Monday 20 May 2013

Babak Terakhir Bab 3


Pagi yang damai itu benar-benar mengasyikkan.Jauh dari hiruk pikuk kenderaan yang kebiasaannya membuat bising semata-mata berlumba-lumba di jalanan menuju ke lubuk rezeki masing-masing.

Walaupun langit pada pagi itu sangat cerah dan matahari agak terik menyinar di ufuk timur,angin sepoi-sepoi bahasa yang sesekali menyapa begitu mempesonakan.Lia Sari senang dimanjai dengan angin luar.Pintu utama rumahnya dibuka seluas-luasnya.

Dia melepak di ruang tamu sambil ditemani oleh suara DJ dari radio.Wanita itu,seperti kebiasaannya akan melakukan rutin hariannya dengan meneliti dan memeriksa stok jamu yang berada dalam simpanannya.

Sesekali punat-punat di kalkulatornya berbunyi kasar akibat hentakan jarinya mengira jumlah untung rugi jualan jamu yang sudah lama menjadi sumber rezekinya.Dalam kelekaannya mengira keuntungan,suara seseorang dari arah luar pagar bergema.Dia kalut bangun mendekati pintu untuk mengintai siapakah tuan punya gerangan.

“Assalamualaikum! Lia Sari!Lia Sari!”
“Waalaikummussalam.Hah,Khaty.Sekejap aku buka pintu pagar!” jerit wanita itu,terkocoh-kocoh mencapai kunci pintu pagarnya yang diletakkan di atas meja kecil di tepi pintu rumah.

“Cepatlah Lia Sari oi,panas ni.Cair lemak-lemak aku berdiri kat luar ni!” desak wanita bernama Khaty yang hampir seusia dengannya.
“Baguslah kalau lemak-lemak kau cair.Tak payah kau nak pergi buat rawatan laser buang lemak dan selulit kat klinik tu.” Usik Lia Sari membuka pintu pagar hadapan.

‘’Ke situ pula kau ni.”
‘’Jemputlah masuk.Kau datang ada hajat apa ? Jamu dah habis ke ?’‘
‘’Bukanlah.Ada lagi kat rumah tu.Dari bulan lepas tak habis-habis pun.‘‘
‘‘Hah,tak habis lagi?Patutlah aku tengok lemak kau makin banyak ni.Kau tak ikut cadangan pemakanan macam yang aku bagi ke,Khaty?‘‘ suara Lia Sari sudah sedikit keras apabila Khaty menyatakan bahawa jamu yang dibelinya dari Lia Sari bulan lepas masih belum habis.Lia Sari memegang lemak-lemak di perut Khaty yang semakin ketara.Khaty segera menolak tangan Lia Sari.Dia duduk di sofa berdekatan diikuti oleh Lia Sari.

‘‘Macam mana aku nak makan sedangkan bau saja pun buat aku loya.‘‘ ucap Khaty lagi sambil memegang tekaknya seolah-olah geli geleman dengan jamu.

“Loya pula?Hisyh,bau jamu memang kuat sikit tapi kalau kau tak makan macam mana nak cantik? Nanti merungut kat aku pula cakap badan tak lawalah,tak slim lah.Nanti kalau laki kau cari perempuan lain macam mana ?Kau juga melopong kan?Aku bukan nak membebel kat kau Khaty,aku sekadar bagi nasihat.Bukan apa,umur macam kita ni,kena jaga kesihatan.Pemakanan tu yang paling utama.Jaga betul-betul.Silap sikit saja dah boleh kena macam-macam penyakit.Semput,lelah,asma,kencing manis,darah tinggi,kanser….hah,semua tu bahaya tau! Kalau dah terkena,susah! Asyik kena menghadap muka doktor saja.Jadi lebih elok kalau kita mencegah dulu sebelum terlambat.Macam iklan kat tv ,mencegah lebih baik dari merawat.Tak gitu?“

“Eh,kau ni Lia Sari.Tutup sekejap topik jamu kau tu.Rasa kembang tekak aku ni.Aku datang sini bukan nak cerita tentang jamu tapi aku ada cerita lain nak beritahu kau!“
“Cerita apa pula? Nak gosiplah tu!” teka Lia Sari yang sudah duduk bersila di bawah untuk menyambung kerja-kerjanya tadi.

