Sunday 22 February 2015

Mr Stalker...Saya Cintakan Awaklah! 10 & 11





Bab 10

KATIL peraduan dalam bilik yang luas itu didekati.Jarum jam sudah menginjak hampir ke angka sebelas malam.Ditenung wajah sang isteri yang sedang bersandar di kepala katil dengan muka bengang.

“Awak okey?”soal Tuan Irfan bersahaja sambil capai sebuah buku di atas almari sebelah katil.Puan Surina yang sedang berada dalam dunia sendiri tersentak.Wajah tenang Tuan Irfan direnung bagai nak terkeluar biji mata,seperti nak ajak bergaduh.

“Abang tengok muka saya ni,rasa-rasanya okey ke tidak?”

Tuan Irfan pantas tergelak sebelum tergeleng-geleng.Tilam diduduki sebelum dia bersandar kemas di kepala katil,bersebelahan dengan isterinya.

“Macam nak ajak wrestling!”sindir Tuan Irfan.

“Abang jangan nak buat lawak tengah malam dengan saya.Saya tengah geram ni.”ucap Puan Surina dengan nada suara yang tertahan-tahan.

Sejak mengetahui kebenaran dari mulut Nadine Tasyrif siang tadi setelah bersusah payah mengorek cerita dari anaknya,sudah bermacam-macam perkataan tidak baik yang keluar dari mulutnya.Waktu makan malam tadi pun dah puas dia membebel dan membentak hanya kerana rasa tak puas hati dengan apa yang Raziq telah lakukan pada Nadine Tasyrif.Sakit hati sungguh!

Ikut hati wanitanya yang sedang marah dan terlalu menurut emosi,mahu saja dia langgar si Raziq dengan kereta biar jadi penkek.Geram punya pasal!Tak tahulah apa nak jadi kalau dia bersua muka dengan lelaki itu.Mahunya dia tempeleng laju-laju muka bakal menantu yang tak guna tu!

“Awak ni,sejak dari tadi asyik emosi aje.Cuba bertenang sikit.”

“Abang nak suruh saya bertenang macam mana?Nadine tengah sakit.Emosi,hati,perasaan dia...semuanya sakit.Ini semua gara-gara bakal menantu kesayangan abang tulah.Tak guna punya jantan.Kalau saya jumpa dia,saya cincang-cincang muka dia.”
Tuan Irfan dah mula mengerut wajah mendengar perkataan yang keluar dari bibir isterinya.

“Berani ke awak nak cincang muka dia?”

“Abang ni kenapa?Saya cakap betul-betul,abang boleh buat relaks aje.Tak ada perasaan ke?Tak kesian dengan Nadine?”Puan Surina mula membentak.Buku dalam pegangan Tuan Irfan dirampas dan dicampak saja ke katil,sengaja mahu mencari tumpuan Tuan Irfan bila dia sedang bercakap.

“Okey...okey...abang minta maaf.Bukannya abang tak kisah dengan apa yang dah jadi.Tapi keadaan Nadine tak mengizinkan.Awak nak abang buat apa pada si Raziq tu?Hantar gangster untuk pukul dia?Nak gunakan kekerasan untuk puaskan hati kita?Walau apa jadi pun,kita tak boleh bertindak terburu-buru.”

“Habis tu nak biarkan aje budak tu terlepas dan tengok anak kita sengsara?”dada Puan Surina dah berombak ganas.

“Abang tahu tak siang tadi ada petugas media yang tunggu Nadine depan pagar rumah?Kalau kita tak buat sesuatu,saya bimbang emosi Nadine makin tak menentu.Ni,hal si Raziq ni.Hei,bikin panas ajelah!Sakit sungguh hati.Media satu hal,si Raziq pula buat hal.Betul-betul nak buat darah saya naik ni!”Puan Surina masih tak mahu berhenti.Lagi banyak bebelannya berselang seli dengan hentakan tangan ke atas tilam.

“Abang boleh bayangkan tak,kurang lagi tiga bulan nak kahwin tiba-tiba tunang sendiri buat hal dengan perempuan lain.Dahlah dapat sakit hati,malu lagi kita dapat.Selama ni orang dok canang satu Malaysia yang Nadine punya wedding akan jadi Wedding of The Year.Sudahnya,tengoklah apa yang jadi.”jeda.

“Raziq tu betul-betul tak guna.Saya tak kira bang,apa nak jadi pun jadilah.Kita buat tuntutan saman pada dia sebab dah malukan kita semua.Dah banyak pembaziran yang dah berlaku.Kita mesti ajar dia!”semangat Puan Surina benar-benar berkobar-kobar.Tergambar di ruang matanya tentang nasib yang bakal menimpa Raziq.Lelaki seperti itu harus diajar!

