Friday 24 May 2013

Babak Terakhir Bab 4


Fea masih melangut depan TV.Walaupun sudah tengah hari,dia masih belum mandi dan lebih suka bersenang lenang di ruang tamu menonton rancangan kesukaannya.Melodi.Maklumlah,hari Ahad memang hari gosip panas sedunia!

Sesekali mulutnya melopong menahan kantuk yang masih bersisa.Biasalah,semalam dia tidur lambat.Hampir subuh baru dia terlena.Itulah akibat bila asyik ralit layan youtube dan berchatting dengan teman-teman sehingga tak tahu beza waktu tidur dan waktu berjaga.

Lia Sari turun ke tingkat bawah rumah teres itu.Matanya tertancap pada susuk tubuh Fea yang masih enak melepak di atas sofa di ruang tamu melayan keseronokan dari televisyen.

”Fea,apa lagi kau buat di situ?Tak reti nak bersiap ke?” lantang bunyi suara Lia Sari sambil membetulkan rambutnya di hadapan cermin berdekatan ruang tamu.Fea toleh sekilas.”Nak pergi mana mak?Wangi-wangi semacam ni?Dating ke?”

Kening Lia Sari bertaut.Matanya mencerun kepada Fea.”Eh,budak ni.Tak habis-habis dating.Asal mak kau ni pakai cantik-cantik,wangi-wangi kau kata pergi dating.Kau dah lupa ke Fea?Hari ni kita kena pergi rumah Tok Saif.” Fea mendengus.Hisyh mak ni.Asyik-asyik pergi rumah Tok Saif.Tak bosan ke?

“Nak buat apa pergi sana?Duduk lepak depan tv lagi best!”
Lia Sari radang.Geram betul dengan Fea.
“Fea sayang,hari ni kan ada majlis sambut keluarga Auntie Arfa di rumah Tok Saif.Dah lupa?”

“Oh,hari ni ke?Bukan dah lepas ke mak?” Fea loyar buruk.Dia ingat loyar buruk dia tu laku agaknya depan emaknya? Sebenarnya sengaja dia berkata begitu supaya dia dapat melepaskan diri dari pergi ke rumah Tok Saif.Seboleh-bolehnya dia mahu mengelak untuk ke sana.Tambahan adiknya Shahrul tidak sertai mereka kerana ada program di kampusnya.

“Sudah,tak payah nak mengarut.Pergi siap cepat.Nanti mak tinggal baru padan muka!”
“Alah mak,kalau iye pun tak sabar nak jumpa cousin mak tu,kenapa awal sangat?Bukan majlis tu malam ke?Sekarang baru pukul 1 tengah hari.”

“Memanglah,tapi takkan nak pergi makan je?Jom,kita pergi tolong buat apa yang patut.Nak setting tempat,makanan semua.” Fea buat muka kayu.Dia tiada pilihan maka terpaksalah dia mengikut arahan Lia Sari.Kalau tidak,parahlah telinganya menahan serangan bertubi-tubi dari mulut emaknya.

++++++++++++++++++++

Suasana meriah di rumah banglo mewah milik Tok Saif membangkitkan rasa ceria di kalangan semua tetamu.Walaupun tetamu yang dijemput itu tidaklah seberapa ramai dalam jangkaan Fea namun ia tetap meriah.Waktu yang sudah menginjak selepas Isyak membuatkan keliling rumah banglo mewah itu berseri-seri dengan semua kerlipan lampu hiasan.Para tetamu jemputan yang diundang merangkap saudara mara Lia Sari dan Tok Saif semuanya sudah tiba.Sejak lewat petang mereka semua sudah berkampung di situ sementara menanti majlis bermula.

Lia Sari lengkap memakai kebaya nyonya berwarna biru muda dan bersanggul tinggi ala-ala mak dara.Macam nak pergi majlis orang kahwin saja lagaknya.Tok Saif pula sudah bersiap dengan kemeja longgar hijau polos dan slack hitam.Sekali pandang gayanya macam menteri!

