Wednesday 1 August 2018

9 NOTA Bab 1


Kaisara Hakim, Ogos 2018

‘Tinggalkan dia.’

Berulang kali aku membaca sekeping nota yang diselitkan di dalam satu sampul putih. Satu per satu abjad yang tertera di situ aku sebut tetapi aku gagal menghadam dengan baik apa makna di sebalik nota itu.

“Ada dapat apa-apa klu?” tegur Puteri teman serumahku yang tiba-tiba datang menghampiriku. Di tangannya, ada dua muk kopi panas yang masih lagi berasap-asap. Salah satunya dihulurkan kepadaku sebelum dia melabuhkan duduknya di sebelahku.

“Thanks, Put.” ujarku sambil tersenyum nipis tanpa menjawab soalannya.
Kopi yang masih panas itu aku sisip ke bibir. Ah, nikmat!

Pap!

Aku tersentak dikala fikiran aku menerawang entah ke mana. Tangan Puteri yang mendarat betul-betul di atas pahaku nyaris membuatkan kopi di dalam muk tumpah. Lekas-lekas aku meletakkan muk ke atas meja kopi di sebelah nota tadi.

“Kau ni dah kenapa, Sara? Kau dengar atau tidak apa yang aku tanya tadi?” Puteri bertanya dengan nada tidak puas hati.

“Dengar,” aku mengangguk.
“So?”
“What?”
“The clue!”
“Klu amende?” aku tayang wajah blur di depan dia.

“Cap jari… mungkin?”

“Cap jari? Oh, yalah… aku terlupa yang aku ni pegawai forensik. Kan, Cikgu Puteri?”

 “Isk, main-main tau dia ni!” tak semena jari jemari Puteri naik merayap ke lengan aku lalu mencubit halus isiku.

“Sara… aku serius tau ni. Kau tak ada terfikir ke yang kau patut buat sesuatu pasal nota ni?”

“Aku nak kena buat apa?”

“Dah kau tak dapat apa-apa klu… apa kata kau pergi buat laporan polis?”

“Eh, apa yang kau merepek ni Puteri? Ke situ pula!”

“Laa… apa yang merepeknya? Kau dapat nota tau!”

“Iya, aku tahu. Aku dapat nota. So?”

“Ya Allah, Kaisara! Kau dah lupa ke? Nota yang kau dapat hari ini bukannya nota yang pertama tapi nota kesembilan! Sama macam nota-nota sebelum ini, nota yang ada di depan mata kau ni masih tak ada sebarang maklumat. Tak ada nama dan alamat pengirim, tak ada setem, cop pejabat pos dan juga alamat penerima. Yang ada cuma nama kau, Kaisara. Jadi, kau rasa?!” panjang lebar Puteri berhujah di depanku.

“Ya, aku tahu.” Aku mengangguk lalu tertunduk lemah merenung jemari sendiri. Mendengarkan kata-kata Puteri, langsung perut aku terasa sebu.

Tidak mampu aku menepis kata-kata Puteri. Kerana nota yang aku terima hari ini sememangnya sama dengan nota-nota yang pernah dihantar kepada aku sebelum ini. Puteri memaklumkan kepada aku ketika kami sedang makan malam tadi bahawa dia menjumpai nota misteri ini terdampar di dalam peti surat kami petang tadi.

“Hah, kalau dah tahu… apa tunggu lagi? Jomlah pergi buat laporan polis!” lenganku ditarik Puteri.

“Isk,  Puteri… nantilah dulu. Kut ya pun… aku nak cakap apa kat polis? Nak beritahu yang aku terima nota misteri dan suruh siasat siapa pengirim nota dan apa motifnya? Gitu?” aku kembali terduduk setelah berjaya menepis tangan Puteri.

Jauh di dasar hati, aku merasakan cadangan Puteri ni agak keterlaluan. Mana mungkin aku boleh melaporkan hal ini kepada pihak polis memandangkan nota misteri ini tiada langsung unsur-unsur jenayah. Aku tidak diugut. Tidak juga diancam. Cumanya…

“Huh, susahlah bercakap dengan kau ni!” suara kuat Puteri menyentakkanku.
Kami sama-sama terdiam. Masing-masing melayan perasaan.

“Kadang-kadang, aku tak faham kenapa wujudnya manusia macam kau. Dah la degil, keras kepala… hati batu pula tu. Isk, aku ni bukan apa. Sebagai kawan baik kau, aku ambil berat kat kau. Aku risaukan kau, tahu?” Puteri kembali bersuara.