“Isyh,tak baik tau tuduh macam tu.Bukan gosiplah.Tapi aku datang sini nak beritahu kau,esok ada krew filem nak datang rumah si Mona.“
“Krew filem pergi rumah Mona?Nak buat apa?”

“Dengar kata,ada produser filem bayar Mona untuk buat penggambaran filem kat rumah dia.Lia Sari oi,glamor kita nanti.” Ucap Khaty teruja sambil mengipas-ngipas wajahnya.

“Produser tu pergi rumah Mona.Yang nak glamornya Mona,bukan kita.”
“Memanglah tapi ini yang aku nak cakap ni.Esok aku nak ajak kau dengan jiran-jiran kita yang lain tu pergi rumah Mona.Nak tengok diorang shooting filem.”

“Boleh pergi ke?”
“Alahai,kenapa pulak tak boleh pergi.Mona yang suruh datang.” Lia Sari senyum.
“Sebenarnya aku dah tahu pun kat rumah Mona ada penggambaran filem.” Tutur Lia Sari membuka cerita.

”Mana kau tahu?Internet bergerak mana yang beritahu kau ni?Kak Dora sebelah rumah kau ni ke?“
“Ada-ada kau ni Khaty.Rose yang beritahu aku semalam.“

“Isyh Rose ni,laju betul bawa berita.Kalah mami jarum!Kecik hati Kak Dora ni kalau dia tahu dia kalah dengan Rose.” berkerut wajah Khaty.
‘Ish,macam mana si Rose boleh tahu dulu dari aku ni?’ Fikir Khaty lagi.
“Kak Dora tak ada…dia balik kampung.Kalau tidak dah riuh sekampung!”
Khaty tersengih.

“Aku yang telefon dia.Semalam aku ternampak ada ramai orang kat depan rumah Mona.Aku musykil juga kenapa ramai orang depan rumah dia.Aku pun telefon Mona tapi tak berjawab alih-alih aku telefon Rose.Dialah yang beritahu aku ada orang buat penggambaran filem kat rumah Mona.” Ucap Lia Sari jujur.

“Lah,kiranya sejak semalamlah diorang datang shooting?Aduh,melepas aku nak jumpa pelakon filem!” Khaty tepuk lantai tanda tidak puas hati.Lia Sari sudah hampir tergelak dengan gelagat jirannya namun ditahankan saja,takut jika wanita itu berkecil hati.

“Esokkan ada shooting lagi?Esok bolehlah kau jumpa pelakon filem tu!” Khaty angguk.
“Eh,kau nak tahu tak apa tajuk filem tu?Kalau tak silap aku nama filem yang diorang nak datang shooting tu Pontianak Gangster.Farid Kamil dengan Lisa Surihani yang berlakon!!” Khaty ketawa kuat kemudian disusuli oleh Lia Sari.

“Amboi,gangster betul nama tajuknya ya?” tanya Lia Sari yang masih sibuk membelek kalkulator.
Dalam keralitan bercerita perihal penggambaran filem yang akan diadakan di rumah Mona pada keesokan hari,Lia Sari berasa pelik apabila melihat kelibat Fea.Tiba-tiba saja rajin benar dia bangun pagi-pagi.Pelik bin ajaib!

“Hah Fea,nak ke mana?Pagi-pagi lagi dah bangun!” Fea berhenti apabila disapa Lia Sari.Dia mengeluh.Aduh,emaknya ini.Ada saja soalan yang nak diajukan.
“Mak,salah ke Fea nak bangun pagi-pagi?Bila Fea bangun lambat mak berleter,sekarang ni Fea dah bangun pagi pun tak boleh?”

“Hei budak ni,bukan tak boleh tapi mak terkejut sebab anak dara mak seorang ni rajin betul bangun pagi-pagi.Itu yang mak tanya.Nak ke mana?”
“Macam biasalah mak.Nak dating!” Fea berseloroh.Dia ketawa sambil tutup mulutnya.Gelihati barangkali dengan jawapan yang dibalas kepada emaknya.
“Tak habis-habis nak dating!” marah Lia Sari,mencerun matanya memandang Fea.Fea masih bersikap selamba.

