Thursday 29 January 2015

Mesej Cinta Terakhir : I Love You 4

Farhah terus menuju ke bilik tidurnya setelah pulang dari pejabat.Sepanjang hari ini dia berhempas pulas bekerja di pejabat,jadi badan pun dah naik letih.Pintu biliknya cuba ditolak tapi sempat lagi mengerling ke bawah pintu bilik tetamu.Gelap.


Muhsin dah tidur agaknya.Dia tahu yang suaminya itu ada di dalam bilik memandangkan ketika pulang tadi dia nampak kereta Muhsin elok saja terparkir di halaman.

Elok selesai membersihkan diri,Farhah keluar semula menuju ke dapur.Malam-malam begini perut meragam pula.Minta diisi.Tadi pun dia hanya sempat menjamah roti dalam bungkusan yang sempat dipesan kepada rakan sekerjanya.Memang dia tak keluar makan.Asyik duduk terperap dalam pejabat dan menghadap komputer sejak pagi.

Suis lampu di dapur ditekan.Ruang dapur yang agak luas itu terang serta merta.Peti sejuk dituju dan mengeluarkan kotak susu serta satu tin tuna yang belum lagi dibuka.Meja kecil di dalam dapur didekati dan duduk di situ.Roti dicapai dan menyapu tuna ke atas roti.Baru saja roti mahu disumbat ke dalam mulut,suara Muhsin menampar cuping telinga.Berderau sekejap darah.Terkejut punya pasal.

“Buat apa?”tegur Muhsin sambil mencapai gelas dari atas rak.

“Hisyh,awak ni kan...buat terkejut ajelah.Tak reti bagi salam ke?”omel Farhah sambil pegang dada.Nasib baik dia pegang roti dengan cermat,kalau tidak sahih dah jatuh ke lantai.
Muhsin meleretkan senyuman.

“Itu pun nak terkejut?Bukannya saya buat suara mengilai!”
Farhah menjeling laju pada Muhsin.Sajalah tu nak mulakan lagi.Dia memang tak berapa ada mood nak bergurau atau apa.Kepala masih lagi memberat dengan kerja-kerja di pejabat.

“Ingatkan dah tidur tadi.”dalih Farhah sekadar menukar topik bila Muhsin sudah melabuhkan duduk di sisinya sambil meneguk air kosong dalam gelasnya.

“Dah tidur tapi terjaga balik.”
Muhsin tenung muka Farhah di sebelah yang selamba menyumbat roti dengan lahap ke mulut.Kemudian dia tersengih-sengih seperti mahu membahan Farhah.

“Awak sengih-sengih tu apsal?”Farhah mula rasa panas hati.

“Tak ada apa.”

Farhah mencebik dan menjeling lagi.Malas nak melayan Muhsin.Kalau dilayan,nanti silap-silap dia sendiri yang sakit hati lepas tu timbul lagi pergaduhan dan pertengkaran.Dia tak mahu.Dia penat.Biarlah hari-hari terakhir mereka sebagai suami isteri dihiasi dengan perkara baik-baik saja kerana dia sendiri tak mahu bermusuh dengan Muhsin.

“Awak baru nak makan malam ke?”

“Hmm...”Farhah jawab malas-malas.Mulut masih penuh dengan roti yang ke tiga.Lapar bukan main dia.

“Patutlah gelojoh.”usikan Muhsin nyata membuatkan Farhah mencebik.Laju saja dia teguk susu dalam gelas dan mengemaskan meja sebelum menyimpan semula kotak susu dan tuna ke dalam peti ais.

“Aik,dah kenyang ke?”

“Dah.”

“Farhah...”Muhsin mula bangkit dan cuba meraih perhatian isterinya yang nampak agak moody.

“Hmm?”

“Baju-baju awak yang awak cuci pagi tadi,saya dah jemur dan lipat.Saya ada letak atas sofa kat tingkat atas.”Muhsin sengaja tayang senyuman lawa tapi Farhah hanya tayang wajah kosong.

Thanks.”hanya itu yang terucap di bibir Farhah sebelum dia menapak kembali ke atas.
Muhsin terjungkit kening sambil tayang wajah tak percaya.

