Followers

Friday, 5 January 2018

9 Nota Part 2



"Hello, ma."
"Hello, Sara. Dah bangun ke?"
Aku gelak lepas mama tanya aku macam tu melalui talian.
"Sara tengah bersiap nak ke pejabat ni."
"Baguslah. Sara... hujung minggu ni Sara balik rumah. Mama nak Sara ada kat sini." Aku dengar suara mama dari hujung talian sangat serius. Macam iye-iye saja maksudkan dengan apa yang baru dia cakap. Aku menghampiri meja solek, capai gincu dan daratkan ia ke atas bibir aku yang agak pucat.
"Kenapa, ma? Ada apa?" aku mengerutkan kening. Pelik aku dibuatnya. Pagi-pagi lagi mama dah telefon aku semata-mata nak suruh aku balik ke rumah keluargaku hujung minggu ni. Ada apa? Ah, pasti ada apa-apa la tu!
"Nanti Sara akan tahu."
Hati aku masa ni dah bergelora lain macam. Perut aku pun tiba-tiba saja rasa tak selesa. Aduhai, jawapan mama ni betul-betul buat aku tak senang duduk. Mama minta aku balik lepas tu tak nak beritahu aku apa sebenarnya yang terjadi.
Mama sakit ke? Adik-adik dapat sambung belajar ke luar negara? Atau Along nak kahwin satu lagi? Yalah, mama kalau bukan sebab penting macam tu... mesti takkan telefon aku pagi-pagi macam ni.
"Nanti? Err... mama ada sorokkan apa-apa daripada Sara ke?" sengaja aku serkap jarang. Aku kenal mama. Mama memang suka sangat buat kejutan. Ini yang buat dada aku lagi sempit ni.
"Tak ada apa-apa. Tapi, Sara kena balik. Tak boleh kata tidak. Tahu?"
Amboi, arahan mandatori nampak?
"Okey. Insyallah, Sara balik. Itu pun kalau tak ada kerja hujung minggu ni."
"Jangan macam-macam, Sara. Sara kena balik juga..." mama menegaskan suara. Aku tahu, kalau mama dah cakap macam tu... mahu tak mahu aku tak boleh membantah.
"Okey. Menurut perintah."
Mama gelak di hujung talian. Aku pula terkebil-kebil pandang telefon sendiri lepas mama tamatkan panggilan begitu saja.
Pelik ni. Macam ada udang di sebalik batu aje.
"Kaisara!" jeritan lantang dari bawah mengejutkan aku dari khayalan. Fuh, semangat! Suara Puteri ni, kalau nak dibandingkan dengan hantu langsuir... sahih Puteri yang akan menang. Nyaring macam nak buat latihan vokal pada hal dia boleh saja panggil aku elok-elok. Bukannya aku ada jauh sebatu daripadanya. Aku cuma ada kat dalam bilik aje.
"Apa?!" aku balas jeritan Puteri.
"Turun sarapan!"
"Yalah... yalah... kejap."
Ketika aku turun ke bawah, sarapan pagi dah terhidang kat atas meja. Ada telur hancur, roti bakar, bihun goreng dan juga sepiring muffin perisa coklat. Amboi, kemain banyak hidangan pagi ni. Macam nak buat kenduri.
"Banyaknya kau masak, Put?"
"A'ah... memang aku masak banyak. Kat atas dapur tu ada nasi goreng. Kejap lagi aku nak bawa pergi studio untuk pelajar-pelajar aku."
"Oh, so sweet la cikgu Puteri ni." Aku menyengih aje pandang dia sambil Puteri berlalu ke dapur. Aku duduk di sebelah Krisya, teman serumahku yang sudah awal lagi berada di situ. Aku tengok, Krisya sedap saja melahap bihun goreng sambil tangannya sibuk menekan-nekan skrin telefon.
"Morning, Krisya. Sibuk nampak?"
"Morning. Tengah layan whatsapp dengan Mifzal." ujar Krisya tanpa memandang aku.
"Oh, patut la. Whatsapp dengan encik abang sayang rupanya."
"Babe, aku dengar kau dapat nota misteri," aju Krisya sambil memandangku kemudiannya.
"Siapa beritahu? Puteri?"
"Siapa lagi? Semalam kan aku balik lewat. Tak sempat aku nak dengar gosip terhangat dalam rumah ni. Kejap tadi, masa aku tengah tolong Puteri kat dapur... dia ceritakan semuanya pada aku pasal nota misteri tu."