“Fea,kau dating dengan siapa?“ celah Khaty tiba-tiba.Teruja pula dia mendengar celoteh dua beranak ini.
“Mak Cik Khaty,mestilah saya dating dengan boyfriend saya.”
“Memanglah,takkan dengan girlfriend pula.Lainlah kalau kau ni spesis sejenis.Maksud aku,siapa boyfriend kau tu?Kerja apa?Siapa mak bapak dia?Tinggal mana?Berapa umur dia?”

“Mak Cik Khaty ni,banyak tanya pula.Dah macam wartawan 999 saja.Nak ganti tempat Mak Cik Dora pula dah?”
“Bukan apa,tak baik tau ke hulu ke hilir dengan lelaki bukan muhrim.Berdosa.Baik kau kahwin cepat-cepat.Suruh boyfriend kau tu masuk meminang.Lepas kahwin nak ke mana-mana pun tak apa.Tak ada siapa nak larang,tak ada siapa nak marah.Kau cuba ambil contoh anak Imah tu hah,ke hulur ke hilir dengan jantan alih-alih kena tangkap basah.Buat malu mak bapak je.Hisyh,kau jangan buat macam tu Fea.Kesian kat mak kau ni.” Nasihat Khaty bersungguh-sungguh.Namun Fea terasa mahu muntah saat itu .
“A’ah,berdosa kan?Ye tak ye juga.Tapikan,kalau buka aib orang tu dikira berdosa juga ke?”
“Err…berdosa lah kot…” Khaty terasa disindir.Dia pandang wajah Lia Sari.
“Sudah Fea.Ada saja benda nak merepek pagi-pagi ni.Apa mimpi kau bangun awal ni?” potong Lia Sari pula.

“Kan Fea cakap tadi,Fea nak pergi dating!”ucap Fea tersenyum lebar.
“Yelah tu dating,dating dengan Era.Korang berdua ni dah tak ada kerja lain lagi nak dibuat selain melepak kat kedai mamak tu?Kaya mamak tu tau hari-hari korang pergi melepak kat kedai dia.”

“Biasalah mak,orang muda kerjanya mesti melepak.Sambil lepak-lepak boleh cuci mata sikit.”
“Banyaklah kau punya cuci mata.Tu kain baju kau kat belakang tu,tak nak pula kau pergi cuci!” berapi kata Lia Sari disemburkan pada anak gadisnya.Khaty sekadar senyum kecil.

“Mak,nanti balik Fea cucilah.Tak pun apa kata mak saja yang tolong cucikan,boleh?Bukannya susah pun,masukkan dalam mesin basuh lepas tu tekan suis je.Tak payah keluarkan tenaga.Boleh ye mak?”
“Tak habis-habis nak bagi alasan.Sudah,yang kau tercegat depan mak dengan Mak Cik Khaty kau ni kenapa?” tanya Lia Sari tidak puas hati apabila Fea masih belum menginjak dari tempat dia berdiri.

“Errr…Fea nak…” ujar Fea sambil menunjukkan isyarat ‘duit’.Lia Sari mendengus.
“Kau nak duit?Hah,itu saja kerja kau! Duit…duit..duit…mak ni kan tukang buat duit.Berapa kau nak?”nyaring sungguh suara Lia Sari kala itu.

“Bagi sajalah berapa pun tapi kalau lebih pun tak apa.Lagi seronok!” sakat Fea.Biarpun mulut Lia Sari sama berapinya dengan mulut Fea,dia masih belum berkira mahu menghulurkan not lima puluh kepada gadis itu.

“Terima kasih mak.Sayang mak!”ucap Fea gembira.
“Amboi,seronok jadi kau ya Fea??Hulur aje tangan terus dapat duit.Hmm…bila kau nak pergi cari kerja ni?Kesian mak kau…asyik kena bagi duit pula pada anak dara dia sorang ni.“ Celah Khaty.Fea mendengus.Baru sahaja mood cerianya mahu datang,kata-kata Khaty tadi terus membuatkan perasaannya berkocak sedikit.

