Followers

Tuesday, 5 September 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 10

Beberapa kali Elena mundar mandir di hadapan pintu bakeri sambil meraup-raup wajah. Beberapa kali juga matanya dihala keluar, melempar pandangan entah ke mana. Berharap agar ada seseorang yang dia nanti hadir di hadapan mata.

Namun, langkahnya pegun sebaik ternampak kelibat Zira yang baru saja memarkirkan kenderaannya tidak jauh dari situ.

“El!” teriak Zira lalu buat acara jejak kasih. Kedua-dua belah pipi Elena dikucup semahunya sebelum tubuh gadis itu dipeluk erat-erat.

“Erk, Zira… sesak nafas aku!” Elena menolak tubuh Zira menjauh sambil menggeleng. Dadaya diurut-urut. Isk, apa punya perangailah minah ni! Macam nak putus nyawa rasanya dia buat macam tu tadi. Zira ketawa kecil. Tangan Elena ditariknya mendekati meja dan dipaksa duduk bersamanya.

“Aik, ceria bukan main lagi. Naik pangkat ke?” soal Elena sedikit tertanya. Manakan tidak, hairan dibuatnya melihat senyuman lebar si Zira.

“Isyh, ke situ pula. Mana ada naik pangkat. Kalau naik pangkat, awal-awal lagi aku dah tulis status kat facebook.”
Elena mencebik. Eh… eh… Zira ni. Macam tu pula yang dia fikir ya?

“Habis tu? Muka ceria lain macam ni. Mesti ada apa-apa ni.”

“Cuba teka.”

“Aduh, nak teka-teka pula. Cakap ajelah. Malas aku nak main teka teki dengan kau.”

“Alah, suruh teka pun tak nak. Okey… okey… aku cakap, kau jangan terkejut tau!”

“Apa dia? Ada anak raja masuk meminang kau?”

“Isk, mulut kau! Mana ada. Azad tu aku nak campak mana?”

Elena mengekek ketawa. Dah disuruh teka, dia tekalah. Manalah tahu kut-kut ada orang kaya datang masuk meminang.

“Cuba tengok ni.” Zira menayang telefon pintarnya ke hadapan Elena setelah skrin telefon tersebut memaparkan satu gambar beg tangan jenama mewah.

“Wow, Louis Vuitton! ”

“Azad belikan aku Cik LV ni sempena anniversary perkenalan kami yang ke lapan masa dia pergi Milan tiga hari lepas. Minggu depan bila dia balik, dapatlah aku peluk handbag ni. Sweet, kan?” teriak Zira teruja.

“Hmm… sweet sangat!” berubah air muka Elena saat nama Azad meniti di bibir Zira. Ah,  sweet konon! Dengan perempuan lain pun dia sweet juga Zira oi! cemuh Elena dalam hati.

“Tak nak tulis apa-apa status di facebook ke?” sambung Elena lagi.

“Heee… keji sangat! Perli aku la tu!” balas Zira sebaik menyedari reaksi Elena. Elena hanya buat muka tak bersalah. Geleng-geleng kepala sambil terus bersandar ke kerusi.

“Untunglah ada tunang yang sweet macam tu. Aku ni, bukan kata tunang… boyfriend pun tak ada. Nampaknya aku terpaksalah habiskan duit simpanan sendiri untuk beli beg macam yang kau dapat tu.”

Zira ketawa-ketawa selepas Elena menghabiskan ayatnya. Elena pula mencebik, menjeling kecil sebelum turut sama ketawa.

“Apa pula tak ada boyfriend? Habis tu mamat yang rambut panjang tu siapa? Bukan ke itu boyfriend baru kau?”

“Siapa pula?”

“Eleh, buat-buat tak kenal pula. Macam aku tak tahu. Baik punya kau letak gambar kau dengan dia kat instagram. Dah la gambar mesra-mesra, lagi tak nak mengaku!” celopar Zira menembak Elena dengan beberapa baris ayat.

Rahang Elena hampir saja lagi terjatuh. Matanya pula sudah membulat. Isk, macam manalah Zira boleh ingat tentang gambar yang pernah dimuat naik dua bulan sudah ketika berlaku perang gambar antara mereka? Pada hal, sejam selepas gambar itu dimuat naik, dia telah memadamkannya.

“Mana ada.” Dalih Elena mahu menutup kebenaran.

