Friday, 29 November 2019

AURORA Bab 3 & Bab 4


Bab 3

Jangan lupa tunggu kat tempat biasa. Aku datang ambil kau. – Zafrin

Aurora mematikan telefonnya setelah membaca mesej yang baru dihantar oleh Zafrin. Geram dia dibuatnya dengan lelaki itu. Tak boleh bagi muka langsung. Ada saja yang hendak diingatkan. Di rumah, puas dia dikawal oleh ahli keluarga. Takkan di kolej juga ada orang yang hendak mengawalnya dan memberitahu apa yang dia perlu buat?

Urgh!

Aurora bangkit. Dia mahu ke tandas untuk membasahkan wajah. Matanya yang mula layu memerlukan satu kuasa luar biasa agar dia boleh terus menumpukan perhatian di dalam kelas.

Berjalan seorang diri menuju ke tandas, fikirannya mula melayang-layang teringatkan tugasan kuliah daripada Puan Hanum, pensyarah yang mengajar subjek Corporate Business. Dia cuma ada masa beberapa minggu saja untuk menyiapkan tugasan solo itu.

Otak ligat berfikir figura mana yang dia hendak jumpa untuk mendapatkan bahan dan maklumat. Takkan nak jumpa daddy kut? Aurora tepuk dahi. Tak boleh! Dalam hal ini, dia tak mahu mencampur adukkan perihal kuliah dengan orang-orang yang mempunyai pertalian dengannya. Dia mahu berdikari. Nanti dia akan cari sendiri siapa yang akan menjadi pilihan untuk ditemubual dan mendapatkan bahan.

Krekkk!

Aurora menolak pintu tandas. Lengang. Tiada sesiapa pun di sini. Senyum miring terukir. Lega. Dia memang tak suka kalau dia masuk ke mana-mana tandas, ada orang yang sedang bergosip di situ. Bukan dia tidak tahu, di tandas kolej itu memang selalu jadi port budak-budak bergosip dan mengutuk pensyarah. Kadang-kadang boleh jadi port segelintir pelajar melakukan perkara yang bukan-bukan.

Kepala paip ditolak. Aurora menadah air sejuk yang baru mengalir lalu membasahkan wajah. Dua tiga kali dia mengulang perbuatan yang serupa. Kemudian, dia berkumur-kumur membersihkan mulut. Mengantuk tak payah cerita. Tapi apabila kulit muka dah terkena air, hilang terus rasa mengantuknya.

Krrr! Kekkk! Krekk!

Tiba-tiba lampu kalimantang berbunyi-bunyi seperti baru berlaku renjatan elektrik. Kemudian, lampu berkelip-kelip dan terpadam. Gelap keseluruhan tandas itu. Hanya biasan cahaya dari celah tingkap kecil di hujung tandas yang menyuluh sebahagian kawasan tandas. Aurora terkebil-kebil memandang ke siling. Ah, waktu-waktu macam ini juga mahu terpadam.

Dia menolak kepala paip. Air berhenti mengalir. Tinggal bunyi titisan-titisan air jatuh mengena mangkuk sinki. Aurora pandang cermin lalu membetulkan tudung. Dia mahu keluar. Duduk lama-lama kat dalam tandas pun bukannya ada apa. Sudahlah gelap. Nak belek muka sendiri pun tak lepas.

Tap!

Tak semena-mena saja lampu terpasang kembali. Aurora mendongak. Seperti tidak pernah berlaku apa-apa pada lampu itu.

Krekkkkk!
Panjang bunyi pintu ditarik. Salah satu pintu di dalam tandas itu tiba-tiba terkuak. Aurora memandang lama ke sana. Eh, ada orang ke?

Tap! Tap! Tap!

Mata Aurora semerta membulat. Terundur beberapa tapak langkahnya sehingga berlaga dengan dinding. Tiada lagi ruang kosong yang boleh membuatkan dia berganjak. Aurora sandarkan tubuh ke dinding sambil mencengkam pakaiannya. Matanya tunak terarah ke pintu tandas yang sudah terkuak. Muncul sesuatu dari lantai. Tekak Aurora bergerak-gerak seakan ingin memuntahkan sesuatu. Bulu romanya mula tegak berdiri. Jantungnya pula mengepam darah dengan laju. Peluh muda mula muncul di dahi. Nafasnya ikut tidak teratur.

Semakin dia cuba bertahan, semakin benda itu mendekatinya. Mengesot-ngesot dengan perlahan di atas lantai. Dengan jelas ada banyak kesan darah bercampur nanah melekat-lekat di lantai. Baunya tak usah cakap. Tengik. Busuk. Meloyakan.

Perlahan-lahan Aurora memejam mata, cuba menghalau kegelisahan yang bermaharajalela di hati. Lima saat kemudian, dia kembali membawa deria penglihatannya untuk menyaksikan benda tersebut.

Gulp!

Nak telan liur pun terasa tak lepas. Jantungnya tiba-tiba terasa hendak gugur setelah satu makhluk yang dilihatnya tadi sudah pun berada di depan matanya. Begitu dekat sekali wajahnya dengan wajah makhluk tersebut. Mata Aurora membulat, menyaksikan sendiri bagaimana bendalir yang bercampur dengan nanah dan darah yang terpalit di muka makhluk itu jatuh ke lantai. Bunyinya seperti gam yang melekit-lekit di tangan.

Plekk! Plapp! Plapp!

