Followers

Tuesday, 4 July 2017

Aurora 2

Pagi-pagi lagi Aurora dah dapat panggilan telefon. Tak lain tak bukan daripada daddy. Dekat setengah jam juga mereka berbual di talian. Cukup waktu, talian telefon dimatikan. Aurora cepat-cepat melangkah masuk ke bilik mandi, bersihkan diri dan bersiap untuk ke kolej.

Kebetulan, dia sebenarnya masih keuzuran. Jadi, boleh skip waktu solat subuh. Itu yang terlajak bangun sampai dekat tujuh setengah pagi. Sedar-sedar saja bunyi telefon memekak di sebelah telinga.

Dia turun ke bawah. Peti sejuk dibuka. Botol susu dicapai bersama dengan sebotol jem. Roti yang diletakkan di atas kabinet dalam dapur diambil lantas dibawa ke meja bulat dalam dapur. Usai mengenyangkan perut, Aurora segera berkemas semula. Semasa mengemas, entah bagaimana telinganya boleh pula terdengar bunyi bising dari luar rumah.

Dia melangkah ke depan. Selamba saja pintu utama dibuka. Mulutnya tiba-tiba saja melopong bila melihat ada seorang lelaki sedang terbongkok-bongkok membelakangkannya di tengah laman seperti sedang tercari-cari sesuatu. Aurora bercekak pinggang melihat gelagat lelaki berkenaan. Haih, siapa dia ni? Pagi-pagi lagi dah buat hal kat rumah orang?

“Ehem.” Aurora berdehem. Lelaki tersebut berhenti bergerak dan perlahan-lahan berpusing menghadap Aurora. Dalam masa sesaat, lelaki tersebut terus melarikan diri dari situ dengan melompat pagar hadapan dengan begitu mudah.

“Hoi, kau cari apa?” Aurora berlari menghampiri pagar. Kelibat lelaki tersebut terus menghilang. Tak sempat dia nak kenalpasti wajah lelaki berkenaan. Aurora merenung jauh ke arah jalan. Pelik! Siapa dia tu?

“Hai, buat apa tu?” jantung Aurora seperti mahu tercabut sebaik disapa dari tembok sebelah. Dia mengurut dada sambil menyumpah dalam hati. Hisyh, mamat ni lagi.

“Tak ada buat apa-apa.” Dia jawab bagai tiada perasaan.

“Ya ke?” Fahad jongket kening sebelah. Ditatap mata Aurora puas-puas cuba menggali jawapan namun hanya jelingan yang dia dapat.

“Aurora. Nanti dulu.” Kelam kabut Fahad tarik pagar rumahnya dan berdiri di hadapan pagar rumah sewa Aurora.

“Nak apa?”

“Dah sarapan?”

“Dah.”

“Ala, ya ke? Baru terfikir nak ajak awak sarapan kat warung mak cik Leha kat depan tu. Roti canai banjir dia sedap tau. Nasi lemak janda dia pun sedap.”

Aurora tayang muka tak ada perasaan. Beria-ia Fahad sebut tentang roti canai banjir dan nasi lemak janda tapi Aurora langsung tak bagi respon. Aurora terus melangkah ke dalam tanpa menghiraukan Fahad. Fahad pula hanya mampu menyeru-nyeru nama Aurora walaupun dia tahu Aurora dah lama menghilang ke dalam.

***

Bosan! Mahu saja Aurora jerit kuat-kuat tapi semua itu hanya mampu terjadi kat dalam hati saja. Pen di tangan entah berapa kali diketuknya di atas meja. Tangan kiri pula sibuk menongkat kepala yang dah berapa kali mahu tersembam ke meja. Matanya tak payah cakaplah. Asyik nampak bantal. Otak pula asyik menerawang teringatkan sambal sotong kak Rita yang dijual di kafeteria kolej. Haih, tenung jam di tangannya buat dia bertambah rasa bosan. Lama lagi rupanya kelas Cik Feera ni. Ada kira-kira sejam lagi. Tapi, satu apa pun tak boleh masuk ke dalam otaknya.

Sedang berkeluh kesah seorang diri, entah bagaimana terasa belakang kerusinya bergegar seperti disepak dari belakang. Aurora berkalih. Semerta segumpal kertas mendarat betul-betul di atas kepalanya sebelum jatuh ke kaki. Cis! Tak guna punya orang!

“Weh, Aroro!” Melati, pelajar sekelasnya sedang memberi isyarat agar membaca kertas yang dicampak tadi. Dengan muka penuh keraguan Aurora pandang si Melati yang duduk tiga barisan di belakangnya. Namun, tangannya tetap mencapai kertas tadi. Dibuka lalu dibacanya.

‘Jumpa kat belakang fakulti lepas kelas Cik Feera.’

Aurora mendengus. Dicapai pen berwarna merah lantas menulis sesuatu di atas kertas tadi. Tanpa ragu-ragu, dironyokkan kertas tersebut dan dicampak semula ke belakang.
Selang seminit, dia terasa kerusinya bergegar semula. Isk, tak boleh jadi ni. Melampau!