“Astaghfirullahalazim,Suri.Jauh macam tu awak fikir?Kalau ya pun marah,tak perlulah nak keluarkan saman.Ini bukan perkara main-main tau.Boleh jadi isu besar yang akan heret kita sekeluarga dalam masalah besar.Sudah,awak jangan fikirkan sangat pasal masalah ni.Yang penting,kita selesaikan cara baik dengan Raziq tanpa melibatkan pihak media.This is family's matter.Tak perlu ada orang luar dan kes saman menyaman.Full stop!”tingkah Tuan Irfan bertegas.

Puan Surina terdiam mendengar hujah balas dari suaminya.Terkedu barangkali dengan ketegasan Tuan Irfan.Tapi seminit kemudian wajahnya mula mencuka.Tak puas hati bila niatnya untuk mengajar Raziq tidak disokong suami sendiri.

“Dah,tak payah nak serabutkan fikiran dengan wartawan semua tu.Sekarang ni,kita fikir pasal Nadine.Anak kita yang paling utama.Kita kena support dia,beri dia ruang dan masa untuk tenangkan emosi.Jangan sampai perkara hari tu berulang lagi.”tutur Tuan Irfan sambil mencapai buku tadi sebelum diletak elok di atas meja sebelah katil.Kemudian tubuh dibaring sebelum mengiring menghadap Puan Surina yang masih tak berganjak.

“Apa lagi yang tak kena,Puan Surina oi?”tegur Tuan Irfan semula.

“Tak ada apa-apalah.”balasnya mendatar serentak menarik selimut dan menutupi tubuhnya sehingga paras dada.


MATAHARI kat luar tu dah lama rindukan Nadine.Rindu nak tengok wajah dan senyuman Nadine.Tak teringin nak ambil angin kat luar sana?”tegur Puan Surina sambil menatang sebuah dulang berisi sepinggan nasi bersama lauk dan segelas air.

Muka dimaniskan di hadapan Nadine Tasyrif yang duduk bersandar di tepi katil sambil termenung jauh.Gadis itu meraup wajah dan memandang sekilas pada Puan Surina sebelum tersenyum kelat.

“Tak ada apa yang nak dirindukan dengan Nadine ni.Nadine tak keluar pun matahari tetap bersinar kat luar.”balas Nadine Tasyrif selamba dengan suara payah.
Puan Surina meletakkan saja dulang makanan ke atas katil sebelum melabuhkan duduk di sebelah anak gadisnya.Tangan Nadine Tasyrif ditarik sebelum diteuk-tepuk halus.

“Nadine lebih berseri kalau muka dan badan berisi.Sebab tu mama bawakan makanan kegemaran Nadine yang Kak Tehah masakkan.Ada asam pedas ni.Kak Tehah masak special untuk Nadine.”pujuk Puan Surina sebelum tersenyum-senyum.Dulang makanan ditarik lalu disua ke arah Nadine Tasyrif namun gadis itu pantas menolak lemah sambil menggeleng kepala.

“Nadine tak ada selera.Tekak sakit.”

“Itu kalau Nadine yang suapkan sendiri.Tak apa,biar mama suapkan Nadine.Insyallah terbuka selera tu.”pujuk Puan Surina lalu menarik sudu yang terletak elok di tepi dulang.

Lauk asam pedas dicedok lalu diletakkan ke atas nasi putih.Makanan yang sudah pun berada atas sudu disua ke bibir Nadine Tasyrif.Serba salah dibuatnya dengan layanan superclass dari ibu sendiri.Tak sampai hati nak menghampakan Puan Surina,akhirnya dia menggagahkan diri membuka mulut namun baru saja sudu mencecah hujung bibir tangan Puan Surina pantas ditahan.

“Kenapa?”

“Nadine tak selera.Tak lalu nak masuk dalam tekak.”
Pinggan diletak ke tepi.Puan Surina terasa hampa dengan tingkah Nadine Tasyrif.Dia tahu anaknya itu tak mampu nak telan makanan ketika diri dihambat masalah besar.

“Jangan kerana salah perbuatan orang lain,Nadine nak hukum diri sendiri macam ni.Apa yang Nadine dapat kalau tahan perut macam ni?Nak tengok orang tu bertepuk tangan bila Nadine dah rebah menyembah ke tanah?”sinis tapi penuh isi perkataan yang Puan Surna lemparkan pada anaknya.Tak sanggup nak lihat penderitaan Nadine Tasyrif.Asyik berkurung dan memencilkan diri begini.

“Kalau Nadine rebah menyembah tanah pun,tak ada sesiapa yang pedulikan Nadine.”balasnya dengan semangat yang kian pudar.Mata dah mula nak berair tapi muka masih lagi berjaya kawal segalanya agar tidak terlepas di hadapan Puan Surina.

