Tamat saja perbincangan
di perpustakaan pada petang itu, Aurora segera menuju ke tapak parkir. Di
tangannya penuh dengan buku teks, kertas-kertas soalan semester lepas serta
beberapa keping nota tutorial. Lenguh tangannya sudah tidak dapat ditahan lagi,
begitu juga dengan matanya yang sejak tadi lagi sudah memberat. Dia mahu segera
sampai ke apartmen dan berehat kerana sejak malam tadi lagi dia tidak cukup
rehat kerana mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan tugasan kuliah yang
bertimbun-timbun.
Beberapa
meter sebelum tiba ke keretanya, Aurora terpegun di pertengahan jalan. Habis
berterabur segala barang yang berada di tangan sebelum menonong ke keretanya
dengan muka menayang terkejut.
“Ya
Allah!” hanya nama tuhan saja yang mampu disebutnya tatkala melihat keadaan
kereta kesayangannya.
Beberapa
kali dia berpusing mengelilingi Myvi birunya itu lantas menyentuh badan kereta
itu dengan hujung jari telunjuk. Kesan-kesan calar seperti telah ditoreh dengan
benda tajam menyebabkan kemarahan Aurora mula membuak-buak.
Apatah
lagi setelah melihat keempat-empat tayar keretanya turut dipancitkan dengan
sengaja. Cis! Tak guna! Siapa punya kerja ni?
Aurora
menghentakkan kaki melepas bengang. Hampir gugur air matanya apabila melihat
keadaan keretanya seperti itu. Sambil menelefon seseorang, sambil itu dia
meliarkan mata ke sekitar kawasan berdekatan mencari-cari jika ada kamera litar
tertutup.
Berang
setelah panggilannya tidak dijawab, Aurora menendang salah satu tayar melepas
geram. Lancar bibir mengomel tidak puas hati. Penat mengomel, Aurora akhirnya
duduk mencangkung berdekatan dengan kereta sambil mengesat air mata yang
tiba-tiba saja luruh ke pipi.
Sebak
dadanya melihat Myvi kesayangannya itu telah dicalar-calarkan dan
dirosak-rosakkan seperti itu. Cat kereta yang turut tertanggal di beberapa
bahagian pada kereta itu menyebabkan Aurora hampir meraung. Kalaulah dia tahu
siapa punya kerja, dia akan pastikan orang itu menerima padah!
Bukannya
baru sehari dua dia menggunakan kereta itu. Sudah lebih setahun Myvi itu berjasa
kepadanya. Disebabkan itulah dia terlalu bengang dan marah setelah melihat
keadaan keretanya itu.
“Aurora.”
Tiba-tiba terdengar satu suara menegurnya.
Lekas-lekas
Aurora mengesat air matanya.
“Kau
buat apa dekat situ?” Zafrin yang baru muncul di depan muka memandang Aurora
dengan pelik. Hairan melihat gadis itu sedap saja mencangkung di sisi keretanya
di tengah panas begini.
Dia
ternampak kelibat Aurora berada di situ sejak dari pintu utama perpustakaan
lagi. Niat untuk ke fakulti segera dimatikan setelah mendapati seperti ada
sesuatu yang baru menimpa gadis itu.
“Tak
ada apa-apalah,” dalih Aurora sambil mengesat-ngesat hingus yang turut meleleh.
Sengaja tidak mahu mengkhabarkan apa-apa pun kepada Zafrin kerana tidak
bersedia membiarkan lelaki itu melihat dia dalam keadaan sedih begini.
“Kenapa
kau nangis?”
“Mana
ada aku menangis,” dalih Aurora lagi masih terus menyapu-nyapu wajah sendiri.
Tidak
percaya dengan kata-kata Aurora, Zafrin memandang badan Myvi milik Aurora.
“Apa
yang dah jadi ni? Kenapa dengan kereta kau ni? Siapa yang buat macam ni?”
bertalu-talu soalan yang Zafrin hulur. Sambil itu, dia bangun memeriksa keadaan
Myvi yang dah tak serupa kereta.
Mendengar
soalan Zafrin, air mata Aurora kembali gugur. Betapa hatinya begitu sakit
mengenangkannya.
“Boleh
tak jangan nangis? Sekarang ni, kau beritahu siapa yang buat macam ni dekat
kau?” tak semena-mena saja Zafrin tunduk dan mencangkung di hadapan Aurora.
