Otot diregang-regang sebelum terjunan ala atlet sukan
renang dilakukan.Berkocak air kolam renang itu serta merta sebelum beberapa
aksi kuak lentang,kuak kupu-kupu dan gaya bebas dipersembahkan.Nafas dihela
agak lelah usai saja rambutnya dilurut ke belakang.Air dari dalam mulut diluah
keluar sambil berpaut pada birai kolam renang.
Carl meraup mukanya yang basah dan membiarkan tubuhnya
terapung mengena cahaya matahari.Matanya dipejam-pejam sambil menikmati suasana
petang.Hilang sedikit rasa lelah yang bersarang dijiwa sejak beberapa hari
ini.Hanya dengan menghabiskan masa di kolam renang sebagai aktiviti riadah
mampu menenang jiwa dan perasaan.Namun semuanya tercantas bila suara Samiha
bergema-gema di telinganya.
“Carl,lama lagi ke?”
Carl alihkan tubuhnya dan kembali mendekat dengan
dinding kolam.Dia melangut mencari wajah Samiha,kakak keduanya yang sedang
menghampiri kolam renang sambil mendukung anak kecilnya yang baru menginjak
usia satu tahun.
“Kenapa?”
“Masuk dalam,minum petang dah siap tu.” memuncung bibir
Samiha memberi isyarat agar adik lelakinya itu segera menghabiskan
aktivitinya.Naik rimas dia tengok Carl.Bukan apa,sejak adiknya itu melangkah
masuk ke dalam rumah keluarga mereka lagi dah berlaku drama swasta.Carl dengan
perangainya manakala Sameera pula dengan sikapnya.Dua-dua keras kepala.Sudahnya
bila Sameera tak mahu melayan Carl,adiknya itu buat protes dan terjun ke dalam
kolam renang dengan baju yang lengkap.
“Kejap lagilah,”alasan diberi.
“Kau ni dah kenapa,Carl?Tunjuk protes?”
“Mana ada protes.”
“Dah tu?Yang kau pergi terjun kolam dengan baju dan
seluar segala tu apa hal?Kut ya pun,tak payah nak ekstrem sangat.Kalau rasa nak
tunjuk juga protes tu,pergi aje terjun bangunan.Baru puas hati.”selamba Samiha
melaser dirinya sehingga dia sendiri tersentak.Bukan main betul mulut kak
ngahnya ini.
“Kak ngah nak Carl mati cepat ke?”sudahnya satu soalan
diajukan kepada Samiha sehingga wanita itu berdecit halus.
“Susahlah cakap dengan kau ni!”sekilas anak kecil
dalam dukungannya dicium.
“Daniel nanti besar jangan ikut perangai Uncle Carl
tau.Keras kepala dan keras hati.Mummy tak suka.Ya sayang?”
Carl mencebik.Eleh,kak ngah ni nak sindir-sindir dia
pula.
“Dah la,kau buat la apa yang patut dalam kolam tu.Tapi
kalau kau rasa nak makan,kau masuk.Tuala ada kak ngah letak atas kerusi
tu.Jangan kejap lagi kau buat perangai masuk ke rumah dengan baju basah tu.Tak
ada orang gaji nak tolong lapkan lantai tu,” mendadak Samiha berlalu dari situ
meninggalkan Carl terkebil-kebil seorang diri di dalam kolam.
“Aku juga yang kena?”
Meja makan dihampiri usai saja dia menukar
pakaian.Mujur juga dalam bilik tidurnya di rumah keluarganya ini masih ada saki
baki baju yang ditinggalkan.Lepas saja keluar dari kolam tadi,dia terus naik ke
bilik dan menukar baju.
Elok nak tarik kerusi,Sameera yang duduk di kepala
meja segera bangkit tanpa mahu memandang wajah Carl.
“Mama nak ke mana?”aju Samiha pelik.Tadi bukan main
lagi ibunya itu kata nak makan petang dengan anak dan cucu tapi bila Carl
datang terus semuanya berkubur macam tu saja.
“Nak ke belakang.”
“Eh,makanlah dulu.”
“Kamu makanlah,Miha.Mama tak ada selera pula.”
“Ma...”suara Samiha mati mendadak bila Sameera terus
berlalu tanpa menghiraukan mereka.Carl pandang Samiha,begitu juga
sebaliknya.Samiha naikkan kening sebelah sebelum menjegilkan matanya kepada
Carl.
“Apa?”
“Pergilah pujuk mama.”
“Biarlah.Nanti dah sejuk okey la tu.”
“Hei,payahlah macam ni.Seorang macam itu,seorang macam
ini.Kak ngah yang kat tengah ni yang serabut.”bebelan Samiha yang menampar
cuping telinga Carl buat dia mencebik.
“Pergilah pujuk mama tu,Carl.Sampai bila nak tengok
dia macam tu?Kak ngah ni susah hati tau tak!”
“Kak ngah nak susah hati dah kenapa?Bukannya masalah
besar pun.”
“Bukan masalah besar?Hei,kau dah lupa ke apa yang kau
dah buat haritu sampai mama tarik muka dengan kau?Dah lupa?Sekarang kak ngah
tak kira.Kau bangun dari situ dan pergi pujuk mama.Pergi minta maaf dari
mama.Sekarang!”arah Samiha dengan muka menyinga.
Carl tayang muka tak bersalah malah dengan selambanya
dia menarik cawan hot chocolatenya lantas
meneguk dengan penuh nikmat.
“Carl,dengar tidak apa yang kak ngah cakap ni?”
“Dengar.”jawabnya acuh tak acuh.
“Apa tunggu lagi?”
“Salah Carl la ni?”ajunya pura-pura bodoh.