Kepala disandarkan segera ke penjuru katil,cuba mencari sisa kekuatan dan semangat yang bila-bila saja bakal hilang ditelan keadaan.Rambut gadis itu pantas dibelai Puan Surina.Sengaja melayani anaknya bagaikan anak kecil.Dia tahu gadis itu perlukan sokongan jadi apa salahnya dia sebagai ibu bertindak seperti yang sepatutnya.

Perasaan kasihnya pada Nadine Tasyrif mencanak-canak.Tak mampu nak biarkan gadis itu hanyut dengan mainan perasaan yang bila-bila masa saja boleh membunuh jiwa dan hatinya sehingga tak tersisa walau sedikit pun.

“Itu kata Nadine tapi Nadine terlupa yang Nadine masih ada mama,babah dengan Zelmi.Kami semua ada untuk sokong Nadine.Bukan saja kami,tapi Nadine masih ada Luthfia dan Kila.Apa lagi yang Nadine rasa kurang?”

Nafas Puan Surina berhembus keluar melalui rongga hidung.

“Tapi kenapa Raziq sanggup buat Nadine macam ni,ma?Kenapa dia lukakan hati Nadine dan hancur lumatkan perasaan Nadine?Apa salah Nadine pada dia?Apa dosa Nadine sampai dia tergamak menduakan Nadine?Apa kurangnya Nadine pada mata dia?!”semerta air mata hangat mengalir laju seiring dengan suara yang sudah naik satu oktaf.

“Tak ada apa-apa pun silap yang Nadine buat.Tapi mama nak Nadine yakin dan percaya,semua yang berlaku ni pasti ada hikmah disebaliknya.Pasti ada sesuatu yang Allah nak tunjukkan pada Nadine dan kita semua.Mama yakin,ada kebaikan di sebaliknya.”wajah sugul Nadine Tasyrif ditenung dengan penuh kasih sayang sebelum tubuh itu dipeluk rapat.

“Mama nak Nadine yakin ini semua adalah satu ujian buat kita sekeluarga.Ada hikmah atas apa yang berlaku.”pujuk Puan Surina lebih positif.Puas juga dia berbalah dan berhujah dengan Tuan Irfan semalam tapi akhirnya pagi tadi Tuan Irfan berjaya putarkan pemikiran Puan Surina yang dihambat emosi menggila dengan meletakkan semua kejadian ini adalah satu takdir yang Allah dah tentukan.Cuma mereka sebagai insan yang diuji harus bijak mencari jalan penyelesaian supaya tidak timbul masalah yang lain di kemudian hari.

“Hikmah?Hikmah apa mama?Hikmah apa kalau perkara seburuk ini yang terjadi?” Nadine Tasyrif dah mengongoi di dada Puan Surina.

“Nadine,pandang muka mama.Tengok wajah mama dan dengar apa yang mama nak cakap.”Puan Surina tarik dan pegang kedua-dua belah pipi Nadine Tasyrif yang dah basah dek air mata.

“Mama tahu Nadine kuat.Nadine tabah dan boleh hadapi semua ni.Mama nak Nadine percaya pada mama dan babah.Yang paling penting Nadine kena percaya pada Allah kerana Dia satu-satunya yang dapat bantu kita.Trust him,ya sayang?”
Nadine Tasyrif terdiam.

“Nadine kena ingat dan faham.Allah takdirkan Nadine bertunang dengan Raziq tapi dia turunkan ujian ni untuk Nadine bukan semata-mata sebab Nadine buat salah tapi dia beri ujian kerana dia tahu Nadine orang yang kuat dan mampu hadapi cubaan ni.Sekurang-kurangnya Nadine perlu bersyukur sebab kecurangan Raziq terbongkar sebelum Nadine jadi isteri dia.Itu sebab Allah sayangkan Nadine.Tak ada apa-apa pun yang berlaku dengan sia-sia sayang.Percayalah.Mungkin buruk di mata kita tapi belum tentu buruk untuk diri kita.Semuanya ada hikmah!”Puan Surina mengucup dahi Nadine Tasyrif.Tak ada yang lebih berharga dari kasih seorang ibu dan sekarang Nadine Tasyrif berasa lebih lapang.

“Apa yang perlu Nadine buat,ma?”

“Pohon petunjuk dari Allah.Cuma dia saja tempat kita memohon pertolongan dan berserah diri.”bisik Puan Surina lalu menepuk-nepuk bahu Nadine Tasyrif seakan-akan mendodoikan anak kecil.Semoga ada sinar bahagia yang menanti hari esok!


TELEFON dalam tangan Tehah yang baru saja nak ditekan punat 'jawab' segera diambil oleh Puan Surina.Wanita itu segera mengisyaratkan kepada Tehah supaya berlalu dari situ dan memberikannya ruang untuk menjawab panggilan.