Fea pula lebih selesa dengan jeans dan blaus warna hitam.Warna kegemarannya.Ceh,dah macam orang nak berkabung pun ada.Rambutnya yang melepasi bahu itu pula dibiarkan lepas ke belakang.Huh,biarlah.Tak kuasa rasanya dia nak bersiap lawa-lawa macam emaknya yang mengalahkan pengapit pengantin.Bukannya ada majlis yang istimewa sangat.Setakat nak sambut Arfa sekeluarga saja.Lagipun Fea sebenarnya malas nak berlawa-lawa semata-mata untuk keluarga Arfa yang telah lama menyepi.Dia sendiri sudah lupa tentang mereka.Bagaimana rupa mereka pun Fea sendiri tidak ingat.

Memanglah tidak ingat,kali terakhir berjumpa Arfa sekeluarga adalah 15 tahun yang lepas.Dia sendiri masih berhingus lagi waktu itu.Namun yang dia masih belum lupa adalah sikap sombong,bongkak dan berlagak keluarga Arfa itu sendiri.Naik meluat rasanya dengan tingkahlaku setiap ahli keluarga Arfa.Daripada suami Arfa Uncle Mokhtar,Arfa sendiri,Rania hinggalah anak bongsu Arfa Rizal.Rizal?

Oh,musuh negara yang sering membikin huru hara sedari dia kecil.Ceh,macam mana boleh terfikir tentang Rizal si bongkak pembuli durjana yang tembam tu?Oppss,mengata oranglah pula.Tapi betul apa si Rizal tu memang bongkak.Berlagak tak tentu pasal tentang kekayaan yang mereka miliki.Asyik nak menunjuk saja kerjanya.Eleh,tak hairanlah kalau setakat harta sekangkang kera tu.Itu pun dah nak berlagak.Bukannya harta persendirian dia pun!

Hai...agak-agak bagaimana rupa mangkuk tingkat tu sekarang ni?
Fikir Fea berulang kali.Memori lamanya dengan keluarga Arfa segera terlayar-layar di ruang matanya.

++++++++++++++++++++

Fea menuju ke tepi kolam renang.Berhampiran dengan kolam renang,beberapa meja panjang dihias cantik tersusun kemas dan dipenuhi makanan enak-enak.Fea tidak membuang masa apabila mengambil segelas air di situ dan meneguknya beberapa kali sebelum ralit merenung kolam renang yang tenang itu.Beberapa kelibat saudara maranya yang turut berada di situ kelihatan.Fea sekadar tersenyum apabila disapa mereka.Tiba-tiba saja Fea terasa bahunya ditepuk dari belakang.Dia memusingkan badannya ke belakang.

”Hah,berangan!” sergah satu suara.Fea mengurut dada.”Isyh,buat terkejut saja! Bagilah salam dulu.Nasib baik tak kena simbah air!” Marah Fea.Berkerut wajahnya apabila disergah Aimin sepupunya.Lelaki yang sebaya dengannya itu ketawa geli hati dengan reaksi Fea.Fea segera menampar bahu Aimin sambil buat muka namun dia ketawa kemudiannya.”Bila kau sampai?Ingatkan tak datang.”

“Baru je sampai.Kau yang tak sedar aku sampai!Itulah,asyik sangat dok tenung kolam tu lama-lama.” Ucap Aimin lalu mengambil gelas dari tangan Fea dan meneguk air dengan selamba.Fea mencebik.”Hisyh,macam dah tak cukup air je.Air aku pun kau nak kebas?”

“Alah kau ni,janganlah kedekut sangat.Aku nak bermanja-manja dengan kau pun tak boleh.” Fea buat muka.Rasa nak termuntah dengar ayat yang dituturkan oleh Aimin.Aimin pula sudah ketawa besar dan menghulurkan semula gelas kepada Fea kemudiannya.

“Manja-manja konon.Tak cukup ke kau bermanja dengan awek kau selama ni sampai dengan aku pun sibuk nak bermanja?Dah kurang kasih sayang ke?” laju saja ucapan Fea.Dia memang begitu.Mulut macam murai.Laser mengalahkan emaknya sendiri.Aimin terus terdiam.Riak wajahnya berubah dan menjauhkan diri sedikit dari Fea.Fea terasa serba salah.Alamak,salah ke apa yang aku cakap?Kecil hati ke?