“Thanks aje?Huh,kedekut betul!Aku penat-penat tolong dia jemur baju-baju dia...siap lipat lagi...itu aje yang dia cakap?Tak apa...tak apa...lepas ni kalau dia minta aku buat apa-apa lagi aku nak minta upah!”Muhsin menyengih nakal sambil menghabiskan sisa air dalam gelasnya.Setelah siap mencuci gelas dan beransur dari dapur,dia memanjat anak-anak tangga dengan begitu malas.Mata dah mula mengantuk.Nak kena masuk tidur kerana esok dia perlu ke pejabat.Tapi baru saja kakinya mencecah anak tangga terakhir,namanya dilaung kuat dari dalam bilik Farhah.

“Muhsin!!!”

“Apsal jerit-jerit ni?”terkocoh-kocoh Muhsin merempuh masuk ke bilik Farhah dengan muka tercengang tapi kurang dua saat,Farhah mendekatinya dengan muka tak puas hati.

“Awak buat apa dengan baju saya?”lengan Muhsin ditampar dengan belakang tangan sampaikan lelaki itu mengerut-ngerutkan kening.

“Saya buat apa?”

“Baju saya....”

“Yelah,baju awak.Tapi kenapa?”

“Mana baju saya?Awak cakap awak jemur dan lipat baju-baju saya tapi mana baju saya?”

“Apa bendalah awak ni Farhah.Yang atas katil tu apa?”Muhsin tuding ke arah baju-baju Farhah yang elok berada atas katil setelah Farhah membawanya masuk ke situ sebentar tadi tapi keadaan baju-baju tersebut dah tak terurus setelah Farhah rosakkan lipatannya.

“Saya tahulah baju-baju saya tu ada atas katil tapi baju yang satu lagi tu mana?Awak letak mana?”suara Farhah dah meninggi seoktaf.

“Baju yang mana?”

“Awak jangan main-mainlah!”

“Main-main apa pula?Awak tak cakap baju yang mana,macam mana saya nak tahu baju apa yang awak maksudkan.”

“Baju yang...”Farhah terhenti bicara.Kening digaru sebentar.Tiba-tiba saja rasa panas muka nak menyebut.

“Baju yang mana?”Muhsin soal lagi sambil naikkan kening sebelah.

“Baju yang...”Farhah berdehem halus.

“Isyh susahlah cakap dengan awak ni!”Farhah tepis bahu Muhsin dan berlalu keluar dari bilik.Muhsin mengekori.Dia lihat yang Farhah kalut mencari di sekitar kawasan ruang santai di luar bilik dengan muka stress.

“Awak buat apa ni?”

“Saya cari baju saya.”

“Baju yang mana?”Muhsin menekan suara.Tengok gelagat isterinya,dia pula yang rasa tertekan.Berkali-kali menyoal tapi Farhah tetap tak mahu cakap.

Farhah yang sedang sibuk mencari bajunya dicelah-celah sofa memanggung kepala menentang mata Muhsin.

“Awak jemur semua baju-baju saya yang ada dalam mesin basuh?”
Muhsin angguk sekali.

“Awak angkat semua baju saya yang awak jemur?”

“Yelah,habis tu takkan bibik jiran sebelah kut?”

“Lepas angkat,awak lipat semua?”

Yelah.”Muhsin dah gosok-gosok kepala.Apa keslah Farhah soalnya macam polis sedang buat roadblock saja.

“Habis tu mana baju saya yang...”

“Yang mana?”

Farhah ketap bibir.Nak cakap ke tidak?Nak cakap ke tidak?Ah,cakap ajelah!

“Baju tidur saya yang warna merah tu.Yang awak belikan tu...”Farhah rasa nak sorokkan saja mukanya di bawah sofa bila dengan jelas Muhsin tayang senyuman senget.

Oh,baju favourite awak tu ke?”

“Awak letak mana?”Farhah mencerunkan mata ke arah Muhsin.

“Sekali dengan baju-baju yang lainlah.”

“Kalau ada,kenapa saya cari tak jumpa?”Farhah tak puas hati.

“Manalah saya tahu.Mungkin awak cari tak guna mata hati agaknya.”

“Eee...bencilah cakap dengan awak ni!”Farhah memuncung dan bergerak kembali ke biliknya.