“Kau jangan macam-macam, El. Kau nak sorok-sorok pasal lelaki tu, entah-entah skandal kau. Tak pun anak ikan kau! Baik kau cakap cepat!”

Mahu saja Elena menjentik mulut cabul Zira. Ada patut tuduh dia bela anak ikan dan punya skandal. Oh, tak kuasa tau! Lebih baik dia bela ikan emas, ada juga faedahnya!

“Aku ni tua sangat ke sampai nak kena bela anak ikan bagai? Please eh… tak kuasa hokay!”

“Ala… ceritalah kat aku El. Macam mana kau kenal dengan dia. Aku tengok helok orangnya. Diam-diam ek kau ada affair dengan someone. Aku ingatkan lepas kau putus…” Zira terus ketap bibir bila nampak tenungan tajam milik Elena terpanah kepadanya. Gerun rasanya melihatkan tenungan Elena itu.

“Daripada kau merapu entah apa-apa kat sini… lebih baik kita keluar pergi lunch. Aku dah lapar ni.”

Elena bangkit dari kerusi, menghilang beberapa saat ke belakang dan kembali bersama beg tangan jenama Chanelnya yang berwarna merah. Sengaja menayang di hadapan Zira sampai-sampai gadis itu menelan air liur.

“Beg baru ke?”

“Hmm.”

“Siapa bagi?”

Hello, tak mainlah orang bagi. Aku beli sendiri tau! RM15 ribu cash!

Kaching! Kaching!

Zira telan liur lagi. Terpanah hatinya melihatkan senyuman sinis Elena. Ah, sentap!

“Kau ada sorokkan apa-apa daripada aku ke, El?” aju Zira saat kedua-dua mereka sudah berada di dalam kereta. Elena yang baru hendak menolak gear berpaling dan jungkit kening. Sedikit hairan dengan pertanyaan Zira.

“Sorok apa?”

“Pasal kau dengan lelaki rambut panjang tu.” Elena berpura-pura tidak mendengar. Malah, dia sengaja menguatkan volume radio dan ikut menyanyi bait-bait lirik lagu yang sedang berkumandang dari corong radio keretanya.

“Elena!”

“Apa?”

“Isk, aku tanya kaulah! Macam bercakap dengan tiang gol aje!”

“Kau tanya apa?”

“Pasal kau dengan lelaki tu.”

“Lelaki mana?”

“Ya Allah, Elena Amir! Jangan buat-buat bodoh! Kau ni kan… eee… geramnya!”
Elena tergelak-gelak melihatkan Zira sudah menepuk dahi dengan memek mukanya yang agak lucu.

“El… ceritalah. Siapa dia tu? Macam mana kau boleh kenal dengan dia dan macam mana pertemuan kau dan dia terjadi?”

“Wah…wah… dah macam Detective Conan kau ni.”

“Jawablah!”

“Adalah.” Elena menguis hujung hidungnya tanpa memandang Zira. Sengaja. Biarkan Zira dengan persoalan-persoalannya.

“Kedekut tahi hidung masin! Kata best friend tapi semua benda nak berahsia!” Zira sedikit memprotes lalu menyilangkan tangan ke dada dan melempar pandangan keluar kereta.  Elena di sebelah sudah pun terbahak-bahak ketawa melihatkan muncung sedepa Zira. 
Alahai, teruk betul mukanya bila dalam keadaan macam ni. Makin Zira tarik muka makin Elena ketawakannya. Sampai berhinjut-hinjut bahu dibuatnya.

“Elena!” teriak Zira nyaring secara tiba-tiba. Elena terkejut namun belum sempat berbuat apa-apa…

Sreettt!

Bam !

Seretan tayar bergema-gema memenuhi ruang pendengaran. Elena tergamam manakala Zira pula sedang menahan debaran yang menggila akibat baru saja tersembam ke hadapan. Mujur tidak ada yang cedera. Elena menggelabah dan panik. Menyedari kenderaannya baru saja merempuh sebuah kenderaan lain di hadapan. Dadanya yang berasa sakit akibat turut tersembam ke stereng kereta sebentar tadi diurut-urut. Nafasnya pula mula kencang setelah melihat keadaan keretanya yang teruk menyondol belakang sebuah kereta mewah jenis Audi. 

Tunggu sekejap. Audi???

Dup! Dap! Dup! Dap!