“Assalamualaikum.”lembut suaranya menegur.

“Waalaikumussalam,auntie ke tu?Boleh saya bercakap dengan Nadine?”wajah Puan Surina terus berubah apabila suara Raziq menyapa gegendang telinga.Tiba-tiba hati diserbu rasa hangat.Telinga ikut sakit mendengar suara lelaki itu.

Bibir mula diketap rapat,sekadar mencari kekuatan agar tidak terlajak perkataan yang boleh dipandang serong oleh sesiapa.Bimbang andai hati dah sakit,bibir laju menutur bicara tajam yang menyiat perasaan orang lain biarpun orang itu orang yang bersalah.

“Ada apa telefon ke sini,Raziq?”

“Nadine ada,auntie?”soal Raziq sedikit teragak-agak.

“Nak buat apa bercakap dengan Nadine?”

“Ada benda penting yang nak dibincangkan dengan dia.Berkali-kali saya call nombor dia tapi tak berjawab.Dia okey ke?”soalan Raziq yang nyata sekadar nak tutup perkara sebenarnya benar-benar mengundang kemarahan Puan Surina.Dada diurut laju.Menahan diri dari bertindak keterlaluan.

Auntie,are you there?”Raziq menegur bila tiada respon Puan Surina.Cepat-cepat wanita itu mencuci tekak sebelum tergelak kecil.

“Buat masa ni kamu jangan call Nadine.Dia tengah tak sihat tu.Kamu faham kan macam mana keadaan dia lepas tragedi hari tu?Doktor dah pesan supaya dia banyak berehat dan tak ada gangguan dari luar.Nanti bila dia dah okey sikit,auntie beritahu kamu.”Puan Surina sengaja menekan perkataan tragedi,sekadar berlapik dalam bicara.

Are you sure?Betul ke Nadine masuk hospital sekali lagi masa saya outstation ke Australia?”

Yes,sure.Jangan bimbang.Kat rumah ni,Nadine ada mama dengan babah dia.Adik dia pun ada boleh jagakan dia.”

“Err...”suara Raziq kedengaran tergagap di hujung talian.

“Ada apa-apa yang Raziq nak pesan?”

“Dia...ada cakap apa-apa tak?”

“Cakap apa?”

“Err...tak apalah.I got to go tapi tolong sampaikan salam sayang dan rindu padanya ya auntie.Nanti bila saya dah free,saya jumpa dia di rumah auntie.Assalamualaikum!”
Sepantas kilat talian dimatikan tapi Puan Surina terus merenung telefon di tangan sambil mencebik.

“Heh,salam sayang dan rindu konon!Kau dah curang dengan anak aku,kau boleh nak buat muka tebal cari dia.Tak apa...kau tunggu masanya nanti Raziq.Balasan Allah tu lebih hebat dari segalanya!”



Bab 11

RAZIQ mundar mandir di dalam bilik pejabatnya.Sejak menamatkan panggilan telefon dengan Puan Surina tadi,hatinya resah semacam.Bagai ada yang tak kena.Tak tahu kenapa,tapi nalurinya kuat mengatakan yang tembelangnya dah pecah.

“Kalau auntie Suri dengan uncle Irfan dah tahu pasal hal aku dengan Nadine,kenapa suara auntie Suri relaks aje bercakap dengan aku?Tak ada marah pun?Arghh!”Raziq mendegus deras sambil gosok kepala.

Kerja-kerja yang menimbun di atas meja dibiar sepi.Tak mampu nak hadap kerja ketika hatinya tengah tak senang begini.Nak fikir pasal syarikat jauh sekali.Tak ada fokus mahu diletakkan untuk teruskan kerja sebaliknya hal peribadi antara dirinya dan Nadine yang memenuhi ruang kepala.

“Bodohlah kau Raziq!Kenapa kau jadi macam ni?Kenapa kau buat tindakan paling bodoh?”dia hamun diri sendiri.Menyesal tapi menyesal pun dah tak guna.Nasi dah menjadi bubur.Tak ada apa lagi yang mampu dia buat selain betulkan saja kesilapannya.Tapi masalahnya,ketika dia sedang cuba betulkan kesilapannya,dirinya ditolak entah-mentah.Nadine Tasyrif tak mahu pandang langsung mukanya.

Semerta kepala teringat pada si cantik manis,Luthfia.Teman baik kepada Nadine Tasyrif yang menyimpan terlalu banyak rahsia gadis itu.Pasti Luthfia tahu apa-apa.Boleh jadi Luthfia juga dah tahu hal yang berlaku antara dia dan Nadine.

Telefon bimbit dicapai semula.Nombor Luthfia ditekan.Lama menunggu panggilan bersambut sambil cekak pinggang.Jiwa dah galau semacam.Nafas pun tak tentu arah.