“Err…Min,sorry lah.Aku tak…”
“Aku dah putus dah dengan awek aku.” Ucap Aimin seraya menyeluk poket seluarnya.Fea angkat kening.
“Putus?Kenapa?Dia main kayu tiga?Atau kau sendiri yang dah ada orang lain?” Fea sengaja serkap jarang.Aimin menoleh pandang padanya lalu sengih.

“Biasalah.Perempuan .Pantang nampak lelaki kaya,lagi handsome dan lebih bergaya mesti dia nak kejar punya.Yang lama dia terus tinggalkan.” Terdapat nada sedih dalam suara Aimin.Fea ketap gigi.Dia terus mendekati Aimin dan menolak kasar bahu Aimin.”Min,kau cakap baik sikit.Aku ni pun perempuan tau! Tapi aku bukan mata duitan macam bekas awek kau tu!” Fea melenting.Aimin terus ketawa.Kelakar melihat gelagat sepupunya yang seorang itu.”Hei Fea! Aku tak maksudkan kaulah! Janganlah nak terasa sangat! Eh,dahlah.Kita tukar topiklah.” Cadang Aimin apabila melihat kemarahan mula terbit di wajah Fea.

Fea diam.Jarinya bermain-main di bibir gelas dalam pegangannya.Matanya masih tidak lekang menatap air kolam renang yang tenang.Dia lebih senang begitu.Terasa damai dan sejuk matanya.
“Kau apa cerita sekarang?Dah kerja?”

“Huh,ini yang aku malas ni.Asal orang nampak muka aku ni mesti soalan sama yang ditanya.Sofea dah kerja ke?Sofea tak cari kerja ke?Kenapa Sofea tak kerja?“ ejek Fea bernada menyampah sehingga Aimin sendiri terpinga-pinga.

“Dah tak ada soalan lain lagi ke kau nak tanya aku Min?Bosan tau tak hari-hari orang tanya soalan sama pada aku.Macamlah dalam dunia ni tak ada soalan lain nak ditanya.Balik-balik soalan cepucemas tu juga yang ditanya.“
“Okey,kalau macam tu apa kata aku tukar soalan.Ermm…Sofea…Sofea…kau dah berkerjaya atau belum?“ ujar Aimin semula sambil menahan ketawa.Fea di sebelah merengus lalu menjeling geram.

“Hisy,kau ni pun samalah dengan orang lain.Soalan tak thrill langsung!!“ balas Fea semula.
“Alah,otak kau tu bijak sangat ke nak jawab soalan thrill?Aku tanya soalan simple pun kau tak mampu jawab,kan?“kening Aimin sudah diangkat dan diturunkan berselang seli dengan senyuman kecilnya.

“So,kau dah kerja ke belum?“ sambung Aimin lagi mengendurkan sedikit suaranya.
“Itulah,sepupu sendiri pun kau tak tau dah kerja ke belum.Asyik ingat orang lain sampaikan saudara mara sendiri pun dah lupa.“ Fea bersuara lantang menjawab pertanyaan Aimin yang sedari tadi malas untuk dia memberikan jawapannya.
Sudah! Perempuan ini,tadi marah sekarang pun mahu marah lagi?Tak habis-habis dengan mood ‘merah‘ dia.

“Isyh,kau ni Fea.Aku tolak juga ke dalam kolam ni.Aku tanya kau satu sepuluh kau serang balas aku kan? Apa punya sepupulah!“ balas Aimin.
Fea sengih.Kemudian ketawa kecil sebelum menyambung bicara.
“Aku masih tetap macam biasalah.Jadi penganggur terhormat di alam maya!“
“Tak kerja lagilah jawabnya?“Fea angguk seraya mendekati gigi kolam dan duduk di situ sambil menyinting kaki seluarnya lalu merendamkan separuh kakinya ke dalam kolam.“Itulah kau,ni mesti kes memilih kerja kan?“ tuduh Aimin turut mencangkung di sisi Fea.Fea kerut dahi.“Bukan memilih tapi memang aku tak nak pun!“

“Macam tu pulak? Atau kau ni malas? Atau pun kau memang nak kekalkan pekerjaan kau sebagai ‘Mat Jenin‘?“sindir Aimin yang sememangnya mengetahui tabiat Fea yang sejak kecilnya memang kuat berangan sehinggakan pada satu hari semasa mereka di kampung,Fea mengigau lalu mengajaknya menari seolah-olah mereka sedang berada di lantai tari.Malah Fea menggelarkan dirinya sebagai Cinderella dan Aimin sebagai seorang putera raja.

