Followers

Tuesday, 1 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 1

Elena mempercepatkan langkah. Walaupun berkali-kali dia terdengar namanya dilaung dari belakang, dia tetap tidak mahu berhenti. Misinya hanya satu dan ia harus diselesaikan hari ini juga.

“El!” Zira menjerit-jerit memanggilnya dengan suara yang termengah-mengah. Nafas gadis itu sudah mula menyemput dan hampir berhenti untuk menyedut udara tambahan. Lariannya semakin perlahan lalu berhenti mengambil nafas. Dia sedikit kecewa kerana tidak berjaya menyaingi langkah Elena yang sudah berada jauh bermeter-meter di hadapannya.

“El, tunggu dulu!”

Zira berusaha mendapatkan Elena dan sesudah lengan gadis itu berjaya dipautnya, dia hentikan langkah Elena.

“El… please… jangan masuk ke dalam sana,” mata Zira sempat menjeling papan tanda sebuah restoran di hadapan mereka.

Tangan Zira yang kemas di lengan Elena ditolak sebelum bahu Zira pula dicengkam oleh Elena.

“Kenapa? Kau takut?”

Zira menggeleng sambil mengerut muka. Kemudian dia memberi isyarat agar Elena membatalkan niatnya untuk ke dalam restoran.

“Kau dengar sini, Zira. Jangan sesekali jadi pengecut atau penakut. Faham tak?”
Zira diam.

“Kau dengar cakap aku, Zira. Jangan sesekali jadi perempuan lembik yang mudah diperbodohkan oleh seorang lelaki. Jangan jadi lemah dan biarkan orang pijak kepala kau!” Elena membalas sambil menggoncang-goncang kedua belah bahu Zira sehingga dia terdiam untuk jangka masa yang lama.

 “Zira, kau dengar tak apa yang aku cakap?”

Dia hanya mengangguk tetapi tidak berani bertentang mata dengan Elena.
“Kalau kau takut… kau tunggu aje kat sini. Biar aku pergi selesaikan mangkuk hayun tu!” ujar Elena tegas lalu meninggalkan Zira tercegat sendirian di hadapan pintu restoran.
Tanpa berpaling, Elena segera bergerak ke satu sudut restoran yang agak tersorok mencari-cari kelibat Azad, tunang kepada Zira. Mengimbas semula apa yang terjadi beberapa minit lepas membuatkan Elena mengumpul sejuta geram terhadap lelaki itu.
Memang rezeki mereka agaknya untuk terserempak dengan Azad sedang berfoya-foya dengan perempuan lain!

Elena berhenti melangkah. Peluh renek yang muncul di hujung dahi dikesat dengan hujung jari. Bibirnya pula diketap-ketap menahan marah manakala tangan pula sudah mengepal penumbuk. Cis! Tak guna punya Azad! Sedap saja kau berkepit dan berhimpit dengan perempuan lain. Elena terus menyumpah di dalam hati di saat dia melihat dengan jelas tangan Azad sedap meraba paha perempuan di sebelahnya. Ah, sakitnya hati! Dengan hati yang terbakar Elena mengatur langkah menuju ke meja Azad dan perempuan yang bersama dengannya.

 “Seronok nampak?”
Azad berpaling dan jelas wajahnya sedikit terkejut dengan kehadiran Elena. Bagai terkena renjatan elektrik, dia lekas menolak tubuh perempuan di sebelahnya dan berpura-pura membetulkan rambutnya.

“Elena. Kau… buat apa kat sini?” teragak-agak Azad bertanya. Matanya mula meliar ke sekeliling bagai sedang mencari-cari kelibat Zira.

“Saja. Nak tengok drama petang-petang. Rasanya dah boleh masuk slot Akasia kut?” sinis Elena selamba dengan muka tak bersalah.

Baby… siapa ni? ” aju perempuan tadi sedikit tidak puas hati. Mungkin terkejut bila didatangi Elena secara tiba-tiba.

Namun Azad tidak menjawab sebaliknya terus memandang-mandang ke sekitar mereka sebelum Elena tersenyum sinis padanya.

“Kau cari Zira ke?”

“Dia ada sekali?”

