Followers

Thursday, 25 September 2014

Cerpen : Topeng

Kau boleh menyakitiku dengan kebenaran tetapi jangan pernah membahagiakan aku dengan kebohongan.


Luke tersentak.Wajah yang berpeluh diraup dengan sebelah tangan.Deru nafasnya yang kencang tadi sudah mula terkawal.Dia pandang ke sebelah kirinya.Terlihat Anggun,isteri yang baru dikahwini sejak tiga bulan lalu sedang enak berlingkar dalam selimut bersulamkan sebelah tangannya.

Perlahan-lahan Luke alihkan tangan yang dipeluk Anggun lantas bangkit dari perbaringan.Nafas Anggun kedengaran sangat perlahan.Kelihatan lenanya sungguh damai.Luke terus letakkan kaki ke lantai dan mencapai telefon bimbit di bawah bantal yang dimatikan sebelum dia tidur tadi.Sempat dikerlingnya lampu jam digital yang membentuk angka 3:00 di atas meja sebelah katil.

Dia segera bangkit mahu berlalu ke bilik air tapi sempat dia curi pandang pada wajah Anggun yang lena pulas di atas katil.Perlahan-lahan dia menunduk dan memberikan sebuah kucupan di pipi Anggun sebelum tersenyum nipis.

I love you,sayang,”bisiknya lantas menuju ke bilik air sambil membawa telefon bimbit bersama.

Gudang X,jam empat pagi.Datang bersendirian.’

Luke renung skrin telefon bimbit agak lama.Instinct yang dimiliki cukup kuat.Nalurinya yang sangat sensitif bila dia akan menerima tugas baru menjadikan dia mudah menebak walaupun dalam tidur.

Kemudian tanpa membuang masa,dia pantas selitkan telefonnya ke kocek seluar pendek yang dipakai.Wajah kusamnya dicuci dengan air bersih dari singki.Kurang dari lima minit dia sudah bersiap dan menyelinap keluar dari rumah meninggalkan isterinya sendiri di dalam bilik peraduan mereka didodoi mimpi indah.

Gudang X,jam 4 pagi.

Luke melangkah penuh yakin menuju ke kawasan Gudang X seperti yang diarahkan.Lenggok jalannya serupa ahli gusti.Kemas,padu,gagah dan penuh keberanian.Jaket kulit berwarna hitam dengan seluar jeans warna yang sama yang tersarung ke tubuh membuatkan Luke sukar dilihat pada waktu begini.Lagipun,suasana persekitaran sangat suram sehingga pergerakan lelaki itu menjadi seperti halimunan.Kereta yang dipandunya sudah awal-awal diparkir 100 meter dari hadapan gudang.Tidak mahu kehadirannya disedari oleh mana-mana manusia yang mungkin saja berada di sekitarnya.Tidak mahu nanti kerja-kerjanya terganggu.

Luke berhenti melangkah bila dia sudah melewati pintu gerbang setinggi lima meter yang terbuka separuh.Jam tangan pantas direnung sekilas demi memastikan yang dia tidak lewat walau sesaat.

Matanya meliar ke sekeliling.Lengang.Gudang kosong yang terletak jauh dari kawasan penempatan manusia itu membuatkan kawasan itu kelihatan bertambah sunyi.Cuma sesekali bunyi salakan anjing menghiasi pendengaran Luke yang berhati kering.Luke mendengus deras.Kotak rokok Dunhill yang terselit di belakang seluar dikeluarkan sebelum menarik sebatang rokok dari situ.Pantas dia sisipkan ke bibir dan api dari pemetik api dicucuh mengena rokok tadi sebelum menyedut dalam-dalam asap rokok yang baru dibakar.Puas!

“Luke,”tegur satu suara garau dari arah belakangnya.Luke berhenti membuat kepulan asap menjadi pelbagai bentuk melalui mulutnya.Cepat-cepat dia berpusing.Kali ini tubuhnya betul-betul berdiri bertentang dengan dua orang lelaki yang mempunyai susuk tubuh yang tinggi serta besar seperti ahli bina badan.Kedua-dua mereka mengenakan jaket kulit sama sepertinya cuma bezanya adalah pada warna dan jenisnya.

“Aku Luke,”ucap Luke sambil menghulurkan penumbuk tangannya sebagai tanda hormat kepada kedua-dua lelaki tersebut walaupun dia tidak pernah mengenali mereka.
Mereka terus sambut tumbukan Luke sebelum merenung wajah Luke penuh serius.Luke terus merokok,tak peduli langsung pada manusia di depannya.Kedua-dua lelaki itu langsung tak memperkenalkan diri mereka seperti Luke.Mungkin tak penting untuk memperkenalkan diri.

