Wednesday 27 April 2016

Tolong Bagi Hati Awak 6

Pendingin hawa yang kuat di bilik pejabat yang dihiasi dengan cat dinding yang menarik itu belum mampu membuatkan hati Merah tenang.Peluh dingin mula memercik di dahinya tatkala matanya meliar ke sekeliling bilik itu setelah dijemput masuk sebentar tadi sebelum ditinggalkan keseorangan.Dalam pada memerhati sekeliling,boleh pula dia teringatkan peristiwa semalam.

Ya Allah,janganlah ada lagi spesis macam lelaki semalam kat pejabat ni.Kalau ada,memang aku cabut!

Doa Merah tak putus-putus.Dia harap sangat-sangat yang penemuduganya nanti bukan lelaki gatal dan miang.Kalau miang juga,entah apa nak jadi nanti.Silap-silap dia masuk lokap lagi gamaknya.Uiks,minta simpang!

Pintu kayu yang memisahkan ruang bilik pejabat dengan kubikel di luar ditolak sehingga membuatkan fikiran Merah yang melayang-layang sekejap tadi terpasak ke realiti.Seorang wanita,pada perkiraan Merah yang berusia awal tiga puluhan dan berpakaian korporat mendekatinya dengan senyuman manis.

“Cik Merah Binti Abdullah?”

“Ya,saya,”sepantas kilat dia bangkit,menghormati wanita tadi.

“Saya Junita,setiausaha Encik Andhika,”huluran tangan wanita bernama Junita itu disambut Merah.Merenung wajah cantik dan penampilan bergaya Junita ini membuatkan Merah telan liur.Setiausaha pun sikit punya cantik dan bergaya,agak-agak kalau bos mesti lagi hebat,desis Merah.

“Minta maaf kalau awak tertunggu-tunggu tapi Encik Andhika sibuk sikit hari ni.Dia ada mesyuarat kat luar dan kemungkinan dalam masa sejam lagi baru dia balik ke pejabat.Sementara tunggu dia,apa kata awak rehat-rehatkan diri kat sini dulu dan minum kopi ni,”secawan kopi yang dibawa bersama diletak di hadapan Merah.

“Oh,sebelum tu saya nak minta maaf sangat-sangat kat awak sebab saya kena keluar.Ada kerja sikit tapi awak jangan risau,kejap lagi saya masuk balik dan saya brief awak tentang skop kerja awak,”penjelasan Junita membuatkan Merah makin terpinga-pinga.

“Err...kejap cik...saya tak faham.Skop kerja?”

“Hmm.”

“Maknanya...saya...”

“Encik Adrian tak cakap apa-apa pada awak ke?”kali ini kening Junita yang terjungkit.
Merah geleng dan tayang wajah polos.

“Tak apalah,nanti Encik Andhika akan explain semuanya.”sengih Junita dan membawa langkah keluar meninggalkan Merah sendirian.

“Apa maksud dia?Confuse aku!”Merah mendengus perlahan.Cawan kopi di depan ditenung lama.Rasa-rasanya ini pertama kali dia dilayan seperti VVIP ketika menghadiri temuduga.Pekerja tadi pun nampak baik,layan dia dengan sopan.Sebelum ni tak ada pula manusia begini.Syarikat apa sebenarnya ya?

Masih berteka-teki sendiri,Merah bawa tubuh bangkit dan meninjau sekitar kawasan bilik pejabat yang agak luas ini.

Dekorasi dan hiasan bilik ini menarik.Sofistikated,moden,cantik dan selesa.Almari kaca yang berada tidak jauh dari sofa didekati.Tajam matanya memerhati setiap satu pingat,piala dan sijil-sijil kecemerlangan yang terletak elok dalam almari kaca tersebut.

“Hebat.”hanya sepatah pujiannya.Kagum barangkali dengan pencapaian lelaki bernama Andhika ini.Tapi entah bagaimanalah rupanya.Silap-silap macam lelaki semalam.Tua,beruban,perut buncit dan gatal!

