Tuesday 29 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 9

Sudah dua bulan berlalu. Dan dua bulan itu berlalu dengan ketenangan buat Elena. Namun setiap kali melempar pandangan ke luar tingkap, hatinya bagai menanggung suatu rasa yang dia sendiri kurang mengerti.

Elena menggolek-golekkan diri ke atas tilam empuknya. Telefon pintarnya yang terdampar di sebelahnya direnung. Bantal goleknya ditarik lalu ditekup ke muka sendiri sebelum menjerit-jerit melepas perasaan. Okey, dia tipu diri sendiri sebenarnya. Dia tidak pernah berasa tenang sejak dua bulan lalu. Sejak dia dan Tuah berjumpa buat kali terakhir.

Berkali-kali dia merengus menanggung sedikit sesal. Yalah, manalah tidak sesal. Mahu mencari Tuah untuk meminta maaf, dia tidak tahu nombor telefon lelaki itu. Rasa bodoh pun ada juga.

“Aduhai, macam mana aku nak cari dia ni? Dahlah nombor telefon tak ada, alamat rumah dia pun aku tak tahu.” bebelnya sambil mengetuk-ngetuk dahi.

“Ah, cari kat facebook la. Mesti dia ada akaun facebook.” Telefonnya dicapai dan membuat carian di laman sosial namun berhenti separuh jalan apabila dia menyedari terlalu sukar untuk mencari Tuah melalui media sosial. Mana mungkin dia jumpa. Nama penuh lelaki itu pun dia tidak tahu. Mangkuk betul la kau ni Elena!

Bibirnya digigit-gigit halus sambil membiarkan otaknya bekerja keras mencari jalan penyelesaian.

Seminit.
Lima minit.
Sepuluh minit.

“Arghhh!” Elena menjerit nyaring sambil menyembamkan mukanya ke bantal.
Elena angkat tubuh mendekati jendela. Malas mahu melayan rasa bosan yang mula bermaharaja dalam diri. Langsir diselaknya. Kemudian, dia melemparkan pandangan ke luar menikmati pemandangan malam.

Tak ada apa-apa yang menarik perhatiannya melainkan gelap pekat malam. Namun tak semena-mena saja matanya terpaku pada sebuah kereta yang diparkir di hadapan rumahnya. Elena menolak tingkap dan mengamatinya. Sah, dia memang tak silap pandang! Itu kereta Tuah!

Kelam kabut Elena berlari ke bawah, buka pintu utama dan menerjah ke halaman. Namun sebaik sampai di hadapan pagar utama rumahnya, kereta tadi sudah pun menghilang.

“Tuah?” serunya bersama sisa harapan. Mangga yang tersangkut di pagar ditarik. Pagar ditolak dan dikuak lebar. Elena memandang ke kiri dan kanan. Matanya kemudian digosok-gosok. Pelik!

Memang dia nampak ada kereta Kancil berwarna putih serupa seperti kereta Tuah. Dia yakin itu memang kereta Tuah tapi kenapa boleh hilang tiba-tiba?

Dua minit dia tercegat di situ cuba merungkai misteri tersebut, kereta Ezra pula yang kelihatan.

“Aik, sejak bila jadi jaga kat sini?” sinis Ezra sebaik lelaki itu keluar dari keretanya.

“Isk, sibuk ajelah abang Ez ni!”

“Kau buat apa kat sini?”

“Tak ada buat apa-apa. Saja ambil angin. Kenapa? Salah?”

“Tak cakap pun salah. Cuma, aku hairan sikit.”

“Apa yang nak dihairankan?”

“Yalah, selalu kau asyik berkurung dalam bilik. Tiba-tiba saja malam ni…”

“Isk, apa-apa ajelah abang Ez.”

Malas sungguhlah dia mahu melayan Ezra. Daripada dia buang masa melayan abangnya itu ada baiknya dia melepak sekejap kat luar ni. Manalah tahu, kut-kut sekejap lagi dia akan nampak kereta Tuah. Kalau bernasib baik, bolehlah dia berjumpa dengan tuan punya kereta sekali.

Elena melabuhkan punggung ke atas tembok kecil di tepi pagar tanpa menghiraukan Ezra. Sila dipasang, tangan diletak ke atas paha dan duduk seperti mahu beryoga. Mata dipejam rapat-rapat sebelum telinga menangkap bebelan kecil Ezra.

“Bisinglah abang Ez ni!” protesnya. Ezra yang turut melabuhkan punggung di sebelahnya dipandang.