“Hello,Fi...”



ADA apa kau nak jumpa aku?”soal Luthfia yang sudah duduk di dalam Cafe Sendayu.Siang tadi,ketika dia berada di pejabat dia menerima satu panggilan telefon yang tak dijangka dari Raziq.Tak sangka yang lelaki itu akan menelefonnya semata-mata mahu ajak berjumpa.

Luthfia duduk bertentangan dengan Raziq di sebuah meja yang agak tersorok.Mata Raziq ditentang tanpa suara.Biar lelaki itu mulakan dulu bicaranya kerana dia pasti lelaki ini pasti ada agenda.Dah tahu pasal apa.Tak lain tak bukan tentang Nadine Tasyrif!

“Fi,Nadine macam mana?”kalut Raziq menyoal dengan wajah kusut.Jelas urat-urat sudah naik di dahi.Muka pun dah berkerut seribu.Gelisah!
Elok seorang pelayan berlalu selepas mengambil pesanan mereka,baru Luthfia membuka mulut.

“Macam itulah.”

Fi,please.Aku tahu Nadine dah beritahu kau segalanya tentang aku.”
So,kau nak aku buat apa?”soal Luthfia sedikit sinis.

Raziq raup muka.Dia tahu sangat dengan sikap sinis Luthfia bila bertemu muka dengannya.Tak pernahnya nak mesra.Dah faham sangat dengan sikap Luthfia yang dia kenali sejak sama-sama menuntut di sebuah kolej terkenal beberapa tahun dulu.Melalui Luthfialah dia mengenali Nadine Tasyrif dan melalui Luthfialah dia dapat menjalinkan hubungan dengan gadis itu sehingga hampir ke gerbang perkahwinan.

“Aku nak kau tolong aku.”

“Tolong apa?”

“Tolong pujuk Nadine.”ujar Raziq tanpa ragu-ragu lagi.Dah tak ada perasaan malu atau segan bila tiba hal nan satu ini.Kepalanya buntu tak tahu nak buat apa.Biarlah kalau Luthfia mahu kata dia apa sekali pun dia tidak kisah.

Wajah penuh mengharap yang ditayang Raziq di hadapan Luthfia buatkan gadis itu tersenyum herot sebelum tergelak kecil.

“Untuk apa Raziq?”

Untuk dia kembali kepada aku.Aku sayangkan dia,Fi.Aku cintakan dia.Aku tak boleh hidup tanpa dia.Please,kau mesti tolong aku.”Panas pula hati Luthfia mendengar pengakuan Raziq.Muka tak tahu malunya benar-benar membuatkan Luthfia rasa nak cekik-cekik saja lelaki di depannya ini.

Tak semena-mena Luthfia gelak besar sehingga menggamit rasa serba tidak kena pada Raziq.

“Kenapa kau ketawa?”

“Tak adalah.Aku cuma rasa yang kau ni psiko.Gila.Tahu?”

“Tak kisahlah kau nak cakap apa pun tentang aku tapi tolonglah Fi.Tolong aku pujuk Nadine.Aku tak sanggup nak kehilangan dia.Aku sayang dia.Aku cintakan dia.”

“Kau memang gila,Raziq.Nak tahu sebab apa?”Luthfia membetulkan duduknya sebelum menyilangkan kaki dengan selesa sambil merenung wajah tampan Raziq di depan.

Kau berani cakap yang kau sayang dan cintakan Nadine tapi hakikatnya kau manusia yang tak pernah nak gunakan akal.Kau bertindak ikut suka hati kau.Kau curang pada Nadine.Kau pergi tidur dengan perempuan lain dalam masa kurang dari tiga bulan kau dengan dia nak kahwin.Wow!I salute you,brother!Kau memang hebat.Buaya paling hebat abad ini!”sorak Luthfia cukup sinikal sehingga menyentapkan perasaan Raziq.

“Aku tahu aku salah,tapi aku betul-betul menyesal.Aku menyesal atas apa yang terjadi tapi aku betul-betul cintakan dia.Aku tak tahu bagaimana hidup aku tanpa Nadine.”

“Menyesal pun dah tak berguna,Raziq.Apa yang terjadi dah pun terjadi.Nasi dah menjadi bubur dan tak mungkin nak bertukar jadi beras balik.Tak ada apa-apa pun yang kau perlu buat sekarang ni melainkan muhasabah diri kau sendiri.”balas Luthfia bertegas.Itu pendiriannya.Tak ada apa-apa yang boleh Raziq lakukan sekarang melainkan muhasabah diri.Terlalu hanyut dengan dunia sehingga khianat pada orang yang dia sayang.