“Isyh,bukan macam tu tapi aku perlukan masa untuk berfikir arah tujuan dan masa depan aku.Lagipun aku belum bersedia nak galas tanggungjawab baru sebagai seorang pekerja yang disayangi oleh bos.“ akhirnya itulah jawapan yang diberikan.
“Tak bersedia konon! Cakap saja yang kau tu malas! Orang malas takkan disayangi oleh bos,tahu ? “ usik Aimin.“ Biarlah ! Aku dah penat belajar berbelas tahun sejak dari tadika sampai masuk universiti,nak juga aku berehat beberapa tahun sebelum mula kerja.Adillah kan ?“

“Alasan tak munasabah ! Ada-ada saja kau ni.’’ Aimin menggeleng kepala.Faham benar dengan perangai Fea.Ada saja alasan.Ada saja jawapan.Macam-macam.
“Eh,Pak Ngah dengan Mak Ngah mana ? Dari tadi tak nampak.Datang ke tidak ?“
“Ada kat dalam.Bersembang dengan Tok Saif agaknya.’’
‘’Oh,patutlah.’’ucap Fea.

‘’Aku sebenarnya nak juga tahu,apa motif majlis malam ni diadakan.’’
‘’Kau belum tahu ?’’ Aimin segera menggeleng.’’Ada orang nak masuk meminang kau ke ?’’ Aimin berbisik di telinga Fea.Fea menoleh.’’Bukanlah ! Tak ada sesiapa yang nak datang meminang.Ini majlis untuk sambut tetamu.Mesti kau tak baca kad undangan yang mak aku bagi.’’ Tiba-tiba Fea teringat pada kad undangan istimewa yang Lia Sari buat untuk keluarga Aimin.Lia Sari begitu beria-ia menempah kad selepas Fea memberi alasan tidak sempat dan akhirnya dia berjaya menempah dua kad.Satu diberikan pada Tok Saif dan satu lagi pada keluarga Aimin.Macam kelakar bunyinya!

“Kad undangan?Wah,dah macam kenduri kahwin saja.Hebat!Kenapa tak hantar pakai facebook?“ Aimin berseloroh.Fea pula masih sempat menampar lengan Aimin yang tergelak kecil.
“Kau kata tadi majlis sambut tetamu.Siapa ? PM ?’’
“Kalau PM nak datang mestilah aku bergaya sakan !“

“Habis tu ?Aku tengok Mak Long bukan main melaram lagi dengan kebaya dia.Macam Saloma dah !“
“Kesian betul kau ni!’’ ejek Fea sengaja.
“Tu hah,sepupu mak aku dengan ayah kau nak balik sini.”sambungnya semula.
‘’Siapa pula ?’’

‘’Kau ingat lagi tak dengan budak tembam yang paling jahat pernah kita jumpa masa kecik-kecik dulu?” Aimin mengecilkan matanya seolah-olah sedang mengingati sesuatu.Beberapa saat kemudian matanya kembali dibesarkan menghadap Fea.
‘’Yang berlagak tu ? Anak orang kaya tu ke?’’ Fea angguk.

‘’Keluarga dialah yang nak datang sini kejap lagi.Sebab tu Tok Saif dengan mak aku beriya buat majlis sambut diorang.Maklumlah,orang dari England balik Malaysia!’’ Nada suara Fea berubah menjadi nyaring.Naik menyampah rasanya menyebut nama mereka.Aimin angguk tanda mengerti.