“Kau ni dah kenapa? Buang tebiat ke?”

“Apa pula buang tebiat? Isk… abang Ez jangan menyibuk boleh tak? Pergilah masuk ke dalam. El nak duduk sini sorang-sorang. Syuh… syuh… syuh!”

Ezra pantas ketawa melihatkan gelagat Elena yang luar alam. Macam mana dia tak fikir adiknya ini buang tebiat kalau tengah malam macam ini boleh duk bertapak seorang diri kat luar. Pelik juga sebab Elena tu bukannya berani sangat.

“Kau ni, Elena… kalau ya pun tak boleh tunggu pagi esok ke? Ini dah tengah malam. Kau tak takut ke duduk kat sini sorang-sorang?”

“Nak takut buat apa? Kiri kanan depan belakang rumah kita ni kan ada orang? Kalau terjadi apa-apa, El jerit ajelah.”

“Kalau kau jerit pun, tak ada orang yang nak datang selamatkan kau. Entah-entah diorang sambung tidur. Yalah, suara kau menjerit tu mengalahkan cik pon tahu?” Ezra mengekek ketawa sampai Elena menjeling geram. Kalau mengusik memang nombor satu si Ezra ni.

“Dah la… aku nak masuk.” Ezra bangkit sambil menjinjit beg kameranya. Namun baru melangkah setapak, dia berhenti lantas memandang Elena dengan muka cuak.

“El… aku dengar kan… rumah kosong yang kat hujung simpang sana tu…”

“Abang Ez!” Elena bangkit. Menonong dia memukul-mukul bahu Ezra sehingga lelaki itu terpaksa mengelak. Ezra tersengih-sengih sambil menutup kepalanya yang sikit saja lagi mahu diketuk Elena.

“Eh, takkan kau dah nak masuk? Kata nak lepak ambil angin. Tak sampai lima minit kau dah nak blah?” perli Ezra dengan suara yang agak meninggi. Elena berdesup masuk ke rumah tanpa menghiraukan Ezra. Ezra pula sudah ketawa berdekah-dekah melepas perasaan lucunya.

Bammmm!

Pintu bilik tidurnya dihempas melepaskan geram. Elena menghumbankan tubuhnya ke tilam sambil mengurut dada. Kecut rasa perutnya mendengarkan kata-kata Ezra tadi. Hei, macam manalah dia boleh jadi berani sangat macam tadi? Bukannya dia tidak tahu waktu sekarang dah cecah tengah malam? Macam mana kalau dia nampak bukan-bukan tadi?
Teringat tentang rumah kosong di hujung simpang jalan, terus berdiri bulu roma Elena. Huisy, menakutkan ajelah. Macam manalah dia  boleh terlupa tentang rumah kosong tersebut? Dah banyak kali sebenarnya dia mendengar cerita bukan-bukan mengenai rumah itu dan yang pasti semuanya cerita yang tidak enak didengar.

Elena menekup kedua-dua belah telinganya. Selimut ditarik sehingga menutupi keseluruhan tubuh. Badannya dah mula menggigil. Bulu romanya makin mencanak-canak naik sehingga dia hilang pertimbangan diri. Diam di dalam selimut, akhirnya Elena tertidur dalam cerah.
***

Nasi goreng cina di dalam pinggan dikuis-kuisnya dengan hujung sudu. Kopi o dalam cawan telah sejuk setelah dibiar tidak bersentuh. Umi memandang Ezra yang sedang melahap roti canai kuah banjir lalu memberi isyarat.

“Umi tak payahlah risau pasal anak perempuan umi ni. Dia tengah diet la tu.”
Ezra berhenti gelak selepas terasa kakinya disepak. Siapa punya kerja melainkan Elena. Elena menjegilkan matanya kepada Ezra. Geram. Ezra pula sudah tersengih-sengih seperti kerang busuk.

“Betul ke diet, El?”

“Err… mana ada, umi. Abang Ez ni memandai-mandailah!”

“Eh, betul apa. Hari tu kau mengadu kat aku… kau kata yang kau dah gemuk. Kau nak kena diet.”

“El diet atau umi masak tak sedap?” umi kembali bertanya.

“Mana ada umi. Masakan umi la yang paling sedap di dunia.”

“Habis tu… kalau tak diet… kalau masakan umi sedap, apa pasal sejak tadi lagi duk kuis-kuis aje nasi tu?”

“Tak ada apa-apa. Perut El tak berapa sedap sikit.”