‘Hei,dah tak ada benda lain nak tanya ke?Bosan betul!!‘ bebel Fea dalam hati.
“Belum rezeki lagilah mak cik!!“
“Hmm…rezeki tu rezeki juga tapi kalau tak ada usaha,tak ke manalah jawabnya.Kalau kau kerja,bolehlah kau bantu mak kau ni hah.Tak adalah dia nak jual jamu lagi….“ Fea sudah buat muka saat Khaty menyambung bicara.Telinganya digosok sedikit lalu menghampiri emaknya.

”Fea pergi dululah mak….“tangan Lia Sari dicapai lalu disalam.
“Hmm…elok-elok.Jangan nak buat perkara bukan-bukan pula…nanti balik awal sikit ya.” Pesan Lia Sari kemudiannya.

“Yes,boss!!” balas Fea sambil memberi tabik hormat kepada emaknya.Dia terus melangkah keluar selepas sahaja dia menghantar sebuah senyuman tawar kepada Khaty.

++++++++++++++++++++

Fea dan Era sama-sama menuju ke foodcourt Kompleks Anggun.Letih berjalan di situ,perut pula mula meragam dan terasa mahu mengisi perut.Fea tidak tahan sekiranya perutnya yang comel itu berbunyi-bunyi minta diisi.Maklum saja,sejak keluar rumah tadi sedikit makanan pun tidak dijamah.

Kesibukan warga kota pada hari Rabu tidak begitu ketara dan suasana sebegitu memang cukup digemari oleh Fea.Dia terasa lebih selesa kiranya berjalan di dalam Kompleks Anggun tanpa ramai orang.Biar jiwanya yang sedikit serabut itu dapat dikurangkan.

“Aku dah beritahu kawan-kawan kita yang lain…hujung minggu ni kita tak dapat ikut diorang semua pergi bercuti.Aku bukan apa Fea…yelah,kalau kau tak ada aku rasa tak selamat.Sebab tu aku pun batalkan aje rancangan nak pergi bercuti tu…lagipun bila difikir-fikir balik ada bagusnya juga kalau trip tu dibatalkan.Yelah,jimat sikit duit elaun aku bulan ni….” ucap Era tenang.

Kemudian dia berhenti di kedai aksesori tanpa menghiraukan Fea.Namun keasyikannya melihat beberapa gelang di kedai tersebut mati setelah melihat langkah kaki Fea mendahului ke hadapan.Dia hairan lalu membuat keputusan meninggalkan kedai aksesori itu dan mendapatkan temannya.

“Kau ni kenapa Fea?Dengar tak apa aku cakap tadi?” Fea hanya angguk sekali.Era mengeluh.”Apsal monyok je?Kau frust eh tak dapat join pergi bercuti?” Fea menggeleng lemah sambil matanya menunduk memandang lantai manakala kedua-dua tangannya menyeluk poket seluar jeans.”Habis tu...kenapa?Mak kau tak bagi duit ke?” ucap Era selepas menyaingi langkah Fea.Dia perasan riak teman baiknya itu tidak ceria seperti selalu.Pelik.Datang bulan ke? Tak pun kena bebel dengan emaknya? Satu yang ditanya,hanya angguk-angguk geleng-geleng aje?

“Hah?Muka aku monyok ke? Taklah.Mana ada.” Dalih Fea apabila Era sudah menyuakan wajahnya mendekati wajah Fea.
“Yelah.Dari tadi aku tengok macam orang ada masalah.Macam orang sedang berfikir sesuatu.Jangan cakap kau dok berangan teringat prince charming,sudah!” Era berseloroh.
“Taklah.” Berkerut-kerut dahi Fea menafikannya.Hmm…habis kalau tak berangan ingatkan prince charming,kenapa? Fikir Era lagi.
“Dah tu,kenapa?”
“Tak ada apa-apa cuma aku teringat pesan mak aku je.”
“Kenapa?Mak kau membebel suruh kau cari kerja ke?”
“Hah,itu pun satu masalah juga!!”
“Kenapa?Mak kau desak suruh cari kerja cepat?”