Aku mengherotkan bibir sambil menjeling Krisya. Isk, cik kak ni. Sempat lagi tu dia bergosip dengan Puteri kat dapur pasal aku. Puteri ni pun satu. Tak boleh ke tunggu keadaan reda dulu baru dia buka cerita?
Aku bukan apa. Semalaman aku tak dapat tidur dengan nyenyak kerana asyik teringatkan hal nota tersebut. Kalau boleh pagi ni aku tak nak dengar apa-apa yang berkaitan nota itu namun impian aku tu musnah berderai lepas Krisya sebut mengenainya. Aduhai!
"Kau tak ada flight ke hari ni?"
"Ada."
"Flight kau pukul berapa?" sengaja aku alihkan topik. Bosan juga kalau asyik bercerita pasal nota misteri yang aku terima semalam. Lagi pun, fikiran aku dah terlalu berserabut dengan pelbagai hal.
"Dua petang."
"Fly ke mana?" aku ajukan lagi soalan pada Krisya yang bertugas sebagai pramugari di salah sebuah syarikat penerbangan terkenal negara.
"KK."
"Oh." Aku mengangguk-angguk. Patutlah aku tengok Krisya belum bersiap. Rupanya dia kerja petang.
"So, kau rasa siapa pengirim nota tu?" hampir saja lagi aku tersedak air kopi apabila Krisya mengajukan pertanyaan pada aku. Aduhai, cik kak ni. Ada ke patut dia tanya soalan yang aku sendiri tak ada jawapan? Kalau aku tahu siapa pengirim nota tu... tak adalah aku dapat 'mata panda' pagi ni sebab tak lena tidur malam tadi.
"Entah. Aku tak tahu siapa. No clue at all."
"Kau tak syak sesiapa ke?"
"Maksud kau?"
"Yalah. Mungkin ada sesiapa yang boleh disyaki. Contohnya... kawan-kawan pejabat kau ke..."
Hampir aku tergelak mendengar kata-kata Krisya. Kawan-kawan pejabat aku? Siapalah agaknya orang tu ye? Merepek sungguh si Krisya ni!
"Morning, sunshine!" Tiba-tiba saja terdengar teguran Gina dari anak-anak tangga. Suara nyanyiannya yang sesekali tenggelam timbul mengalihkan perhatian aku dan juga Krisya. Ceria bukan main lagi dia ni.
"Hah, tak payah nak sunshine sangat ye... kalau air liur pun melekat kat pipi." Cebik Krisya sambil menjeling pada Gina yang baru saja melabuhkan punggungnya ke kerusi di depan aku.
"Isk, mana ada. Jangan buat cerita dongeng ye, anak pak cik Kamarul!" ujar Gina lekas lalu menyentuh-nyentuh pipi sendiri. Aku tergelak tengok gelagat Gina yang dah jadi teman serumahku sejak dari alam universiti lagi.
"Harini ada apa?" soal Gina tanpa menghiraukan renungan Krisya. Hidangan di depan mata dipandang penuh teruja.
"Haih, makanan kat depan mata pun... masih nak tanya. Kau nak aku hidangkan dalam pinggan kau ke Cik Nigina?" selamba Krisya memerli Gina. Namun, tanpa menghiraukannya... Gina langsung mencapai cawan dan menuang kopi panas. Manakala roti pula terus disapu dengan jem.
"Isk, dah-dah la korang berdua ni. Depan rezeki pun nak gaduh ke? Macam budak-budak!" Selaku cuba meredakan keadaan. Kalau dua manusia ni bertemu, macam inilah gayanya. Seorang suka memerli, seorang lagi suka menjawab sambil tayang muka tak ada perasaan. Tapi, yang hairannya... elok pula mereka tinggal sebilik.
"Alaa... kitorang gaduh-gaduh manja. So, Sara..."
"Hmmm?"
"Apa cerita dengan nota misteri tu?"
"Aduh... apa kena dengan semua orang ni? Pagi-pagi macam ni, sibuk aje korang bertanya pasal nota tu. Boleh tak kita cerita pasal benda lain?"
"Eh, mana boleh. Cerita terangat macam ni, kalau dibiarkan lama-lama sejuk la dia."
"Banyak la kau punya sejuk! Kau tahu tak aku sampai tak boleh tidur malam tadi sebab fikir pasal nota tu. Kalau boleh aku tak nak fikir dan bercakap hal nota tu hari ni."