Sempat lagi tangannya naik ke pipi Aurora untuk mengesat sisa air mata gadis
itu tetapi Aurora cepat-cepat menepis lantas bangkit.
“Manalah
aku tahu siapa yang buat. Kalau tidak, aku tak duduk dekat sini…” ujar Aurora
dalam nada tersekat-sekat.
“Kau
ada syak sesiapa tak?”
Lama
Aurora terdiam, cuba mencari gali siapa gerangan manusia yang biadap itu.
Sanggup orang itu buat seperti ini? Kesalahan apa yang Aurora dah buat padanya
sehingga tergamak memperlakukan harta kesayangannya seperti ini?
Adakah
Burn? Melati? Atau Intan?
Ah!
Aurora tidak mampu meneka. Tetapi, dia tahu. Dalam kolej ini, hanya manusia
bertiga itu saja yang suka menimbulkan masalah di dalam hidupnya.
Namun,
fikirannya ligat memikirkan apa yang terjadi di kafeteria pada tengah hari
semalam.
“Aku
rasa ini semua kerja Burn.”
“Kau
pasti ke ni?”
Aurora
mengangguk penuh kepastian. Dia yakin ini semua kerja Burn. Burn pasti
melakukan semua ini semata-mata hendak membalas dendam. Dia masih ingat apa
yang terjadi di antara dirinya dan Burn semalam. Ketika dia dan Mya sedang
melepak di kafeteria, Burn tiba-tiba datang kepadanya untuk mencari pasal.
Disebabkan
geram punya pasal, terus saja Aurora menyimbah wajah lelaki itu dengan air
sekaligus memalukan lelaki itu di hadapan kawan-kawannya serta pelajar-pelajar
yang turut berada di kafeteria. Jadi, disebabkan itulah Aurora merasakan ini
semua ada kaitan dengan Burn.
“Aku
pasti semua ni kerja Burn.”
“Macam
mana kau tahu? Kau ada bukti ke?”
“Memang
aku tak ada bukti tapi aku yakin semua ni kerja dia.”
“Tapi
untuk apa dia buat semua ni?”
“Sebab
nak balas dendam.”
Ternaik
kedua kening Zafrin mendengar penjelasan Aurora.
“Jangan
tuduh melulu, Aurora. Aku tahu Burn tu suka cari pasal dan buat hal dengan
ramai orang. Tapi… aku rasa tak baik kau menuduh dia tanpa bukti. Silap tuduh,
boleh jatuh fitnah.” Zafrin seolah-olah tidak boleh menerima kata-kata Aurora
itu. Dia sedar selama ini Burn memang suka menimbulkan masalah kepada ramai
pelajar tetapi dia tak rasa yang Aurora patut tuduh melulu. Kut ya pun, kenalah
ada bukti.
“Eh,
kau tak payah nak membebel boleh tak? Aku cakap aku pasti tu maknanya aku
pastilah. Tak ada orang lain lagi yang akan buat macam ni.”
Tak
ayal, Aurora mengaturkan langkah menuju ke kafeteria utama tanpa menghiraukan
Zafrin. Ada perhitungan yang perlu dibuat. Dia tahu, waktu petang begini sudah
tentu Burn sedang melepak di sana untuk meneruskan agenda hariannya dengan
mengganggu pelajar lain. Dia mahu bersemuka dengan Burn dan meminta ganti rugi
atas kerosakan yang telah dilakukannya.
“Aurora,
nanti dulu!” lengan Aurora terus saja dilelar oleh Zafrin setelah lelaki itu berjaya
menyaingi langkahnya. Berlaku sedikit pergelutan di antara mereka berdua
sebelum Aurora memutuskan untuk membatalkan niatnya ke sana.
“Aku
hantar kau balik. Pasal kereta kau tu, sekejap lagi aku telefon kawan aku minta
tolong uruskan.”
“Tak
payah.”
“Jangan
tunjuk degil boleh tak? Aku cakap aku hantar kau balik. Biarlah kawan aku
uruskan kereta kau tu…”
“Aku
boleh balik sendiri!” terjegil-jegil mata Aurora dibuatnya kerana menahan
bengang kepada Zafrin. Sudahlah tidak dapat melunaskan kemarahannya kepada
Burn, sekarang ni Zafrin pula asyik memaksanya agar mengikut lelaki itu pulang.