“Apsal awak menggelabah sangat pasal baju tu?Kalau hilang,nanti saya belikan yang baru untuk awak.Lebih seksi dari baju tu.Nak?”pelawa Muhsin selamba sambil berpeluk tubuh dan bersandar di tepi pintu bilik Farhah.

“Jangan nak mengada-adalah,Muhsin.Dahlah,awak pergilah masuk bilik awak.Saya nak tidur!”tubuh Muhsin ditolak-tolak keluar dari situ dan pintu bilikya terus dihempas kasar.Dada berombak menahan amarah sambil bersandar di pintu tapi baru saja beberapa saat berlalu,Farhah buka semula pintu dan melaung nama Muhsin yang sudah mula menapak ke arah biliknya.

“Awak yang sorokkan baju saya tu kan?”tuduh Farhah menyinga.Baru terfikir di benaknya yang semua ini mungkin kerja si Muhsin.Kalau dia dah kata dia yang jemur dan lipat baju Farhah,pasti semua baju-baju itu ada tapi kenapa hanya baju merah yang seksi itu saja yang tak ada.

“Apsal pula saya nak sorokkan?Bukannya saya boleh pakai pun.”Muhsin tayang wajah suci.

“Baik awak cakap betul-betul.Awak yang sorokkan baju saya tu...cepat mengaku.”

“Hei,cik adik.Pasal baju tu pun awak nak cari pasal dengan saya malam-malam macam ni ke?”

“Saya bukan nak cari pasal tapi awak yang cari pasal dengan saya.”dada Muhsin kena tekan dengan hujung jari Farhah,memprotes.

Heh,pasal baju tu pun nak bertekak dengan saya.Betul-betul macam budak-budaklah awak ni.Dahlah,saya mengantuk.Esok nak kerja.Saya masuk tidur dulu.Bye!”Muhsin buat lambaian sekilas lantas meninggalkan Farhah terpinga-pinga di hadapan pintu biliknya.
“Muhsin!Awak jangan nak berdalih!Awak bagi balik baju saya!”pintu bilik diketuk-ketuk kasar.

“Muhsin,buka pintu ni!”

Sorry,no entry!”jerit Muhsin dari dalam bilik sambil menahan tawa dan membiarkan Farhah menahan rasa geram yang tak terhingga.

***

Awal-awal pagi lagi Muhsin dah bersiap-siap mahu ke pejabat.Waktu subuh tadi ketika dia mengetuk pintu bilik Farhah mahu mengajak bersolat jemaah,isterinya itu tak keluar langsung.Dia hanya mendapat pesanan dari Farhah melalui sekeping kertas yang ditolak keluar melalui celah pintu biliknya.Betul-betul protes habis.Bila dipujuk-pujuk lagi,sudahnya Farhah beritahu yang dia uzur.Mahu tak mahu,Muhsin tinggalkan saja bilik Farhah dan terus bersolat sendirian.

Sekarang,bila dia dah siap-siap,Farhah masih belum keluar dari bilik.Entah masih tidur atau apa dia tidak tahu.Terus saja kaki melangkah ke bawah.Meja makan dijengah.Tak ada sarapan seperti biasa.Muhsin mencebik.Rasa sentap sendiri.Dia pasti yang Farhah sengaja tak sediakan apa-apa sarapan.Salah dirinya juga.Main-mainkan emosi Farhah malam tadi.
Perut dipegang.Rasa lapar tiba-tiba.Sudahnya,dia buat keputusan untuk makan di luar saja.Roti canai banjir dan teh tarik madu di restoran nasi kandar berdekatan dengan pejabatnya bagai menggamit perhatian.Sepantas kilat dia meninggalkan rumah sambil terbayang-bayang keenakan roti canai.

***

Muhsin melemparkan fail keras di atas meja kerjanya selepas dia menutup rapat daun pintu bilik pejabat.Langkah kaki pegun sebentar di hadapan meja kerjanya sambil meletakkan kedua-dua belah tangan ke atas meja di depan sambil mengeluh panjang.Serabut sungguh fikirannya.Dia fikir,hari pertama dia masuk kerja selepas beberapa hari bercuti akan membuatkan dia senang hati rupa-rupanya tidak.