Aurora menahan nafas. Hendak termuntah dibuatnya apabila bendalir busuk itu menusuk kuat ke hidungnya. Terketar-ketar tangan menyentuh dinding di belakang, mencari tempat untuk berpaut. Nak lembik rasa kakinya. Seperti tak memijak lantai gayanya. Apatah lagi sesudah makhluk itu menyeringai kepadanya sehingga menampakkan isinya yang terkoyak dan berulat-ulat.

“Aurora!”
Pada masa yang sama, terdengar panggilan seseorang. Bahu Aurora terasa ditepuk.

“Apa yang kau buat lama sangat dekat dalam tandas ni?” aju Mya, rakan sekelas Aurora yang tiba-tiba muncul di sisi. Dia mencari Aurora di sini setelah hampir setengah jam gadis itu menghilang dari kelas.

“My… Mya…” ucap Aurora dengan suara yang sangat perlahan.

Mya merenung wajah pucat lesi Aurora. Hairan dia dibuatnya. Apa yang terjadi sehingga Aurora berkelakuan sedikit aneh? Elok menolak pintu tandas tadi, dia nampak Aurora sedang melekat dan bersandar rapat ke dinding.

“Kau okey ke ni?”

Aurora diam. Okey? Rasa-rasanya Mya nampak sendiri kut yang dia sebenarnya tak okey. Dia melemparkan kembali pandangannya ke depan. Makhluk hodoh tadi sudah hilang. Begitu juga dengan kesan darah, nanah serta segala kotoran yang menjijikkan di atas lantai. Semuanya telah hilang seperti telah dibersihkan. Tidak ada walau satu cecair pun di atas lantai itu.

“Kau buat apa dekat sini, Mya?”

“Aku datang cari kaulah. Dah dekat setengah jam kau keluar. Aku risau kalau apa-apa terjadi pada kau,” balas Mya bernada prihatin.

Aurora terus terdiam. Nafasnya masih lagi lintang-pukang. Jika dia beritahu Mya apa yang dia nampak tadi, sudah tentu gadis itu takkan percaya. Sebab hanya dia seorang saja yang boleh melihat semua itu.

“Kau dah sudah ke? Jomlah masuk kelas. Nanti bising pula Encik Badri bila tengok pelajar dia hilang macam itu aje.” Mya menarik-narik lengan Aurora.

Perlahan-lahan Aurora mengangguk. Sempat lagi dia membasahkan sekali lagi wajahnya semata-mata mahu menyegarkan diri.

Sekarang, baru dia sedar bahawa doanya termakbul. Minta sangat perkara bukan-bukan, kan? Hah, ambik! Kan dah mendapat!


***

Tamat kelas jam 3.30 petang, Aurora melangkah menuju ke bahagian tengah fakulti. Fikirannya menerawang mengingati apa yang terjadi di dalam tandas tadi. Kepalanya menunduk, merenung lantai sambil berjalan.

Buk!
Aurora mendongak apabila kepalanya berlaga dengan tubuh seseorang. Matanya terpaku ke hadapan, merenung lama si dia.

“Bila berjalan tu, pakai mata atau pakai siku?”

Aurora berdecit. Isk, dia ni! Balik-balik muka dia.

“Sibuk ajelah. Ke tepi sikit!”

“Kau nak ke mana?” Zafrin bercekak pinggang sambil menahan langkah Aurora.
Aurora pula berhenti. Memandang tangan Zafrin yang sedang melelar pergelangan tangannya. Segenap wajah Zafrin ditenungnya. Jelingan maut dihantar, mengisyaratkan supaya Zafrin melepaskan pegangannya. Tidak suka sungguh apabila lelaki ini sesuka hati menyentuhnya.

Sorry,” ujar Zafrin lalu melepaskan tangan Aurora.
“Nak ke mana?” soalan Zafrin berulang.
“Nak baliklah. Kelas dah habis.”
“Balik macam itu aje? Dah lupalah tu…”
“Lupa apa?”
“Kan aku dah pesan, tunggu aku dekat tempat biasa. Sekejap lagi aku hantar kau pergi bengkel.”

Aurora memejamkan mata. Aduh! Macam mana dia boleh terlupa dengan pesanan Zafrin itu? Kalau dia tidak ke bengkel untuk mengambil keretanya hari ini, pasti dia akan susah. Patah kaki dia nanti. Hampir empat hari kereta kesayangannya itu masuk ke bengkel akibat masalah enjin. Takkan nak tunggu sampai hari kelima baru dia boleh pandu kereta itu semula ke kolej?

“Aku nak pergi bengkel sekarang,” Aurora memberitahu.
“Setengah jam lagi aku datang ambil kau. Tunggu aku sekejap.”
“Kau nak ke mana pula? Tadi bukan main beria-ia nak hantar aku ke sana.”
“Jumpa pengerusi kelab ragbi.” Zafrin menyengih. Kebetulan pula, petang ini dia ada urusan berkaitan kelab ragbi. Ada perkara yang perlu dilakukannya sebentar. Selesai saja, dia akan terus bawa Aurora ke bengkel seperti yang dijanjikan.

Aurora memutarkan mata. Bosan betullah dia dengar Zafrin asyik sebut pasal ragbi. Tak habis-habis dengan kelab sukan kesayangannya itu. Lain kali, kalau ada urusan… tak payah memandai-mandai mengatur jadualnya. Tak pasal-pasal saja dia kena tunggu Zafrin selama setengah jam.

Aurora bergerak ke ruang legar fakulti dan duduk di sofa. Fikirannya menerawang mengingati kejadian tadi. Dadanya masih dipalu hebat akibat kejadian tersebut. Matanya dipejam, cuba menghalau imej-imej ngeri itu tetapi dia gagal.