Jantung Elena dah mula buat perangai. Dahinya sudah berpeluh. Begitu juga dengan telapak tangannya. Namun dia masih terus kekal di kerusi pemandu sambil menahan rasa cuak yang mula bermukim dalam hati. Matanya terhala kepada seorang lelaki, pemandu kereta mewah berkenaan. Ekor mata Elena galak mengikut rentak langkah lelaki tersebut yang semakin dekat dengannya.

Tuk! Tuk! Tuk!

Cermin tingkap sebelah Elena diketuk lelaki berkenaan. Tapi Elena pula hanya kejung dan diam di situ tanpa bersuara.

“El… apa kau dah buat ni?” aju Zira terketar-ketar. Perlahan-lahan Zira menoleh memandang Elena sebelum melabuhkan pandangan pada jejaka yang sedang menanti di luar.

“El… dia nak kau keluar tu. Habislah kau El!”

“Syhhh… kau diamlah Zira!” ucap Elena dalam nada yang tertahan-tahan. Geram bila Zira menambahkan rasa paniknya.

Air liur yang mahu ditelan terasa begitu kesat. Seperti ada pasir yang telah bercampur bersamanya. Elena cuba aturkan rentak nafasnya yang berterabur. Kemudian, dia memandang ke hadapan. Aduh, macam manalah boleh jadi macam ni? Macam mana dia boleh menyondol kereta orang pula ni?

Tuk! Tuk! Tuk!

Sekali lagi pemandu kereta Audi mengetuk-ngetuk tingkap. Kali ini dia buat isyarat agar Elena menurunkan tingkap keretanya. Elena pula mula terasa seperti di dalam mimpi. Terasa seperti dia turut berada di awang-awangan. Sebu perutnya kala itu, buat dia tambah panik.

Elena memejamkan matanya perlahan-lahan lalu mulut terkumat kamit membaca sesuatu.

Tuk! Tuk! Tuk!

Elena tersentak bila tingkap keretanya kini diketuk dengan lebih kuat.

“El, keluarlah. Pergi settle dengan dia. Kau nak tunggu apa lagi?” Zira di sebelah tak sudah menggesa Elena. Siap menolak-nolak bahu Elena lagi supaya keluar dari kereta. Geram, Elena jegilkan matanya kepada Zira memberi amaran.

Elena menelan liur lagi ketika dia sedang menoleh pada pemandu Audi yang sudah beberapa saat terpacak di tengah panas rembang. Lelaki itu segak dalam persalinan pejabatnya.

Kemeja biru yang lengannya disingsing sehingga paras siku dan bertali leher warna hitam dilengkapi dengan seluar slack yang mungkin harganya mencecah ribuan ringgit. Dilengkapi pula dengan aksesori seperti tali pinggang jenama mewah bersama kasut kulit yang berkilat mengalahkan sport rim kereta baru. Terpegun dengan penampilan si jejaka, mata Elena beralih pula kepada wajahnya. Lama mata Elena terpaku pada raut wajah itu. Tiba-tiba saja senyuman terbentuk di bibirnya. Tanpa berfikir panjang, pintu keretanya ditolak. Dia berdiri dalam jarak kira-kira lima inci daripada lelaki tersebut.

“Macam mana awak drive ni?” aju si jejaka dengan suara yang agak keras. Seperti tidak mahu memberi muka langsung kepada Elena menjawab soalannya. Bengang mungkin apabila kereta mewahnya disondol dek kecuaian Elena.

“Err…” kelam kabut Elena mendekati kereta Audi dan membelek kesan kemalangan tadi. Elena telan liur berkali-kali. Boleh tahan juga walaupun tidaklah teruk mana. Ada kesan calar di satu kawasan. Namun sebaik meneliti kereta sendiri, Elena terus rasa macam nak pengsan. Remuknya hati sama remuknya dengan muncung keretanya. Ah, teruknya!

“Cik?” seru si jejaka sambil bercekak pinggang. Sesekali dia melonggarkan tali lehernya akibat kepanasan yang boleh tahan melampau.

“Saya minta maaf, Tuah. Saya tak sengaja. Saya betul-betul tak sengaja. Serius! Saya… saya tak perasan kereta awak kat depan kereta saya tadi. Err… sorry!” Elena menggaru-garu tengkuk yang tiba-tiba saja gatal. Wajahnya dimemek-memekkan memohon pengertian dan simpati Tuah. Sungguh-sungguh meminta maaf. Memang salahnya tapi dia tidak sengaja. Apa lagi yang boleh dibuat melainkan meminta maaf? Wajah Tuah bertukar kelat sehingga Elena dah serba salah.

