Beberapa kali Elena
mundar mandir di hadapan pintu bakeri sambil meraup-raup wajah. Beberapa kali
juga matanya dihala keluar, melempar pandangan entah ke mana. Berharap agar ada
seseorang yang dia nanti hadir di hadapan mata.
Namun, langkahnya pegun
sebaik ternampak kelibat Zira yang baru saja memarkirkan kenderaannya tidak
jauh dari situ.
“El!” teriak Zira lalu
buat acara jejak kasih. Kedua-dua belah pipi Elena dikucup semahunya sebelum
tubuh gadis itu dipeluk erat-erat.
“Erk, Zira… sesak nafas
aku!” Elena menolak tubuh Zira menjauh sambil menggeleng. Dadaya diurut-urut.
Isk, apa punya perangailah minah ni! Macam nak putus nyawa rasanya dia buat
macam tu tadi. Zira ketawa kecil. Tangan Elena ditariknya mendekati meja dan
dipaksa duduk bersamanya.
“Aik, ceria bukan main
lagi. Naik pangkat ke?” soal Elena sedikit tertanya. Manakan tidak, hairan
dibuatnya melihat senyuman lebar si Zira.
“Isyh, ke situ pula.
Mana ada naik pangkat. Kalau naik pangkat, awal-awal lagi aku dah tulis status
kat facebook.”
Elena mencebik. Eh… eh…
Zira ni. Macam tu pula yang dia fikir ya?
“Habis tu? Muka ceria
lain macam ni. Mesti ada apa-apa ni.”
“Cuba teka.”
“Aduh, nak teka-teka
pula. Cakap ajelah. Malas aku nak main teka teki dengan kau.”
“Alah, suruh teka pun
tak nak. Okey… okey… aku cakap, kau jangan terkejut tau!”
“Apa dia? Ada anak raja
masuk meminang kau?”
“Isk, mulut kau! Mana
ada. Azad tu aku nak campak mana?”
Elena mengekek ketawa.
Dah disuruh teka, dia tekalah. Manalah tahu kut-kut ada orang kaya datang masuk
meminang.
“Cuba tengok ni.” Zira
menayang telefon pintarnya ke hadapan Elena setelah skrin telefon tersebut
memaparkan satu gambar beg tangan jenama mewah.
“Wow, Louis Vuitton! ”
“Azad belikan aku Cik
LV ni sempena anniversary perkenalan
kami yang ke lapan masa dia pergi Milan tiga hari lepas. Minggu depan bila dia
balik, dapatlah aku peluk handbag ni.
Sweet, kan?” teriak Zira teruja.
“Hmm… sweet sangat!” berubah air muka Elena
saat nama Azad meniti di bibir Zira. Ah, sweet konon!
Dengan perempuan lain pun dia sweet juga
Zira oi! cemuh Elena dalam hati.
“Tak nak tulis apa-apa
status di facebook ke?” sambung Elena lagi.
“Heee… keji sangat!
Perli aku la tu!” balas Zira sebaik menyedari reaksi Elena. Elena hanya buat muka
tak bersalah. Geleng-geleng kepala sambil terus bersandar ke kerusi.
“Untunglah ada tunang
yang sweet macam tu. Aku ni, bukan
kata tunang… boyfriend pun tak ada.
Nampaknya aku terpaksalah habiskan duit simpanan sendiri untuk beli beg macam
yang kau dapat tu.”
Zira ketawa-ketawa
selepas Elena menghabiskan ayatnya. Elena pula mencebik, menjeling kecil
sebelum turut sama ketawa.
“Apa pula tak ada boyfriend? Habis tu mamat yang rambut
panjang tu siapa? Bukan ke itu boyfriend
baru kau?”
“Siapa pula?”
“Eleh, buat-buat tak
kenal pula. Macam aku tak tahu. Baik punya kau letak gambar kau dengan dia kat
instagram. Dah la gambar mesra-mesra, lagi tak nak mengaku!” celopar Zira
menembak Elena dengan beberapa baris ayat.
Rahang Elena hampir
saja lagi terjatuh. Matanya pula sudah membulat. Isk, macam manalah Zira boleh
ingat tentang gambar yang pernah dimuat naik dua bulan sudah ketika berlaku
perang gambar antara mereka? Pada hal, sejam selepas gambar itu dimuat naik,
dia telah memadamkannya.
“Mana ada.” Dalih Elena
mahu menutup kebenaran.