“Aku
tak nak balik. Selagi aku tak bersemuka dengan Burn, aku tak boleh duduk diam.
Kau… kau jangan halang aku boleh tak?” terketap-ketap bibir Aurora akibat
menahan sedih yang mula menghurung hatinya semula. Entah kenapa, melihat
keadaan kereta kesayangannya… terus hati berdetik dengan rasa yang pelbagai.
“Aurora,
relaks boleh tak?”
“Macam
mana aku nak relaks, Zafrin? Kereta aku teruk dijahanamkan sampai macam tu. Kau
tak nampak ke?” Aurora mengerling Myvi miliknya. Ah! Sakit sungguh hatinya.
“Benda
kecil aje, kan? Kereta tu boleh dibaiki. Badan kereta tu boleh dicat baru.
Tayar pun boleh ditukar ganti.”
“Senang
saja kau kau cakap, kan?”
Melihat
air muka Aurora membuatkan Zafrin mula berasa serba salah. Aduhai! Dia tersalah
cakap ke?
“Aurora,
boleh tak jangan sedih sampai macam ni? Berhenti menangis. Aku tak suka tengok
kau macam ni. Lagi pun, aku rasa kereta tu masalah kecil aje. Kalau tak boleh
dibaiki, kau minta Daddy Carl belikan kereta baru.” Lancar mulut menyusun ayat
dengan sengaja membuat lawak tetapi jelingan Aurora pula yang diterimanya.
“Masalah
kecil? Kau buta ke? Tak nampak macam mana keadaan kereta aku tu? Sakit hati aku
ni tahu tak?” Aurora menuding keretanya. Dari bahagian hadapan sehingga ke bahagian
belakang, habis penuh dengan kesan seperti ditoreh. Manalah dia tidak sakit
hati?
“Kereta
cabuk pun nak kecoh…” gumam Zafrin sambil merengus.
“Kereta
cabuk bagi kau tapi pada aku, ini nyawa aku. Kereta ni aku beli dengan hasil
titik peluh aku sendiri. Kau memang takkan faham sebab kau beli kereta canggih
kau tu guna duit mak bapak kau!” tempelak Aurora melepas bengang setelah
terdengar apa yang Zafrin omelkan tadi.
“Okey…
okey… aku minta maaf sebab cakap macam tu. Sekarang ni, bagi aku hantar kau
balik. Hal kereta kau, nanti kita sama-sama fikir nak buat apa. Aku janji
dengan kau… aku akan tolong kau selesaikan hal ni. Kalau betul Burn punya
kerja, aku sendiri takkan lepaskan dia. Aku janji!” Zafrin bersungguh-sungguh
mengangkat tangan membuat ikrar di hadapan Aurora.
Melihat
itu, entah kenapa hati Aurora yang tengah panas mendidih seperti air yang
sedang dimasak di atas dapur terus saja menyejuk.
Kata-kata
Zafrin berjaya membuatkan perasaannya yang bergolak mula tenteram. Malah,
pandangan redup Zafrin itu turut melenyapkan rasa marahnya terhadap Burn dengan
sekelip mata.
“Jom,
kita balik.”
Ajakan
Zafrin itu benar-benar telah membuatkan Aurora bagaikan disihir. Tanpa tolakan,
laju saja kaki mengekori Zafrin ke arah Ferrari.
***
Urusan kereta telah selesai tetapi Aurora kecewa sikit
sebab Myvi kesayangannya itu terpaksa masuk ke bengkel selama beberapa hari
kerana perlu dibaiki dan dicat baru. Pergi dan balik dari kolej setiap hari,
semuanya dengan Zafrin. Pulang ke rumah keluarganya hujung minggu itu pun,
Zafrin yang hantarkan. Tidak sampai beberapa jam dia pulang ke sana, lelaki itu
kembali memunculkan diri di hadapan pintu utama.
Aurora yang sedang bersiap-siap hendak keluar ke bandar
tidak menjangka kehadiran Zafrin itu semata-mata untuk menemaninya dan
menggembirakannya. Disebabkan untuk membalas kebaikan yang Zafrin dah hulur
kepadanya selama beberapa hari ni, dia reda sajalah apabila Zafrin hendak
menemaninya keluar. Lagipun mommy yang minta Zafrin temankannya kerana risau
membiarkan dia keluar seorang diri.