“Senangnya meminta maaf?” sindir Tuah sedikit sarkastik sambil memicit dahi. Elena pula sudah menjatuhkan rahang. Auch, kecil hatinya mendengar ayat Tuah itu.

“Meminta maaf memanglah senang, Encik Tuah!” balas Elena dengan sengaja menekankan perkataan encik itu. Entahlah, mungkin sudah terbiasa membahasakan diri Tuah dengan pangkal encik di hadapan ketika dia rasa geram dengan lelaki itu. Tadi, dia sungguh-sungguh rasa serba salah tapi sekarang ni dia rasa geram sebab Tuah selamba saja menyindirnya.

Elena seperti tidak percaya yang Tuah yang sedang berdiri di hadapannya ini sangat jauh bezanya dengan Tuah yang ditemuinya dua bulan lalu. Selain daripada menaiki kenderaan mewah dan berpenampilan ala-ala encik CEO, Tuah juga mempunyai potongan rambut yang lebih kemas dan lebih pendek, digel serta memakai haruman wangian  Hugo Boss Red lambang lelaki maskulin. Dia kenal dengan bau itu sebab Ezra pernah menggunakannya.

Elena hampir saja lagi tidak mengenali lelaki ini. Mujur jugalah dia masih ingat tentang suara dan pandangan mata Tuah itu. Hanya itu yang kekal sama. Tetapi, dia sungguh-sungguh hairan. Bagaimana lelaki yang dikenalinya dua bulan lalu boleh berubah dalam tempoh masa sesingkat ini? Pakaian dan penampilan mungkin tak akan menjadi masalah tetapi gaya dan pesonanya. Kenapa sungguh berbeza? Takkan Tuah masuk mana-mana pertandingan kut? Hero Remaja mungkin? Ah, mengarut kau ni Elena. Tuah tu bukan spesis remaja. Itu dah masuk kategori remaja purba.

“ Meminta maaf takkan dapat selesaikan masalah, cik. Sekarang ni, macam mana? Kereta saya dah calar balar. Nak settle kat sini saja atau pergi buat laporan?”

Elena hampir saja lagi menghamburkan tawanya mendengarkan kata-kata Tuah.

“ Cik, saya tanya nak settle kat sini atau pergi balai polis. Cik senyum-senyum, sengih-sengih tu ada apa? Saya ada salah cakap ke?” Tuah bercekak pinggang tak puas hati. Beberapa kali dia merengus melepas sedikit geram.

“Okey, saya faham. Err…saya rasa lebih baik kita settle kat sini saja. Tak payahlah pergi balai polis. Leceh. Awak bagi nombor telefon awak. Senang saya nak contact nanti.” Ujar Elena dengan selamba. Sekarang ini, dia baru teringat yang dia tidak pernah mempunyai nombor telefon Tuah.

Tuah menghulurkan kad namanya tetapi belum sempat Elena mencapainya, terlebih dulu Tuah menariknya kembali.

“Sebelum tu, saya nak kad nama awak dulu. Kalau ada apa-apa, senang saya nak contact awak.Yalah, manalah tahu kut-kut awak melarikan diri pula. Susah saya nanti.”

“Alah, tak payah kad nama. Awak kan dah tahu kat mana saya tinggal. Kalau awak tak percayakan saya, awak boleh datang ke rumah keluarga saya. Mudah, kan?”
Tuah berkerut kening mendengar kata-kata Elena. Dari atas sehingga ke bawah paras Elena dipandangnya. Meneliti dan mula membuat analisis mungkin.

“Minta maaf, cik. Saya tak faham apa yang awak merepek ni. Saya cuma mahukan kad nama awak. Atau sekurang-kurangnya berikan saja nombor telefon awak supaya saya boleh hubungi awak. Nanti selesai saja saya baiki kereta ni, saya hantar bil kepada awak.”

“Oh, nanti sekejap.” Tuah senyum hambar lantas kembali ke keretanya. Telefon pintarnya yang berada di dalam kereta diambil. Sebaik kembali di hadapan Elena, telefon pintarnya dihala tepat ke wajah Elena sebelum turut menalakannya ke arah kereta Elena. Elena melopong melihat tindakan Tuah yang diluar jangkaan.