“Kau jangan
macam-macam, El. Kau nak sorok-sorok pasal lelaki tu, entah-entah skandal kau.
Tak pun anak ikan kau! Baik kau cakap cepat!”
Mahu saja Elena menjentik
mulut cabul Zira. Ada patut tuduh dia bela anak ikan dan punya skandal. Oh, tak
kuasa tau! Lebih baik dia bela ikan emas, ada juga faedahnya!
“Aku ni tua sangat ke
sampai nak kena bela anak ikan bagai? Please
eh… tak kuasa hokay!”
“Ala… ceritalah kat aku
El. Macam mana kau kenal dengan dia. Aku tengok helok orangnya. Diam-diam ek kau ada affair dengan someone.
Aku ingatkan lepas kau putus…” Zira terus ketap bibir bila nampak tenungan
tajam milik Elena terpanah kepadanya. Gerun rasanya melihatkan tenungan Elena
itu.
“Daripada kau merapu
entah apa-apa kat sini… lebih baik kita keluar pergi lunch. Aku dah lapar ni.”
Elena bangkit dari
kerusi, menghilang beberapa saat ke belakang dan kembali bersama beg tangan
jenama Chanelnya yang berwarna merah. Sengaja menayang di hadapan Zira
sampai-sampai gadis itu menelan air liur.
“Beg baru ke?”
“Hmm.”
“Siapa bagi?”
“Hello, tak mainlah orang bagi. Aku beli sendiri tau! RM15 ribu cash!”
Kaching! Kaching!
Zira telan liur lagi.
Terpanah hatinya melihatkan senyuman sinis Elena. Ah, sentap!
“Kau ada sorokkan
apa-apa daripada aku ke, El?” aju Zira saat kedua-dua mereka sudah berada di
dalam kereta. Elena yang baru hendak menolak gear berpaling dan jungkit kening.
Sedikit hairan dengan pertanyaan Zira.
“Sorok apa?”
“Pasal kau dengan lelaki
rambut panjang tu.” Elena berpura-pura tidak mendengar. Malah, dia sengaja
menguatkan volume radio dan ikut menyanyi bait-bait lirik lagu yang sedang
berkumandang dari corong radio keretanya.
“Elena!”
“Apa?”
“Isk, aku tanya kaulah!
Macam bercakap dengan tiang gol aje!”
“Kau tanya apa?”
“Pasal kau dengan
lelaki tu.”
“Lelaki mana?”
“Ya Allah, Elena Amir!
Jangan buat-buat bodoh! Kau ni kan… eee… geramnya!”
Elena tergelak-gelak
melihatkan Zira sudah menepuk dahi dengan memek mukanya yang agak lucu.
“El… ceritalah. Siapa
dia tu? Macam mana kau boleh kenal dengan dia dan macam mana pertemuan kau dan
dia terjadi?”
“Wah…wah… dah macam
Detective Conan kau ni.”
“Jawablah!”
“Adalah.” Elena menguis
hujung hidungnya tanpa memandang Zira. Sengaja. Biarkan Zira dengan
persoalan-persoalannya.
“Kedekut tahi hidung
masin! Kata best friend tapi semua
benda nak berahsia!” Zira sedikit memprotes lalu menyilangkan tangan ke dada
dan melempar pandangan keluar kereta. Elena
di sebelah sudah pun terbahak-bahak ketawa melihatkan muncung sedepa Zira.
Alahai, teruk betul mukanya bila dalam keadaan macam ni. Makin Zira tarik muka
makin Elena ketawakannya. Sampai berhinjut-hinjut bahu dibuatnya.
“Elena!” teriak Zira
nyaring secara tiba-tiba. Elena terkejut namun belum sempat berbuat apa-apa…
Sreettt!
Bam !
Seretan tayar
bergema-gema memenuhi ruang pendengaran. Elena tergamam manakala Zira pula
sedang menahan debaran yang menggila akibat baru saja tersembam ke hadapan.
Mujur tidak ada yang cedera. Elena menggelabah dan panik. Menyedari
kenderaannya baru saja merempuh sebuah kenderaan lain di hadapan. Dadanya yang
berasa sakit akibat turut tersembam ke stereng kereta sebentar tadi
diurut-urut. Nafasnya pula mula kencang setelah melihat keadaan keretanya yang
teruk menyondol belakang sebuah kereta mewah jenis Audi.
Tunggu sekejap. Audi???
Dup! Dap! Dup! Dap!