Tanpa bertangguh, cepat-cepat dikeluarkan sebuah buku lukisan dari dalam beg. Helaian demi helaian diselak. Pensel dari celah beg turut ditarik. Mata pensel diletakkan ke atas hamparan kosong dalam buku lukisannya. Mata dipejam lagi, menyedut nafas sedalam-dalamnya. Buka saja mata, terus ditarikan pensel ke atas buku.

Sehinggalah Zafrin datang menegur, Aurora masih kekal berada dalam dunianya yang tersendiri. Lakaran-lakaran kasar berbentuk makhluk hodoh yang dilihat di dalam tandas tadi terbentuk di atas hamparan buku lukisan.

“Kau buat apa tu?”

Tanpa menjawab soalan Zafrin, Aurora lekas-lekas menyimpan buku lukisannya. Terbantut kerja-kerja melukisnya gara-gara disergah Zafrin.

Nothing.” Jawab Aurora lantas berdehem-dehem. Dia tidak mahu menjawab pertanyaan Zafrin itu dengan memberitahu perkara sebenar.

“Kau okey tak ni?” Zafrin memandang perilaku aneh Aurora. Kelam kabut sangat dia tengok si gadis menyimpan buku lukisannya walhal bukannya dia tidak nampak apa yang Aurora sedang buat.

Aurora diam. Berpura-pura mengemas begnya.

“Ada apa-apa yang terjadi?”

“Tak ada apa-apalah. Cepatnya kau sampai? Kata setengah jam baru habis.”

“Aku terlewat lima belas minit, kau kata cepat? Kau berangan sampai ke mana ni?”

Berubah air muka Aurora. Benarkah kata-kata Zafrin itu? Jadi, dia sudah berada di sini dan melukis selama empat puluh lima minit?

“Dengan orang lain mungkin kau boleh tipu, tapi bukan dengan aku.” Zafrin bersuara setelah Ferrari merahnya mengaum di jalanan. Sekilas dia mengerling Aurora di sebelah yang hanya menyepikan diri. Dia nampak jari-jemari Aurora diramas-ramas sesama sendiri. Dia yakin ada sesuatu yang Aurora sedang fikirkan.

“Aku tahu ada sesuatu yang berlaku. Tell me. Ada budak-budak kelas kau yang buli kau? Burn? Melati? Kau cakap. Nanti tahulah apa yang aku nak buat dengan diorang.”

Aurora julingkan mata ke atas. Dah kenapa sampai kena sebut nama Burn dan Melati pula? Sepanjang hari Aurora tak nampak pun batang hidung budak berdua tu. Tak ada maknanya mereka hendak membuat onar.

“Tak ada apa-apa. Jangan menyibuk boleh tak?”
“Aku bukannya nak menyibuk. Aku cuma nak tahu. Salah ke?”
“Menyibuk dengan ambil tahu hal orang lain tu sama saja.” Aurora silangkan tangan ke dada sambil melempar pandangan ke luar tingkap.

Kenapalah dia rasa Ferrari milik Zafrin ni bergerak mengalahkan kura-kura? Bila nak sampai bengkel ni? Lagi cepat dia sampai bengkel, lagi cepatlah dia boleh balik. Dan lagi cepatlah dia boleh menjauhi Zafrin yang kaki sibuk ini. Urgh!




 Bab 4


Ding dong!

Ding dong!
Burrrr!

Tersembur air yang baru diteguk sebaik saja mendengar bunyi loceng pintu. Aurora hempaskan gelas ke atas kabinet dan berlalu ke pintu. Entah siapa agaknya yang datang ke apartmennya malam-malam begini. Sekilas dia menjeling jam dinding. Sudah pukul 10.15 malam. Takkan daddy kut? Kalau daddy, sudah pasti ayahnya itu akan menelefonnya atau menghantar mesej memaklumkan akan kedatangannya. Lagi pun, dia tak rasa daddy yang datang sebab setahu dia, daddy pergi ke Miri tiga hari atas urusan pejabat. Habis tu, takkan mommy kut? Kalau daddy tak ada, mommy pun takkan ada.

Malas hendak memikirkan gerangan manusia di depan pintu, laju Aurora meneropong orang di luar melalui lubang pintu. Huh! Mamat ni rupanya. Lekas-lekas Aurora mencapai jaket hoodie dan menyarungkannya ke tubuh.

“Kau nak apa datang malam-malam macam ni?”
“Bukalah pintu pagar ni. Bagi aku masuk.” Pagar yang berkunci digoncang oleh Zafrin.

“Kau dah gila? Kau nak buat apa masuk ke dalam? Bukan ada sesiapa pun. Nak kena tangkap basah ke?”

“Aku nak hantar barang dapurlah. Ni haa… aku baru beli.” Zafrin mengangkat dua beg plastik berisi pelbagai barang dan menayangnya kepada Aurora.

“Barang dapur aku ada banyak lagilah. Daddy dah belikan hari tu. Buat apa kau belikan lagi? Aku tak suruh pun.” Pun begitu, tangan tetap memasukkan batang kunci ke lubang pintu lantas menarik pagar untuk membenarkan Zafrin masuk.

“Daddy pesan kat aku minta tambah barang dapur untuk kau. Aku baru sempat pergi beli kejap tadi lepas habis game.”

Aurora mendengus. Haih! Balik-balik daddy. Anak manja daddy betul. Mengalahkan dia pula. Kadang-kadang, dia rasa yang daddy lagi sayangkan Zafrin berbanding dirinya. Huh!

“Eh, kau nak ke mana?” aju Zafrin setelah melihat Aurora mengekorinya masuk ke dapur.