“Fi,kau mesti tolong aku.Aku berharap sangat pada kau!”hampir saja lagi tangan Luthfia mahu ditariknya,sekadar mahu merayu tapi Luthfia cepat-cepat bagi isyarat kepadanya supaya tidak keterlaluan.

Stop it,Raziq!I don't think I can help you.Aku tak nak terlibat dalam masalah yang kau sendiri cipta.Sepatutnya sebelum kau buat apa-apa,kau fikir baik buruk tindakan kau.Bukannya hanyut dengan nafsu besar kau tu.I'm warning you,Raziq!Jangan libatkan aku dalam hal ni.Jangan ganggu aku semata-mata mahu aku tolong kau dapatkan kembali kepercayaan Nadine.Masalah akan jadi lebih rumit.”Luthfia ambil nafas sebentar.Masih belum habis nak 'tarbiah' Raziq.

“Kau cipta masalah jadi kau yang sepatutnya selesaikan masalah.Bukan tambah masalah!”Wajah Raziq ditenung tajam sebelum menggeleng-geleng laju.

“Kau tak payah nak tayang muka kesian macam tu depan aku.I know you well,Raziq.Lima tahun aku kenal kau dan sikit pun aku tak rasa kau patut dapat simpati sesiapa.Kau tahu tak yang kau dah calarkan hati kawan baik aku?Kau sendiri dah merosakkan hubungan kau dengan Nadine dengan tangan kau sendiri.Apa lagi yang kau harapkan daripada dia lepas kau dah buat dia macam tu?”liur ditelan laju.

“Kau sendiri yang letak racun dalam makanan kau dan sekarang kau nak aku tolong buang racun tu?Please wake up Raziq.Wake up!Aku nak kau selesaikan masalah ni baik-baik.Pergi jumpa parents dia macam mana kau jumpa mereka masa nak lamar Nadine dulu.”hambur Luthfia tak bertapis.

Biarlah,tak kurang satu sen pun duitnya jika sembur Raziq.Lelaki ini tak ada yang mengajarnya supaya jadi lelaki yang tahu diri.Tinggal tiga bulan nak kahwin pergi cari betina lain.Sekarang dah jadi masalah,tahu pula nak gelisah.Memang padan muka!

“Fi,kau takkan faham…”

“Tak faham apa?Aku dah bagi cadangan paling mudah dan senang pada kau.Apa lagi yang tak kena?”

“Bukan…”

Tangan Luthfia ditepuk ke meja.Raziq terus terdiam.

“Jadi manusia bertimbangrasa dan bertanggungjawab sikit boleh tak?Jangan jadi lelaki pengecut.Pandai cipta masalah tapi takut nak berdepan untuk selesaikannya.”Luthfia pandang wajah Raziq dalam-dalam.Seketika matanya teralih pada pelayan yang baru menghantar pesanannya.

“Dahlah,Raziq.I'm sorry for everything.Tapi apa yang aku cakap tadi tulus ikhlas dari hati aku.Aku tak berniat nak ungkit cerita lama kau tapi kau ada otak yang berfungsi dengan baik.So,please selesaikan masalah ni baik-baik.”

“Kau rasa parents Nadine dah tahu?”
Luthfia angkat bahu lepas sisip sedikit air dari gelas.

Not sure.Tapi kau tanyalah Nadine sendiri.”

“Masalahnya,aku call dia berkali-kali dia tak jawab.Aku call ke rumah,tak pernah sekali pun aku berpeluang bercakap dengan dia.”

“Itu kau kena selesaikan sendiri.Macam mana nak buat...itu kau kena fikir sendirilah.Anyway,I got to go.Bye!”semerta Luthfia bangkit dari duduk dan tersenyum senget pada Raziq sebelum berlalu meninggalkan Raziq terpinga-pinga sendiri.
Lelaki itu meraup wajah perlahan-lahan bersama dengan dengusan nafas yang berat setelah kelibat Luthfia menghilang dari pandangan.Tak mampu dia nak berkata apa-apa lagi.Sesungguhnya,dia dah terlalu terdesak.Terdesak untuk memiliki hati dan perasaan Nadine Tasyrif seperti dulu.


LOCENG di luar pagar ditekan lama.Menunggu masa tuan rumah keluar dan menjemputnya masuk ke dalam.Kali ini dia sudah nekad.Walau apa yang berlaku pun,masalah antaranya dan Nadine Tasyrif perlu diselesaikan segera.Kalau benarlah keluarga gadis itu sudah tahu hal yang dah berlaku,dia pasrah.

Wajah Tehah dari depan pintu utama terlayar di ruang mata.Sepantas kilat Raziq melambai memberi isyarat kepada wanita itu supaya membenarkan dia masuk.

“Encik Raziq,nak jumpa Nadine ya?”sapa Tehah ramah tersenyum pada Raziq.Pantas Raziq mengangguk sambil mata meliar ke persekitaran kawasan Villa Four yang dihuni tunangnya.