Jantung Elena dah mula
buat perangai. Dahinya sudah berpeluh. Begitu juga dengan telapak tangannya.
Namun dia masih terus kekal di kerusi pemandu sambil menahan rasa cuak yang
mula bermukim dalam hati. Matanya terhala kepada seorang lelaki, pemandu kereta
mewah berkenaan. Ekor mata Elena galak mengikut rentak langkah lelaki tersebut
yang semakin dekat dengannya.
Tuk! Tuk! Tuk!
Cermin tingkap sebelah
Elena diketuk lelaki berkenaan. Tapi Elena pula hanya kejung dan diam di situ
tanpa bersuara.
“El… apa kau dah buat
ni?” aju Zira terketar-ketar. Perlahan-lahan Zira menoleh memandang Elena
sebelum melabuhkan pandangan pada jejaka yang sedang menanti di luar.
“El… dia nak kau keluar
tu. Habislah kau El!”
“Syhhh… kau diamlah
Zira!” ucap Elena dalam nada yang tertahan-tahan. Geram bila Zira menambahkan
rasa paniknya.
Air liur yang mahu
ditelan terasa begitu kesat. Seperti ada pasir yang telah bercampur bersamanya.
Elena cuba aturkan rentak nafasnya yang berterabur. Kemudian, dia memandang ke
hadapan. Aduh, macam manalah boleh jadi macam ni? Macam mana dia boleh
menyondol kereta orang pula ni?
Tuk! Tuk! Tuk!
Sekali lagi pemandu
kereta Audi mengetuk-ngetuk tingkap. Kali ini dia buat isyarat agar Elena
menurunkan tingkap keretanya. Elena pula mula terasa seperti di dalam mimpi.
Terasa seperti dia turut berada di awang-awangan. Sebu perutnya kala itu, buat
dia tambah panik.
Elena memejamkan
matanya perlahan-lahan lalu mulut terkumat kamit membaca sesuatu.
Tuk! Tuk! Tuk!
Elena tersentak bila
tingkap keretanya kini diketuk dengan lebih kuat.
“El, keluarlah. Pergi settle dengan dia. Kau nak tunggu apa
lagi?” Zira di sebelah tak sudah menggesa Elena. Siap menolak-nolak bahu Elena
lagi supaya keluar dari kereta. Geram, Elena jegilkan matanya kepada Zira
memberi amaran.
Elena menelan liur lagi
ketika dia sedang menoleh pada pemandu Audi yang sudah beberapa saat terpacak
di tengah panas rembang. Lelaki itu segak dalam persalinan pejabatnya.
Kemeja biru yang
lengannya disingsing sehingga paras siku dan bertali leher warna hitam
dilengkapi dengan seluar slack yang mungkin harganya mencecah ribuan ringgit.
Dilengkapi pula dengan aksesori seperti tali pinggang jenama mewah bersama
kasut kulit yang berkilat mengalahkan sport rim kereta baru. Terpegun dengan
penampilan si jejaka, mata Elena beralih pula kepada wajahnya. Lama mata Elena
terpaku pada raut wajah itu. Tiba-tiba saja senyuman terbentuk di bibirnya.
Tanpa berfikir panjang, pintu keretanya ditolak. Dia berdiri dalam jarak
kira-kira lima inci daripada lelaki tersebut.
“Macam mana awak drive ni?” aju si jejaka dengan suara
yang agak keras. Seperti tidak mahu memberi muka langsung kepada Elena menjawab
soalannya. Bengang mungkin apabila kereta mewahnya disondol dek kecuaian Elena.
“Err…” kelam kabut
Elena mendekati kereta Audi dan membelek kesan kemalangan tadi. Elena telan
liur berkali-kali. Boleh tahan juga walaupun tidaklah teruk mana. Ada kesan
calar di satu kawasan. Namun sebaik meneliti kereta sendiri, Elena terus rasa
macam nak pengsan. Remuknya hati sama remuknya dengan muncung keretanya. Ah, teruknya!
“Cik?” seru si jejaka sambil
bercekak pinggang. Sesekali dia melonggarkan tali lehernya akibat kepanasan
yang boleh tahan melampau.
“Saya minta maaf, Tuah.
Saya tak sengaja. Saya betul-betul tak sengaja. Serius! Saya… saya tak perasan
kereta awak kat depan kereta saya tadi. Err… sorry!” Elena menggaru-garu tengkuk yang tiba-tiba saja gatal.