“Tolong kau simpan barang-barang dapurlah.”

“Dah. Tak payah. Kau duduk diam-diam kat situ. Nanti karang kena tangkap basah, aku juga yang susah. Kau tak suka kalau kahwin free, kan?” Zafrin mengusik sambil menahan senyum.

Aurora menjeling. Akur, dia bergerak ke luar apartmennya. Bertenggek ke dinding berdekatan sambil membelek telefon sendiri. Bunyi tapak kasut seseorang membuatkan tumpuan Aurora beralih arah. Ditoleh ke arah koridor. Terlihat jiran ‘gila’ sedang mara ke arahnya. Aurora betulkan postur tubuh. Mata kembali memandang skrin. Entah kenapa dia jadi tak selesa apabila melihat lelaki itu semakin mendekati.

Krekk!
Bunyi pintu gril kuat kedengaran. Aurora palingkan wajah, mengintai si jiran yang sedang terkial-kial hendak memasukkan kunci ke lubang pintu. Di atas bahunya, tergalas sebuah beg kerja. Di tangan kirinya ada sebungkus nasi dan juga sebungkus teh ais. Tiba-tiba saja telefonnya berdering.

“Hah, kau nak apa?!” tinggi suaranya menjawab panggilan.
“Aku baru sampai rumah. Ada apa?” dia terdiam kemudiannya.

Aurora pula memasang telinga sambil memerhati gerak-geri si dia.

“Carilah sendiri. Takkan itu pun nak kena ajar?!”

Aurora mengerut kening. Sejak di balkoni tempoh hari dia asyik terdengar lelaki ini bercakap di telefon dengan suara yang kuat. Kut ya pun ada masalah dan tekanan di tempat kerja, tak perlulah terjerit-jerit macam orang tak betul. Meluat dia mendengarnya tahu?

“Pasal hal tu, kau jangan bagi alasan macam-macam. Apa yang aku tahu, semua benda dah ada atas meja aku esok pagi. Kalau tak ada, siap kau!”

Klik!
Talian dimatikan. Sempat mulutnya membebel. Tersedar dirinya diperhatikan, pantas dia menoleh. Wajah serius ditayang. Aurora tersentak. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan dan membelek semula telefon pintarnya. Laju saja jari menekan-nekan sesuatu. Entah apa yang ditekan pun dia tidak pasti.

“Aurora!”
“Huh?” teralih kepala ke kanan, memandang Zafrin yang sudah terpacak di sisinya.
“Semua barang aku dah simpan tau. Buah dan sayur aku letak dalam peti sejuk. Jangan lupa makan. Bila ada masa, kau masaklah apa yang patut. Jangan biar saja kat dalam peti sejuk sampai tak berusik. Bising daddy nanti.”

Aurora terkebil-kebil memandang muka Zafrin.

“Kau dengar tak ni?” Zafrin memetik jari di depan muka Aurora. Entah apa sajalah yang dia mengelamun, Zafrin sendiri tidak mampu meneka.

“Dengar.”
“Nanti kalau barang dapur tak cukup, beritahu aku. Aku pergi belikan.”
“Kalau aku nak, nanti pandai-pandailah aku pergi beli sendiri.”
“Huh, nak harapkan kau beli sendiri… memang taklah jawabnya. Lepas tu kau buat muka tak bersalah, kau makan makanan segera pula. Dapat tahu dekat Daddy Carl, habis kau.”

“Kalau tak ada sesiapa beritahu, daddy takkan tahu. Kan?” selamba dia menyindir. Dia tahulah mulut longkang siapa yang selalu pecahkan lubang kepada daddy dan mommy.

Zafrin pura-pura tak dengar. Disarungkan sepantas kilat kasutnya lalu menolak tubuh Aurora ke dalam. Pagar juga dirapatkan sambil mengisyaratkan agar Aurora segera masuk.

“Tercegat apa lagi dekat sini? Pergilah masuk.”
“Kau tu… buat apa lagi? Pergilah balik.”
“Masuklah dulu. Lepas tu baru aku balik.”

“Eee… kalau tak berlagak macam bodyguard aku tak boleh ke?” menggerutu geram Aurora dibuatnya. Zafrin ni memang! Suka sangat buat macam tu. Konon-konon nak nampak prihatin. Lepas tu, apa yang dia buat? Habis semua dia pergi lapor dekat daddy. Itu yang paling Aurora menyampah. Elok-elok dia nak hidup berdikari, semuanya musnah gara-gara Zafrin.

Bam!

Pintu ditutup kuat. Zafrin pula termangu-mangu melihat reaksi gadis itu. Perlahan-lahan bibir menguntum senyuman sambil menggeleng-geleng.

Sebaik Zafrin berlalu, si jejaka di sebelah rumah menolak kembali gril apartmennya lalu memerhati Zafrin yang sudah tiba di hadapan pintu lif. Dikerlingnya pintu apartmen Aurora yang sudah bertutup rapat.

“Huh, penyibuk!” gerutunya merujuk kepada Aurora lantas menutup pintu dengan kasar.



























Monday, 25 November 2019

AURORA Bab 2


Awal pagi lagi Aurora sudah bersiap hendak ke kelas. Sekejap lagi dia ada kelas jam 8 pagi. Tak mahu terlewat tiba ke kelas kerana hari ini merupakan hari Isnin di mana mood Monday Blues akan bermaharajalela dalam hati.