Pintu pagar automatik terbuka lantas Tehah mempersilakan Raziq masuk.

“Err...auntie dengan uncle ada?”tegur Raziq bila dia berjalan mengekori Tehah dari belakang menuju masuk ke dalam rumah.

“Tuan dengan Puan keluar sekejap.Ada urusan sikit tapi sekejap lagi baliklah tu.”

“Nadine ada?”

“Nadine ada kat atas.Nanti Kak Tehah panggilkan dia.Raziq duduk dululah.Kak Tehah nak pergi buat air.”semerta Tehah berlalu meninggalkan Raziq sendirian di ruang tamu.Lelaki itu resah gelisah.Dada melantun kuat.Mula dia buat acara mundar mandir di hadapan sofa sambil berkira-kira dengan jawapan yang sedang dia susun untuk diberikan pada Nadine sekejap lagi.

Bunyi enjin kereta dari arah luar rumah mematikan perasaan Raziq.Dia angkat kepala dan mula meninjau ke luar.Nampak kereta Tuan Irfan sedang menghala masuk ke perkarangan.Seminit kemudian,Tuan Irfan dan Puan Surina keluar dari perut kereta sambil berbual-bual tanpa mampu didengar butir bicaranya.

“Assalamualaikum.”sapa Tuan Irfan melangkah masuk ke dalam.Dipandang saja wajah Raziq dengan riak tenang tapi sempat lagi dia jeling pada si isteri yang dah tayang wajah mencuka.Lengan Puan Surina disentuh memberi satu isyarat agar isterinya tidak menonong menyerang Raziq.

Tangan disua,berjabat dengan Raziq.

“Dah lama sampai?”tegur Tuan Irfan menepuk bahu lelaki itu.Raziq geleng tapi kelu nak bersuara setelah menekur roman muka kedua-dua ibu bapa Nadine Tasyrif.

“Baru aje sampai,uncle...auntie.”Raziq sekadar berbasa basi.Elok Tuan Irfan mempersilakan Raziq duduk di sofa,Tehah menjengah ruang tamu sambil menatang dulang berisi satu jag air dan tiga gelas kosong.

“Nadine mana?”Raziq menyoal setelah lama mereka terdiam di ruang tamu.Air dalam gelas juga dah tinggal separuh tapi sepatah kata pun tak keluar dari mulut Tuan Irfan dan Puan Surina.

“Berehat kat bilik.”sepatah jawab Puan Surina,mendatar tanpa memandang wajah Raziq.Tuan Irfan yang duduk di sebelah sekadar menjeling sekilas.

“Macam nilah Raziq.Biar uncle terus terang ajelah dengan kamu.”spontan Tuan Irfan berkeputusan.Tengok lama-lama muka isterinya Puan Surina yang masam mencuka,rasa tak senang hati.

Raziq dah menggenggam-genggam kedua-dua tangannya.Nampak jelas yang dia keresahan.Riak wajah pun dah buktikan yang dia tak betah duduk diam.Mendengar suara Tuan Irfan buat jiwanya dipalu resah yang menggila dan rasa bersalah yang mula menebal.Pantas diangkat tangan memberi isyarat.

“Uncle...auntie...biar saya berterus terang saja.”
Puan Surina tersenyum sinis.Diangkat wajah lalu merenung mata Raziq tapi lelaki itu tak mampu nak pandang mata Puan Surina berlama-lama.Seriau!

“Kamu nak berterus terang yang kamu dah khianat Nadine?”
Raziq ternganga mendengar ayat peluru berpandu Puan Surina.Direct to the point!Tak ada tapis-tapis.

“Kenapa kamu diam?Terkejut yang kami dah tahu apa yang kamu buat pada anak kami?”suara Puan Surina mula nak bertempik.Badan juga dah mula nak diangkat dari sofa tapi sempat Tuan Irfan tarik tangannya supaya tidak bertindak keterlaluan.Dia tahu sangat bagaimana sikap isterinya.Kalau dah marah dan naik angin,apa pun dia dah tak peduli.

“Suri,sabar dulu.”

“Abang nak suruh saya sabar macam mana lagi?Nak sabar tengok bakal menantu kesayangan abang ni perbodohkan anak kita?”matanya dah membulat pandang wajah Tuan Irfan di sebelah.

“Auntie...uncle...saya tahu saya salah.Saya dah lukakan hati Nadine tapi niat saya datang ke sini bukan untuk perbesarkan hal ni.Saya datang nak selesaikan masalah.Saya nak jumpa Nadine.”potong Raziq kalut.Tak sanggup nak melihat ibu bapa Nadine Tasyrif berbalah hanya kerana perbuatannya.