Wajahnya dimemek-memekkan memohon pengertian dan simpati Tuah. Sungguh-sungguh
meminta maaf. Memang salahnya tapi dia tidak sengaja. Apa lagi yang boleh
dibuat melainkan meminta maaf? Wajah Tuah bertukar kelat sehingga Elena dah
serba salah.
“Senangnya meminta
maaf?” sindir Tuah sedikit sarkastik sambil memicit dahi. Elena pula sudah
menjatuhkan rahang. Auch, kecil hatinya mendengar ayat Tuah itu.
“Meminta maaf memanglah
senang, Encik Tuah!” balas Elena dengan sengaja menekankan perkataan encik itu.
Entahlah, mungkin sudah terbiasa membahasakan diri Tuah dengan pangkal encik di
hadapan ketika dia rasa geram dengan lelaki itu. Tadi, dia sungguh-sungguh rasa
serba salah tapi sekarang ni dia rasa geram sebab Tuah selamba saja menyindirnya.
Elena seperti tidak
percaya yang Tuah yang sedang berdiri di hadapannya ini sangat jauh bezanya
dengan Tuah yang ditemuinya dua bulan lalu. Selain daripada menaiki kenderaan
mewah dan berpenampilan ala-ala encik CEO, Tuah juga mempunyai potongan rambut
yang lebih kemas dan lebih pendek, digel serta memakai haruman wangian Hugo Boss Red lambang lelaki maskulin. Dia
kenal dengan bau itu sebab Ezra pernah menggunakannya.
Elena hampir saja lagi
tidak mengenali lelaki ini. Mujur jugalah dia masih ingat tentang suara dan
pandangan mata Tuah itu. Hanya itu yang kekal sama. Tetapi, dia sungguh-sungguh
hairan. Bagaimana lelaki yang dikenalinya dua bulan lalu boleh berubah dalam
tempoh masa sesingkat ini? Pakaian dan penampilan mungkin tak akan menjadi
masalah tetapi gaya dan pesonanya. Kenapa sungguh berbeza? Takkan Tuah masuk
mana-mana pertandingan kut? Hero Remaja mungkin? Ah, mengarut kau ni Elena.
Tuah tu bukan spesis remaja. Itu dah masuk kategori remaja purba.
“ Meminta maaf takkan
dapat selesaikan masalah, cik. Sekarang ni, macam mana? Kereta saya dah calar
balar. Nak settle kat sini saja atau
pergi buat laporan?”
Elena hampir saja lagi
menghamburkan tawanya mendengarkan kata-kata Tuah.
“ Cik, saya tanya nak settle kat sini atau pergi balai polis.
Cik senyum-senyum, sengih-sengih tu ada apa? Saya ada salah cakap ke?” Tuah
bercekak pinggang tak puas hati. Beberapa kali dia merengus melepas sedikit
geram.
“Okey, saya faham.
Err…saya rasa lebih baik kita settle kat
sini saja. Tak payahlah pergi balai polis. Leceh. Awak bagi nombor telefon
awak. Senang saya nak contact nanti.”
Ujar Elena dengan selamba. Sekarang ini, dia baru teringat yang dia tidak
pernah mempunyai nombor telefon Tuah.
Tuah menghulurkan kad
namanya tetapi belum sempat Elena mencapainya, terlebih dulu Tuah menariknya
kembali.
“Sebelum tu, saya nak
kad nama awak dulu. Kalau ada apa-apa, senang saya nak contact awak.Yalah, manalah tahu kut-kut awak melarikan diri pula.
Susah saya nanti.”
“Alah, tak payah kad
nama. Awak kan dah tahu kat mana saya tinggal. Kalau awak tak percayakan saya,
awak boleh datang ke rumah keluarga saya. Mudah, kan?”
Tuah berkerut kening
mendengar kata-kata Elena. Dari atas sehingga ke bawah paras Elena
dipandangnya. Meneliti dan mula membuat analisis mungkin.
“Minta maaf, cik. Saya
tak faham apa yang awak merepek ni. Saya cuma mahukan kad nama awak. Atau
sekurang-kurangnya berikan saja nombor telefon awak supaya saya boleh hubungi
awak. Nanti selesai saja saya baiki kereta ni, saya hantar bil kepada awak.”
“Oh, nanti sekejap.”
Tuah senyum hambar lantas kembali ke keretanya. Telefon pintarnya yang berada
di dalam kereta diambil. Sebaik kembali di hadapan Elena, telefon pintarnya
dihala tepat ke wajah Elena sebelum turut menalakannya ke arah kereta Elena.