“Nyawa siapa yang perlu aku ambil?”soal Luke bersahaja sebelum sebelah keningnya terangkat memandang kedua-dua lelaki di depannya.Dia pasti lelaki berdua ini adalah orang suruhan atau orang upahan mana-mana jutawan atau orang kaya merangkap VVIP yang ingin menggunakan perkhidmatannya untuk mencabut nyawa manusia.Sudah lumrah dunia.Duit lebih berkuasa berbanding segalanya.Kau ada duit,kau boleh miliki segalanya termasuklah nyawa!

“Ini untuk kau,”satu sampul coklat yang agak besar dan tebal diserahkan kepada Luke oleh salah seorang lelaki tadi dengan agak kasar.Sampul itu tepat mengena dada bidang Luke sehingga membuatkan dia terundur sedikit ke belakang.Perlahan-lahan dia tersenyum herot lalu mencampakkan rokoknya ke tanah dan memijaknya sehingga lumat.Wajah lelaki-lelaki di depannya ditenung tanpa suara.

“Dalam tu ada RM100,000 sebagai deposit,”ucap lelaki di sebelah kirinya sambil menuding jari ke arah sampul dalam pegangan Luke.
Luke tersenyum nipis.Sampul coklat tadi ditenung cuma seketika.Kini matanya tertunak pada mata kedua-dua lelaki terbabit.

“Bila kau nak aku selesaikan?”

“Dia bagi masa pada kau 3 hari.Semua maklumat berkaitan ada dalam sampul tu dan kau akan dapat baki bayaran sebanyak RM400,000 selepas semuanya selesai.”

“Dia?”soal Luke sedikit teruja.Entah kenapa kata-kata lelaki itu membuatkan jiwanya sedikit berkocak dan rasa teruja untuk mengambil tahu siapa dalang yang mahu dia melakukan kerja-kerja keji ini.Siapa manusia yang mahu dia mengambil nyawa manusia lain dalam masa tiga hari?

Lelaki tadi angguk.Perlahan-lahan dia tudingkan jari telunjuk menghala ke arah belakang Luke.Luke segera berpaling.Lebih kurang dalam jarak 100 meter dari tempat dia dan kedua-dua lelaki itu berdiri ada sebuah Mercedez Benz berwarna hitam dengan cermin gelap diparkir.Tidak nampak kelibat mana-mana manusia yang berada di sekitar kereta itu tapi dia yakin dalang tersebut sedang duduk tersenyum malah mungkin melambai kepadanya saat ini dari dalam kereta.

Luke sengaja mengangkat tangan separuh dada dan menunjukkan sampul coklat dalam tangan ke arah kereta hitam.Dua saat kemudian dia berpusing ke belakang semula tapi kelibat dua lelaki tadi terus menghilang.Luke berpaling lagi ke arah kereta hitam.Kelibatnya semakin menghilang meninggalkannya keseorangan di kawasan Gudang X.Lambat-lambat Luke mendengus.Kereta miliknya yang diparkir jauh dari Gudang X segera dibolosi.Sampul tadi cuma ditenung bila dia sudah selesa di tempat duduk pemandu.

“Manusia memang bodoh.Sanggup berbunuhan demi mendapatkan apa yang diingini.Nyawa manusia dah tak bernilai,seperti batu-batu kecil yang berselerakan di jalanan.Mudah didapati,mudah dipijak dan ditendang sesuka hati malah boleh juga dicampak ke tengah jalan lalu digilis dan dilanggar mana-mana lori tangki.Bodoh!”cemuh Luke melepas perasaan.

Kadang-kala dia sendiri tidak faham kenapa manusia harus berbunuhan sedangkan banyak lagi caranya yang boleh digunapakai untuk menyelesaikan masalah.Dia masih ingat dua tahun dulu dia pernah menerima tugasan untuk membunuh seorang lelaki muda.Motifnya mudah.Perebutan hak dalam syarikat bernilai puluhan juta dollar dan dalangnya adalah abang kandung mangsa sendiri.

Gila!Manusia makin gila dihambat kegelojohan dan kerakusan nafsu sendiri.Semakin moden dunia dan teknologi semakin hilang kewarasan berfikir.Akal yang tuhan beri digunakan untuk penuhi nafsu masing-masing sehingga dirasuk perasaan tamak sehingga tak mengenal yang mana satu darah daging dan yang mana satu anjing.