Hee...seram bila fikir-fikir balik.

“Ya Allah,kau lindungilah aku dari semua kejahatan di dunia ini.Lindungilah aku dari lelaki-lelaki hidung belang dan berniat jahat terhadap kaum wanita macam aku ni.”Merah tadah tangan berdoa sebelum menyapu muka.Harap-harapnya Encik Andhika ini bukan macam lelaki semalam.

Usai menenangkan diri,Merah berjalan mendekati beberapa bingkai gambar yang elok tergantung di satu sudut dalam bilik itu.Baru perasan tentang bingkai gambar.Matanya membulat bila terlihat gambar seorang lelaki muda yang segak dan bergaya dengan persalinan korporat serta Aviator yang tersangkut di hidung sedang berdiri berdekatan dengan sebuah kereta mewah.Gulp!

“Ini ke Encik Andhika?Muda lagi rupanya!”terkejut dengan penampilan Andhika.
Merah halakan pula mata ke arah bingkai di sebelah,menekur satu per satu wajah di dalam gambar keluarga.Tiba-tiba saja mulutnya boleh melopong dan mata terbeliak.

“Adrian?”terkejut Merah dibuatnya.

“Maknanya,Adrian tu...”Merah ketap bibir.Oh,syarikat ni milik keluarga dia rupanya.Patutlah dengan penuh yakin dia nak bawa aku ke sini semalam!

Dalam cuba merungkai identiti dan latarbelakang sebenar Adrian,Merah dikejutkan dengan suara deheman dari belakang.Sepantas kilat dia berpusing dan terpandang susuk tubuh seseorang sedang berdiri di belakangnya.Mulut dah ternganga.Terkejut sebab tahu-tahu saja sudah ada orang.Tadi tak dengar pun bunyi pintu ditolak.

“Kalau ya pun terpana tengok saya,tutuplah mulut tu.Masuk lalat nanti!”
Ohmai!Muka Merah terasa panas serta merta.Malu betul bila kena tegur macam tu.

“Err...minta maaf encik.”

It’s okay.Awak Merah,kan?”

“Ya.”

“Andhika Azim,”tangan dihulur ke depan memperkenalkan diri tapi Merah hanya membatukan diri dan cuma memandang kosong tangan Andhika.

“Merah?”Andhika memetik-metik jari di hadapan Merah.

“Ya?”

“Nak berdiri tercegat di situ saja?Come,have a seat.”kalut Andhika mempersilakan Merah kembali ke kerusi sementara dia mengambil sesuatu di almari kecil di belakang meja kerjanya.

“Minta maaf sebab saya rushing sikit hari ni.Saya tak boleh berlama-lama kat sini tapi saya singgah kejap nak jumpa awak.Takut awak bosan tunggu saya dalam bilik ni nanti.Anyway,awak boleh baca kontrak ni,fahamkan dan turunkan tandatangan kalau awak setuju dengan terma dan syarat syarikat.Lepas dah tandatangan nanti awak jumpa Junita,secretary saya yang cun tu kat depan sana dan serahkan pada dia.Nanti minta dia terangkan pada awak skop kerja.”

“Nanti dulu,Encik Andhika.”Merah laju memotong kata.Rasa-rasanya dia belum silap dengar lagi apa yang Andhika baru perkatakan.Dia datang bukankah untuk ditemuduga tapi kenapa Andhika layannya macam dia dah dapat kerja?

“Ada apa?”mata Andhika menikam tepat ke mata Merah.

“Bukan ke sepatutnya Encik Andhika temuduga saya dulu?”
Andhika tergelak.

“Adrian tak cakap apa-apa ke?”

Geleng.
 “Teruk betullah mamat tu!”cemuh Andhika perlahan.

“Tak apa.Kita lupakan pasal temuduga sebab awak dah ditawarkan bekerja di sini,”baru Merah nak bersuara,Andhika terlebih dulu menekan interkom dan meminta Junita masuk membawa surat tawaran.