Elena melopong melihat tindakan Tuah yang diluar jangkaan.
“Kad nama awak, cik?”
pinta Tuah ketika sibuk menyumbatkan telefonnya ke dalam poket seluar.
Bagai lembu dicucuk
hidung, Elena menurut perintah. Kad namanya dihulur kepada Tuah.
“Boleh saya tanya
sikit?”
“Tanya apa?”
“Kenapa beria-ia awak ambil
gambar saya dan gambar kereta saya? Awak ingat saya nak lari ke?”
“Manalah tahu. Zaman
sekarang, tak semua orang kita boleh percayai. Betul tak? Anyway, tunggu bil daripada saya.” Tuah senyum senget, sangkutkan
Rayban di batang hidung dan beredar begitu saja.
“Maigaaddd! Dia blah macam itu aje? Dia ni dah kenapa?
Buat-buat tak kenal aku pula!”
Elena
memanjang-manjangkan leher melihat kelibat kenderaan mewah milik Tuah berlalu.
Kecil hati sungguhlah bila dilayan umpama orang asing sedangkan dua bulan
sudah, selamba saja lelaki itu bertandang ke rumah keluarganya dan telah
melamarnya untuk menjadi isteri. Tapi sekarang, huh! Mentang-mentang pakai
kereta mewah, berlagak!
Elena tercegat di hadapan
keretanya. Masih lagi memikir-mikir tentang sikap Tuah yang agak aneh.
Takkanlah Tuah berpura-pura seperti tidak mengenalinya? Entah-entah… Tuah dah
hilang ingatan tak? Mungkin kepala dia terhantuk kat mana-mana, sebab itu dia
tak ingat tentang siapa Elena sebelum ini? Ya, mungkin!
“Weh, Elena! Kau buat
apa lagi kat tengah panas tu?” tiba-tiba saja laungan Zira yang nyaring
menyedarkan Elena dari lamunannya. Zira yang sedang menjengukkan kepala melalui
tingkap sudah membebel-bebel sambil mengipas wajah.
“Ya… ya… sekejap!”
balas Elena. Matanya kemudian kembali dihala ke jalanan. Berharap agar kelibat
Audi masih kelihatan tetapi ia telah lama menghilang.
Elena mengetuk-ngetuk
stereng keretanya sambil terus memikir-mikir mengenai lelaki yang baru saja
ditemuinya. Benarkah lelaki itu Tuah? Atau orang lain yang wajahnya mirip
dengan Tuah? Paling tidak pun, dia hanyalah berhalusinasi. Mungkin lelaki tadi
memang benar-benar orang lain tetapi dia sendiri yang berangan seperti dia melihat
Tuah di hadapan mata?
“Elena!”
“Hah?”
tercengang-cengang Elena dibuatnya bila Zira menyergah.
“Kau berangan ek? Nak
tunggu apa lagi? Dah settle, kan? Jom
la gerak!”
“Err… errmm… kejap…
kejap.” Terkial-kial Elena hendak menolak gear dan menarik brek tangannya.
Seluruh perasaannya menjadi kacau bilau sejak lima belas minit lepas. Malah
bertambah kacau bila otaknya asyik memikir-mikir tentang Tuah.
Sempat lagi kad nama
yang diberi oleh Tuah tadi dibelek.
Tuah Zulkarnain bin Tan Sri Abbas
Pengarah Urusan MultiCorp National
“Tuah Zulkarnain Bin
Tan Sri Abbas?” Elena menyebut nama penuh Tuah seperti yang tertera di dalam
kad nama dan menekankan nama Tan Sri Abbas itu sedikit kuat.
“Pengarah urusan MultiCorp
National, huh? Bukan ke itu company besar?
Macam mana Tuah boleh jadi Pengarah Urusan kat sana pula?”
“Hoi, kau membebel apa
sorang-sorang tu?” sergahan Zira membuatkan bahu Elena terangkat.
“Err… tak ada apa-apa. Aku
duk tengah hafal nombor telefon lelaki tadi.”
“Hafal nombor telefon
aje tak apa tapi jangan jatuh cinta pula!” amaran Zira dipandang sebelah mata
saja.
Jatuh cinta memang tak
tapi sekarang ni dia dah jatuh pening memikirkan tentang Tuah.
Ah, kenapa dia
buat-buat tak kenal aku? Marahkan aku pasal kes hari tu ke? Atau dia sebenarnya
dah hilang ingatan?