Fea garu kepala bagaikan pusing memikirkan perkara yang masih menghantuinya kini.
“Itulah pasal.Telinga aku ni macam nak bernanah dah sebab hari-hari aku dengar benda yang sama.Cari kerja,cari kerja,cari kerja.Dahlah orang keliling pun asyik soal aku perkara sama.Macamlah kat dahi aku ni ada cop PENGANGGUR!Tension betullah!!”

“Dah tu apa masalahnya,pergilah cari kerja!!”
“Eleh,cakap orang.Dia tu pun sama! Kau fikir cari kerja tu macam petik jari?Kalaulah cari kerja sama dengan cari baju kat shopping mall aku rasa tak adalah aku menjawat jawatan penganggur,kan ?”kata-kata Fea mati seketika.

“Bukannya aku tak hantar resume tapi kebanyakannya dah reject aku awal-awal sebab aku tak ada experience.Itu yang leceh tu.Ada ijazah pun payah tak ada ijazah lagilah payah!Jadi,aku rasa lebih baik aku ambil masa untuk berehat dan tenangkan fikiran aku yang dah serabut ni….Kalau boleh aku nak berehat dulu sementara aku fikirkan apa langkah aku yang seterusnya.” bibir Fea segera dijuihkan memandang Era.Dia menunduk memandang ke lantai sambil melepaskan satu keluhan.Lama pandangannya dihalakan ke bawah sehingga membuatkan Era jadi musykil pula.

“Hmm…Tok Kaya kau tak pernah offer apa-apa jawatan pada kau?Kan syarikat dia tu besar,takkanlah tak ada satu kekosongan kot?” Fea mencebik lalu mengangkat bahu.
“Aku malaslah nak menyusahkan dia lagi…dah banyak yang dia tolong aku.Rasa segan pula.”balas Fea semula.Dia berjalan perlahan mara ke hadapan dengan pandangan yang melayang-layang sekali lagi.Nampak seperti memendam perasaan sahaja.

“Hei,kau ni kenapa?Kalau bukan soal kerja yang merunsingkan hati kau tu…apa masalahnya?”cuit Era di bahu Fea.
“Memanglah bukan pasal kerja.Tak ada kena mengena pun.” Ucap Fea tidak ingin membuat Era menunggu jawapan dari mulutnya.Isyh Era ni,kalau bertanya mengalahkan Detective Conan saja.
“Dah tu?Hah,jangan cakap mak kau suruh kau cari calon untuk buat laki….itu yang muka ketat aje.” Duga Era pula.Fea mengerling sekilas pada Era lalu menghantar jelingan tajam buat temannya itu sambil merengus.

“Sebenarnya aku bengang sangat tau tak?“
“Kenapa pula?Tadi cakap teringat pesan mak kau tapi sekarang bengang pula.Kau bengang kat siapa? Give me an explaination sikit.“
“Siapa lagi kalau bukan pada keluarga pembuli durjana tu lah!“ Era garu belakang tengkuknya.Dia semakin hairan.Sejak akhir-akhir ini Fea asyik bercerita tentang budak pembuli itu saja.Balik-balik budak pembuli,pagi petang siang malam budak pembuli.Tak habis-habis dengan budak pembuli.Bingung seketika memikirkan apa sebenarnya yang Fea masih belum puas hati dengan budak pembuli.

“Isyh,cuba kau cerita pada aku secara terperinci.Aku betul-betul tak faham dengan kau.Semenjak dua menjak ni asyik cerita tentang budak pembuli tu saja.Apa yang terjadi?“ Fea menjeling sekilas kepada Era sebelum berhenti di satu kerusi panjang di tepi eskulator lalu duduk.Muncung sungguh mulutnya menahan perasaan.Era yang masih dalam keadaan bingung cuma mampu ikut langkah Fea lalu kakinya laju saja mengatur langkah mengambil tempat di sebelah Fea.

“Aku bengang sangat-sangat ! Bila sebut tentang dia je,terus aku jadi bengang.Hati aku yang tenang bagai air kolam renang rumah Tok Saif tu pun dah boleh jadi keruh gara-gara asyik fikirkan hal ni.Naik kusut dah otak aku ni…rambut aku kalau dia boleh bercakap dah tentu-tentu dia marahkan aku sebab hal yang aku sedang fikirkan.Yelah,beratus-ratus helai yang gugur satu hari.Mahunya botak aku nanti!!“
“Lah,apa susah.Kau pergilah buat treatment kat Yun Nam Hair Care.Dijamin selamat…“ balas Era.