“Tak perlulah risaukan aku. Aku bukannya budak kecil, Puteri.”

“Pasal kau bukan budak kecil la aku kena lebih risaukan kau.”
Aku tergelak.

“Tak payah fikir bukan-bukan boleh tak, Put? Aku rasa tak ada apa-apa kut.”

 “Isk, kau ni. Dalam keadaan macam ni pun masih boleh bertenang dan berfikiran positif. Aku rasalah… kau patut cermin diri sendiri. Bukan apa… muka kau ni dah jadi muka wanted tau. Sebab itu kau dapat nota misteri sampai sembilan kali. Entah siapa-siapa ajelah yang duk skodeng kau!”

“Skodeng? What do you mean?”
Puteri tercebik dan mengangkat bahu, menjawab pertanyaan yang aku sendiri sudah punya jawapan.

“Aku tak rasalah ada mana-mana stalker duk mengintip aku, Put. Aku ni bukan siapa-siapa. Popular tak, kaya pun tak… apa aje yang aku ada sampai nak kena skodeng macam ni?”

“Kau nak tunggu jadi popular dan kaya macam selebriti baru boleh ada orang yang skodeng kau? Huh, tolong sedar sikit Sara. Kita ni bukannya hidup kat zaman purba. Dunia sekarang dah tak macam dulu-dulu. Segala perkara tak ada batasan. Sama macam pemikiran manusia juga. Kau tak tengok televisyen ke? Hari-hari keluar berita pasal orang kena culik la, orang kena rogol la, orang kena bunuh la… eee… scary!”

 “Put, kau jangan nak takut-takutkan aku ya!” aku naikkan jari telunjuk memberi amaran kepada Puteri.

Mendengarkan kata-katanya, sedikit sebanyak rasa seram menghimpit aku. Bulu roma di lenganku juga sudah mula merinding.

“Put, kau rasa-rasakan… nota yang aku terima ni ada kaitan dengan Syazwan tak?”

“Syazwan Ibrahim?”

“Habis tu… Syazwan mana lagi?”
Puteri tergelak dan mencapai nota misteri dari atas meja kopi. Nota di tangan pantas dibelek.

 “Tak syak lagi, memang dia maksudkan macam itu. Dia memang nak kau tinggalkan Syazwan.”

“Tapi… kenapa?”

“Soalan kau tu memang satu soalan yang bagus, Sara. Tapi, sayang sebab aku pun tak ada jawapannya.”

“Put, Syazwan tu kekasih aku tau. Kenapa aku kena tinggalkan dia? Aku rasa tak ada apa-apa sebab untuk aku tinggalkan dia.

Dia bukannya jahat dan bukan penjenayah macam Far…” kata-kataku termati sebaik mata aku dan Puteri berlaga.

“Penjenayah macam siapa? Farid… ex-boyfriend kau?”

Tidak dapat tidak, aku hanya mengangguk.

“Bila kali terakhir kau terima nota macam ni?” soalan Puteri membuatkan otak aku terpaksa bekerja dua kali ganda daripada biasa.

“Hampir setengah tahun yang lalu,” jawabku perlahan dengan rasa libang libu di hati.

Tak semena-mena diriku seperti dihenyak dengan sebuah perasaan yang sukar ditafsirkan dengan kata-kata. Mengingati kenangan beberapa bulan lalu, aku jadi takut. Masih aku ingat apa yang terjadi dulu. Ketika aku sedang hangat bercinta dengan seorang lelaki bernama Farid, telah hadir sekeping nota misteri di dalam hidupku dengan titipan khas di dalamnya agar aku berhati-hati dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Tidak lama kemudian, perkara yang tidak terjangka telah terjadi menimpa hubungan kami di mana lelaki itu telah ditangkap oleh pihak polis kerana disyaki memiliki dadah dan terlibat dengan kegiatan pelacuran. Menurut apa yang telah aku dengar, Farid mempunyai niat jahat terhadapku.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Rancangan jahatnya tidak berhasil setelah ditahan pihak berkuasa yang akhirnya membawa kepada keretakan hubungan kami.

Dan… apa yang pernah berlaku dulu seolah-olah berulang lagi dengan kemunculan nota yang serupa. Adakah pengirim ini tahu sesuatu mengenai Syazwan?

Ah, pening aku dibuatnya!

***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311

No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...