Followers

Wednesday, 28 June 2017

Aurora 1

Sebuah kereta jenis 4wd berhenti di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat. Sejurus kemudian, pintu penumpang dikuak dari dalam lalu penumpang di dalamnya keluar.

Seorang wanita yang berusia lingkungan awal lima puluhan muncul dari balik kereta. Manakala seorang lagi wanita yang lebih muda mendekatinya dan sama-sama memerhati rumah di hadapan yang kosong tak berpenghuni.

“Adik betul ke tak nak ubah fikiran?” aju wanita yang berusia dengan riak kerisauan. Gadis muda yang disapa adik itu menoleh kepada wanita di sebelahnya. Satu anggukan penuh keyakinan dibuat. Mukanya pula bersahaja seperti tidak punya apa-apa rasa.

“Mommy tanya sekali lagi ni, dik. Serius adik nak tinggal kat sini?”

“Betul, mommy. Adik tak main-main,” ujarnya menjawab pertanyaan si ibu dengan nada mendatar. Matanya terpaku pada rumah di hadapan mata. Direnung semahu-mahunya sebelum melemparkan pandangan ke sekitar kawasan rumah yang ditumbuhi lalang dan rumput separas lutut. Puas menikmati pemandangan itu, dia kembali menatap wajah si ibu yang masih berasa ragu-ragu di sebelah.

“Mommy risau ke?” ajunya seolah mahu menduga hati si ibu.

“Mestilah mommy risau. Adik nak tinggal seorang diri kat sini. Rumah ni…” kata-katanya terhenti sebaik mendengar Aurora tergelak kecil.

“Mommy janganlah risau. Adik tahu jaga diri. Lagi pun, rumah ni bukannya teruk sangat. Cuma rumput dengan lalang aje yang penuh kat depan laman ni. Kat dalam, insyallah tip top. Hari tu kan adik dah datang tengok keadaan rumah ni sebelum adik tandatangan perjanjian sewa rumah dengan tuan rumah?” terangnya cuba meredakan keresahan yang bersarang di hati ibunya.

Rumah sewa yang tersergam di depan mata ditenung lagi. Inilah rupa rumah sewa yang bakal dihuninya untuk tempoh panjang. Walaupun ia agak jauh dari rumah keluarganya, dia masih tetap dengan pendiriannya untuk menyewa di sini kerana kolejnya tidak jauh pun dari sini.

Malah, ia akan lebih memudahkannya untuk berulang alik dari kolej ke sini berbanding rumah keluarganya. Biarpun ada di kalangan ahli keluarganya menggelarkan rumah sewa ini seperti rumah hantu, dia masih tetap dengan pendiriannya. Dan, yang lebih penting… dia akan tinggal berseorangan di sini tanpa ditemani mana-mana rakan serumah mahu pun rakan sebilik. Dia bebas! Itu yang diidam-idamkan selama ini.

“Hah, adik. Buat apa tercegat lagi kat sini? Tak nak angkat barang masuk ke dalam ke?” tiba-tiba saja si ayah datang menegur usai lelaki yang masih segak dan bergaya itu berdiri bersebelahan dengan ibunya.

Aurora menoleh pada ayahnya. Matanya terkebil-kebil. Sejurus kemudian, dia menoleh pula pada kelibat sebuah lori sederhana besar yang membawa barang-barangnya yang baru saja berhenti di belakang kereta mereka. Tidak lama kemudian, di sebalik lori berkenaan muncul pula sebuah kereta jenis Audi berwarna putih. Dari perut Audi, seorang lelaki muda yang hanya mengenakan kemeja lengan pendek, seluar separas lutut serta memakai kaca mata hitam muncul di hadapan mata. Selang beberapa saat, muncul pula sebuah kereta dari belakang Audi. Seorang lelaki muda dan juga seorang gadis muncul dari perut kereta.

Azreel Mikael, Nadia Awatif dan juga Rafa Azka Putra mendekati mereka bertiga.
Melihat kelibat ketiga-tiga mereka, Aurora memutarkan matanya ke atas sambil melepas satu keluhan panjang. Alahai, kenapalah semua ahli keluarganya perlu berada di sini? Dia hanya pindah rumah bukannya dia nak pergi ke bulan sehingga semua orang perlu hadir ke sini untuk mengucapkan selamat tinggal!