‘’Oh,patutlah.’’
‘’Eh,dahlah ! Bosan pula aku cerita pasal diorang.Aku nak masuk dulu.Kau buatlah apa yang patut kat sini.Kalau lapar,tu hah.Ambil je makanan atas meja tu.Kalau tak cukup,bagitau bibik kat dapur tu.’’ Selamba saja Fea berbicara sebelum menghilang ke dalam.Aimin garu kepala sambil menghantar pandang kelibat Fea yang semakin menghilang.

Marah lagi rupanya dia pada budak tembam nakal yang berlagak tu.Mestilah,budak tembam tu sebahagian dari mimpi ngeri Fea.Akhirnya Aimin tersenyum sendiri.

++++++++++++++++++++

Kedengaran bunyi pintu kereta ditutup dari arah depan banglo.Fea yang ralit berangan terus dikejutkan oleh Lia Sari."Sudah Fea.Kau simpan dulu angan-angan kau tu.Jom,kita ke depan.Diorang dah sampai tu."Lia Sari segera menarik lengan Fea yang seperti hilang arah.Epal hijau yang menjadi santapannya sedari tadi masih tergenggam kemas dalam tangannya.

Di luar banglo,bertentang dengan pintu utama berdekatan dengan porch,Arfa sudah tersenyum-senyum memandang kelibat Tok Saif.Lia Sari dan Fea masih terpaku di depan muka pintu utama manakala keluarga Pak Ngahnya sudah mendekati Tok Saif yang sudah berada di hadapan porch.

Di sebelah Arfa iaitu Mokhtar suami Arfa berdiri sambil menyeluk poket seluar.Dengan mesra,kedua suami isteri itu menyalami tangan Tok Saif lalu menciumnya.Mokhtar pula sudah erat dalam pelukan Tok Saif. Kemudian,mereka bersalaman dengan keluarga Pak Ngah pula.Fea lihat di belakang suami isteri itu berdiri sepasang lelaki dan perempuan .Gaya mereka macam orang moden yang tidak berapa suka dengan suasana di Malaysia saja.Fea mencebik.Mesti anak-anak Arfa.Tekanya dalam hati.

Matanya lekas-lekas menangkap susuk tubuh lelaki yang berdiri di belakang Arfa.Dengan ketinggian yang hampir 6 kaki,berkulit putih,wajah yang tampan berserta berpenampilan menarik,sudah pasti mampu mencairkan mana-mana wanita dan perempuan .Sambil menanggalkan kaca matanya ,dia mendekati Tok Saif dan bersalam dengan lelaki tua itu.Sekali pandang macam orang sasau pun ada.Agak-agaklah sikit bro!

Sekarang ni malam,kalau siang tu tak apalah juga kalau nak bercermin mata hitam.Huh,dah sah-sahlah lelaki poyo tu semestinya anak lelaki Arfa yang berlagak tu.Tak lain tak bukan Rizal atau yang lebih mesra dengan panggilan Jai.
Erk…Jai?Jaiho ke?Wah dah kurus dah dia ni!

Hmm….boleh tahan kacak juga mamat ni.Argh,kacak lagi Pak Cik Morad Kedai Runcit! Ingat aku kisah sangat dengan penampilan dia yang ala-ala mat saleh celup tu.Tak heranlah! Muka masih lekat iras Melayu.Gaya saja yang terlebih updated macam mat saleh.Ni mesti kes nak tiru Brad Pitt lah tu….

Hah,yang kat sebelah dia tu mesti Rania,kakak dia.Wow,not bad juga minah ni.Cun juga tapi tu pun disebabkan pakaian dia yang nampak urban gila.Mini skirt yang dipadankan dengan baju sendat tanpa lengan berwarna pink disertakan dengan topi besar yang selalu di pakai oleh Paris Hilton.Itu saja yang menampakkan dia cantik.Selebihnya aku lebih cun!

Fea bermonolog sendiri.Dia sedar emaknya Lia Sari sudah menghilang dari sisinya ketika dia sibuk menilik,membelek serta mengkritik dan menghuraikan hipotesis tentang keluarga Arfa secara diam.Fea mencebik lalu menggigit sisa epal hijau yang masih dalam pegangannya.