Sejak pagi lagi,dia sudah dihujani dengan pelbagai kerja yang menimbun-nimbun serta perjumpaan dan mesyuarat dengan anak-anak buahnya sehinggakan roti canai yang dia makan pagi tadi sebanyak empat keping terhadam terus dalam perut.Lapar balik sudahnya.Perut berkeroncong semula.Nak melepak sekejap di pantri pun dia tak ada masa.

Kepala kembali memberat bila melihat longgokan fail di atas mejanya.Sejak dia dinaikan pangkat sebagai Pegawai Kanan Operasi di syarikat yang sudah menjadi darah dagingnya selama hampir tujuh tahun ini,masanya sering dihabiskan di pejabat dan luar.Adakalanya,dia terpaksa keluar daerah dan ke negeri lain untuk menghadiri mesyuarat,seminar,perbincangan dan beberapa tinjauan di cawangan syarikat yang lain.
Baru saja nak menarik nafas panjang,pintu bilik pejabatnya diketuk dua kali.Spontan terjengul kepala Erna,salah seorang stafnya.

“Encik Muhsin?”

“Ya?”

“Kopi.”Erna membawa secawan kopi bersama dengan sepiring biskut untuk Muhsin dan Muhsin hanya mengangguk serta memberi isyarat agar Erna meletakkan saja di atas meja kerjanya.

“Terima kasih,Erna.”

“Sama-sama.”balas Erna sambil tayang senyuman singkat.

“Encik Muhsin.”

“Hmm?”

“Jangan lupa dengan mesyuarat petang nanti bersama Tuan Junad.Pukul 3 petang dalam bilik mesyuarat.”

“Hari ni ke?”

“Ya,Encik Muhsin.Tuan Junad nak berjumpa dengan semua staf yang terlibat dengan projek Taman Rekreasi di Teluk Bahang.”

Muhsin gosok-gosok kepala.Bertambah lagi serabut kepalanya.Dia fikir bila dia naik pangkat,dapatlah dia nikmati gaji besar,duduk di bilik yang lebih besar dan ada ramai pembantu yang akan menolongnya tapi tanggungjawab yang tergalas di bahunya semakin besar.Makin rumit.Terlupa pula yang Tuan Junad,bos besar Bumi Hijau syarikat dia bekerja ini mahu mengadakan mesyuarat mengenai projek Taman Rekreasi yang sedang dia uruskan sekarang.

“Okey,nanti awak ingatkan saya semula.”balas Muhsin mendatar.Seketika,pintu bertutup rapat membiarkan Erna melangkah keluar.

Kerusi empuk di hadapan meja kerjanya diduduki.Dia bersandar rapat di situ sambil membuang satu lagi keluhan.Tali lehernya dilonggarkan sedikit.Entah kenapa,pendingin hawa yang terpasang di dalam bilik pejabatnya seakan tak berfungsi bila dia merasa panas membahang.Mungkin kerana disebabkan tekanan yang dia terima ketika mesyuarat sebentar tadi agaknya dan ditambah dengan bebanan yang tergalas di bahunya sekarang.Dia cuba lapangkan minda dan selesakan diri di kerusi sambil membayangkan perkara indah-indah saja.Namun tak lama mana bila dia buka mata dan memandang ke arah bingkai gambar yang berada di sudut meja kerjanya.Gambar perkahwinannya dengan Farhah.Tiba-tiba memori lama terimbas-imbas di benaknya.

Sayang….sayang abang tak?soalan itu hanya dibalas dengan lirikan menggoda dan senyuman manis Farhah semasa mereka sama-sama berjalan menyusuri pantai Queensbay ketika matahari hampir terbenam.Angin sepoi-sepoi yang bertiup membuatkan kedua-dua mereka seakan terbuai dengan suasana itu.Sedikit romantik.

Batu-batu yang terdampar di tepi laut dijejaki sebelum tangan Farhah ditarik dan mengisyaratkan agar mereka melepak sekejap di situ sambil menyaksikan panorama di hadapan.Latar laut yang agak tenang dan dihiasi dengan pemandangan hijau dari Pulau Jerejak di hadapan sana serta pemandangan indah Jambatan Pulau Pinang tidak jauh dari situ membuatkan perasaan kedua-duanya terhanyut dalam emosi sendiri.