Di separuh jalan, tiba-tiba saja Aurora meminta Zafrin
memberhentikannya di sebuah stesen LRT berdekatan. Tidak pasal-pasal saja
Zafrin terpaksa meninggalkan keretanya di bawah stesen dan ikut Aurora menaiki
LRT.
Terkial-kial Zafrin hendak membeli tiket menaiki LRT.
Mesin yang berada di hadapannya direnung lama. Dia mula menggelabah kerana
tidak tahu bagaimana caranya untuk membeli tiket. Selama ini, dia hanya
bergerak ke mana-mana menggunakan kereta. Jarang sekali dia menjejakkan kaki ke
dalam pengangkutan awam jadi disebabkan itulah dia lupa caranya untuk
mendapatkan tiket dan berurusan dengan mesin.
“Kau tercegat dekat situ lagi buat apa?” soal Aurora yang
baru saja mengeluarkan beberapa keping wang kertas dari dalam dompetnya.
Senyuman
mula tersimpul di bibir tatkala menyedari wajah menggelabah yang Zafrin
tayangkan.
“Err…
err…” Zafrin menggaru-garu belakang tengkuk. Dengan rasa segan, dia tunjukkan
ke arah skrin di hadapan matanya. Sumpah dia tak reti nak guna. Nak tekan apa
pun dia tak tahu. Risau juga kalau dia tersalah tekan, dia tak boleh naik tren
pula.
“Isk,
kau ni! Tak reti baca arahan ke? Tekan ajelah skrin tu ikut arahan.”
“Yalah.
Masalahnya, kita nak ke mana? Karang aku tekan tempat lain, kau tekan tempat
lain… kan dah tak sama?”
Aurora
mencebir. Eleh. Selalu suka tunjuk hero. Bila nak naik LRT, terus hilang taring
sebagai hero. Kelakarlah dia ni! Aurora ketawa dalam hati.
Tangan
terus menekan skrin, membantu mendapatkan tiket untuk Zafrin.
“Nah,
tiket kau. Lain kali, tekan saja destinasi jalan menuju kebenaran,” cebir
Aurora sebelum ketawa.
“Itulah
padahnya. Bila orang lain naik pengangkutan awam, kau sibuk ke hulu ke hilir
bawa singa merah kau tu. Lepas tu, nak beli tiket pun tak reti.” Sempat lagi
Aurora membebel pada Zafrin seraya masuk ke ruang platform LRT.
Keadaan
di situ sangat sesak. Penuh dengan orang ramai yang kebanyakannya mahu menuju
ke pusat bandar. Disebabkan sesak dengan pelbagai manusia dan disertai oleh
cuaca yang panas, wajah Zafrin mula kemerah-merahan akibat tidak dapat menahan
hangat. Begitu juga dengan peluh yang sudah melekat-lekat di pipi dan dahinya.
Pakaian yang dipakainya turut lencun. Puas dia mengibas-ngibaskan t-shirt yang
tersarung di tubuh, masih tetap dia merasa panas.
“Nah,”
tiba-tiba saja Aurora menyuakan sebungkus tisu kepada Zafrin.
“Thanks. Macam tahu-tahu aje kan yang aku
tengah tahan panas? Aku rasalah, sikit saja lagi kalau tren tak sampai… mahu
aku pengsan dekat sini juga. Dah la panas, sesak pula tu. Tempat duduk pun tak ada
yang kosong. Dekat sini memang tak disediakan aircond ke? Macam manalah orang lain boleh bertahan naik tren
setiap hari kalau macam inilah keadaannya?” kuat Zafrin membebel sambil mata
mengitari ke sekitar platform.
Di
satu sudut, dia lihat ada wanita yang sedang mendukung anak kecilnya sambil
berbual-bual dengan seorang wanita yang lain. Di satu sudut pula, dia tengok
ada sekumpulan remaja lelaki sedang bergurau senda dan bertepuk tampar sesama
sendiri. Di satu sudut yang lain, ada pula beberapa orang yang sedang membelek
telefon tanpa menghiraukan orang sekeliling.
Yang
hairannya, masing-masing buat tak tahu saja dengan keadaan yang panas
berbahang. Apa… tak ada perasaankah mereka semua? Takkan dia seorang saja yang
rasa macam nak pengsan sekarang ni?
“Bisinglah
kau ni. Mulut tu tak reti nak diam. Padan muka. Siapa suruh ikut aku?” selamba
Aurora memerli Zafrin. Tak ada sesiapa yang memaksa lelaki itu mengekorinya.