“Hei,kau ni kan…main-main ya!!“marah Fea mengangkat jari telunjuknya menghala ke arah Era.
“Orang tengah susah hati ni,dia boleh nak buat lawak Ujang pula!!“ muncung mulut Fea mengomel.

“Alah,yang tu pun nak touching….eh Fea,boleh tak kau cerita pada aku secara detail apa sebenarnya yang dah mengganggu kepala otak kau tu?Sikit-sikit kusut…sikit-sikit nak tension…“

“Kalau kau nak tahu disebabkan diorang,mak aku dan Tok Saif beria-ia buat majlis besar-besar nak sambut diorang balik.” Luah Fea sehingga membuatkan Era ketawa.“Okeylah tu,boleh tumpang sekaki!“

“Masalahnya aku tak suka! Mak aku sibuk suruh aku buatkan kad undangan untuk jemput semua saudara mara aku semata-mata nak sambut ‘orang putih’ tu balik!” Fea menggenggam kedua-dua penumbuknya tanda protes dan geram.Arghh!
“Aik,ada kad undangan?Kad undangan macam orang nak kahwin tu ke? Hebat!“ Era terpana.Dahsyat sangat ke mereka semua tu sampai emak Fea mahu menghantar undangan menggunakan kad?

“Banyaklah kau punya hebat.Aku ni yang kena lipat kalau tak buat kad tu tau!“
“Amboi,sampai macam tu sekali?Dahsyat betul! Mesti grand majlis tu nanti kan?’’
‘’Entah.Bunyinya macam grand.Ini semua rancangan mak aku dan Tok Saif.Kalau mak aku tak sokong cadangan Tok Saif tu,mesti tak jadi semua ni.Sekarang aku pula yang tersepit.Susah betul !’’

‘’Kau ni Fea,buat jelah kad tu kalau tak nak mak kau bising.Nasib baik tau mak kau suruh buat kad undangan saja.Cuba bayangkan kalau dia suruh kau pergi cari kumpulan kompang ke,kumpulan tarian singa ke…tak pun dikir barat untuk majlis tu nanti.Lagi susah hidup kau !’’ Bebel Era.Ya,memang betul ! Buat saja kad kemudian habis cerita.Apa yang tak kena lagi ?

‘’Hisyh,apa pula tarian singa,kompang semua keluar ni ?Kenapa kau tak cakap boria sekali ?’’ sindir Fea semula sambil mencebik lalu mengeluh berat.
’’Kau cakap memang senang tapi yang nak kena buat kad tu aku.Sekarang ni aku tak tahu nak mulakan macam mana.Masa dah suntuk.Kurang seminggu saja majlis tu akan berlangsung tapi sampai hari ni kad undangan pun tak nampak rupa lagi.Era tolonglah aku.’’ Rayu Fea buat muka sedihnya.Hah,Fea ! Kau memang pandai meraih simpati.Pagi tadi pun kau buat muka simpati depan mak kau dan terus dapat RM50.

‘’Kenapa mak kau tak jemput tetamu melalui telefon je ?Atau pun terus pergi rumah diorang.Kan senang.’’ Soal Era cuba merungkai kemusykilan yang sudah menerjah mindanya.Hairan sungguh.Zaman ini kan zaman moden,kenapa masih mahu pakai kad ?Ini cuma majlis sambut tetamu,bukannya majlis perkahwinan.Bukankah lebih senang kalau menjemput tetamu menggunakan telefon ? Atau terus ke rumah tetamu yang mahu dijemput.Selesai masalah.

‘’Kau bukannya tak tahu mak aku tu.Kalau nak buat sesuatu mesti nak yang gempak punya.Kad undanganlah,kad rayalah.Pening aku ! ‘’
‘’Hah,buat apa nak susah-susah ?Jomlah kita pergi kedai.Tempah di kedai lebih senang.Berapa orang tetamu yang nak dijemput ?’’ Fea mengira-ngira menggunakan jari.Lama juga dia mengira sampaikan tidak cukup jari tangan,jari kaki pun digunakan.