“Kau dah sakitkan hati mama jadi memang salah kau la.”
“Duhhh...Carl reject
perempuan yang entah apa-apa tu pun salah Carl?Habis tu,mama pandai-pandai atur
plan nak jodohkan Carl tu apa benda
pula?”
Mendengar hujah balas Carl buat Samiha sakit
kepala.Diketuk-ketuknya dahinya sambil menggerutu geram.
“Ya Allah,apa nak jadilah dengan orang kat dalam rumah
ni?”mata tertala ke wajah Carl yang sedang mengunyah.Kepala dah menggeleng.
“Carl,dengar la sikit cakap kak ngah ni.Tak baik kau
buat mama macam tu.Beralah la sikit.Mama tu ibu kita tau.Syurga kita ada di
bawah telapak kaki dia.Sikit saja hati dia tergores,neraka tempat kau!”
Dengar Samiha menyebut-nyebut perihal neraka buat dia
sedikit kecut perut.
“Cuba rendahkan sikit ego tu.Tak luak mana pun duit
kau kalau kau pergi minta maaf daripada mama.”sambung Samiha tidak mahu mengalah.
Carl pandang Samiha.Berkira-kira hendak mengikut cakap
kakaknya itu atau tidak.
“Fine!Carl
pergi minta maaf.Memang Carl bersalah dalam hal ni dan memang Carl yang patut
dipersalahkan.Puas hati?!”
Menonong dia bangkit dan menuju ke dapur.Sesampai saja
di dapur,dia nampak yang Sameera sedang sibuk mencuci gelas di singki.Dengan
selamba saja dia bertenggek di kabinet dekat dengan ibunya itu lantas berpeluk
tubuh.Lama dia memerhati gelagat Sameera sebelum akhirnya dia menegur wanita
itu.
“Carl tahu mama masih marahkan Carl pasal hari tu.Carl
tahu mama juga kecil hati dengan apa yang dah terjadi.”
Sameera menyusun gelas yang siap dicuci ke atas rak
dengan kasar.Kemudian,tangan dilap dengan tuala bersih sebelum mendekati peti
ais dan mengeluarkan plastik buah-buahan.Memerhati gelagat Sameera,Carl jadi
tak senang duduk.
“Biar Carl potongkan buah tu.”pisau di tangan Sameera
dicapai dan baru saja dia mahu memotong buah epal,Sameera pula dah berganjak.
“Ma,Carl minta maaf.Carl tahu Carl dah
keterlaluan.Carl tahu Carl memang dah melampau tapi Carl buat semua tu ada
sebab.”
“Sebab apa?Sebab nak memalukan mama dan
ayah,kan?”potong Sameera sekaligus melepaskan sisa kemarahannya.
“Sikit pun Carl tak ada niat nak malukan keluarga Carl
terutama mama dan ayah.Carl buat semua ni sebab nak selamatkan keluarga kita.”
Alasan yang diberi oleh Carl kedengaran agak tidak
logik pada Sameera sehingga matanya membulat merenung wajah Carl yang masih
bereaksi seolah-olah dialah mangsa keadaan.Sebal hatinya melihat tingkah si
anak yang sering menayang muka tak bersalah selepas melakukan kesalahan.Entah
makanan apa yang dia silap beri pada Carl dulu pun dia tak tahulah!
“Selamatkan keluarga kita?Carl tahu tak disebabkan
kejadian malam tu,Puan Sri telefon mama beritahu anak dia asyik berkurung dalam
bilik sampai berhari-hari.Bukan setakat itu saja,Puan Sri menyalahkan mama pula
sebab tak pandai nak ajar anak sendiri.”
Carl gelak.Sumpah rasa kelakar pula dengar apa yang
baru keluar dari mulut ibunya.Serius Puan Sri Kamalia kata macam tu?
“Carl rasa dia yang tak pandai nak didik anak
sendiri.”
“Carl jangan melampau tau!Carl dah malukan mama dan
ayah,kemudian senang-senang nak tuduh orang lain pula.”
“Carl tak menuduh tapi Carl cakap berdasarkan
pengetahuan Carl.Carl ni bukannya budak-budak yang senang kena tipu.Carl lebih
kenal Airis daripada ibu bapa dia kenal dia.Come
on la,ma.Takkan kerana perempuan tu,kita anak beranak nak bertegang urat
dan bermusuh?”
“Ini bukan soal permusuhan tapi kamu tu yang
melampau!”tengking Sameera melepas rasa geramnya yang sudah tak terbendung.
“Fine!Suka
hati mama la nak cakap apa pun.Kalau mama rasa Carl melampau sebab tolak
calon-calon pengantin yang mama cuba kenenkan pada Carl,it’s up to you then.Cuma Carl nak ingatkan mama.Anak lelaki mama ni
bukan berumur 17 tahun tau.Carl ada pelajaran,ada kelulusan dan ada
kerjaya.Carl dah cukup dewasa untuk aturkan kehidupan Carl sendiri jadi Carl
harap mama tak layan Carl macam budak bawah umur.”dia mencantumkan kedua belah
tangannya lalu menayangnya di hadapan Sameera dengan segunung harapan.
“Carl minta maaf kalau Carl dah kecilkan hati
mama.Carl harap supaya mama memahami apa kehendak Carl.”jeda.
“Carl balik dulu.”tangan Sameera ditarik lantas
dikucup.Kemudian,dahi Sameera turut dikucupnya sebelum melangkah keluar namun baru
tiba di pintu dapur,namanya diseru sehingga dia terpaksa berhenti.
“Mama akan
maafkan Carl tapi dengan satu syarat.”
No comments:
Post a Comment