Lepas itu, ada hati pula nak kompelin macam-macam. Sekarang, rasakanlah!
Aurora
memasang senyuman nipis setelah melihat gerabak tren semakin menghampiri
platform. Tanpa bertangguh-tangguh, laju kaki melangkah memasuki gerabak tanpa
menghiraukan Zafrin. Zafrin yang terpinga-pinga terus mengekori Aurora dan
berdiri rapat di belakang gadis itu sebelum pintu tren tertutup dua minit
kemudian.
Zafrin
mengesat peluh dengan belakang tangan. Lega kerana tubuhnya mula terasa sejuk
akibat disimbahi angin daripada pendingin hawa di dalam tren. Lima minit
setelah itu, dia menyedari bahawa dirinya seolah-olah seperti dipandang dan
diperhatikan.
Dia
memandang kiri dan kanannya. Ada beberapa pasang mata yang sedang
menjeling-jelingnya. Wajah Aurora ditatap. Niat untuk bertanya terpaksa
dimatikan apabila gadis itu seperti tidak mempedulikan apa-apa setelah fon
telinga disumbat ke lubang telinga, menghayati muzik seperti selalu.
Tren
berhenti di stesen seterusnya. Pintu tren terbuka. Masuk lebih ramai manusia ke
gerabak yang dipilih mereka. Kali ini, semakin bertambah manusia yang sedang
merenungnya.
Zafrin
mendekatkan hidungnya dengan t-shirt sendiri. Takkan sebab bau badan dia? Tak
mungkin. Sebelum keluar rumah tadi, puas dia sembur minyak wangi mahalnya ke
badan sendiri. Jadi, soal bau badan tidak perlu timbul.
Rambut
pula dibetulkan. Seperti minyak wangi, dia turut mengemaskan rambutnya dengan
perapi sebelum keluar tadi. Tak mungkin rambutnya yang menyebabkan ramai yang
sedang memandangnya seperti alien. Kemudian, jari merayap pula ke matanya.
Memeriksa kalau-kalau ada tahi mata yang melekat di situ. Walaupun dia yakin
yang wajahnya bersih daripada sebarang benda asing, dia sekadar mahu
memastikan.
Tiada
apa-apa yang pelik pun!
“Aurora.”
Tegurnya akibat tidak tahan lagi berteka teki begini.
“Hmm?”
soal Aurora tanpa memandang Zafrin.
“Aku
nak tanya sikit…” bisiknya rapat di telinga gadis itu setelah menarik fon
telinga kepunyaan Aurora.
“Apa?”
“Kenapa
orang duk pandang-pandang aku semacam? Ada apa-apa ke dekat muka aku ni?”
“Entah,”
jawab Aurora sepatah sambil menjongket bahu.
“Tengoklah
betul-betul. Ada benda yang melekat dekat muka aku ke?”
Aurora
memanggung kepala, mencari mata Zafrin. Senyuman yang hampir menguntum segera
disorokkan sebelum Zafrin menyedarinya. Sekilas dia memandang sekeliling
mereka. Dia tahu memang ramai yang sedang memandang Zafrin. Ada yang
menjeling-jeling dan berbisik-bisik sesama sendiri. Ada juga yang mula menayang
wajah tidak selesa. Zafrin mungkin tak faham tetapi dia cukup faham kenapa
ramai penumpang yang menunjukkan reaksi sebegitu.
Aurora
memberi isyarat agar Zafrin tundukkan sedikit wajahnya agar mudah untuk Aurora
memberitahu sebab musababnya kepada lelaki itu.
“Diorang
semua pandang kau pelik sebab kau tu lelaki.”
“Jadi,
apa salahnya kalau aku ni lelaki? Bukannya aku seorang lelaki yang ada kat…”
terhenti kata-kata Zafrin setelah memandang sekelilingnya.
Baru
kini dia tersedar bahawa hanya dia seorang saja lelaki yang berada di gerabak
itu. Meliar-liarkan mata ke sekeliling mencari-cari kelibat penumpang lelaki,
mata Zafrin akhirnya berhenti pada satu tanda besar yang melekat di dinding
tren yang sedang laju bergerak.
Perkataan
Coach For Ladies Only membuatkan air liur yang mahu ditelan menjadi kesat.
***
“Seronok
gelakkan aku?” menggerutu geram Zafrin dibuatnya apabila mendengar tawa Aurora
yang masih tak surut sejak mereka keluar dari tren.