‘’Agak-agak dalam 50 orang macam tu.’’ Dia bersuara sedikit kendur sambil memandang Era di sebelah.Era sengih dengan gelagat Fea.Sajalah tu nak buat lawak bodoh dia!
‘’Oh,tak adalah ramai sangat.Hmm…ingatkan sampai seribu orang.’’ Perli Era.
‘’Mana ada sampai seribu orang.Kalau tidak,matilah aku!’’

‘’Manalah tahu,kan?Kalau cecah seribu,kau pinjamlah jari-jari kaki dan tangan aku ni buat modal mengira.Paling tidak pun,kira pakai sempoa.’’
Fea tampar bahu Era.Hisy dia ni,sindir aku lah tu!

Era ketawa geli hati.Seronok benar dapat menyakat Fea yang ‘gila’ ni.Dalam keadaan bengang pun masih sempat buat lawak.Fea…Fea…kenapalah tidak masuk saja rancangan Raja Lawak ?Ada juga faedahnya.Boleh jadi popular macam Jozan !
“Berapa bajet kau?’’

‘’Bajet?Aku tak terfikirlah sampai ke situ.Aku ingat nak buat sendiri.Murahlah sikit,kan?’’ kepalanya yang bertocang satu itu sudah digaru-garu.Tiba-tiba saja kepalanya terasa gatal apabila soal bajet disentuh.

‘’Memanglah murah tapi sekarang ni masa dah suntuk.Sudahlah Fea,tak payah nak tunjukkan skil seni kau dengan cara buat kad undangan sendiri.Kita pergi kedai je.Kat sana nanti kita boleh pilih jenis dan design.Dalam masa beberapa jam saja dah boleh siap.’’cadang Era.

‘’Errr…aku tak ada bajet tau! Dalam poket cuma ada RM50 je.’’
‘’Tak apa,kalau tak cukup aku bagi kau pinjam duit aku dulu.’’ Era sudah sedia menarik tangan Fea bangun dari kerusi.Dia cuba menggembirakan hati temannya itu.
“Hah,lepas saja selesai hal kad undangan,kita pergi foodcourt okey.Aku dah lapar tahap gila ni! Rasa macam nak terkeluar segala isi perut!” ucap Fea memegang perutnya.Era mencebik.Ceh,boleh pulak dia fikirkan hal makan? Era anggukkan saja kepalanya.

Semasa menuju ke kedai membuat kad,baru Era terfikir sesuatu.Dia segera menarik lengan Fea supaya berhenti.Fea toleh kepada Era dengan membuat isyarat mata.
“Fea,tadi kau kata majlis tu tak sampai seminggu kan?”
“Memang pun.Hujung minggu ni.Kenapa?”
Era tepuk dahi.

“Mana sempat!”
“Eh,tadi kau kata kad tu siap sekejap saja.Kenapa pula?”
“Maksud aku,tak sempat nak hantar.Majlis tu kan hujung minggu ni,jadi kau ada masa 2-3 hari saja.Kalau hantar kad menggunakan pos,makan masa juga.Hari ni dah hari Rabu.Sempat ke semua tetamu jemputan terima kad undangan tu?”

Fea menggerutu dalam hati.Isyh,betullah apa yang Era perkatakan.Aduh,mak! Kenapa tak terfikir semua kad kena hantar pakai khidmat pos? Saudara maranya jauh dari kota.Masa dah suntuk.Masih sempat ke?Masaklah aku!

“Habis,nak buat macam mana ni?”
“Nanti balik,kau beritahu pada mak kau.Suruh dia jemput melalui telefon saja.Tak pun pakai e-mel.Lebih mudah!” cadang Era.
Fea mengangguk-angguk,setuju dengan cadangan Era.Kenapalah dia tak terfikir semua itu sejak tadi.Kan dah menyusahkan orang.Buat penat saja marah-marah! Dan yang paling penting,buat penat saja sebut dan ingatkan tentang si pembuli durjana tu!

No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...