Terkocoh-kocoh dia masuk ke perut lif. Aurora menunduk, mengikat tali kasutnya yang tidak sempat diikat rapi. Elok saja berdiri, jantungnya terasa seperti mahu tercabut. Tiba-tiba saja lelaki yang berjiran dengannya berdiri terpacak di hadapan pintu lif yang masih belum tertutup.

Fuh semangat!

Lekas-lekas dia bergerak menjauhi pintu dan merapatkan diri dengan dinding. Butang G ditekan berulang kali. Aurora diam memandang pintu lif yang bertutup rapat. Mendengar dengusan kasar di sebelahnya, diam-diam Aurora mengerling si lelaki di sebelah. Mengintai apa yang sedang dilakukannya. Si lelaki sibuk menatap telefon pintar. Menaip sesuatu dalam ruangan WhatsApp sambil menayang kerutan di muka.

Sesekali, mata Aurora merayap ke rambut si dia. Kemudian, turun ke bahagian kemeja, slack sehinggalah kasutnya. Kemas. Itu saja yang terlintas di fikiran. Wangian maskulin yang dipakai juga turut menerpa rongga hidung Aurora yang membuatkan lelaki itu kelihatan sangat sempurna dari segi penampilan.

Tapi, melihat muka masam mencuka bercampur kelat itu membuatkan Aurora julingkan mata ke atas. Ditambah pula dengan peristiwa semalam yang masih segar diingatan, Aurora mula mengutuk di dalam hati.

Perangai tak setanding dengan pakaian. Huh!

Ting!
Pintu lif terbuka. Mahu keluar, terasa bahunya berlaga dengan si dia. Aurora berhenti. Memandang si dia. Tanpa berpaling atau menghiraukan Aurora, dia tergesa-gesa keluar dan menghilang begitu saja tanpa meminta maaf.

“Dasar tak ada adab,” Aurora mencebik. Meluatnya dia tengok perangai mamat ni!


***

Tamat kelas Cik Deeja pagi itu, Aurora melangkah ke kafeteria untuk bersarapan. Sebelum ke kelas tadi, dia hanya sempat makan biskut dua keping. Sekarang sudah tiga jam berlalu, sah-sah perutnya mula lapar.

Dia memilih sebuah meja yang berada di sudut paling hujung kafeteria untuk menikmati sarapannya. Nasi goreng. Tak adalah sedap mana pun tapi cukuplah untuk dia memastikan yang perutnya terisi dan kenyang sehingga petang nanti.

Jus oren disedut. Belum sempat menelannya, jus oren tersembur keluar setelah disergah dari belakang. Tergesa-gesa Aurora mengesat bibirnya yang melekit dibasahi jus oren. Jelingan nipis dihantar kepada si empunya diri yang baru melabuhkan punggung di hadapannya.

Tanpa dipelawa, gelas jus milik Aurora dicapainya lantas menyedut baki jus tersebut. Mukanya nampak kelat dan keruh, tanda yang dia sedang menahan bengang. Sesekali tangan naik membetulkan snow cap di kepala.

Perlahan-lahan wajah Aurora ditenungnya seolah-olah hendak menelan gadis itu lalu mengunyah-ngunyahnya sepuas hati seperti haiwan karnivor mengunyah mangsanya.

Tanpa menghiraukan si pemangsa di depan mata, Aurora meneruskan suapannya. Menghabiskan baki nasi goreng.

“Kau pergi mana?” akhirnya terlantun sebaris pertanyaan dari celah bibir si karnivor.

Going nowhere. Buta ke apa?” balas Aurora seperti tidak berperasaan. Tudung di kepala dibetul-betulkan. Mujur saja jus oren tadi tidak terkena kain tudungnya. Jika tidak, mahu dia ketuk kepala mamat ini!

Mendengar itu, Zafrin ketawa kecil sebelum menayang wajah yang serius.

“Kenapa tak jawab panggilan aku? Mesej pun tak berbalas. Kau ada tengok telefon kau tak?”

Aurora berhenti mengunyah. Sibuk betul la mamat ni! Sikit-sikit nak cakap pasal telefon. Macam dah tak ada kerja lain yang nak dibuatnya. Sikit-sikit nak telefon. Sikit-sikit nak mesej.

Padan dengan muka Zafrin kerana tiada satu pun panggilan telefon lelaki itu dijawabnya. Dia berasa terganggu dengan lelaki itu yang selalu berlagak seperti pengawal peribadinya. Dasar penyibuk!

“Hei, kau dengar tak aku tanya ni?” tidak berpuas hati dengan sikap bolayan Aurora, Zafrin memetik-metik jarinya di depan muka gadis itu.

Aurora buat tidak tahu. Saki baki nasi goreng dalam pinggan dihabiskan. Daripada dia melayan Zafrin, lebih baik dia mengenyangkan perut sendiri.

Zafrin pula tidak mengalah. Diketuk-ketuknya meja semata-mata hendak menarik perhatian Aurora.

“Kau nak apa?”
“Hah! Ada pun mulut. Ingatkan dah bisu…”

Aurora terus menguis-nguis nasi dalam pinggan. Sakit pula matanya melihat wajah Zafrin. Terus rasa hilang selera dibuatnya. Silap-silap, sampai esok dia akan terus hilang selera.

“Kau datang kelas dengan apa?”
“Grab.”
“Berapa kali aku nak kena pesan? Tunggu sampai aku datang ambil kau. Kenapa naik Grab juga?”

“Saja,” jawab Aurora sepatah. Semakin dia nampak muka Zafrin, makin dia rasa meluat. Memang dasar penyibuk!

“Kau nak apa datang cari aku sampai ke sini?” Aurora mendengus.