“Lepas
ni, aku tak nak naik tren lagi!” Zafrin memutuskan.
Mengingati
semula kejadian memalukan yang berlaku di dalam tren, dia rasa yang dia tak
akan jejakkan kaki lagi ke sana. Apabila menyedari hanya dirinya menjadi
satu-satunya lelaki yang berada di dalam gerabak khas untuk wanita, kelam kabut
dia mengheret Aurora meninggalkan gerabak itu.
Huh!
Manalah agaknya dia hendak meletakkan mukanya? Tak pasal-pasal saja wanita-wanita
di dalam gerabak itu tadi memikirkan yang bukan-bukan pasal dia. Mereka mungkin
fikir dia lelaki gatal atau manusia yang tak faham dengan arahan pada papan
tanda sedangkan dia tak tahu menahu langsung yang dia telah tersalah masuk
gerabak.
Kenapalah
pihak pengurusan tren itu perlu mewujudkan diskriminasi sebegitu? Tak
pasal-pasal saja dia yang terpaksa menanggung malu.
“Padan
muka kau. Tuhan bayar cash pada kau
sebab kompelin macam-macam,” ucap Aurora rendah sambil terus memegang perut
kerana tidak tahan melihat air muka Zafrin yang keruh.
Tiba-tiba
saja Zafrin tersenyum.
“Kenapa
kau senyum pula? Takkan suka kut dapat balasan cash macam tadi?”
“Dah
lama aku tak tengok kau ketawa macam ni…” balas Zafrin sambil membulatkan mata.
Aurora
terus terdiam. Sungguh dia sendiri pun tak menyedari yang dia asyik ketawa
sejak tadi. Jika Zafrin tak tegur, dia rasa yang dia pasti akan terus ketawa.
Tapi, memang betullah kata Zafrin. Sudah lama dia tidak ketawa seperti ini. Dah
lama dia tak rasa gembira seperti ini. Hanya disebabkan Zafrin ‘dimalukan’ di
dalam tren tadi, dia sudah boleh ketawa terbahak-bahak seperti tak ada hari
esok.
Berbahang-bahang
kulit muka Aurora dibuatnya. Kelam kabut dia mengatur langkah menuju ke sebuah
kedai buku. Puas membelek perkakas melukis, dia bergerak pula ke rak yang
menempatkan buku-buku motivasi sebelum berhenti di rak yang menempatkan novel
berbahasa Melayu dan Inggeris. Sebuah novel dicapai. Membelek depan dan
belakang lalu meletakkannya kembali. Perkara itu diulang sehingga novel kelima
dicapainya.
“Novel
ni terbitan syarikat Mommy Alisa, kan?” aju Zafrin secara tiba-tiba dari tepi.
Aurora
mengangguk. Disebabkan novel-novel itu terbitan syarikat mommynya, sengaja dia
membelek-beleknya. Ada pelbagai tajuk yang berada di rak itu tetapi satu pun
dia tak minat nak baca sebab dia bukanlah suka membaca novel.
“Kau
dah baca novel ni?” soal Zafrin sambil mencapai sebuah novel sederhana tebal
dari atas rak.
Aurora
menggeleng.
“Tak
minat. Daripada aku baca novel, lebih baik aku baca komik.”
“Nampaknya
gen daddy lebih kuat daripada gen mommy…” bisik Zafrin seperti bercakap seorang
diri.
“Lepas
ni, kita nak ke mana?” soal Zafrin semula sambil membontoti Aurora keluar dari
kedai buku tanpa membeli apa-apa.
“Entah…”
kedua bahu diangkat. Jujur dia memang tak tahu hendak ke mana. Senang kata, dia
tak ada tujuan. Dia keluar pun sebab nak hilangkan tekanan akibat keretanya
terpaksa masuk ke bengkel selama beberapa hari.
Zafrin
senyum. Terfikir tentang satu tempat. Kalut kaki melangkah ke sana, mengheret
Aurora bersamanya.
Zafrin
melabuhkan punggung ke kerusi setelah memasuki sebuah kedai emas. Bulat matanya
memandang rak pameran yang mempamerkan pelbagai jenis barang kemas. Daripada
rantai, cincin, gelang, anting-anting… semuanya dipandang.
Aurora
juga begitu. Lama dia merenung ke cermin kaca yang berada di hadapannya.