“Hah, tu duk terkebil-kebil lagi kat depan tu dah kenapa dik? Takkan dah nak nangis dah kut?” usik Rafa, lelaki yang keluar dari perut Audi sebentar tadi sambil ketawa terkekeh-kekeh. Awatif pula menampar-nampar lembut bahu si Rafa sambil tergelak-gelak. Aurora menjeling halus. Bengang pula rasanya apabila abangnya sesedap rasa mengutuknya.

“Tak main la nak nangis-nangis. I’m not a kid!” balas Aurora dengan bibir tercebir-cebir. Tanpa menghiraukan ahli keluarganya, dia lantas mencapai beg sandangnya dari dalam kereta. Pintu pagar rumah sewanya ditolak.

Barang-barang yang berada di dalam lori seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh serta beberapa keperluan penting yang lain dibawa masuk terlebih dahulu ke dalam rumah oleh beberapa pekerja yang diupah.

Aurora pula berulang alik dari kereta ke dalam rumah membawa barang-barang pentingnya. Ketika dia sedang membawa kanvas lukisan serta beg yang mengandungi komputer ribanya, dia hampir sakit jantung apabila disapa secara tiba-tiba dari tembok batu berdekatan.

Sempat lagi dia menyumpah di dalam hati sebelum mula beristighfar. Aurora mengangkat muka. Terlihat seorang lelaki muda sedang menopang dagu di tembok batu yang memisahkan rumah sewanya dengan rumah di sebelah. Lelaki itu hanya tersenyum dan tersengih-sengih kepadanya.

“Hai, baru pindah ke sini ke?”
Aurora menjeling tajam lelaki berkenaan. Tanpa sebarang suara, dia laju mengatur langkah ke dalam tanpa menghiraukan lelaki tersebut.

“Siapa tu, dik?” Nadra Alisa bertanya anak gadisnya yang wajahnya lebih masam berbanding jeruk. Aurora hanya mengangkat bahu dan menayang wajah beku. Beg yang digalas sejak tadi diletakkan saja di atas meja kopi yang sudah diletak cantik di tengah-tengah ruang tamu.

“Assalamualaikum! Assalamualaikum!” dari dalam rumah lagi sudah terdengar-dengar orang memberi salam. Aurora memanjang-manjangkan leher cuba mengintai gerangan orang di luar namun sebaik ternampak kelibat si pemberi salam, laju saja kaki melangkah meninggalkan ruang tamu lantas menuju ke dapur.

“Waalaikumussalam.” Laung Rafa kembali sejurus dia menjengah muka pintu. Beberapa ketika berbual di luar, Rafa menjemput si pemberi salam masuk.

“Jemputlah masuk,” ujar Rafa ramah sambil menepuk-nepuk si lelaki.

“Terima kasih,” jawabnya kembali.

“Banyak barang ya?” tegurnya lagi.
Aurora yang keluar dari dapur hanya mengerling pada tetamu mereka. Tanpa menghiraukannya, dia terus menyusun barang-barangnya ke tempat yang sepatutnya.

“Sibuk nampak?” Aju si lelaki sebaik mata mereka bertentangan tanpa sengaja.

“Tak la. Buat-buat sibuk aje ni.” Jawab Aurora kembali sebagai jawapan atas soalan bodoh tadi.

“Isk, adik. Tak baik cakap macam tu.” Bahu Aurora ditepuk perlahan oleh Nadra Alisa. Menegur dalam lembut sikap anak gadisnya yang kurang mesra dengan tetamu.

“Jemputlah duduk.” Pelawa Nadra Alisa kemudiannya.

“Eh, tak apalah auntie. Susah-susah ajelah.” Dia meleretkan senyuman.

“Lupa nak kenalkan nama. Saya Fahad Daiyaan bin Firdaus. Panggil saja Fahad.” Fahad memperkenalkan diri dengan wajah ceria.

“Tak tanya pun.” Aurora yang ketika itu sedang menyusun kotak-kotak kasutnya mencelah yang membuatkan Rafa dan Nadra Alisa menoleh serentak kepadanya. Nadra Alisa menggeleng manakala Rafa pula sudah berdecit halus.

