pengantin Carl.Macam itu?”
Carl mengangguk yakin.

Sameera mengetap-ngetap bibir.Sungguh,dia terkilan dengan sikap anak terunanya nan seorang ini.Setelah bersusah payah dia mengaturkan majlis makan malam ini bersama keluarga Tan Sri Eusoff dan Puan Sri Kamalia,senang-senang saja Carl musnahkannya dalam masa tak sampai sepuluh minit.

“Carl memang betul-betul memalukan mama dengan ayah!Kalau betul pun Carl tak nak pada Airis,kenapa kena berlaku biadap macam ni?Mama tak pernah didik anak-anak mama kurang ajar dengan tetamu!”

“Carl rasa bukan Carl yang biadap tapi anak manja Tan Sri Eusoff tu!”balas Carl membela diri.Hatinya sakit tiba-tiba bila ibunya seolah mahu meletakkan kesalahan di bahunya sedang Airis yang patut dipersalahkan.

“Carl!”tegur Lukman sehingga Carl terkejut.Disebabkan hal tadi,dia tertinggi suara pada ibunya sendiri.Disebabkan hal ini dia terlupa makna hormat terhadap kedua ibu bapanya.

I’m sorry...ayah...mama.Carl tak bermaksud nak kurang ajar tapi apa yang Carl buat ni untuk diri Carl sendiri.”dia tertunduk ke lantai,cuba-cuba menghalau rasa marah yang bergumpal di dalam hati.

“Carl buat untuk diri sendiri?Habis tu,apa yang Carl buat untuk kami berdua?Mana  kami nak letak muka lepas ni?Carl memang sengaja nak memalukan kami,kan?”ujar Sameera dalam nada sesal dan kecewa.

Wajah Sameera dan Lukman dipandang.Kemudian,dia menggeleng.Kalau Sameera kata yang mereka berdua malu disebabkan kelakuan Carl terhadap keluarga Tan Sri Eusoff,dia lebih malu lagi jika dia beristerikan Airis.

Bukannya baru sehari dua dia kenal dengan Airis Tan Sri Eusoff.Sudah bertahun-tahun dia mengenali gadis itu malah dia sudah boleh menghafal apa aktiviti gadis itu setiap malam.Keluar masuk disko,pub dan kelab-kelab malam serta berpeleseran dengan lelaki-lelaki hidung belang cukup sinonim dengan dirinya.Tidak cukup dengan itu,dia juga pernah terserempak dengan gadis itu di sebuah hotel bersama seorang lelaki kaya.

Baginya,perempuan seperti Airis langsung tidak layak berdampingan dengannya.Memang gadis itu berasal daripada keluarga kaya dan terhormat tetapi kalau tidak pandai menjaga kehormatan,tidak ingin dia mahu menjadikan Airis sebagai calon pengantinnya.Never!

“Carl tak nak bincang apa-apa pasal perempuan tu dan keluarganya.Cukup Carl beritahu yang Carl tak nak ada apa-apa hubungan dengan dia malah keluarga dia.Jangan pernah aturkan lagi pertemuan Carl dengan dia selepas ni,mama...ayah.Carl tak nak terlibat apa-apa dengan dia.”

“Carl...”tangan Sameera yang naik menuding ke muka Carl cepat saja ditarik oleh Lukman.Dia memberi isyarat agar Sameera tidak meneruskan pertelagahan mereka.

“Suka hati Carl kalau macam tu.Buatlah apa pun yang Carl suka!”ucap Sameera dengan rahang yang naik turun melawan rasa.Tanpa berlengah-lengah,dia terus beredar begitu saja meninggalkan Carl dan Lukman berdua di situ.

“Ayah rasa lebih baik kalau Carl balik dulu,”arahan diberi sambil menepuk-nepuk bahu Carl.

“Hal mama tu nanti ayah selesaikan.Kamu jangan nak ambil hati sangat dengan mama kamu tu,”nasihat diberi kerana dia cukup faham dengan apa yang berada di fikiran isterinya dan juga anak lelakinya itu.

Terhenyak dengan arahan Lukman,Carl menurut.Sambil melangkah keluar dia mengepal-ngepal penumbuknya sambil menahan rasa.

Airis Tan Sri Eusoff,you will never be my bride.Never!



 p.s bakal terbit


BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...