“Kenapa? Takut kantoi?”

Azad diam tidak menjawab. Wajahnya sedikit pucat namun dia berpura-pura bertenang dan berlagak seperti dia tidak membuat apa-apa kesalahan.

“Kantoi? Please la… Elena. Aku tak buat apa-apa kut. Buat apa aku nak takut?”
Elena tergelak mendengarkan bicara Azad. Ceh, hipokrit sungguh la mamat ni. Dah buat salah masih nak berlagak seperti manusia suci.

“Kalau tak takut… apa pasal muka kau pucat sangat?”

“El… please… kalau kau tak ada apa-apa urusan kat sini, lebih baik kau blah!  Jangan nak buat kecoh kat sini.”

“Eh… kawasan ni kawasan awam okey. Jadi, kau tak ada hak nak melarang aku untuk berada di sini. Dan kau pula… kau kena tahu yang tempat awam ni tempat tumpuan orang ramai. Tempat orang makan dan mengenyangkan perut… bukannya tempat nak bercengkerama dan buat maksiat!”

“Weh, El… kau jangan melampau! Tak payah nak buat kecoh kat sini. Kau tak ada kena mengena dalam urusan aku.” Azad bangkit dan berdiri setentang dengan Elena namun Elena pula tidak sedikit pun berganjak waima seinci dari situ.

“Sedapnya bercakap!” Elena merengus.

“Memang aku tak ada kena mengena dalam urusan hidup kau tapi aku ada kena mengena dalam urusan hidup Zira. Dia kawan baik aku dan aku tak suka tengok dia kena tipu hidup-hidup dengan tunang dia sendiri. Kau beritahu dia yang kau outstation, tapi apa hal kau boleh ada kat sini dengan perempuan lain?”

 “Elena... lebih baik kau tinggalkan tempat ni. Kan aku dah cakap… jangan buat kecoh!” hampir saja lagi lengan Elena ditarik Azad, terlebih dulu dia menepis. Dengan muka Azad yang ala-ala samseng kampung tak jadi, sikit pun dia tak takut.

“Kenapa? Kalau aku buat kecoh, kau nak buat apa? Kau malu? Huh, berkepit dengan perempuan lain tak malu pula? Buat maksiat dalam restoran ni… tak pula kau ada rasa malu?”

“El, mulut kau tu jaga sikit! Kan aku dah cakap, jangan masuk campur urusan aku dan Zira!”

Elena tergelak mengejek dengan amaran Azad. Wah… wah… wah… mamat ni memang spesis tak sedar diri betullah! Masih tak berpijak di bumi nyata. Nampaknya dia masih bermimpi dan berangan berada di kayangan. Dasar manusia lupa daratan!

“Aku berhak masuk campur! Bila kau buat hal dengan Zira, bermakna kau buat hal dengan aku!” dada Azad dicucuk-cucuk dengan hujung jari telunjuk seraya melepas geram.

 “Jangan nak jadi hero kat sini, El. Sebelum terjadi perkara yang tak sepatutnya… lebih baik kau tinggalkan tempat ni. Blah!”

“Kalau aku tak nak? Kau nak buat apa pada aku? Nak tumbuk aku? Nak pukul aku? Hah, buatlah kalau kau berani!”

Azad merenung tajam wajah Elena namun tidak sampai tiga saat, terlebih dulu Elena mara ke arahnya lalu mencapai gelas yang mengandungi air lalu menyimbahnya ke wajah perempuan yang bersama Azad tadi.

“Elena!” teriak Azad bengang. Perempuan tadi sudah menggelupur di sebelah Azad seperti baru saja disimbah asid.

“Itu baru sikit, Azad. Kau jangan ingat aku tak boleh buat lebih daripada ini…”

Buk!

Tak semena-mena saja kepala Elena terasa perit. Pandangannya mula berbalam-balam malah telinganya seperti berdesing-desing. Tidak ada apa-apa yang kelihatan di hadapan matanya ketika ini melainkan kegelapan.

Sesaat.
Dua saat.
Lima saat.

Bam!

Dunia Elena semerta menjadi kelam, sunyi dan terus sepi.





No comments:

Post a Comment