“Tak tanya pun saya kena bagitau juga. Maklumlah, kita kan berjiran.”

“Oh, jiran adiklah ni? Fahad tinggal kat mana?” dengan ramah Nadra Alisa bertanya.

“Tak jauh pun, auntie. Rumah saya kat sebelah ni aje. Jemputlah singgah kalau nak minum capucino.” Fahad menyengih menampakkan barisan giginya.

Nadra Alisa dan Rafa sama-sama tergelak mendengarkan celoteh Fahad.

“Fahad tinggal dengan keluarga ke?”

“Eh, tak. Saya tinggal dengan adik saya. Cuma kami berdua. Tapi, adik saya jarang ada di rumah. Dia selalu travel ke sana sini. Outstation merata-rata. Jadi, saya selalu tinggal berseorangan.” Ujar Fahad menerangkan.

“Auntie sekeluarga dari mana?”

“Tak jauh pun. Dari Shah Alam saja. Ini pun kami sekeluarga datang ke sini untuk pindahkan barang-barang anak auntie yang bongsu ni,” bahu Aurora ditepuk-tepuk oleh Nadra Alisa sambil wanita itu tersenyum-senyum memandang Fahad.

“Jadi, anak auntie la yang akan tinggal kat rumah ni nanti?

“Nampaknya macam itulah.”

“Hah… bagus… bagus. Sekurang-kurangnya saya ada kawan baru. Senang sikit saya nak ajak bersembang nanti bila adik saya tak ada.” Mendengarkan kata-kata Fahad, terus Aurora dihambat rasa yang sungguh membosankan.

Bosan sebab mendengar celoteh orang asing ini pada hari pertama dia berpindah ke sini. Niat asalnya untuk berpindah adalah kerana mahukan kebebasan dan tidak mahu dikongkong sebaliknya apabila munculnya Fahad di sini, dia merasakan yang kebebasannya seolah baru diragut pergi.

 “Eh, sembang banyak-banyak ni… lupa nak tanya. Jiran baru saya ni nama apa? Sejak tadi lagi tak beritahu pun nama.” Fahad cuba mengorek rahsia nama jiran barunya itu.

“Aurora Ilyssa. Just call me Aurora. A.U.R.O.R.A. Bukan Aroma bukan juga Aroro.” Jawab Aurora dengan mengeja nama penuhnya. Dia bukannya apa, sebelum namanya diejek-ejek dan dipermainkan oleh Fahad lebih baik dia memberitahu awal-awal. Dalam masa yang sama, dia turut memberi amaran dalam diam agar orang yang baru dikenalinya ini tidak akan sesekali mempersendakan namanya. Alergik! Pantang baginya bila ada orang yang suka memanggil namanya sesuka hati mengikut anak tekak.

“A.U.R.O.R.A. Unik. Dan. Cantik.” Puji Fahad selamba di hadapan Nadra Alisa dan Rafa. Aurora pula hanya mampu memutarkan mata ke atas sambil menahan perasaan menyampah.

Isk, apa hal mamat ni selamba sangat ni? Dah la komen depan-depan mommy dengan abang Rafa. Tak pasal-pasal diorang gelakkan aku. Nasib baik daddy, Abang Azreel dengan Kak Aatif ada kat atas, kalau tidak harus aku kena bahan! Gumam Aurora dalam hati.


***

Hampir dua jam Aurora mendengar ceramah percuma dari ibu bapanya. Segala nasihat, petua dan segala peringatan diperturunkan kepadanya sebelum mereka pulang. Mujur sajalah keluarganya tidak bermalam di sini, jika tidak… haru!

Namun, sebelum mereka berkeputusan untuk meninggalkan Aurora seorang diri di rumah baru… jenuh Aurora mencipta pelbagai alasan semata-mata mahu meyakinkan keluarganya yang dia tahu menjaga diri. Sempat juga dia ‘memetik’ nama Fahad sebagai alasan untuk dia melepaskan diri dari keluarganya. Malah, dengan selamba saja dia mengambil nombor telefon Fahad di hadapan keluarganya demi meyakinkan mereka.