“Cik Merah Binti Abdullah,ini surat tawaran untuk awak,”ujar Andhika setelah Junita berlalu.

“Kontrak awak bermula hari ini sebagai pembantu peribadi saya untuk tiga bulan.”
Merah menekur surat tawaran dan kontrak kerja silih berganti.Mak aih,secepat ini dan semudah ini?

“Ada apa-apa yang tak memuaskan hati awak?”soal Andhika meminta kepastian bila Merah hanya diam membisu.

“Tak.”

Then,good.Take your time untuk baca kontrak dan jangan lupa jumpa Junita.”jam dibelek sekejap.

“Saya kena pergi dulu.Ada urusan penting.Petang nanti kita jumpa.Anyway,welcome to Bumi Emas.”sepantas kilat Andhika bangkit dan layangkan senyuman manisnya kepada Merah sebelum menghilang begitu saja.

“Aku dah dapat kerja?”soal Merah masih tidak percaya.

“Tanpa temuduga?”sambungnya.

Surat kontrak dan surat tawaran dipandang lagi seperti mahu tembus gayanya.Jawatan yang ditawarkan kepadanya adalah pembantu peribadi kepada Andhika selama tiga bulan.Tiga bulan?Ah,tak kisahlah tiga bulan atau tiga tahun.Tapi dia dah rasa syukur bila dia dapat tawaran pekerjaan.PA pun PA lah yang penting masalah kewangannya selesai.

Lebih kurang jam tiga petang,Merah diminta masuk ke bilik pejabat Andhika setelah dia diberikan penerangan ringkas dan dibawa melawat jabatan-jabatan yang ada di syarikat ini oleh Junita.Banyak juga input yang dia dapat sepanjang hari ini,sedikit sebanyak dia kenal dengan siapa dia akan berkhidmat.

“Encik Andhika.”tegurnya bila melihat Andhika sedang bersandar enak di kerusinya sambil membelek telefon.
“Duduk,Merah.”pelawanya dengan muka manis.

So,macam mana hari pertama?Junita dah explain semuanya pada awak,kan?”
“Dah,Encik Andhika.”

Good.Maknanya awak faham dengan jelas tugas-tugas awak sebagai pembantu peribadi saya?”
Merah mengangguk.

“Okey,bagus.Maknanya,awak dah sedia untuk masuk ke dalam dunia Andhika Azim?”
Merah mengangguk lagi.

“Okey,kalau macam tu mudahlah kerja saya.”Andhika letakkan telefon bimbitnya ke atas meja dan membetulkan posisi duduknya.Wajah Merah yang manis mengenakan selendang warna pastel dipandang.

“Sekejap lagi saya ada perjumpaan dengan kawan saya.Saya fikir awak patut ikut saya tapi...tak apalah.Memandangkan hari ni hari pertama awak,jadi saya nak bagi kelonggaran sikit.Cuma satu saya nak ingatkan pada awak,semua pasal kerja awak kena alert dan sentiasa update pada saya.Lagi satu,awak perlu sentiasa ada dengan saya dan ikut ke mana saya pergi.”

“Berdua?”

“Yup,berdua.Kan awak PA saya.”jeda.

“Atau awak nak saya gajikan seorang pembantu untuk awak?”

Gulp!Merah telan liur tak lepas.Rasa macam kena sindir pula.Dia bukannya apa,sekadar bertanya.Dah Andhika kata dia kena ikut ke mana lelaki itu pergi.Risau juga.Walaupun Andhika bosnya,tapi batas-batas sebagai seorang perempuan harus dia jaga.

“Gurau ajelah.”Andhika tarik senyuman lebar.Manis betul tapi Merah tak rasa nak puji dalam hati pun.Hati tengah cuak memikirkan macam mana dia nak buat kerja kalau sentiasa kena ikut ke mana lelaki ini pergi.