“Kad nama awak, cik?” pinta Tuah ketika sibuk menyumbatkan telefonnya ke dalam poket seluar.

Bagai lembu dicucuk hidung, Elena menurut perintah. Kad namanya dihulur kepada Tuah.

“Boleh saya tanya sikit?”

“Tanya apa?”

“Kenapa beria-ia awak ambil gambar saya dan gambar kereta saya? Awak ingat saya nak lari ke?”

“Manalah tahu. Zaman sekarang, tak semua orang kita boleh percayai. Betul tak? Anyway, tunggu bil daripada saya.” Tuah senyum senget, sangkutkan Rayban di batang hidung dan beredar begitu saja.

“Maigaaddd! Dia blah macam itu aje? Dia ni dah kenapa? Buat-buat tak kenal aku pula!”
Elena memanjang-manjangkan leher melihat kelibat kenderaan mewah milik Tuah berlalu. Kecil hati sungguhlah bila dilayan umpama orang asing sedangkan dua bulan sudah, selamba saja lelaki itu bertandang ke rumah keluarganya dan telah melamarnya untuk menjadi isteri. Tapi sekarang, huh! Mentang-mentang pakai kereta mewah, berlagak!

Elena tercegat di hadapan keretanya. Masih lagi memikir-mikir tentang sikap Tuah yang agak aneh. Takkanlah Tuah berpura-pura seperti tidak mengenalinya? Entah-entah… Tuah dah hilang ingatan tak? Mungkin kepala dia terhantuk kat mana-mana, sebab itu dia tak ingat tentang siapa Elena sebelum ini? Ya, mungkin!

“Weh, Elena! Kau buat apa lagi kat tengah panas tu?” tiba-tiba saja laungan Zira yang nyaring menyedarkan Elena dari lamunannya. Zira yang sedang menjengukkan kepala melalui tingkap sudah membebel-bebel sambil mengipas wajah.

“Ya… ya… sekejap!” balas Elena. Matanya kemudian kembali dihala ke jalanan. Berharap agar kelibat Audi masih kelihatan tetapi ia telah lama menghilang.

Elena mengetuk-ngetuk stereng keretanya sambil terus memikir-mikir mengenai lelaki yang baru saja ditemuinya. Benarkah lelaki itu Tuah? Atau orang lain yang wajahnya mirip dengan Tuah? Paling tidak pun, dia hanyalah berhalusinasi. Mungkin lelaki tadi memang benar-benar orang lain tetapi dia sendiri yang berangan seperti dia melihat Tuah di hadapan mata?

“Elena!”

“Hah?” tercengang-cengang Elena dibuatnya bila Zira menyergah.

“Kau berangan ek? Nak tunggu apa lagi? Dah settle, kan? Jom la gerak!”

“Err… errmm… kejap… kejap.” Terkial-kial Elena hendak menolak gear dan menarik brek tangannya. Seluruh perasaannya menjadi kacau bilau sejak lima belas minit lepas. Malah bertambah kacau bila otaknya asyik memikir-mikir tentang Tuah.
Sempat lagi kad nama yang diberi oleh Tuah tadi dibelek.

Tuah Zulkarnain bin Tan Sri Abbas
Pengarah Urusan MultiCorp National

“Tuah Zulkarnain Bin Tan Sri Abbas?” Elena menyebut nama penuh Tuah seperti yang tertera di dalam kad nama dan menekankan nama Tan Sri Abbas itu sedikit kuat.

“Pengarah urusan MultiCorp National, huh? Bukan ke itu company besar? Macam mana Tuah boleh jadi Pengarah Urusan kat sana pula?”

“Hoi, kau membebel apa sorang-sorang tu?” sergahan Zira membuatkan bahu Elena terangkat.

“Err… tak ada apa-apa. Aku duk tengah hafal nombor telefon lelaki tadi.”

“Hafal nombor telefon aje tak apa tapi jangan jatuh cinta pula!” amaran Zira dipandang sebelah mata saja.

Jatuh cinta memang tak tapi sekarang ni dia dah jatuh pening memikirkan tentang Tuah. 

Ah, kenapa dia buat-buat tak kenal aku? Marahkan aku pasal kes hari tu ke? Atau dia sebenarnya dah hilang ingatan?






No comments:

Post a Comment