“Hei,Raziq.Kamu memang tak tahu malu kan?”sembur Puan Surina menyinga.Ikut hati nak saja dia terkam Raziq dan lumat-lumatkan mukanya tapi pegangan Tuan Irfan yang melekat kukuh di pergelangan tangannya membantutkan segalanya.Cuba dilepaskan pegangannya namun tak berjaya.

“Auntie,tolonglah.Saya tahu saya bersalah.Tapi saya merayu,berikan peluang kepada saya untuk tebus kesilapan saya.Saya nak selesaikan masalah ni berdua dengan Nadine.Saya tak sanggup nak hidup macam ni.Seumur hidup saya akan terus rasa bersalah!”

“Kamu ni memang dah hilang akal ke?Rasa bersalah lepas dah curang dengan Nadine?Lelaki jenis apa kamu ni,Raziq?Kamu tahu tak kurang lagi tiga bulan majlis kahwin kamu dengan Nadine nak berlangsung.Kat mana kamu letak otak kamu masa buat kerja tak senonoh tu dengan betina lain?!”kali ini Puan Surina membentak.Terus terlepas pegangan tangan Tuan Irfan.Dia bingkas bangkit dari sofa dan berdiri bertentang dengan Raziq sehingga pemuda itu terkejut.

“Suri,duduk!Kita selesaikan masalah elok-elok.”tegur Tuan Irfan kelihatan masih tenang.Tak ada sedikit pun gaya nak naik angin macam Puan Surina.

“Abang nak kita selesaikan masalah elok-elok macam mana?Lelaki ni dah khianati anak kita.Dah palit arang ke muka kita.Media dah dapat hidu apa yang berlaku dan abang minta saya selesaikan masalah elok-elok?”Tuan Irfan pula kena marah tapi tak lama bila Tuan Irfan mula bersuara dengan tegas sehingga mengunci terus mulut Puan Surina untuk menyerang Raziq.

“Macam inilah Raziq.Uncle rasa ada eloknya kalau kamu datang ke sini dengan keluarga kamu.Biar kita berbincang sama macam kita berbincang hal kahwin kamu hari tu.Tak elok kalau kamu terus cari Nadine dengan keadaan macam ni.Kita ni orang beradab dan beradat.”

Raziq menekur lantai.Tak berani nak menentang wajah mencuka Puan Surina.

“Keluarga kamu dah tahu hal ni?”soal Tuan Irfan masih lagi dengan gaya tenangnya.Sikit pun tak nampak macam nak mengamuk.

Perlahan-lahan Raziq angguk.Kemudian dia raup wajah.Menyesal.

“Kalau itu yang uncle mahu,saya akan bawa keluarga saya datang ke sini dan berbincang tentang masa depan kami.Tapi bila uncle nak adakan perbincangan tu?”

“Hujung minggu ni.”

“Baiklah uncle,auntie.Insyallah saya akan bawa keluarga saya datang ke sini hujung minggu ni.Saya harap semuanya dapat selesai dengan baik.Saya minta diri dulu.Maaf kalau kedatangan saya hari ni mengganggu uncle dan auntie.”semerta Raziq angkat tubuh dari sofa.Wajah Tuan Irfan dan Puan Surina direnung.Masih ada riak bersalah.

Tuan Irfan mula mengiringi Raziq sehingga ke luar.Sempat lagi dia tepuk-tepuk bahu Raziq seakan-akan lelaki itu sudah dimaafkan.

“Uncle,nanti sampaikan salam sayang pada Nadine.Katakan padanya yang saya sayangkannya.Assalamualaikum.”ucap Raziq sejurus saja tangan Tuan Irfan disalam.
Kereta Raziq menderu keluar dan berlalu dari kawasan Villa Four tapi hati Puan Surina yang masih berdongkol dengan perasaan sakit hati masih tak terbias.

“Tengoklah tu bang.Bakal menantu kesayangan awak tu.Bukan main lagi berbudi bahasa di depan kita.Di belakang kita,di belakang Nadine...dah macam hantu!Dia ingat dia datang sini buat muka innocent dia tu,kita akan maafkan dia?Nadine akan maafkan dia?”
Tuan Irfan mendekati Puan Surina sambil menggeleng-geleng.

“Sudah,Suri.Jangan nak bebankan fikiran awak dengan hal macam ni.Apa-apa pun hujung minggu ni bila Raziq bawa keluarga dia datang sini,kita selesaikan elok-elok.Cari penyelesaian.Jangan sampai kes dalam kain kita ni tersebar ke pengetahuan media.Control yourself!”Tuan Irfan dah beri amaran.Puan Surina tak mampu nak balas apa-apa.Kalau suaminya yang bercakap,habis terkunci mulutnya.Tak ada perkataan yang berdaya nak dikeluarkan.

No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...