Telefon pintar Andhika yang diletak atas meja tadi selamba dihulur kepada Merah sehinggakan Merah kerut kening.Dah kenapa pula Encik Andhika ni?

“Kenapa?”

“Ambil telefon ni.”

“Nak buat apa?”

“Masukkan nombor telefon awak dalam ni.Senang nanti kita nak berurusan.”

“Oh.”
Aduhai,Merah.Apsal kau blur pula ni?

“Okey,dah.”telefon dikembalikan kepada Andhika dan tak sampai lima saat,telefon bimbit Merah pula berbunyi nyaring.Kalut sungguh dia capai dari dalam beg tangannya dan belek skrin.

“Itu nombor saya.Simpan elok-elok.”jawab Andhika dengan senyuman manisnya sehinggakan Merah rasa nak ketuk kuat-kuat kepala sendiri.

***

Perjalanan dari pejabat ke kondo menaiki teksi membuatkan fikiran Merah melayang-layang.Macam-macam yang dia fikirkan.Daripada kes masa dia pergi temuduga semalam,bergaduh dengan Pak Cik Meon,kena tahan dengan polis,berjumpa Adrian sehinggalah kepada kisah di pejabat tadi.Ya Allah,betapa hidupnya berubah mendadak dalam masa dua hari saja.Macam magik!

Lebih kurang dua puluh lima minit dalam teksi,dia kalut keluar bila kondo dah nampak depan mata.Menonong saja dia berjalan ke pintu masuk bangunan.Niat di hati nak rehatkan diri puas-puas dan cuba cari ketenangan serta atur semula mindanya yang agak bercelaru sementelah dia dapat bekerja di sebuah syarikat yang tak pernah diimpikan tanpa temuduga.

Namun elok nak melangkah masuk ke dalam bangunan,hon kereta dari arah belakang membuatkan dadanya melantun kuat.

“Merah!”suara Adrian bergema-gema dari dalam kereta yang tingkapnya dibuka separuh.

“Adrian?”

Adrian kalut memakirkan kereta.Seketika,tubuh Merah yang berdiri tercegat di hadapan pintu masuk ke bangunan didekati dengan termengah-mengah.
“Awak dari mana?”

“Saya dari pejabat.Ingatkan nak jemput awak tapi tahu-tahu aje awak dah balik.Awak dah makan?”

Merah tarik nafas dalam-dalam sambil mengecilkan mata pandang Adrian.
“Kenapa pandang saya macam tu?”

“Ada apa-apa yang saya patut tahu ke?”aju Merah semula lebih mahu buat Adrian berterus terang.

“Tentang apa?”

“Encik Andhika dan Bumi Emas.”
Adrian gelak-gelak bila dengar suara Merah lain macam.

“Sebelum saya terangkan apa-apa,saya nak ucapkan tahniah kepada awak sebab dah menjadi sebahagian keluarga Bumi Emas.So,berbalik kepada persoalan saya tadi...awak dah makan?”

“Saya belum makan tapi saya nak awak terus terang.”

“Tentang apa?”Adrian sengaja tarik Merah agar menjauh sedikit dari pintu masuk ke bangunan.Bimbang mengganggu orang lain.

Merah tarik nafas dalam-dalam.Sejak semalam lagi dia rasa syak pada Adrian.Bukan kerana dia mahu berburuk sangka tapi hati kecilnya melonjak-lonjak meminta dia berhati-hati dengan sesiapa saja terutama orang yang baru dikenali.

“Apa niat awak sebenarnya?”

“Maksud awak?”

“Saya nak awak berterus terang dengan saya apa sebenar-benarnya niat awak.Kenapa awak tolong saya dan adik beradik saya?Macam mana awak boleh muncul kat balai polis semalam dan tolong keluarkan saya dari lokap?Kenapa awak boleh sediakan tempat tinggal pada kami tanpa menerima bayaran satu sen dan kenapa awak boleh tolong saya dapat pekerjaan di Bumi Emas tanpa temuduga?”dada Merah tertahan-tahan.Bukan marah tapi dia penat bila mental dan fizikalnya tak boleh beri kerjasama padanya ketika ini.