“Tinggal sorang-sorang kat sini… jaga diri baik-baik, dik. Waktu makan, mesti makan. Waktu tidur, kena tidur. Faham tak apa yang daddy cakap ni?” aju Carliff Andre sambil menepuk-nepuk bahu Aurora.

“Carl, janganlah risau sangat. You ni… kalau bagi nasihat pada anak-anak serupa bagi nasihat pada klien. Anak kita dah besar pun. Dia mesti tahu jaga diri.” Ujar Nadra Alisa bersahaja sambil tergelak.

“Macam mana I tak risau? Anak dara kita ni duduk kat sini sorang-sorang. Bukannya ada sesiapa yang boleh tengokkan dia. Lagi pun, she’s my baby. Selama-lamanya dia akan tetap jadi anak kecil I.”

“Isk, daddy… adik tahu jaga dirilah. Berapa kali adik nak kena yakinkan daddy dengan mommy? Lagi pun, adik bukan budak kecil lagi. Adik dah 22 tahun tau. Please, jangan layan adik macam budak-budak.” Aurora merungut kecil. Sedikit rimas bila daddynya  masih tetap menganggap dirinya seperti kanak-kanak yang masih memerlukan perhatian dan kawalan ketat ibu bapa.

“Tengok. Daddy cakap sikit, tarik muka. Daddy tegur sikit, ada saja dia nak menjawab.”

“Mommy…” Aurora menarik muncung sedepa. Sempat dia menarik lengan ibunya agar mendapat back up dari wanita itu.

“Sayang, sudahlah tu. Betullah adik cakap tu. Dia dah besar. Tahulah dia macam mana nak jaga diri.” Aurora mengulum senyum mendengar kata-kata ibunya.

“Huh, susah kalau ada back up besar dari mommy. Dah la… kami balik dulu. Barang-barang basah, buah, sayur… semuanya dah ada dalam peti sejuk tu. Ingat dik, jangan makan benda bukan-bukan tau. No junk food at all. Faham?”

“Faham, daddy.” Balas Aurora sambil menggaru-garu belakang tengkuknya. Entah kenapa setiap kali bila ayahnya bercakap soal makan pasti dia terasa gatal di seluruh badannya.

“Kalau rasa tak selesa tinggal kat sini, cepat-cepat call daddy dengan mommy. Lagi satu… sebelum tidur, pastikan semua pintu dan tingkap berkunci. Esok daddy hantar orang pasang CCTV dan set up safety system kat sini.”

“Okey, daddy.”

“Dah, jaga diri baik-baik.” Sesaat, tubuh Aurora ditarik rapat ke dalam pelukan Carliff Andre sebelum dahinya dikucup beberapa kali. Kemudian, giliran Nadra Alisa pula melakukan hal yang serupa sebelum Aurora membuat lambaian perpisahan kepada mereka sekeluarga.
Pintu utama ditutup lalu dikunci. Kepenatan menjalar-jalar ke segenap tubuhnya. Namun perasaannya berubah lega apabila akhirnya dia bersendirian. Yahuuu! Hampir saja lagi dia mahu melompat meraikan kegembiraannya, tiba-tiba saja bulu romanya merinding. Lengannya lekas-lekas digosok. Matanya pula cepat saja melilau ke sekitar ruang tamu.
Erk? Perasaan apakah yang sedang dia rasakan sekarang ini?

Aurora menelan liur. Namun, tekaknya terasa begitu kesat. Peluh pula mula menjelejeh ke dahi sebelum turun menyentuh pipi dan dagunya. Nafasnya disekat. Kini, yang kedengaran hanyalah dentingan jam di dinding.

Tik! Tok! Tik! Tok!

Aurora mengerling ke arah dada jam. Sudah mencecah 11.30 malam.
Dia menggeleng. Ah, semua ini hanyalah mainan perasaannya sahaja. Mungkin terlalu penat. Sebab itulah jadi begini. Lagi pun, tubuhnya terasa melekit-lekit. Bau pula tak payah cakap. Kalau kucing lalu pun boleh pengsan lima kali.


Dia meraup wajah beberapa kali. Nafas diatur tenang. Tidak mahu melayan perasaannya yang tidak-tidak, lekas-lekas dia naik ke bilik dan membersihkan diri sebelum berlayar ke alam mimpi.

No comments:

Post a Comment