Rimas betul dia dengan si Zafrin ni. Kalau tak tayang muka di depannya satu hari memang tak sah agaknya. Seraya itu, Aurora menjeling ke sebuah meja yang terletak tidak jauh dari mejanya. Wajah Intan, rakan sekelasnya yang sedang mengintai mereka berdua dipandang.

Aurora putarkan mata ke atas. Ini tak lain tak bukan pastilah kerja Intan yang melaporkan berita terkini kepada Zafrin. Kalau tidak, takkan Zafrin boleh datang mencarinya sehingga ke sini?

“Daddy Carl baru telefon. Dia beritahu kereta kau dah siap.”
“Jadi?”
“Petang ni kau dah boleh ambil kereta tu.”
“Dah tu? Apa kena mengena dengan kau?”
“Kejap lagi aku hantar kau pergi bengkel untuk ambil kereta. Lepas habis kelas, kau tunggu aku kat tempat biasa. Jangan lambat pula.” Zafrin bangkit setelah menyatakan tujuan sebenarnya mencari Aurora.

“Aku boleh pergi sendirilah.”
Zafrin yang berniat hendak berlalu terus duduk semula. Mata Aurora ditenungnya. Ini yang paling dia tak suka ni. Dia tak berkenan sungguh mendengar jawapan Aurora.
Aku boleh pergi sendirilah.
Aku boleh buat sendirilah.
Aku boleh berdikarilah.
Jujur, dia benar-benar tidak suka! Lagi pun, daddy sendiri sudah mengarahkan agar dia menemani Aurora dan menjadi pemantau bagi pihaknya di sepanjang Aurora berada di kolej ini. Dia memang tidak ada masalah dalam hal itu tetapi yang menjadi masalahnya cuma satu. Iaitu Aurora!

 “Daddy Carl yang minta aku hantar kau. Dia tak benarkan kau pergi sendiri. Kau faham tak?”

“Balik-balik daddy. Asyik-asyik daddy. Kalau kau tak cakap, daddy takkan tahulah.”
“Kalau aku tak beritahu pun, Daddy Carl tetap akan tahu. Kau dah lupa kau anak siapa?”

Aurora mencebik. Meluat mendengar kata-kata Zafrin. Dasar penyibuk! Mentang-mentanglah dia tu anak emas kesayangan daddy, semua benda nak tunjuk bagus. Urgh! Benci!

“Jadi…” meleret suara Zafrin, membatalkan terus niat hendak pergi.
“Macam mana malam pertama dekat rumah baru?”
“Biasa-biasa aje.”
“Boleh tidur?”

Aurora berdecit. Apa punya soalan ni? Mestilah boleh tidur! Walaupun dia minum kopi, matanya terus layu seawal jam 11 malam. Selesai menyiapkan tugasan kuliah malam tadi, dia tertidur kat meja belajar sehingga subuh.

“Okey… okey. Salah soalan.” Zafrin mengangkat tangan seolah-olah baru diacukan senjata ke depan muka. Senyumannya condong ke kiri. Merasa sedikit kelakar melihat wajah Aurora.

“Dah berkenalan dengan jiran-jiran baru?”

Aurora terdiam. Fikirannya mula melayang teringatkan kejadian di apartmennya. Jiran? Alahai. Tak kenal pun tak apa kut? Daripada dia sakit kepala melayan perangai manusia yang pelik-pelik, lebih baik dia melayan lagu-lagu kegemarannya. Spontan Aurora mengeluarkan telefon pintar dan menjolok fon telinganya ke lubang telinga.

Lagu nyanyian Breaking Benjamin bergendang ke seluruh pelosok pendengarannya. Kemudian, dia bangun tanpa menghiraukan Zafrin dan berlalu tanpa pamitan.






Friday, 22 November 2019

AURORA Bab 1


Kotak sederhana besar yang mengandungi beberapa dokumen dan fail diletak ke tepi dinding tidak jauh dari pintu rumah jiran. Memandang ke arah pintu gril yang baru saja ditarik membuatkan Aurora menghembuskan nafas lega.

“Adik betul ke tak nak ubah fikiran?” soalan luar alam ditanya oleh Rafa, abang gadis itu yang datang bersama menghantar barang-barang si adik. Rafa berpaling memandang Aurora di belakang, meminta kepastian.

“Kenapa pula?” aju Aurora sebaris dengan kening bercantum.

Rafa memerhati ke dalam apartmen yang bakal menjadi tempat tinggal Aurora. Aurora mencebik. Faham benar dengan makna di sebalik isyarat si abang.

“Tak akan,” ujarnya selamba lalu berjalan masuk tanpa menghiraukan pandangan Rafa.

Rafa mengitari mata ke sekitar ruang apartmen yang selesa. Dilengkapi perabot dan pelbagai perkakas untuk kegunaan harian. Tergaru-garu belakang kepalanya memandang si adik yang seperti tak makan saman.

“Biar betul kau ni, dik? Serius ke ni nak tinggal dekat sini?”
“Seriuslah. Semua barang dah dibawa ke sini.” Aurora menjeling keadaan di ruang tamu itu. Banyak kotak serta beg yang berada di situ, menunggu masa untuk diselongkar dan disusun barang-barang peribadinya ke tempat yang sepatutnya.

“Adik selesa ke dekat sini? Tak takut? Kalau…”
“Jangan merepek boleh tak?” Aurora memutarkan mata ke atas. Tanpa menghiraukan pemuda itu, Aurora melangkah ke bilik tidur utama. Malas hendak melayan pertanyaan dan provokasi halus yang cuba dilancarkan oleh si abang.