"Alaaa... kalau kau tak cakap pasal nota tu, kitorang semua mesti akan bercakap punya. Nak tak nak... kau kena dengar. So, sekarang ni aku cuma nak tau... apa cerita dengan nota lavender tu?"
"Apa cerita apa?" aku menjongket kening.
Sebenarnya aku tak berapa faham apa maksud soalan Gina tu. Yalah, dia nak tanya pada aku sama ada aku dah dapat teka siapa pengirimnya atau apa rancangan aku tentang nota tu?
"Kau tahu kenapa pengirim nota tu tulis macam tu?"
Aku angkat bahu. Soalan Gina ni boleh tahan mencabar minda dan jiwa raga aku. Kalau dah pengirimnya pun aku tak tahu siapa... lagi la aku tak tahu apa motif si pengirim nota tu.
"Jangan-jangan... dia syok kat kau kot?" kata Gina sambil membeliakkan matanya.
"Syok kat aku? Tak mungkin."
"Tak ada apa-apa yang tak mungkin dalam dunia ni, Sara. Mungkin dia peminat rahsia kau... who knows?"
"Isk, Gina... kau jangan merepek boleh tak? Kalau dia peminat rahsia... dia tak hantar nota lavender tu. Dia mesti akan hantar bunga atau pun coklat."
"Mungkin dia seseorang yang kreatif dan sejenis manusia yang think out of the box. Orang lain bagi bunga, bagi coklat... tapi dia bagi nota lavender. Apa orang kata... dia nak kau sedar kewujudan dia." Gina renyih menampakkan gigi. Isk, geram pula aku dengan dia ni. Tak masuk akal langsung apa yang diperkatakannya.
"Tak... aku tak rasa dia secret admirer aku. Dalam nota tu, dia bagi amaran supaya aku tinggalkan Syazwan. Kau rasa apa maksudnya?" hairan aku dibuatnya. Kalau benarlah pengirim nota tu peminat rahsia aku, kenapa dia memilih untuk hantar nota? Kenapa bukan bunga atau pun coklat macam yang pernah aku terima sebelum ini?
Kenapa dia pilih nota sebagai gantinya? Kenapa? Ah, hidup aku betul-betul diselubungi misteri!
"Kalau bukan peminat, siapa?" Puteri mencelah tiba-tiba sambil membawa semangkuk nasi goreng yang baru siap dimasak.
"Musuh kot!" jawab Krisya penuh yakin.
"Isk, jangan takutkan aku... Krisya," balasku cuak.
"Tahu pun takut! Elok aje la kau pergi buat laporan polis. Biar polis yang siasat. Lagi pun, ini bukan kali pertama kau terima nota macam ni." Cadangan Puteri tu membuatkan semua mata terarah kepadanya.
"What?"
"It's not a good idea, Put!"ujar Gina lekas.
"Betul cakap Gina. Idea yang kurang bernas." Aku menambah, menyokong kenyataan Gina. Aku dah kata sejak semalam, kalau buat laporan polis... aku nak cakap apa?
"Kenapa pula?"
"Aku risau kalau polis kata Sara buat laporan palsu." balas Gina menegaskan pendiriannya.
"Eh, apa hal pula laporan palsu?"
"Yalah, nota tu... kalau teliti balik... tak ada apa-apa yang menyeramkan pun. Dia sekadar suruh Sara tinggalkan Syazwan. Itu aje. Dia tak cakap pun dia akan bunuh sesiapa. Lagi pun, selama ni... tak ada sesiapa pun yang campak bangkai ayam kat depan pagar rumah kita. Dan tak ada sesiapa palitkan cat merah kat dinding rumah kita. Kalau itu jadi, tak payah tunggu kau... aku sendiri akan heret Sara pergi balai polis."
"Kenapa pula nak kaitkan bangkai ayam dengan cat merah? Sara ni bukannya berhutang dengan ah long!"
"Aduh, korang... jangan tambahkan kekusutan aku boleh tak?" Nak saja aku tarik-tarik rambut aku sendiri. Mendengarkan perbalahan kecil di antara Puteri dan Gina, aku jadi makin kalut. Apa... diorang ingat, meja makan ni pentas perdebatan?
"Habis tu... sekarang ni kau nak buat apa dengan nota tu... Sara?" soalan Krisya yang secara tiba-tiba tu terus membuatkan nafas aku seolah berhenti dua saat. Ya, apa aku nak buat dengan nota tu?

No comments:

Post a Comment