“Perlu ke setiap benda yang saya buat,kena ada sebab?”

“Setiap yang berlaku tu memang kena ada sebab.Saya nak tahu sebabnya dan saya nak awak berterus terang dengan saya.Itu saja!”suara Merah naik seoktaf.Tapi Adrian langsung tak terasa hati atau marah sebaliknya dia mengisyaratkan Merah agar mengikutnya.

“Saya tak akan berganjak dari sini selagi awak tak berterus terang!”tegas Merah lebih kepada amaran.Dia tak akan sesekali mengikut Adrian selagi dia tak mendapat penjelasan sewajarnya atas semua ini.

“Awak ingat saya ada niat tak baik pada awak?”

Who knows?Saya bukannya kenal awak.Logik jugalah kalau orang tak dikenali tiba-tiba tabur budi tanpa minta balasan,pasti ada agenda tersembunyi.Betul tak?”
Adrian pandang muka Merah dan Merah tenung mata Adrian tajam.

“Berapa kali saya kena buat penjelasan pada awak yang saya tak ada apa-apa niat buruk terhadap awak.Sikit pun tak.Kenapa susah betul awak nak percaya?”

“Sebab saya tak kenal awak!”

Then,let me introduce myself to you.Hai,saya Adrian Syah Azim…seorang jurutera di anak syarikat Rafee Holding,berumur dua puluh tujuh tahun dan berasal dari Kuala Lumpur.Saya ada empat orang adik beradik dan masih bujang malah tinggal bersama keluarga saya sampai hari ni.Puas hati?”

“Apa yang awak buat semalam kat balai polis?”entah kenapa,soalan bodoh begitu juga yang ditanya Merah setelah Adrian habis bercakap.

“Saya pergi balai polis sebab nak bayar saman.”

“Habis tu,macam mana awak boleh ada dengan Nina dan Nia sampai boleh tolong saya keluar dari lokap?”

Adrian tergelak dalam lelah.

“Apa yang berlaku semalam tu,semua takdir Allah.Saya ditakdirkan terserempak dengan Imanina dan Tsania di luar balai polis.Kebetulan saya nampak apa yang terjadi antara mereka berdua dengan tuan rumah sewa awak.Salah ke kalau saya nak membantu?”

“Kalau awak masih nak menyoal saya tentang perkara-perkara lain,saya rasa cukup awak tahu yang pertolongan tu tak perlu ada alasan kalau Allah dah gerakkan hati seseorang tu untuk menghulurkan bantuan.Cikgu awak dulu tak pernah ajar pasal tu ke?”

 “Macam mana saya nak yakinkan diri sendiri yang awak tak berbohong?”

 “Tanya pada hati dan awak akan dapat jawapannya.Kalau awak tak ada apa-apa lagi nak cakap,saya balik dulu.Minta maaf kalau saya dah buat awak curiga dengan saya.Assalamualaikum.”serta merta Adrian berlalu dari situ meninggalkan Merah terkontang kanting.

Merah langsung memegang dadanya dengan perasaan libang libu.Baru dia tersedar yang dia telah salah perkiraan tentang Adrian.

‘Ya Allah,apa yang aku dah buat ni?Kenapa mulut aku ni cabul sangat cakap dia macam tu?’nak cubit-cubit rasanya mulut sendiri sebab buat pertuduhan pada Adrian.Nak buat macam mana,dia rasa curiga.Kalau tak curiga,tak adalah dia minta Adrian berterus terang.

“Adrian!”jeritan Merah memanggil Adrian ketika lelaki itu sudah masuk ke dalam perut kereta membuatkan Adrian membuang pandang padanya.Hanya senyuman tawar yang terbias di situ sebelum kereta lelaki itu berlalu begitu saja.




No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...