Dia meletakkan beg sandangnya ke atas katil. Selesai menyusun pakaian ke dalam almari, dia bergerak ke ruang tamu untuk mengambil barang yang lain. Sempat dijelingnya Rafa yang sedang duduk-duduk di meja bar dengan telefon yang melekap ke telinga.

“Ya, daddy. Kitorang dah sampai ni,” ujar Rafa sebelum terjeda.
“Tahu…” meleret suara Rafa membalas kata-kata daddy yang sedang berada di talian. Matanya dihalakan sekejap ke arah Aurora sebelum merenung tin soda di hadapan mata.

“Dia takkan ubah fikiran, daddy. Daddy pun tahu macam mana degil dia, kan?” balas Rafa lagi dengan suara yang sedikit rendah kerana tidak mahu perbualannya dengan ayahnya didengari oleh Aurora.

Sejak awal lagi semua ahli keluarga mereka tahu yang Aurora tetap kekal dengan keputusan dan pendiriannya untuk berpindah masuk ke sini. Dia bukan hendak kesahkan apa-apa pun. Apa yang dia tahu, kehendaknya untuk berpindah ke apartmen ini mesti ditunaikan. Puas memujuk ibu dan bapanya agar mengizinkan dia berpindah sejak satu bulan yang lalu, barulah dia dibenarkan. Itu pun puas juga dia bersoal jawab dengan mereka.

Mula-mula dulu daddy dan mommy memang tak bersetuju langsung dengan rancangan si anak bongsu untuk tinggal bersendirian. Pelbagai sebab dan alasan yang mereka berikan semata-mata hendak Aurora kekal berada di samping mereka.

Bahayalah. Tak selesalah. Tak selamatlah.
Ternyata, semua itu tak lut kepada Aurora.
Seribu alasan yang diberi, seribu satu sebab pula yang Aurora cari. Jadi, mahu tak mahu mereka terpaksa mengizinkan juga.

“Okey, daddy. Jumpa sekejap lagi.”
Klik!
Talian telefon dimatikan. Aurora yang baru mengangkat satu kotak kecil dari atas meja kopi mengerling.

“Siapa? Daddy?” soalnya dengan sedikit rasa tidak puas hati.
Entah apa sajalah abangnya itu bualkan dengan ayah mereka. Tetapi, dia yakin isunya mesti berkisar tentang dirinya serta perpindahannya ke apartmen ini.
Rafa menjongket kening, mengiyakan pertanyaan Aurora.

“Kenapa?”
“Daddy kata dia dalam perjalanan ke sini. Mommy pun ikut sekali. Diorang baru aje balik dari pasaraya, beli barang dapur untuk adik.”

“Berapa kali adik nak kena pesan? Adik boleh uruskan semuanya sendiri. Adik bukannya budak kecil lagi.” Aurora merungut.

“Untunglah jadi adik. Baru berpindah rumah yang tak sampai setengah jam dari rumah keluarga, daddy dengan mommy dah risau. Abang Rafa dulu pindah duduk UK, daddy dan mommy buat tak peduli pun. Haih!” Rafa berpura-pura menayang muka sedih padahal sengaja hendak mengenakan Aurora.

“Tak payah nak buat ayat sedih la…” Aurora mencebir sambil berlalu ke pintu. Ada beberapa kotak lagi yang masih tersadai di atas lantai di luar apartmennya. Mahu mengharapkan Rafa menolong, macam tak ada fungsi saja abangnya itu. Sejak tadi lagi asyik sekali menatap telefon pintar. Entahkan tengah berbual dengan mana-mana gadis berdahi licin melalui WhatsApp atau pun sedang menghantar laporan terkini kepada ibu bapa mereka, Aurora sendiri tidak dapat meneka.

Krekkk!
Bunyi pintu gril yang seperti tidak pernah digris itu mengalihkan perhatian Aurora. Muncul seorang lelaki dari muka pintu jiran di sebelah apartmennya. Kotak milik Aurora yang menjadi halangan di laluan kaki lima membuatkan si lelaki berhenti melangkah.

Kaca mata hitam di atas batang hidung ditolak ke kepala. Memerhati halangan di hadapannya dengan pandangan jengkel. Dengan selamba dia menolak kotak milik Aurora itu dengan hujung kaki. Sempat mata mereka berlaga selama dua saat. Wajah dingin lagi beku milik sang jejaka menyebabkan Aurora mengerut kening lalu terkejung di situ.

Kaca mata hitam kembali ditarik ke atas batang hidung. Muka berlagak lagi sombong jelas tertayang. Langkah bongkak pula disusun sehingga ke hadapan pintu lif tanpa menghiraukan sesiapa. Sebaik saja kelibat sang jejaka menghilang setelah membolosi perut lif, Aurora bergerak dua tapak dengan mata dihalakan ke sana.

“Biadap!” cemuh Aurora melepaskan geram.

Siapa lelaki itu? Adakah dia bakal menjadi jiran kepada lelaki biadap itu? Ah! Tolong katakan tidak!

***

“Betul ke ni adik nak tidur seorang diri malam ni? Tak nak daddy dengan mommy temankan?” aju mommy tatkala mereka sekeluarga selesai makan malam di apartmen Aurora.

Ketika itu mommy sedang mencuci pinggan manakala Aurora pula sibuk mengelap sudu dan garfu lalu menyusun kembali ke dalam kabinet.

“Tak apa. Adik dah besarlah, mommy. Adik boleh jaga diri.”
“Betul ke ni? Sementara nak biasa dengan suasana tempat baru, biarlah kami temankan adik malam ni.” Tambah mommy lagi sedikit risau.