“Apa masalah kau?” Aurora mengetap bibir, bertanya dalam nada perlahan pada pelajar di belakangnya. Burn hanya menayang dua jari tanda peace kepadanya sambil menyengih. Kemudian, Burn memberi isyarat supaya Aurora memandang ke belakang mereka. Mata Aurora dihalakan kepada Melati. Sejenak, segumpal kertas melayang mengena muka Aurora.

Hati Aurora meluap-luap. Hei, nasib baik dalam kelas. Kalau kat luar, dia sepak-sepak saja si Melati sekali dengan Burn.

Aurora angkat punggung. Panas hatinya tak boleh dibiar-biar. Elok sajalah dia bawa tubuhnya keluar mengambil angin di luar. Kalau Cik Feera nak marah dia sekalipun, dia peduli apa.

Aurora bertenggek di tepi dinding sambil menelek telefon. Lima minit menjelajah media sosial yang sungguh memualkan, dia terdengar gelak ketawa yang datang dari arah kanannya. Segera dia mengangkat muka. Ternampak kelibat beberapa orang pelajar lelaki sedang mara ke arahnya. Dalam pada memerhati mereka, mata Aurora boleh pula berlaga dengan mata salah seorang daripada mereka. Beberapa saat berlalu, hanya jelingan yang dihantar sebagai tanda sapaan. Kemudian, kelam kabut Aurora berlalu dari situ.

Kakinya dibawa pula menuju ke kafe kecil yang terletak dalam bangunan Fakulti Perniagaan di tingkat bawah. Pintu kaca kafe ditolak. Aurora terus menuju ke bahagian peti ais, mencapai sekotak air laici, membayar dan duduk di sebuah meja yang agak terpencil. Tekaknya mahu segera dibasahkan. Baru saja menyedut minuman dari kotak, tiba-tiba saja kerusi di depannya ditarik. Aurora mengangkat muka, merenung tajam si dia yang tiba-tiba saja datang tanpa diundang.

“Kau datang kolej dengan apa?” salam tak ada, kata-kata aluan tak ada… tahu-tahu saja dia ditebak dengan soalan itu.

 “Tak payah sibuklah.” Balas Aurora sinis sambil menayang muka beku tak ada perasaan.
Si dia hanya tergelak. Lebih kepada gelak mengejek. Dipandang saja gelagat Aurora. Gadis itu hanya sibuk menggigit-gigit straw sambil menyedut minuman. Geram pertanyaanya dijawab kasar, dia pantas menarik air kotak dari tangan Aurora dan mencampakkannya ke tepi. Terbeliak mata Aurora merenung lelaki di depannya ini.

“Kau ni apa hal?”

“Aku tak ada hal,” ujarnya dengan senyuman mengejek.

“Kau tu yang apa hal? Aku singgah rumah sewa kau tadi tapi kau dah lesap. Bukan ke semalam aku dah beritahu kau awal-awal yang aku nak datang ambil kau?” sambungnya.

Oh, soooo sweet. Tak payah nak tunjuk caring sangatlah. Meluat aku! Lepas ni, kau tak payah sibuk-sibuk nak ambil dan hantar aku pergi kolej. Aku ada tangan, ada kaki. Aku boleh pergi dan balik sendiri.”

Yeah, right! Kau ada kaki, kau ada tangan. Habis tu… apsal tak belasah saja mangkuk hayun kat dalam kelas kau tu?” tembak si dia lagi. Kini, Aurora terdiam seribu bahasa.
“Mana ada mangkuk hayun dalam kelas aku.” Dia membalas dalam nada perlahan. Isk, macam manalah mamat ni tahu pasal ‘mangkuk hayun’ kat dalam kelas aku tu?

“Zila yang bagitau aku.” Dia menjawab seperti dapat membaca apa yang bermain dalam fikiran Aurora. Aurora mencebik. Dasar mengadu betul si Zila tu!

“Petang ni, lepas habis kelas… aku hantar kau balik.”

“Tak payah.” laju saja Aurora menjawab.

“Aku tak minta kebenaran kau. Aku cuma beritahu kau. Pukul 5 petang tunggu aku kat depan foyer fakulti.” Dia baru bergerak untuk bangun namun Aurora lekas-lekas mematikan langkahnya dengan suara tak puas hati.

“Kau tak payah nak menyibuk urusan aku boleh tak? Aku boleh balik sendiri.”

“Hei, Aurora! Kau dengar sini baik-baik eh. Kalau ikutkan hati aku, tak ingin aku nak menyibuk hal kau. Tapi, daddy Carl dah bagi amanah kat aku minta ambil dan hantar kau pergi balik kolej sementara kereta kau tu siap. Faham?”

“Ceh, amanah konon. Kau cakap saja kat daddy aku, kau tak nak galas amanah yang dia bagi.”

“Suka hati kaulah. Lepas ni, kalau daddy Carl tanya kenapa aku buat macam apa yang kau suruh… aku cakap saja anak dara dia yang seorang ni poyo dan berlagak bagus!”

“Zafrin!” Aurora bangkit. Langkah Zafrin kaku sebaik namanya dilaung. Dalam diam dia tersenyum nipis.

“Apa?”

Get lost!” semerta Aurora melanggar bahu Zafrin dan berlalu dari situ. Zafrin pula terpinga-pinga melihat tingkah Aurora. Ah, melampaunya perempuan ni!




No comments:

Post a Comment