Seperti dipukau, laju saja dia meminta pekerja di situ mengeluarkan seutas
rantai tangan.
“Kau
suka?”
“Tak
la suka sangat. Tapi, dah alang-alang kau heret aku masuk ke sini… apa salahnya
aku cuba. Kalau aku berkenan, aku nak beli satu. Manalah tahu bila aku
memerlukan duit satu hari nanti, senang aku nak gadaikan rantai ni.”
Zafrin
ketawa-ketawa mendengar ayat bersahaja Aurora itu. Ke situ pula dia ni!
“Kau
nak beli emas ni, kau ada duit ke?”
“Kau
ingat aku miskin sangat ke sampai tak mampu nak beli?” Aurora menjeling tajam
kepada Zafrin. Kenapa? Nampak sangat yang mukanya macam muka orang tak mampu?
Zafrin
tersengih-sengih. Sengaja hendak mengusik Aurora. Dia sendiri tahu yang Aurora
lebih daripada mampu. Setiap bulan gadis itu menerima elaun daripada mommy dan
daddy. Bukan itu saja, Azreel dan Awatif pun selalu memberikan duit belanja
kepada Aurora tetapi dia jarang sekali menggunakannya tanpa tujuan. Dia tahu
yang Aurora memang seorang yang pandai berjimat cermat dan hanya menggunakannya
jika benar-benar memerlukan.
“Aurora…
pinjam jari kau sekejap.” Zafrin meminta Aurora menghulurkan jarinya sesudah
sebentuk cincin sudah pun berada di dalam genggamannya. Mendengarkan permintaan
luar jangka Zafrin itu, Aurora menayang kerutan seribu di dahinya.
“Nak
buat apa?”
“Bagi
ajelah. Jangan banyak tanya.”
“Aku
cuma nak pastikan sama ada cincin ni muat atau tidak dengan jari kau. Sinilah
jari kau tu!” sambung Zafrin setelah menarik lengan Aurora.
“Hmm.
Ngam dengan jari kau. Kau rasa, cincin ni cantik tak?” soal Zafrin lagi sambil
merenung cincin yang sudah tersarung cantik di jari manis Aurora.
“Bolehlah…”
Aurora mencebir. Teruk betul citarasa si Zafrin ni. Cincin yang gayanya seperti
mak datin ini dia kata cantik? Silau matanya lagi adalah. Sudahlah besar
gedabak. Ini… kalau tersagat dekat hidung, mahu berdarah!
“Maknanya
apa? Cantik atau tidak?”
Sekali
lagi Aurora mencebir. Kalau ditanya pendapatnya mengenai pilihan cincin yang
digemari dan cantik di matanya, sudah tentulah rekaan ringkas dan moden dengan
hiasan minima yang akan menjadi pilihannya.
Aurora
tiba-tiba terdiam. Beberapa detik berlalu, baru dia berpaling memandang Zafrin.
Entah kenapa seperti berlaku sesuatu seketika tadi. Melihat wajah bersahaja
Zafrin, cepat-cepat dia buang segala rasa itu.
“Aku
rasa yang ini paling cantik. Kau suka?” Zafrin menyarungkan pula sebentuk
cincin yang baru dihulur oleh pekerja kedai kepadanya.
“Kau
beria-ia pinjam jari aku ni… kau nak belikan cincin ni untuk siapa? Mama
Anggerik?”
“Tak.”
“Dah
tu?”
“Adalah.
Rahsia.” Balas Zafrin sambil memandang cincin yang tersarung di jari Aurora.
“Eh-eh.
Dah pinjam jari aku, lepas tu ada hati pula nak berahsia. Nah lah… ambil balik
cincin kau ni.” Aurora menjeling lalu mencuba sebentuk cincin yang baru
dihulurkan oleh pekerja kedai emas.
“Cik, saya nak beli yang ini.” Zafrin tunjuk
cincin yang baru saja dicuba oleh Aurora.
“Aku
harap, bila aku bagi cincin ni dekat orang tu nanti… dia sukalah dengan
pemberian aku ni. Tapi, kalau dia tak suka… aku akan salahkan kau sebab kau
yang pilih cincin ni!” Zafrin menayang-nayang beg kertas yang mengandungi kotak
cincin tadi ke hadapan muka Aurora setelah mereka beredar dari sana.