Aurora menggeleng. Kadangkala dia naik rimas melihat layanan yang diberikan oleh keluarganya terhadap dirinya. Dia bukan apa. Dia tidak suka dilayan sebegitu. Dia sudah berusia 22 tahun. Sudah melepasi had umur pun. Sudah layak mengundi. Sudah boleh berkahwin. Tapi, ibu bapanya tetap melayannya macam budak kecil. Dia tidak suka akan itu. Seperti mommy dan daddynya langsung tak percayakannya. Lagi pun, dia bukannya pindah jauh sangat. Masih dalam kawasan ibu kota.

Mommy, please…” Aurora tayang muka meraih simpati.
“Mommy tak percayakan adik ke?” Sambil membetulkan hoodie di atas kepala, dia menanti jawapan mommy. Sengaja bagi soalan perangkap begitu. Dia hendak lihat apa reaksi mommynya.

“Kami bukannya tak percayakan adik. Cuma kami tak percayakan sekeliling adik. Tinggal seorang diri kat sini, kalau apa-apa jadi… siapa pun tak tahu.” daddy tiba-tiba mencelah menyebabkan dua pasang mata menyorot ke arahnya.

Lelaki berusia separuh abad yang masih kacak bergaya dan kelihatan awet muda itu berdiri tercegat di hadapan Aurora. Tergeleng-geleng melihat si anak masih dengan perangai degil. Jika diikutkan hatinya, mahu saja dia mengheret Aurora balik ke rumah mereka tetapi apakan daya, jika itu yang dibuatnya… dia sudah pasti apa yang akan berlaku nanti.

Tidak! Dia tidak mahu anak gadisnya itu berasa dirinya dikongkong. Biar saja kali ini dia cuba mengalah dengan kehendak si anak. Lagi pun, dia tahulah apa yang hendak dibuat selepas ini. Biarpun dia takkan boleh sentiasa berada di sisi Aurora dan menjadi pemerhati gerak-geri gadis itu, dia akan memastikan anak gadisnya itu akan sentiasa berada dalam keadaan selamat.

“Sudah. Tak payah tayang muka macam tu.” Daddy mengangkat jari telunjuk ke muka Aurora. Sudah masak benar dengan perangai gadis itu.

“Kali ni, daddy bagi peluang dekat adik. Tapi ingat. Jangan lupa dengan perjanjian kita, dik.”

Aurora tayang muka blur. Aduh! Perjanjian apa yang daddy maksudkan ni?

“Maksud daddy?”

“Setiap hari wajib call daddy atau mommy. Hantar khabar berita. Dah lupa?” tajam mata daddy menikam anak mata Aurora. Tangan juga sudah naik ke pinggang, menanti balasan si gadis.

Aurora tergaru-garu belakang tengkuk. Tengok tu! Belum apa-apa, daddynya dah bagi peringatan. Nampaknya mereka semua tak percayakannya!

“Okey. Menurut perintah.”

Mommy tersengih-sengih. Daddy pula menjongket kening. Baik. Dia nak tengok sejauh mana Aurora akan menepati perjanjian mereka. Jika gagal, dia tak akan teragak-agak untuk membawa Aurora kembali pulang tinggal bersama mereka.

Selepas saja keluarganya pulang, Aurora ke dapur untuk membancuh kopi. Malam-malam macam ni, sedap kalau minum kopi. Apatah lagi dia bercadang hendak berjaga sehingga lewat malam untuk menyiapkan tugasan kuliahnya yang tertangguh gara-gara mengemas barang sejak beberapa hari lepas.

Siap membancuh kopi, Aurora menolak pintu gelangsar lalu bertenggek di birai balkoni sambil memandang langit pekat hitam tanpa bulan dan bintang. Perlahan-lahan kopi bancuhannya diteguk. Ah, nikmat!

“Bodoh! Kau dah cari betul-betul ke?!”

Burr!
Rengkung Aurora terasa perit. Kopi yang baru saja dihirup tersembur keluar sehingga membasahi dagunya. Cepat-cepat dikesat hujung dagu seraya berpaling ke arah kanannya. Terlihat kelibat seorang lelaki yang sedang bermundar-mandir di balkoni unit apartmen bersebelahan dengan apartmennya.

Si lelaki melekapkan telefon ke telinga. Sesekali rambutnya digosok-gosok. Wajahnya turut tegang seperti sedang berkelahi dengan seseorang di dalam talian.

Shit!”
“Bodoh!”
“Celaka!”

Berulang kali Aurora mendengar si lelaki menyumpah seranah. Tidak terkira berapa banyak kata-kata kesat keluar dari mulutnya. Aurora mendengus. Meluat betul dengar orang mencarut dan menyeranah orang lain. Mulut puaka betul! Tak ada insurans! Sakit telinga dia mendengarnya.

“Kau dengar sini. Kau buat macam apa yang aku nak. Kalau tidak, kau tahulah apa nasib kau! Faham?!” teriak si lelaki lalu mematikan talian. Berombak-ombak dadanya menahan marah. Tiba-tiba saja…

Prang!

Berderai pasu hiasan yang berada di sudut balkoni itu akibat disepak. Aurora tergamam. Tangan spontan naik ke dada.

“Apa pandang-pandang?!” jerkah si lelaki setelah menyedari Aurora sedang merenung dirinya. Tanpa berlengah, dia bergegas masuk sejurus saja pintu gelangsarnya ditutup dengan kasar.

“Astaghfirullah… apa malang nasib aku ada jiran gila macam ni?”


BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...