"Fea,sini sekejap." panggil Lia Sari seraya menggamit ke arahnya.Kunyahan Fea terhenti seketika saat berlaga mata dengan Lia Sari.Dia memandang wajah emaknya yang sedia menunggunya di hadapan porch apabila wanita itu memberi isyarat supaya Fea mendekati mereka.Fea mendengus lalu memberikan sisa epalnya kepada salah seorang orang gaji Tok Saif yang berdiri tidak jauh darinya sambil buat muka tak bersalah lalu tangannya yang kotor dikesat pada seluar jeans yang dipakai.

Dia segera mengatur langkah menuju ke arah keluarganya."Arfa,kau ingat lagi tak dengan anak perempuan aku?Sofea.Inilah Sofea." Lia Sari memperkenalkan Fea pada Arfa.Arfa senyum lantas menghulur tangan.Fea pandang huluran tangan Arfa namun dia membatu.Lia Sari yang perasan anaknya cuma membatu cepat-cepat menyiku lengan Fea.Fea tersengih lalu segera menyambut huluran tangan Arfa.

"Apa khabar……err……mak long……err……mak ngah,mak cik ……" kelam kabut saja bunyinya pengucapan gelaran dari mulut Fea.Dia sebenarnya tidak tahu mahu membahasakan Arfa sebagai apa.Disebabkan itu semua pangkat dalam keluarga terkeluar dari mulutnya.Dia masih buat wajah selamba walaupun Arfa sudah kelihatan pelik.

"Err……Auntie Arfa." Fea sengih.Sengaja tayang giginya.Mentang-mentang giginya cantik,sesuka hati saja menayang."Ye...Auntie Arfa." Fea sengaja mengulang ayat Arfa. Fea menghulur tangan menyalami Mokhtar pula.Mokhtar senyum menyambut tangan Fea."Uncle...sihat?" poyo saja ayatnya.Dah terang lagi bersuluh.Memang sah-sah lelaki tu sihat,lagi mahu tanya. “Sihat,alhamdulillah.“ Lelaki itu senyum.

"Dah besar Sofea ye? Dulu masa auntie jumpa,Sofea kecik lagi.Berhingus lagi masa tu." Arfa ketawa kecil disambut dengan Lia Sari dan Tok Saif.Malah wajah Fea dipegangnya lalu ditepuk-tepuk sedikit sehingga membuatkan Fea tersentak.Ceh,ada patut kata aku budak berhingus? Hantu betul!

“Dah cantik sekarang ni ya.Tak sangka betul!” tambah Arfa lagi tidak lepas memandang wajah Fea.Gadis itu hanya mampu tersenyum sambil menahan kembang kempis hidungnya akibat dipuji.

"Lupa pula nak kenalkan anak auntie.Ni Rania dan ini pula Rizal.Ingat tak lagi pada Nia dan Jai?" Fea pandang sekilas.Serta merta hatinya menjadi jelek.Mungkin dengan gelagat keduanya yang kelihatan berlagak dan seperti mat saleh tu.Urghh,kenapalah angsa dua ekor ni juga aku kena jumpa? Selama 15 tahun ni hidup aku aman saja tiba-tiba kena bersua muka dengan mereka berdua.Hello Fea,apa kau merepek ni? Dah……dah.Jangan nak mengarut je.Pergilah salam dengan saudara kau yang dah lama tak berjumpa tu.

Rania menanggalkan topi Paris Hiltonnya manakala Fea pantas menghulur tangan kepada Rania diikuti oleh Rizal.Fea tayang muka kayu.Rizal pula sudah mengangkat kening sambil senyum.Semasa bersalam dengan Rizal,lelaki itu mendekatkan wajahnya ke telinga Fea."Hai,honey.Masih ingat I lagi?" sedikit menggoda bunyinya.Fea terkedu sedikit dan mula mencerunkan matanya merenung ke wajah Rizal malah lelaki itu mengenyit mata nakal padanya semula bersama senyuman lebar.

Hisyh mamat ni.Kau nak menggatal dengan aku pula ke? Tak cukup dengan perangai kaki buli lagi? Tiba-tiba fikiran Fea melayang kepada peristiwa 15 tahun lepas.











No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...