“Sayang...dengar tidak apa abang tanya ni?”bahu Farhah dicuit lembut sambil merenung penuh minat ke wajah Farhah yang hanya mengenakan blaus dan jeans serta rambut yang diikat tocang kuda.

“Kenapa nak tahu?”balas Farhah sekadar menduga.

“Saja.”

Farhah tersenyum.

“Kalau Far cakap tak?”

Muhsin kecil besarkan mata merenung si kekasih hati di sebelah.Lama dia berbuat begitu,membiarkan Farhah kembali merenungnya.

“Far nak tanya abang pula.”

“Apa?”

“Abang sayangkan Far?”

“Far rasa?”

“Hisy,nak main teka-tekilah pula.Far tanya soalan senang aje pada abang.”

“Dan abang pun tanya soalan senang aje pada Far tapi Far tak nak jawab.”balas Muhsin menekan suara.Tertayang wajah mencuka ala-ala merajuk di hadapan Farhah sehingga gadis itu tergelak.

“Okey...okey...Far jawab sekarang.”Farhah membetulkan posisi duduknya lalu menghadap Muhsin.

“Abang masih ingatkan apa yang abang bagi masa nak lamar Far jadi kekasih abang waktu kita di universiti dulu?”

“Ingat.”

Farhah meleretkan senyuman.Kemudian,tangannya ditayang kepada Muhsin sambil tangan yang sebelah lagi menarik tangan Muhsin,menggenggam eraterat seperti tidak mahu lepas.

“Abang nampak tak cincin yang ada kat jari Far ni?Cincin ni kan tanda hubungan kita,tanda yang Far terima cinta abang.Sejak dari hari pertama abang bagi pada Far cincin ni,tak pernah sekali pun Far tanggalkan.Far sayangkan cincin ni sama macam Far sayangkan tuan cincin ni.”jeda.

“Maknanya...mestilah Far sayangkan abang.”

“Serius?”

“Hmm.”Farhah mengangguk-angguk,cuba meyakinkan Muhsin.Spontan Muhsin tarik senyuman dan mencuit hidung mancung Farhah.

“Isyh,apa abang ni.Main cuit-cuit hidung orang pula.Tahulah hidung Far ni mancung.”Farhah memegang hujung hidungnya sambil memuncungkan bibir.

“Abang tak jawab lagi soalan Far.”mata Muhsin direnung,meminta jawapan.Tadi beria-ia benar Muhsin soalnya tentang perasaannya tapi bila dia pula yang menyoal,lelaki itu tidak pula mahu menjawab.

“Soalan yang mana?”

“Isyh,abang ni!Main-mainlah!”bahu Muhsin ditepis lembut sambil menjeling halus.Spontan Farhah bawa tubuhnya menjauh dari Muhsin dan bergerak ke arah kawasan pejalan kaki.

“Farhah!”

Muhsin mula mengejar.Menggelabah sedikit bila tengok Farhah merajuk begini.Sebenarnya nak usik-usik saja tapi Farhah pula yang sensitif terlebih.Lengan Farhah dicapai dan menghentikan langkah gadis itu.

“Marah?”soalnya nakal.Kening terjungkit sebelah menunggu reaksi Farhah.

“Geram!”Farhah menjeling lagi.

“Sayang...”Muhsin tarik tangan Farhah agar ke tepi supaya mereka tidak menghalang laluan orang lain yang menggunakan laluan pejalan kaki.Poket seluar diseluk sambil mata tetap merenung wajah cantik Farhah di depan.

“Kalau abang cakap yang abang sayangkan Far lebih dari nyawa abang,sayang nak percaya tak?”

“Eleh,lelaki semuanya sama.Bermulut manis.Sayang lebih dari nyawa sendiri konon.”Farhah menyindir lembut sambil mencuit perut Muhsin.

“Tak percaya?”Muhsin buat muka terkejut.Sepantas kilat Farhah mencebik tapi bila tiba-tiba saja dia suakan sebentuk cincin yang dikeluarkan dari dalam poket seluarnya kepada Farhah,terus terkedu gadis itu.