Aurora
memutar-mutarkan bebola mata ke atas. Kesahlah pula dia kalau orang tu tak suka
dengan rekaan cincin pilihannya? Tapi… siapa ya perempuan yang bakal menerima
hadiah pemberian Zafrin itu? Teka teki itu hanya bersarang di kepala Aurora.
***
“Aurora.
Kau pernah datang ke sini tak?” soalan pertama yang Zafrin hulur ketika mereka
berdiri di hadapan pintu masuk ke sebuah taman permainan Wonderskate yang
terletak dalam pusat membeli belah membuatkan Aurora terdiam.
Lama
Aurora merenung ke papan tanda Wonderskate sebelum mengerutkan kening.
Perlahan-lahan dia menggeleng. Wajah Zafrin sedikit berubah tetapi lekas-lekas
dia memasang senyuman nipis.
“Nak
masuk?”
“Sekarang?”
“Habis
tu… takkan tahun depan pula? Jomlah!”
“Eh,
Zafrin. Nanti dulu!” Aurora sengaja mengeraskan tubuh di pertengahan jalan
sehingga Zafrin turut berhenti melangkah. Niat untuk ke dalam terbantut serta
merta. Tadi, Zafrin ajak masuk ke kedai emas. Sekarang, ajak dia masuk
Wonderskate pula. Dah buang tebiat ke apa mamat ni?
“Kenapa?”
“Kau
nak ajak aku main kasut roda?”
“Yalah.
Kenapa?”
“Kau
tak rasa ke main benda alah ni macam budak-budak?”
Zafrin
ketawa-ketawa. Sambil ditunjukkan ke dalam, sambil itu dia memandang Aurora
dengan kening yang terjongket.
“Tak
ada pun papan tanda yang melarang orang dewasa main kasut roda. Lagi pun, dekat
dalam sana ada ramai orang dewasa yang tengah tunjuk skil. Jom, kita masuk!”
Selesai
urusan di kaunter dan menyewa kasut roda, mereka bergerak ke kawasan loker
untuk menyimpan barang peribadi.
“Zafrin,
kau serius ke ni?” aju Aurora lagi masih tidak berpuas hati.
“Kenapa?”
“Yalah.
Kau nak ajak aku main kasut roda?”
“Serius
la. Kita dah sewa pun. Nah, pergi pakai cepat. Aku tunggu kau kat depan tu…”
kasut roda dihulurkan kepada Aurora sebelum berlalu meninggalkan gadis itu.
Zafrin
menanti lama kemunculan Aurora tetapi gadis itu tak juga muncul sehingga dia
terpaksa berpatah balik. Sejurus saja kembali, terlihat Aurora sedang
berbual-bual dengan seorang lelaki. Terus hatinya menjadi panas menggelegak melihat
itu.
“Buat
apa dekat sini? Aku tunggu kau dah lama tahu tak?” Zafrin bercekak pinggang,
merenung Aurora dan memberi amaran dalam diam tanpa menghiraukan Firdaus.
Lelaki itu sedikit terpinga-pinga melihat kehadiran Zafrin.
Sempat
dipandang Aurora yang turut terpinga-pinga melihat wajah tegang Zafrin. Ketika
dia sedang bertugas di kawasan loker, dia ternampak kelibat Aurora. Sebab
itulah dia datang menegur gadis itu sebelum dia menyambung tugasannya sebagai
pekerja separuh masa di Wonderskate ini.
“Kau
nak main kasut roda ke tak nak?” aju Zafrin lagi dengan suara yang semakin
keras.
Berbulu-bulu
betul matanya melihat Firdaus berada di sisi Aurora. Ah! Kenapa dia harus
berada di mana saja mereka berada?
“Naklah.
Kan kita dah sewa kasut roda ni?” balas Aurora kembali, mengajuk percakapan
Zafrin.
“Habis
tu… buat apa dekat sini lagi?”
“Daus,
saya pergi dululah ya. Jumpa lagi.” Sempat Aurora menghadiahkan senyuman kepada
Firdaus sebelum bergerak meninggalkan kawasan loker.
Zafrin
yang sakit hati melihat Firdaus membalas senyuman Aurora hanya memandang tajam
lelaki itu. Firdaus terkulat-kulat. Rasa serba salah dibuatnya melihat
pandangan Zafrin itu. Lekas-lekas dia meminta diri dan meneruskan tugasnya yang
tergendala sebentar tadi.
No comments:
Post a Comment