Luke tersenyum.Kadang-kala dia sendiri jijik mengenangkan pekerjaannya dan tingkah manusia durjana yang sanggup menggunakan wang demi memenuhi tuntutan nafsu gila mereka tapi bila difikirkan balik,bagus juga bila manusia makin rakus begitu.Poket dan koceknya makin penuh dek kerana kemahiran yang dimiliki.Hidupnya makin senang dan selesa menerima tugas dan habuan yang lumayan.Nak hidup,beb!Peduli apa pada dosa pahala janji dia senang.Itu prinsip yang dia tanam sejak dia mengenal apa itu kesusahan.

Dulu,dia cuma budak jalanan.Tak ada ibu bapa atau keluarga untuk menumpang kasih sayang.Sekolah pun tidak,apa sangat yang dia tahu.Satu hari,hidupnya berubah bila dia bertemu dengan Rio,seorang ketua kongsi gelap.Dari sana dia belajar segala-galanya.Segala-gala tentang kesenangan dan jalan singkat untuk hidup.Sekali masuk,tiada jalan keluar.

Rio pun dah mampus lima tahun lepas akibat ditembak pihak polis.Kemudian kumpulan mereka dibubarkan dan masing-masing membawa haluan sendiri.Ada yang cuci tangan,ada yang mewujudkan kumpulan baru dan ada sebahagiannya sudah tertangkap dek pihak berkuasa.Akhirnya di sini dia berdiri sekarang memacu haluan sendiri.Berseorangan lebih mudah nak bergerak.Tak perlu ada teman,leceh.

Sampul coklat yang diterima tadi ditenung seketika.Penat memikirkan hal-hal dan masalah manusia lain.Lebih baik dia meneruskan kerja-kerjanya.Tiga hari lagi dia akan dapat baki wang upahnya.Bolehlah dia bawa Anggun berbulan madu lagi menggunakan hasil itu.Hawaii,Maritius atau Paris mungkin?

Luke tersengih dalam diam.Sampul coklat sudah dikoyak di bahagian atas.Buru-buru dia keluarkan barang-barang yang berada di dalamnya.Sekeping demi sekeping duit berwarna ungu yang masih berbau harum menggamit emosinya.Dia ketawa kecil.Kaya dia...kaya!

Puas menghidu aroma kekayaan,duit-duit tadi pantas dicampak ke tepi.Biar duduk diam di atas kusyen di tempat duduk sebelah pemandu.Setakat RM100,000 beberapa jam saja dia mampu habiskan.Celah gigi saja.Zaman sekarang mana cukup kalau duit sebanyak itu.Mesti mau lebih!Nilai matawang negara dah menjunam teruk,barang dan keperluan harian pula mendadak naik.Segala-galanya memerlukan duit,termasuk mengambil nyawa orang lain!

Luke ketawa kecil sambil tergeleng-geleng.Dalam kepala otak dah mula berlegar cara dan teknik yang mahu dia guna pakai kali ini terhadap mangsanya.Mahu guna senjata apa?Pistol?Rifle?Pedang samurai?Pisau rambo?Atau jerut leher mangsa guna dawai sampai mampus?Paling tidak pun guna saja peledak untuk kesan yang lebih dramatik.

Bunyi macam menarik.Rasa-rasanya ini kali yang ketiga dia terima tugasan untuk mencabut nyawa orang selepas dia berkahwin.Bukan apa,dia tak mahu isterinya syak yang bukan-bukan tentang kerjayanya kalau dia terima tugas yang banyak sekaligus.

Beberapa keping gambar lantas diambil.Gambar yang terbalik itu dipalingkan ke arahnya.Dia pasti gambar itu adalah milik mangsa yang dia perlu cari dan bunuh.
Saat menatap gambar-gambar tersebut,hati Luke terus bergelora.Berkocak bagai kena gempa bumi.Tangannya terketar-ketar.Peluh renek mula melimpah ke pipi.Nafasnya mula tak teratur keluar masuk melalui saluran pernafasannya.Mata mula berpinar-pinar.

“Anggun?”soalnya sedikit panik dan pelik.

Tak guna!Siapa yang nak Anggun mati?”stereng di depan dihentak kuat melepas bara yang terbuku.



p.s nak tahu apa kesudahan kisah Luke dan Anggun?Jangan segan-segan dapatkan Melodi Cinta 2 terbitan Karyaseni di pasaran :)