“Untuk apa ni abang?”

“Sayang,sudi tak kalau sayang jadi isteri abang?”suara Muhsin kedengaran begitu merdu sekali diselangi dengan bunyi deruan ombak yang sedang membantai batu-batu di tepi pantai.

“Sayang?”seru Muhsin bila Farhah tak berikan respon padanya.

Are you serious,abang?

“Kenapa?Sayang nampak muka abang macam pelawak ke?”

“Abang tak main-main ke ni?”

Nak tak jadi isteri abang?Grow older with me,please...”
Farhah terkedu.Tak tahu nak cakap apa.Yang dia buat hanya merenung cincin di dalam pegangan Muhsin.

“Jadi isteri abang,temani abang sampai akhir hayat abang.Kita tua sama-sama dan besarkan anak-anak kita bersama.Nak?”

Farhah terus terdiam.Tak berikan respon lagi sehinggakan Muhsin terasa yang dia tersilap membuat keputusan.Dia pasti yang Farhah mungkin tak bersedia untuk menerima lamarannya sekaligus bersetuju untuk berkahwin.

“Sayang,abang sayangkan Far.Abang tak boleh hidup tanpa Far.Abang tak mampu nak lalui hari-hari abang tanpa Far.Abang nak kita halalkan hubungan kita.Abang nak bila setiap hari abang bangun,orang pertama yang abang tatap dan peluk ialah Far.”
Tiba-tiba Farhah tergelak.

“Eee...jiwang karat betullah abang ni!”

“Tak kisahlah jiwang karat ke apa,tapi abang serius ni.Abang nak jadikan Far isteri abang.Abang janji yang abang akan bahagiakan sayang sampai bila-bila.”cincin disua lagi.Rasa-rasanya drama sepetang mereka sudah ada penonton sehinggakan ada yang sudah mula bertepuk tangan dan bersiul-siul.Farhah rasa mukanya panas.Disebabkan dia sengaja tak mahu bagi jawapan,tak pasal-pasal dah ada yang menyaksikan gelagat mereka berdua.Hei,malu pula rasanya.

“Abang,jom kita gerak dari sini.Orang tengok,malulah!”tangan Muhsin digoncang-goncang tapi Muhsin tetap berkeras tak mahu berganjak.

“Bagi jawapan dulu pada abang.Ya atau tidak.Selagi tak ada jawapan,abang takkan berganjak dari sini.”
Farhah mengetap bibir.Hisy,Muhsin ni memanglah.Suka buat dia macam ni.

“Cepat Far,bagi jawapan pada abang.”

“Okey...okey...Far terima.Far terima lamaran abang.Dah,jom kita gerak!”lengan Muhsin ditarik rakus memaksanya untuk segera beredar sebelum drama mereka ditonton lebih ramai orang.

Yes!Thank you,Far!Abang janji yang Far akan jadi isteri abang sampai bila-bila.I promise you,sayang!”sorak Muhsin sambil melangkah keluar dari kawasan riadah tersebut.

“Encik Muhsin?”tiba-tiba ada satu suara menegur sehingga Muhsin yang terhanyut dalam memori lamanya memanggung kepala.Wajah Erna yang entah bila menolak daun pintu biliknya sedang tertayang di ruang mata.

“Ya,Erna?”

“Tuan Junad nak berjumpa di bilik dia sekarang.”

Nak jumpa?Bukan ke saya ada meeting dengan dia petang ni?Nak segerakan meeting ke apa?”

Tak.Bukan pasal meeting petang ni,Encik Muhsin.Tuan Junad nak jumpa Encik Muhsin seorang.Urgent katanya.”

Okey.”Muhsin raup wajahnya.Lambat-lambat Muhsin mengangguk.Dibetulkan sedikit tali lehernya yang dilonggarkan tadi sambil menghantar kelibat Erna menghilang.Muhsin berpaling ke arah bingkai gambar yang masih elok terletak ketika dia sudah berdiri.Dia mendengus lalu menarik bingkai tersebut dan meniarapkannya.Bayangan tentang Farhah dibiarkan sepi sendiri sebelum perlahan-lahan dia bergerak menuju ke bilik Tuan Junad.

No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...