“El tak sihat ke?” dahi Elena cepat-cepat disentuh. Risau umi dibuatnya. Manalah tahu kut-kut Elena memang benar-benar tidak sihat. Kalau sakit, mahu juga dia heret anak gadisnya ini ke klinik. Namun sebaik menyentuh dahi Elena, umi tarik nafas lega. Suhu badan Elena biasa-biasa saja.

“Dia demam cinta la tu, umi!” Ezra menyampuk sehingga memaksa Elena menjegil padanya. Geram melihatkan perangai Ezra yang celopar. Ada patut dia kata demam cinta? Bercinta pun tidak, macam mana nak demam cinta?

“Abang Ez!”

 “Yalah tu. Tak nak mengaku konon!”

Ezra mengekek ketawa. Elena pula tahan geram saja dengan Ezra. Dia pandang Ezra macam semut aje sekarang ni. Rasa macam nak picit-picit. Macam nak jentik-jentik pun ada juga.

 “Umi ada kelas pukul berapa hari ni?” dia mengalihkan topik. Daripada dia panas hati melayan perengai senget Ezra, baik lagi dia bersembang dengan umi.

“Lewat sikit. Kelas umi pukul 11 pagi.” Jawab umi yang bertugas sebagai salah seorang tenaga pengajar di sebuah kolej swasta.

“Dengar kata kat kolej umi tu ada hari keusahawanan. Bila hari keusahawanan tu? Nanti El ingat nak pergi sana. Boleh kan, umi?”

“Hujung bulan ni. Nanti umi update dengan El kalau betul El nak datang.”

“Okey. Tak apalah umi. El nak gerak sekarang. Takut sangkut dalam traffic pula nanti.”
 Kopi dihirup sekali dua. Tangan umi ditarik lalu dicium. Begitu juga dengan pipi umi. Dicium beberapa kali lantas meminta diri. Sempat lagi dia menjeling Ezra yang sedang merenungnya dengan kening yang dijungkit-jungkit.

Elena memandu keluar dari halaman. Baru beberapa saat menekan pedal minyak, kenderaannya tiba-tiba diperlahankan. Tingkap di sebelah kirinya diturunkan. Dia memandang ke arah rumah kosong tidak berpenghuni yang terletak di hujung simpang jalan. Sekilas dia mengerling ke arah pokok mempelam di laman rumah tersebut. Semerta dahinya berkerut.

Hatinya berdegup rasa sesuatu. Kenapa dia nampak rumah kosong ini seperti telah dihuni? Ada penyewa baru ke?

Brek tangannya ditarik. Pintu keretanya ditolak lalu memboloskan diri dan mendekati pagar rumah berkenaan. Baru kali ini dia menyedari sesuatu. Sesuatu yang dia nampak semalam. Kereta Tuah!

“Macam mana kereta Tuah boleh ada kat sini?”

Pin! Pin!

Hon kereta dari belakang membuatkan fokus Elena sedikit terganggu. Terlihat kereta Ezra telah berhenti di sebelah keretanya yang diparkir di tengah jalan.

“Apa yang kau buat kat sini, Elena?”  jerit Ezra lantang dari dalam keretanya.

“Tak ada buat apa-apa.” Elena sedikit cuak melihat Ezra. Kelam kabut dia kembali ke dalam kereta dan menekan pedal minyak lalu meninggalkan Ezra jauh di belakang.
Tiba saja ke persimpangan lampu isyarat tidak jauh dari kawasan perumahannya, sekali lagi dia terkejut apabila Ezra membunyikan hon yang agak panjang dan kuat.

“Isk, abang Ez!”  jerit Elena setelah menurunkan tingkap keretanya.

“Kau buat apa kat depan rumah kosong kat hujung simpang tadi?”  beria-ia Ezra bertanya.

“Tak ada buat apa-apa.”

“Tipulah. Kau skodeng hantu ek?”

Elena menjeling geram. Ada patut abangnya bergurau macam tu? Entah apa-apa!
Kalau bukan kerana dia ternampak kereta Tuah terparkir di halaman rumah kosong itu, tak kuasa rasanya dia mahu terjenguk-jenguk dan terhendap-hendap macam pencuri. Dan kalau bukan kerana dia asyik fikirkan tentang Tuah, tak kuasa dia nak tebalkan muka dan beranikan diri mendekati pagar rumah kosong itu.

“Dah la. Malas nak melayan abang Ez. El nak pergi kerja. Bye!”  sepantas kilat Elena meninggalkan kepul-kepul asap setelah lampu merah bertukar hijau.






No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...